9 Cara Jimat Untuk Eratkan Hubungan Dengan Anak-Anak

Kita mungkin bukan artis yang dapat belikan anak jam tangan bernilai hampir RM20 ribu, atau tak mampu juga nak bawa anak-anak bercuti ke taman tema Disneyland serata dunia. Tapi itu bukan penghalang untuk ibu bapa bermesra dengan anak-anak dengan cara yang menjimatkan.

Untuk menunjukkan kasih sayang pada anak tak semestinya melalui harta dan kemewahan semata-mata. Ahmad Affzan Abdullah berkongsi sendiri cara yang dilakukannya untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dengan kos yang paling minima seperti di bawah.

Zaman sekarang ini sungguh mencabar. Kita jadi ibu bapa kadang-kadang terlalu sibuk cari duit sebab nak sara hidup keluarga. Maka adakalanya terlepas pandang masa berkualiti dengan anak-anak.

Aku senaraikan beberapa aktiviti yang boleh kau lakukan tanpa mengeluarkan duit yang banyak untuk bersembang dan bermesra dengan mereka.

1. Makan Dalam Dulang/Talam

Ini aku pernah tulis dahulu. Mungkin ramai yang tak biasa makan dalam dulang ini, tapi kau cubalah. Banyak kebaikan yang kau boleh dapat. Waktu inilah kau boleh banyak selitkan nasihat-nasihat kehidupan. Tutup TV, semua mengadap nasi dan lauk di tengah.

Kau boleh cerita tentang baiknya Tuhan bagi rezeki. Kau boleh cerita tentang konsep bertolak ansur sesama ahli keluarga. Anak-anak boleh bercerita tentang aktiviti mereka seharian. Sedar-sedar nasi pun habis. Kenyang dapat, bonding pun dapat. Insya-Allah keberkatan pun kau dapat.

2. Memasak

Memasak atau menyediakan makanan juga aktiviti bonding yang baik. Lagipun, memang hampir setiap hari kena masak, kan? Kalau anak kau ramai, kau bahagi-bahagilah tugas. Ada yang potong sayur, ada potong bawang, ada gaul bahan, ada yang masukkan bahan dalam kuali.

Kalau aku, paling seronok waktu kami buat sandwic sama-sama. Sandwic ini memang antara kepakaran aku. Jadi anak-anak semua sangat teruja bila aku kata nak buat sandwic. Nanti aku kongsikan resipinya.

Masing-masing berebut nak sapu mentega atas rotilah, nak letak tomatolah, nak kapit rotilah. Ia jadi satu aktiviti yang menyeronokkan dan merapatkan hubungan dengan anak-anak.

3. Cuci Kereta Atau Motor

Kalau kau tak hantar kereta ke kedai, bolehlah kau cuci sendiri beramai-ramai dengan anak-anak.Waktu aku kecil dulu, ini antara aktiviti yang aku suka buat dengan arwah Abah. Kerja aku senang saja, Abah suruh aku cuci tayar, sebab kawasan yang tinggi-tinggi aku tak sampai. Lepas itu yang seronok sebab dapat main air waktu nak bilas.

Basah lencun tapi penuh dengan gelak ketawa. Penat pun tak terasa.

4. Buat Hobi Sama-Sama

Kenalpasti hobi anak kau, kemudian kau sama-samalah buat dengan dia, atau temankan dia waktu dia sedang beraktiviti itu.

Dulu anak aku minat main Gunpla atau Gundam. Alah, yang robot plastik main cantum-cantum tu. Aku pun sama-sama buat robot itu dengan dia. Dia gunting, aku cantum. Aku gunting, dia cantum. Main lego pun begitu juga. Sama-sama cantumkan blok dan bina rumah contohnya. Bila siap, masing-masing rasa bangga sebab buat sama-sama.

Kalau hobi anak kau melukis, kau pun sama-samalah melukis dengan dia. Ataupun kau sokong aktiviti dia, contohnya bawa dia pergi jumpa pelukis, beri idea nak lukis apa, belikan buku-buku lukisan dan lain-lain. Kau tunjuk minat yang sama dengan anak-anak, memang anak-anak akan hargai dan ingat sampai bila-bila.

5. Solat Jemaah

Aktiviti pergi masjid dan surau juga salah satu aktiviti yang sangat baik untuk kau bermesra dengan anak-anak.

Waktu jalan kaki untuk sampai ke masjid itu, banyak benda kau boleh sembangkan. Fadilat solat berjemaah jangan ceritalah. Rapatkan saf itu antara sebab yang boleh menyatukan hati kau dengan anak-anak dan ahli jemaah yang lain.

Kalau tak dapat ke masjid, kau solat berjemaah di rumah. Dapat sehari satu waktu pun cukuplah sebagai permulaan. Ini aktiviti spiritual yang boleh merapatkan hubungan yang renggang insya-Allah.

6. Hantar Dan Ambil Anak Dari Sekolah/Kelas

Mungkin ramai yang tak berkesempatan buat aktiviti ini disebabkan kesibukan kerja dan ‘timing’ yang tak selaras. Namun jika ada kesempatan, kau cubalah usahakan. Benda ini nampak biasa saja, tapi waktu kau dalam kereta itulah masa untuk kau kenali anak kau dengan lebih rapat.

Kau tanya apa aktiviti dia hari itu, dia belajar apa, cikgu baik ke tidak. Anak-anak pun biasanya akan teruja untuk beritahu dia buat apa, kawan mana yang menangis, budak mana yang muntah, budak mana yang bawa duit bekal RM50 dan lain-lain.

Yang ibu bapa mahu begitulah. Anak-anak mesra dan bebas bercerita apa saja dengan kita. Maka masa hantar dan ambil dari sekolah itulah peluang untuk kau bersembang bagai nak rak dengan anak-anak. Jangan kau diam layan radio saja.

7. Majlis Taalim

Majlis taalim ini biasanya aku buat sebelum tidur.

Kau bacakan buku-buku yang bermanfaat untuk anak-anak contohnya kisah para Nabi, sejarah hidup Nabi Muhammad, kisah para sahabat dan lain-lain.

Kalau kau ada ilmu lebih sikit, kau bacakan buku-buku hadis berkaitan adab dan akhlak, contohnya kitab Riyadhus Solihin, Hadith 40, Adabul Mufrad atau Fada’il A’mal. Kemudian kau tutup dengan tadarus beramai-ramai. Dapat satu malam satu mukasurat Quran, jadilah.

Anak-anak aku paling suka kalau aku bacakan kisah para Nabi. Selalu jugalah mereka mendesak. Sambil cerita itu, kau selitkan juga pengajaran dan kaitannya dengan kehidupan kita sekarang. Barulah anak-anak boleh faham dengan lebih jelas.

8. Berkebun

Kalau kau ada laman, gunalah laman yang ada itu untuk berkebun bersama anak-anak.

Benda mudah macam cabut rumput pun jadi satu aktiviti yang menyeronokkan. Contohnya kau lumba siapa cabut rumput paling banyak ke, atau siapa dapat jumpa cacing ke. Kemudian kau ajar anak-anak teknik tanam pokok. Macam mana nak pindahkan dari polybag ke tanah atau pasu, macam mana tabur benih, bila nak siram pokok.

Biar anak-anak kembali kepada ‘nature’. Pegang tanah, biar tangan kotor, keluar peluh jantan. Lepas itu, kau beri dia seorang satu pokok untuk dijaga. Ini melatih anak-anak untuk rasa tanggungjawab dan cintakan alam sekitar juga. Bila pokok dah besar, kau boleh kata dengan bangga pada dia,

“Tengok, itu pokok yang awak tanam dulu, kan? Dah berbunga dah.” Mesti anak-anak pun seronok.

9. Main Masak-Masak Atau Play Pretend

Biasanya ini dibuat waktu anak kau masih kecil.

Kau buat khemah dalam rumah guna tali rapia dan selimut. Duduk dalam itu dengan anak, lepas itu guna periuk dari dapur, konon-kononnya tengah masak dalam hutan. Kertas-kertas yang diracik kononnya sayur dan lauk pauk.

Anak lelaki pula biasanya main lawan pedang atau tembak-tembak. Imaginasi anak lelaki aku biasanya begitulah. Anak lelaki orang lain, mungkin lain imaginasinya. Kau pun pakailah topeng dan segala aksesori untuk masuk dalam dunia anak kau. Jadi budak-budak sekejap.

Jadi kawan mereka yang paling rapat, sebelum mereka mencari kawan-kawan yang lain.

Begitulah yang aku boleh kongsi setakat pengalaman aku membesarkan 4 orang anak. Masing-masing lain kerenah dan karakternya. Namun biasanya bila buat aktiviti bonding ini, semuanya akan seronok dan boleh beraktiviti bersama-sama.

Cubalah di rumah. Mudah-mudahan hubungan kekeluargaan kau dengan pasangan dan anak-anak bertambah erat dan mesra setiap hari.

Kredit: Ahmad Affzan Abdullah

Wang Tak Boleh Beli Kebahagiaan

Memang benar wang ringgit tak boleh beli kebahagiaan, yang penting kita perlu belajar untuk berbelanja mengikut kemampuan masing-masing. Dan siapa kata kita kena spend banyak duit untuk happy? Cuba amalkan 9 cara di atas, pastinya hubungan dengan anak-anak akan jadi lebih erat.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Enam Pelajar Sekolah Agama Dari Terengganu Raih Emas Dalam Pertandingan Inovasi Antarabangsa

KUALA TERENGGANU: Enam pelajar dari SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Berang berjaya membawa pulang pingat emas bagi alat pembelajaran inovatif mereka di International Innovative Technology Summit 2024 yang diadakan di Beijing, China, dari 7 hingga 11 November.

Projek mereka, iaitu Virtual Geo Learning (VIGEEL) dan The Repeater, dihasilkan oleh pelajar dari Tingkatan Dua, Tiga, dan Empat.

The Repeater adalah hasil kerja tiga pelajar Tingkatan Empat, dengan bimbingan guru penyelia dan sokongan kepakaran dari Universiti Sultan Zainal Abidin. Maklum balas turut diterima daripada SMA Mahmudiah Kuala Berang dan SMA Marang.

Menurut guru pengiring, Nurul Fatiha Mohd Ramli, para pelajar telah melalui pusingan pemilihan di Universiti Malaya pada Februari lalu sebelum meraih pingat emas dalam peringkat seterusnya di Bangkok, Thailand, pada April.

VIGEEL menggunakan teknologi realiti maya (VR) dan realiti tambahan (AR), dengan fokus pada topik pengangkutan dalam subjek Geografi Tingkatan Dua. Nurul Fatiha menjelaskan bahawa alat ini membolehkan pelajar mengalami sistem pengangkutan seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan kapal terbang secara maya, lengkap dengan nota pop-up untuk pembelajaran.

Sementara itu, The Repeater direka untuk membantu pelajar merekod kemajuan hafazan al-Quran serta memberikan peringatan harian untuk mengulangi ayat sebelum dihafal. “Jika pelajar tidak mematuhi peringatan, tugasan akan terkumpul, membantu mereka lebih berdisiplin dalam hafazan,” kata Nurul Fatiha.

Pelajar menggunakan perisian kod percuma dari Internet untuk menghasilkan The Repeater dan membeli set kepala VR terpakai dengan kos kurang daripada RM1,000 untuk melengkapkan inovasi VIGEEL.

Nurul Fatiha turut berharap sokongan kewangan daripada pelbagai pihak dapat diperoleh, terutamanya untuk menyertai pertandingan serupa di Kemboja pada April depan. Beliau juga menyatakan hasrat untuk mengkomersialkan produk tersebut dengan tetapan dalam bahasa Inggeris bagi kegunaan yang lebih meluas. – Bernama