
Kredit Gambar: YouTube
Boleh dikatakan semua ibu bapa yang mempunyai anak kelainan upaya atau OKU akan berasa bimbang dengan masa depan cahaya mata mereka. Bagaimana anak istimewa mereka ini akan menghadapi alam pekerjaan?
Seperti yang diketahui umum, mereka yang mempunyai kelainan upaya agak sukar untuk mendapatkan pekerjaan. Tambah lagi apabila mereka ini turut mempunyai masalah kesihatan.
Menyedari hal ini, seorang bapa yang mempunyai anak Down Syndrome Mark Cronin berbincang dengan anaknya, John tentang apa yang bakal dilakukannya setelah tamat sekolah. Dan jawapan John, beliau mahu melakukan bisnes dengan ayahnya kerana terlalu sayangkan ayahnya!
Jadi mereka pun mula brainstorm idea-idea yang bakal mereka lakukan. Lalu timbullah idea John’s Crazy Socks.
Kenapa stokin? Sebab John sangat sukakan stokin dan dia sendiri mempunyai koleksi sarung kakinya sendiri yang terdiri daripada pelbagai rekaan dan warna yang menarik.
Pada bulan pertama dilancarkan, John’s Crazy Socks telah menerima sebanyak 452 pasang tempahan dengan pendapatan terkumpul sebanyak USD13,000! Mereka pun tak menyangka boleh terima tempahan sebanyak itu.

Disebabkan sambutan yang sangat menggalakkan, bapa John terpaksa memborong ke semua stokin yang dijual di pasaraya untuk memenuhi permintaan produk stokin mereka.
Sekarang, mereka tidak perlu lagi susah hati dengan masalah kekurangan stok kerana mereka telah menjalankan kerjasama dengan lebih daripada 20 pembekal yang berbeza yang menyediakan lebih daripada 2,000 rekaan sarung kaki!
Sehingga hari ini, syarikat mereka menerima tempahan yang amat menggalakkan sehingga menghasilkan keuntungan 6-7 angka dalam tempoh hanya setahun setelah ianya dilancarkan!
Kejayaan ini tentunya tidak akan datang tanpa sokongan daripada para pelanggannya. Sejak dari awal perniagaan mereka, setiap tempahan yang bakal dihantar kepada pelanggan akan mendapat nota terima kasih serta gula-gula sebagai tanda penghargaan.
Lebih menarik lagi, syarikat yang ditubuhkan oleh John dan ayahnya ini turut memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang mempunyai masalah kelainan upaya. Lebih separuh daripada pekerja John’s Crazy Socks terdiri daripada golongan istimewa ini.
Syarikat mereka juga turut berkongsi keuntungan yang diperolehi dengan komuniti. Sebagai contoh, 5% hasil keuntungan jualan sarung kaki ini diberikan kepada Special Olympics.

Jika John boleh berjaya seperti itu, apa lagi alasan kita untuk mencapai kejayaan yang sama?
Kisah John boleh dijadikan inspirasi bukan sahaja untuk mereka yang menghadapi kekurangan tetapi juga untuk mereka yang sempurna sifatnya. Kejayaan akan dimiliki oleh mereka yang berusaha bukan mereka yang sentiasa mencari alasan.
Sumber Rujukan: