5 Tempat Simpan Duit Terbaik Untuk Anak Muda (versi Halal)

Apa itu Simpanan?

Simpanan ialah duit yang kita peruntukkan daripada sumber pendapatan kita, dan disimpan untuk kegunaan semasa kecemasan. Ada banyak tempat yang boleh menjana pulangan yang stabil tanpa mengganggu principal (wang asal) dan sangat mudah untuk kita keluarkan.

Kita semua sedar yang menyimpan duit bukan fitrah semulajadi kita. Ini adalah tabiat yang perlu dibiasakan. Kena ulang-ulang buat.

Membuat simpanan untuk masa hadapan adalah amat penting bagi memastikan kehidupan yang lebih baik. Orang dulu-dulu suka simpan duit di celahan susunan baju yang telah dilipat di rak baju ataupun simpan dalam sampul surat, letak di atas almari.

Memang kreatif atok nenek kita. Walaupun duit tak banyak, tetapi mereka sentiasa beringat untuk menyimpan.

Tetapi, bahaya dan berisiko jika simpan duit di rumah. Bukankah lebih baik jika kita menyimpan di tempat yang lebih selamat dan terjamin?

Anda yang sedang mencari kaedah terbaik untuk menyimpan tu, apa kata anda mencuba 5 tempat ini:

1. Tabung Haji

Simpanan di Tabung Haji (TH) adalah berdasarkan konsep Wakalah bermaksud seseorang (Muwakkil) melantik satu pihak yang lain (Wakil) sebagai wakilnya untuk mengendalikan urusannya. Ia adalah patuh syariah serta dijamin sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia.

Ramai yang menggunakan platform Tabung Haji sebagai tempat simpanan untuk menunaikan rukun Islam yang kelima. Tetapi sebenarnya adalah berbaloi untuk menyimpan dalam Tabung Haji kerana pulangannya yang ‘boleh tahan’ tinggi dan konsisten setiap tahun.

Antara kebaikan menyimpan dalam Tabung Haji adalah:

  • Modal simpanan dijamin
  • Pemberian dividen / hibah yang kompetitif
  • Dividen dan bonus dikecualikan cukai
  • Zakat dibayar pihak Tabung Haji
  • Simpanan dan pengeluaran tanpa had
  • Patuh syariah

Baca juga Dekat Mana Tabung Haji (TH) Labur Duit Kita?

2. Private Retirement Scheme (PRS) atau dikenali sebagai Skim Persaraan Swasta

Private Retirement Scheme (PRS) atau pelan Skim Persaraan Swasta merupakan sebuah pelan simpanan dan pelaburan jangka masa panjang secara sukarela yang ditubuhkan bagi menambah simpanan dana persaraan. Ia merupakan pilihan tambahan bagi rakyat Malaysia sama ada yang bekerja di sektor awam atau swasta juga bagi mereka yang bekerja sendiri.

PRS mirip kepada pelan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Sepertimana akaun KWSP, PRS juga dibahagikan kepada 2 sub-akaun, iaitu akaun A (70%) dan akaun B (30%).

Dengan modal serendah RM100 saja, anda sudah boleh memulakan simpanan persaraan dalam PRS.

Kalau anda sedang mencarum dalam KWSP, anda juga boleh juga melabur dalam PRS untuk menambah tabung persaraan.

Penyedia Dan Pilihan Dana PRS Patuh Syariah

Secara keseluruhannya, terdapat 8 Penyedia PRS di Malaysia yang menyediakan sebanyak 57 Dana PRS. Daripada jumlah ini, 26 daripadanya adalah Dana PRS Patuh Syariah.

Senarai Dana PRS Patuh Syariah:

Kelebihan

  • Majikan (Syarikat) yang menyumbang kepada PRS bagi pihak pekerja layak mendapat potongan cukai ke atas caruman yang melebihi kadar yang ditetapkan untuk caruman majikan KWSP, sehingga 19%.
  • Individu yang mencarum layak pelepasan cukai sehingga RM3,000.
  • Pengeluaran pra-prasaraan dari sub-akaun B hanya boleh dibuat dari dana PRS satu tahun selepas tarikh pendaftaran, kecuali sekiranya pengeluaran ingin dibuat secara tetap.

Kekurangan

Bukan saja pulangan untuk akaun PRS anda tidak dijamin malah pulangan adalah berdasarkan prestasi pasaran. Caruman yang anda buat kepada pelan PRS juga tidak dilindungi.

“Sekarang saya dah faham tentang PRS. Tapi kalau saya meninggal dunia sebelum umur persaraan apa akan jadi dengan Dana PRS tu?” Baca juga Proses Penamaan PRS Bagi Ahli Beragama Islam.

3. Simpanan Pendapatan Tetap (Fixed Income)

Ramai yang memilih fixed deposit atau simpanan tetap yang patuh syariah sebagai salah satu medium simpanan. Fixed deposit mempunyai risiko yang rendah, oleh sebab itu pulangannya juga tidaklah setinggi mana.

Baca juga Deposit Halal: Apa yang Membezakan Simpanan Islamik Dengan Akaun Simpanan Konvensional?

Fixed deposit menjamin wang simpanan anda dikembalikan pada akhir tempoh. Apa yang perlu anda lakukan adalah menunggu untuk ianya matang (6 bulan,12 bulan,15 bulan,18 bulan atau 36 bulan).

Ramai yang pening kepala bila OPR naik 4 kali dalam tahun 2022. Tetapi salah satu kebaikan bila OPR naik adalah kadar keuntungan / fixed deposit rates juga akan naik. Ini akan menggalakkan lebih ramai untuk menyimpan dalam fixed deposit, dan menikmati pulangan lebih tinggi.

Contohnya MBSB Bank berhad (MBSB) memperkenalkan pelan simpanan yang sangat menarik sebab berpeluang untuk menang cabutan bertuah dalam kempen “Simpan Berganda Menang Bergaya 2.0”.

Kempen “Simpan Berganda Menang Bergaya 2.0” akan bermula pada 1 Sept 2022 hingga 31 Mei 2023. Penyertaan terbuka kepada pelanggan individu dengan akaun semasa atau simpanan MBSB, dengan deposit minimum RM100.

Kempen itu akan menawarkan hadiah menarik bernilai RM2.4 juta, termasuk pakej pelancongan Eropah atau umrah, kereta mewah seperti Mercedes Benz A200, Mercedes Benz C200, Mercedes Benz GLC 300 AMG, ketulan emas, iPhone, konsol permainan dan hadiah wang tunai, antara lain.

Kadar keuntungan fixed deposit-i MBSB

Jika dahulu fixed deposit kebiasaannya memerlukan anda meletakkan sejumlah wang yang agak besar, ada yang minima deposit sebanyak RM1,000 dan ada juga yang memerlukan sehingga RM10,000. Sekarang terdapat beberapa bank yang menawarkan minimum deposit serendah RM500.

Jom kita lihat senarai fixed deposit lain yang patuh syariah di Malaysia:

  • Bank Islam Term Deposit-i Tawarruq : Minimum deposit RM500
  • Bank Muamalat Fixed Term Account-i : Minimum deposit RM1,000
  • Affin Islamic Term Deposit-i : Minimum deposit RM500
  • RHB Islamic Commodity Murabahah Deposit-i : Minimum deposit RM1,000
  • Public Bank Islamic Term Deposit-i : Minimum deposit RM1,000
  • Agrobank Fixed Return Islamic Account-i (FRIA-i) : Minimum deposit RM1,000
  • Al-Rajhi Commodity Murabahah Term Deposit-i : Minimum deposit RM500
  • Alliance Islamic Term Deposit-i : Minimum deposit RM500
  • AmBank Term Deposit-i : Minimum deposit RM500

Kelebihan

Sebenarnya instrumen simpanan tetap ini digemari oleh pemilik syarikat (kita sebagai orang biasa patut belajar) adalah untuk mendapatkan kepercayaan bank bila-bila masa ‘sesak’ atau memerlukan penambahan modal (pinjaman / pembiayaan).

Kekurangan

Bank tidak membenarkan penyimpan untuk melakukan pengeluaran awal sebelum tarikh matang. Jika pengeluaran awal dilakukan, ia berpotensi mengurangkan kadar keuntungan / faedah seperti yang ditetapkan dalam terma dan syarat. Meskipun begitu, ada sesetengah bank yang menawarkan pengeluaran awal tanpa menjejaskan kadar keuntungan / faedah sedia ada. Jadi anda dinasihati untuk sentiasa menyemak terma simpanan tetap yang ditawarkan oleh bank.

4. BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP)

Bank Simpanan Nasional (BSN) meneruskan komitmen menggalakkan tabiat menyimpan dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) dengan memperkenalkan tujuh kategori cabutan bertuah baharu pada 2022, berbanding hanya enam kategori tahun lalu.

Ya, tukarkan duit tunai kepada Sijil Simpanan Premium serendah RM10 dan berpeluang menang cabutan bertuah, paling padu adalah hadiah RM1 juta!

Produk simpanan ini telah melahirkan seramai 71 orang jutawan dari tahun 1978 sehingga Disember 2021.

Baca juga HUKUM SKIM SIJIL SIMPANAN PREMIUM (BSN)

5. KWSP

Mereka yang bekerja dalam sektor swasta dan pekerja tidak berpencen sektor awam wajib mencarum ke dalam akaun KWSP mereka melalui potongan gaji bulanan oleh majikan di bawah Akta KWSP 1991.

Tetapi kalau nak tahu caruman KWSP tidak dihadkan hanya kepada mereka yang diwajibkan di bawah Akta KWSP 1991 sahaja.

Penyertaan sukarela daripada mereka yang tidak tertakluk di bawah undang-undang KWSP adalah sangat dialu-alukan. Maksudnya mereka yang berniaga sendiri juga boleh mencarum dan menyimpan dalam pelan simpanan KWSP.

Mereka yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk membuat caruman sukarela untuk tujuan persaraan juga boleh mencarum secara sukarela dengan Insentif Persaraan (i-Saraan), dan pada masa yang sama menerima caruman tambahan daripada pihak kerajaan.

Sebagai ahli di bawah insentif ini, kita akan terima sumbangan Kerajaan sebanyak 15% (jumlah maksimum sebanyak RM250/setahun [berkuatkuasa 1 Januari 2018]) ke atas caruman yang kita lakukan. i-Saraan terbuka kepada lelaki dan juga wanita yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Baca juga :

6. Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Malaysia (ASM)

Kedua-dua ASB dan ASM ini merupakan dana amanah yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). ASB ini terbuka untuk Bumiputera sahaja manakala ASM terbuka untuk golongan Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Terdapat banyak kelebihan apabila anda melabur di kedua-dua ASB dan ASM ini. Antaranya, risiko anda menghadapi kerugian adalah sangat tipis. Bukan itu sahaja, anda juga boleh mendapat pulangan dividen yang konsisten setiap tahun.

Dividen ASB
Sejarah Dividen ASB

Sekejap, bagaimana dengan Emas?

Public Gold

Emas adalah logam yang sangat berharga. Emas fungsinya adalah menyimpan nilai. Nilainya berguna untuk jangka masa panjang (10 – 30 tahun).

Ramai yang menyatakan bahawa emas adalah sejenis simpanan yang baik. Pada pendapat kami emas tidak sesuai untuk dijadikan instrumen simpanan, sebab ia adalah sejenis komoditi yang boleh naik atau turun berdasarkan tahap ketakutan manusia. Maka emas lebih sesuai dikategorikan sebagai instrumen pelaburan walaupun fungsi utama emas adalah untuk mengekalkan kekayaan (hedging).

Satu lagi, jika emas dikatakan kalis inflasi, harganya tidak sepatutnya terkesan atau turun jika inflasi naik. Namun, itu terbukti tidak berlaku sekarang. Oleh itu, diharapkan saudagar emas di luar sana tidak menggunakan ungkapan “emas kalis inflasi” dalam mempromosikan produk emas mereka. Baca juga 5 Platform Yang Ada Untuk Kita Melabur Emas.

Ramai anak muda bertangguh untuk mulakan simpanan persaraan kerana merasakan perjalanan masih ‘jauh’. Rancang pelan persaraan daripada muda, tanpa mengharap kepada anak-anak di usia tua.

Tanpa pelan simpanan yang baik, kita mungkin bersara miskin.

Luangkan sedikit masa untuk membaca Mudahnya Nak Menyimpan Duit Guna Formula 50:30:20


Bila sudah berjaya menyimpan dengan konsisten barulah mula merancang bagaimana nak mengembangkan pendapatan sekarang menjadi 2 atau 5 kali ganda dalam masa 5 – 10 tahun (melabur).

Jika ada masa, bacalah juga:

Terima kasih kepada anda yang menyokong kami selama ini. Hari-hari kami bersemangat nak sebarkan ilmu tentang kewangan dan pelaburan.

Kami sedar yang majoriti pembaca kami adalah anak-anak muda yang tercari-cari panduan bagaimana untuk mula melabur. Jadi buku ini sangat sesuai bagi newbie yang nak mulakan langkah pertama.

Anda ada soalan-soalan berikut yang memerlukan jawapan?

  • Ada duit tapi tak tahu nak melabur di mana?
  • Nak melabur tapi takut kena tipu dengan scammer?
  • Bagaimana nak tahu sesuatu pelaburan itu adalah patuh Syariah atau tidak?
  • Ada banyak sangat jenis pelaburan dekat luar sana, apa yang paling sesuai dengan jiwa?
  • Dalam suasana ekonomi yang tak menentu, apakah pelaburan ‘safe haven’ yang menjadi pilihan?
  • Pelaburan tanpa tunai tu macam mana?
  • Soalan-soalan lazim berkenaan pelaburan

Jika ya, maka anda perlu miliki buku Buku Malaysia Melabur : 10 Benda Kita Kena Tahu.

Buku Malaysia Melabur juga telah berada dalam senarai MPH Best 2020 dalam kategori MPH Best Malay Non-Fiction 2020.

Sesungguhnya kami bersyukur diberi peluang oleh Allah untuk berubah menjadi lebih baik dan mendapat rezeki seperti yang diidamkan. Kami doakan semoga tuan puan juga dilimpahi rezeki yang penuh keberkatan.

Boleh miliki buku ini secara online di Shopee

Previous ArticleNext Article

10 Kesilapan Isi e-Filing Yang Ramai Orang Selalu Buat

Setiap kali musim e-Filing, ramai antara kita akan buka MyTax, masukkan maklumat gaji, tuntut pelepasan cukai dan tekan butang “Hantar”.

Nampak mudah. Tapi betul ke semua maklumat dah diisi dengan tepat?

Ada yang tersalah pilih borang. Ada yang terlupa masukkan bonus. Ada juga yang tak lapor pendapatan sewa sebab ingat dah ada potongan PCB, jadi tak perlu risau lagi.

Kesilapan macam ini mungkin nampak kecil, tetapi boleh menyebabkan kita terlepas pelepasan cukai, lambat menerima bayaran balik atau terpaksa membayar cukai tambahan.

Jom semak 10 kesilapan yang patut kita elakkan.

1. ❌ Tersalah pilih Borang B atau Borang BE

Ini antara perkara asas yang ramai pembayar cukai perlu faham.

Borang BE digunakan oleh individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan, manakala Borang B digunakan oleh individu pemastautin yang menjalankan perniagaan.

Contohnya, Ali bekerja makan gaji dengan pendapatan tahunan RM72,000. Pada masa yang sama, dia menjalankan perniagaan menjual pakaian secara dalam talian (TikTok Shop, Shopee) dan memperoleh keuntungan bersih RM20,000 setahun.

Ali tidak boleh memilih Borang BE semata-mata kerana dia juga mempunyai pekerjaan tetap. Dia perlu menggunakan borang yang sesuai dengan keadaan pendapatannya.

Jika tersalah menghantar Borang BE, maklumat pendapatan perniagaannya mungkin tidak dilaporkan melalui borang yang sepatutnya.

Kesannya, Ali mungkin perlu mendapatkan panduan HASiL untuk membetulkan pelaporan cukainya.

Penting juga untuk diingat bahawa pendapatan sewa atau pendapatan sampingan tidak secara automatik bermaksud seseorang perlu menggunakan Borang B. Penentuan bergantung pada sifat pendapatan dan sama ada individu itu menjalankan perniagaan bagi tujuan cukai.

2. ❌ Tertinggal bonus ketika mengisi pendapatan penggajian

Katakan pendapatan penggajian seseorang sepanjang tahun ialah RM80,000, terdiri daripada:

  • Gaji tahunan: RM72,000
  • Bonus: RM8,000

Tetapi ketika mengisi e-Filing, dia hanya memasukkan RM72,000 dan terlupa memasukkan bonus.

Akibatnya, pendapatan penggajian terkurang lapor sebanyak RM8,000.

Jika tambahan pendapatan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM8,000 × 19% = RM1,520

Jumlah sebenar bergantung pada pendapatan bercukai keseluruhan, pelepasan, rebat dan kadar cukai progresif.

Sebab itu, semak Borang EA atau EC dan pastikan jumlah pendapatan penggajian merangkumi gaji, bonus serta saraan bercukai lain yang berkaitan.

Dah hantar e-Filing? Jangan hantar borang baharu untuk tahun taksiran yang sama. Semak kaedah pindaan yang sesuai dengan HASiL kerana kesilapan ini melibatkan pendapatan terkurang lapor.

3. ❌ Tersalah pilih “Ya” untuk cukai ditanggung oleh majikan

Ada yang keliru antara cukai ditanggung majikan dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB).

Ruangan “Cukai ditanggung oleh majikan” merujuk kepada keadaan majikan menanggung cukai pendapatan pekerja mengikut aturan pekerjaan. Ia bukan sekadar bermaksud majikan memotong PCB daripada gaji.

Bayangkan seorang pekerja sepatutnya menerima bayaran balik RM2,000, tetapi tersalah memilih “Ya” walaupun cukai sebenarnya ditanggung sendiri.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh sementara maklumat disemak.

Isu ini pernah mendapat perhatian pada Mac 2026 apabila HASiL menjelaskan tindakan bagi kes pembayar cukai Tahun Taksiran 2025 yang tersilap memilih ruangan tersebut. Bagi kes yang disahkan, pembayar cukai tidak perlu meminda borang dan bayaran balik akan diproses secara berperingkat.

Jadi, jangan klik secara automatik. Fahami maksud setiap ruangan sebelum menghantar borang.

4. ❌ Tuntut Pelepasan Cukai untuk Perbelanjaan yang Sudah Dibayar oleh Majikan

Ramai tak sedar, bukan semua perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai boleh dituntut begitu sahaja, terutamanya apabila kos tersebut sudah ditanggung oleh majikan.

Contohnya, syarikat menyediakan manfaat perubatan yang menanggung 100% kos rawatan pekerja. Ali menerima rawatan penyakit serius bernilai RM5,000 dan keseluruhan bil dibayar oleh syarikat. Ali kemudian cuba menuntut RM5,000 yang sama sebagai pelepasan cukai perubatan dalam e-Filing.

Ini boleh menjadi kesilapan kerana Ali tidak menanggung sendiri perbelanjaan tersebut.

Apa yang perlu dibuat? Semak syarat khusus bagi setiap kategori pelepasan cukai dan pastikan tuntutan dibuat berdasarkan perbelanjaan yang benar-benar layak dituntut.

Ingat, tuntutan pelepasan cukai bukan sekadar tentang berapa banyak kita berbelanja, tetapi juga sama ada perbelanjaan itu memenuhi syarat yang ditetapkan.

Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius termasuk rawatan dibuat ke atas penyakit seperti sindrom Kurang Daya Ketahanan (AIDS), sindrom Parkinson, barah, penyakit buah pinggang, leukemia dan lain-lain penyakit yang serupa. ‘Lain-lain penyakit yang serupa’ termasuk serangan jantung, pulmonari hypertension, penyakit hati kronik, fulminant viral hepatitis, trauma kepala dengan defisit nurologikal, ketumbuhan otak dan kecacatan kepada pembuluh darah, melepuh dan melecur yang keterlaluan, pemindahan organ utama dan pemotongan kaki dan / atau tangan. Potongan sehingga RM10,000 dibenarkan ke atas amaun yang dibelanjakan untuk rawatan ke atas diri sendiri, pasangan atau anak. Rujuk Nota Penerangan BE

5. ❌ Tuntut pelepasan cukai, tetapi resit tak dapat dicari

Contohnya, seseorang menuntut pelepasan bagi pembelian komputer riba bernilai RM3,000 tetapi tidak dapat mengemukakan bukti pembelian apabila diminta.

Jika tuntutan itu tidak dapat disokong dan akhirnya ditolak, pendapatan bercukainya mungkin meningkat RM3,000.

Pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM3,000 × 19% = RM570

Dia mungkin perlu membayar cukai tambahan RM570, bergantung pada pengiraan cukai sebenar.

Sebab itu, pastikan tuntutan memenuhi syarat dan simpan resit, invois serta dokumen sokongan yang berkaitan.

HASiL secara amnya menetapkan rekod dan dokumen berkaitan cukai perlu disimpan selama tujuh tahun mengikut keperluan undang-undang.

6. ❌ Salah masukkan nombor akaun bank

Katakan seseorang layak menerima bayaran balik cukai sebanyak RM1,800, tetapi tersalah memasukkan nombor akaun bank.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh atau memerlukan pengesahan lanjut.

Duit itu tidak semestinya hilang, tetapi pembayar cukai mungkin perlu menghubungi HASiL untuk menyelesaikan masalah tersebut.

7. ❌ Terlupa memasukkan maklumat anak

Ini juga boleh berlaku kepada ibu bapa yang mempunyai beberapa orang anak.

Contohnya, seorang pembayar cukai terlupa menuntut pelepasan anak sebanyak RM2,000 yang sebenarnya layak.

Jika kadar marginal cukainya 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM2,000 × 19% = RM380

Dia mungkin terlepas peluang mengurangkan cukai sebanyak RM380.

Walau bagaimanapun, kelayakan dan jumlah pelepasan bergantung pada syarat yang ditetapkan bagi tahun taksiran berkenaan, termasuk keadaan dan status anak.

Jadi, jangan anggap maklumat yang diisi pada tahun sebelumnya semestinya sudah lengkap untuk tahun semasa.

8. ❌ Tak lapor pendapatan sewa rumah

Ini contoh yang dekat dengan kehidupan ramai pekerja makan gaji.

Amir bekerja dengan pendapatan tahunan RM90,000. Dalam masa yang sama, dia menyewakan sebuah rumah pada harga RM1,200 sebulan.

Pendapatan sewa setahun:

RM1,200 × 12 bulan = RM14,400

Katakan perbelanjaan sewa yang dibenarkan ialah RM3,000. Pendapatan sewa bersih untuk ilustrasi ialah RM11,400.

Jika pendapatan bercukai Amir sebelum mengambil kira pendapatan sewa ialah RM75,000 dan tambahan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM11,400 × 19% = RM2,166

Jumlah sebenar bergantung pada pengiraan pendapatan berkanun sewa, perbelanjaan yang dibenarkan, pelepasan dan kadar cukai progresif.

Jangan anggap pendapatan sewa boleh diabaikan hanya kerana kita sudah mempunyai pekerjaan tetap dan PCB dipotong setiap bulan.

9. ❌ Tak lapor pendapatan freelance atau komisen

Siti bekerja sepenuh masa dan turut melakukan kerja freelance pada hujung minggu.

Sepanjang tahun, dia memperoleh pendapatan freelance bersih sebanyak RM18,000 daripada perkhidmatan reka bentuk dan pengurusan media sosial.

Dia menganggap pendapatan itu tidak perlu dilaporkan kerana bayaran diterima daripada pelanggan secara berasingan daripada gaji.

Jika pendapatan tersebut merupakan pendapatan perniagaan yang perlu dilaporkan, kesilapan ini boleh menyebabkan cukai terkurang dikira.

Dengan andaian keseluruhan RM18,000 itu merupakan tambahan kepada pendapatan bercukainya dan dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM18,000 × 19% = RM3,420

Pengiraan sebenar bergantung pada sifat pendapatan, perbelanjaan yang dibenarkan dan pengiraan cukai keseluruhan.

Perkara yang sama perlu diberi perhatian bagi pendapatan komisen, perniagaan dalam talian dan aktiviti lain yang menghasilkan pendapatan bercukai.

10. ❌ Tak lapor pendapatan luar negara kerana ingat semuanya bebas cukai

Ada orang bekerja di Singapura, kemudian memindahkan gaji ke akaun bank Malaysia. Ada juga yang menjalankan perniagaan melalui eBay.

Persoalannya, adakah semua pendapatan ini automatik bebas cukai di Malaysia?

Jawapannya, tidak semestinya. Layanan cukai bergantung pada jenis pendapatan, sumber pendapatan, status pemastautin cukai dan syarat pengecualian yang berkenaan.

Contohnya, Ali bekerja di Singapura dan menerima gaji SGD5,000 sebulan. Dia memindahkan gajinya ke akaun bank Malaysia. Pemindahan wang itu sahaja tidak bermaksud gajinya automatik dikenakan cukai di Malaysia. Ali lazimnya perlu membayar cukai pendapatan di Singapura kerana dia bekerja secara fizikal di sana.

Sebaliknya, Ali turut menjalankan perniagaan menjual barang melalui eBay. Jika perniagaan itu diuruskan dari Malaysia, keuntungan perniagaan tersebut perlu dinilai berdasarkan peraturan cukai Malaysia dan mungkin perlu dilaporkan dalam e-Filing.

Dah hantar e-Filing tetapi baru sedar ada kesilapan?

Jangan terus panik. Tetapi jangan biarkan kesilapan itu tanpa tindakan.

Langkah pertama ialah kenal pasti jenis kesilapan:

  • Terlupa tuntut pelepasan atau rebat: Semak sama ada pembetulan boleh dibuat melalui saluran pindaan yang dibenarkan.
  • Pendapatan terkurang lapor: Semak kaedah pindaan yang sesuai, termasuk Borang Nyata Terpinda jika memenuhi syarat.
  • Salah pilih ruangan atau maklumat peribadi: Semak dengan HASiL sama ada perlu meminda borang atau mengemas kini maklumat sahaja.
  • Salah maklumat akaun bank: Hubungi HASiL untuk mendapatkan panduan mengemas kini maklumat bayaran balik.

Kaedah pembetulan bergantung pada jenis borang, tahun taksiran, tempoh pindaan dan keadaan kes.

Rujuk panduan rasmi: https://www.hasil.gov.my/individu/pindaan-taksiran/

Kesimpulannya

Mengisi e-Filing bukan sekadar memasukkan angka daripada Borang EA dan menekan butang “Hantar”.

Kita perlu memastikan semua pendapatan yang perlu dilaporkan telah dimasukkan, pelepasan memenuhi syarat dan maklumat peribadi adalah tepat.

Lebih baik semak dua kali sebelum hantar daripada terpaksa membetulkan kesilapan kemudian.

Simpan artikel ini untuk rujukan musim e-Filing dan kongsikan kepada kawan-kawan yang sedang mengisi borang cukai mereka.