Adakah Anak Derhaka Masih Berhak Mewarisi Harta Pusaka Ibu Bapanya?

“Along tak pernah kisah pun pasal arwah abah. Lepas habis belajar terus menetap dan kerja di KL. Sekarang arwah dah takde baru sibuk balik kampung tanya pasal bahagian pusaka dia. Dia masih ada hak ke?”

Mungkin ada sesetengah masyarakat kita yang masih kurang jelas tentang hukum perwarisan harta dalam Islam. Ditambah pula dengan cerita dan drama Melayu yang kadangkala memberikan maklumat dan kenyataan yang salah berkenaan perwarisan harta pusaka.

Jadi mungkin disebabkan itu, ada dari kalangan masyarakat kita yang menyangka hanya anak yang baik dan berbakti kepada orang tuanya saja yang layak menerima harta pusaka mereka.

Hakikatnya tidak, apabila telah dipastikan seorang anak itu memang lahirnya dari pasangan kedua ibubapanya, maka dia mempunyai hak perwarisan harta kedua orang tuanya.

Sekalipun jika dia bukanlah seorang anak yang baik.

Tanpa menafikan dosa menjadi anak derhaka, ia tetap tidak menghalang seseorang itu daripada menerima harta pusaka ibubapanya.

Faktor Yang Menghalang Perwarisan Harta Pusaka

Ada dua kategori yang menjadi sebab terhalangnya seseorang daripada menerima harta pusaka.

1. Disebabkan sesuatu kejadian atau situasi. Boleh dibahagikan kepada tiga faktor:

  • Perhambaan
  • Pembunuhan
  • Perbezaan Agama

2. Disebabkan wujudnya waris lain secara bersama. Bagi kategori ini pula, ia dipecahkan kepada dua iaitu:

  • Sama ada kewujudan waris yang lain akan menghalang waris yang satu lagi secara keseluruhan
  • Kewujudan waris yang lain akan mengurangkan hak pewarisan waris yang satu lagi.

Bagi kategori pertama, ianya mudah difahami. Kerana telah jelas dengan perincian yang dinyatakan. Sistem perhambaan tiada lagi pada zaman ini jadi ia tidak berlaku.

Pembunuh yang membunuh ibu atau bapanya tidak akan mewarisi harta pusaka mereka. Begitu juga dengan perbezaan agama.

Jika si anak beragam Islam, tetapi ibu bapanya tidak, maka anak tidak akan mewarisi harta mereka dan mereka juga tidak mewarisi harta si anak.

Apa yang mungkin rumit dan sukar difahami oleh orang awam kebanyakan adalah kategori kedua yang menjadi penghalang perwarisan harta.

Contoh mudah adalah, apabila si mati meninggalkan anak lelaki atau bapa; maka adik-beradik si mati terhalang dari menerima pusaka secara keseluruhan. Adik beradik si mati langsung tidak akan terima apa-apa harta pusaka si mati.

Contoh bagi kewujudan waris lain akan mengurangkan hak pewarisan waris yang satu lagi ialah apabila si mati mempunyai anak, isteri si mati menerima 1/8 bahagian pusaka kerana kewujudan anak si mati telah mengurangkan hak bagi isteri.

Jika si mati tiada anak, hak isteri adalah lebih banyak iaitu 1/4 bahagian.

Jadi bahagian faraid isteri bergantung kepada ada atau tidak anak bersama suami.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, seorang konsultan di sebuah firma runding perancangan harta dan urus pusaka. Beliau mengendalikan laman web fakhrurradzi.com. Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi beliau di sini.

Iklan

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Berjimat Bukan Kedekut

Bila mana kita hendak mengamalkan sikap berjimat-cermat, pasti ada saja mulut-mulut yang bersuara, “kau ni kedekut lah”, “kau ni jimat melampau lah”, “kau ni haji bakhil tahi hidung masin lah”. Memang ramai yang akan dapat kata-kata sedemikian.

Kadang-kadang, kita bukanlah kedekut, tapi sedang berjimat-cermat. Dan kalau kita perhalusi orang yang kedekut, mereka ini sebenarnya memilki sifat berjimat-cermat yang tinggi.

Malangnya, masih ramai yang memandang orang yang kedekut ini daripada sudut negatif. Apa kata kita cuba lihat daripada sudut positif pula.

Lihat aset yang mereka berjaya miliki hasil daripada sifat berjimat-cermat yang mungkin kelihatan melampau itu.

Berikut merupakan 3 perkara yang kita akan perolehi sekiranya kita mengamalkan sikap berjimat-cermat. 

1. Elak Pembaziran

Sebagai contoh, kita keluar makan tengah hari ketika waktu rehat semasa bekerja di kafe-kafe hipster. Adakah kita merasakan ianya satu penjimatan kerana dapat makan tengah hari di kafe hipster yang menelan kos tinggi hanya semata-mata untuk mengisi perut yang sedang lapar ketika itu?

Sedangkan, boleh saja tapau makanan di kedai makan biasa dengan harga yang jauh lebih berpatutan. Tujuannya tetap sama adalah untuk mengisi perut dan nak bagi kita kenyang.

Jika kita buat perbandingan kos makan tengah hari saja selama tempoh sebulan, pastinya kita dapat berjimat lebih pada bulan tersebut. Jangan mengejar gaya hidup sedangkan pendapatan bulanan hanya sekadar cukup-cukup.

Namun, ia bukan bermakna kita tidak boleh langsung untuk memanjakan diri dengan makan di kafe-kafe mewah. Sebagai reward kepada diri sendiri, tidak salah sekiranya sebulan sekali kita makan di tempat-tempat seperti itu.

2. Kikis Sikap Boros

Pantang nampak shopping mall, pantang nampak diskaun, pantang nampak jualan murah, pasti kita juga tidak ketinggalan untuk turut serta melibatkan diri dengan membeli.

Sebaliknya orang yang mengamalkan sikap berjimat-cermat ini, pastinya akan berfikir 2-3 kali sebelum berbelanja. 

Ada yang asyik beli kasut baru, baju baru, handbag baru, tudung baru. Lepas sebulah dua, barang yang dibeli itu hanya dibiarkan sebagai perhiasan dan bukan untuk digunakan sangat. Hendak dipakai pun sayang.

Tanpa kita sedari, sikap boros akan menebal dalam diri jika tidak dibendung. Ianya perlu dikawal agar tidak memudaratkan diri sendiri.

Jika kita telah memiliki handbag yang selesa dipakai kemana-mana, ianya sudah memadai. Mengapa perlu beli handbag setiap bulan ?

Harus diingat, gaya dan penampilan itu bukan bergantung kepada berapa banyak handbag yang kita ada. Tetapi ianya bergantung kepada diri kita sendiri untuk menggayakan handbad yang ada agar kelihatan anggun dan bergaya.

3. Meningkatkan Simpanan

Jika kita perasan, ramai di kalangan mereka yang berjimat-cermat ini mempunyai dana simpanan yang banyak. Memang kita melihat mereka seolah-olah tidak berduit disebabkan sikap mereka itu.

Namun, jangan tersilap pandang kerana mereka ini lebih bijak dalam mengatur simpanan mereka. Simpanan hasil daripada sikap berjimat-cermat inilah yang akan digunakan sebagai pelaburan untuk masa depan.

Pastinya mereka yang berjjimat-cermat ini mempunyai pandangan yang jauh dan telah pun membuat persediaan mereka untuk berhadapan dengan kehidupan lagi 10 tahun akan datang.

Kesimpulannya, ketepikan mulut–mulut jahat yang ingin menjatuhkan kita. Yang mengata kita ini haji bakhil, kedekut dan seumpamanya.

Jika kita tidak berjimat dari sekarang dan akhirnya mempunyai masalah kewangan di kemudian hari, adakah ‘kawan-kawan’ kita ini akan datang membantu?

Seeloknya kita cari kawan lain yang boleh memberikan semangat dan kata-kata positif.

Iklan

Hutang Menurut Perspektif Islam Dan 4 Tips Untuk Melangsaikannya

Kebelakangan ini, isu hutang telah menjadi isu dominan di media massa.

Tidak kira sama ada pinjaman melalui institusi kewangan komersial atau agensi pinjaman kerajaan seperti MARA dan PTPTN, ianya mendapat liputan yang sangat meluas di negara ini. Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2016 yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia melaporkan individu berpendapatan RM3,500 dan ke bawah adalah berisiko untuk tidak membayar hutang jika mengalami perbelanjaan di luar jangka seperti menanggung kos perubatan, kereta rosak, atau kos pendidikan anak di pusat pengajian tinggi.

Selain daripada itu, 53% daripada peminjam kumpulan ini akan terkesan terhadap keupayaan membayar balik sekiranya terdapat perubahan pada kadar faedah disebabkan pendapatan yang rendah. Mengikut laporan ini juga, kebanyakan penghutang tinggal di pusat guna utama iaitu Selangor, Johor, Kuala Lumpur, dan Pulau Pinang. Kebanyakan pinjaman dibuat untuk membiayai pembelian kediaman, diikuti pembelian sewa beli kereta, dan seterusnya untuk kegunaan peribadi.

Sementara itu, Laporan Perkembangan Risiko dan Penilaian Kestabilan Kewangan 2017, golongan berpendapatan bulanan RM5,000 dan ke bawah mempunyai bahagian peminjaman yang besar untuk pembiayaan peribadi dan kenderaan bermotor.

Dari perspektif Islam, hutang adalah diharuskan dengan syarat penghutang perlu membayar balik hutang tersebut.

Surah al-Baqarah ayat 282 dengan jelas menyatakan sebarang transaksi muamalat yang tidak menggunakan tunai perlu dicatat dengan terperinci. Ini menunjukkan betapa perlunya hutang itu dibayar. Orang yang berhutang tetapi tidak membayarnya adalah berdosa kerana mereka telah merampas hak milik orang lain.

Hutang adalah suatu akad atau janji, wajib untuk membuat pembayaran dan haram jika tidak menunaikannya. Hutang adalah harus untuk tujuan yang baik tetapi penghutang perlu berniat untuk melunaskannya. Sedangkan Allah pula akan membantu jika kita berniat baik. Umat Islam juga ditegah terlibat dengan hutang yang berunsurkan riba’.

Hadis Riwayat al-Bukhari 2/83 menjelaskan Rasulullah SAW bersabda ‘Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya’.

Riwayat ini dengan jelas menyatakan betapa pentingnya hutang itu dibayar oleh penghutang. Oleh itu, kita perlulah berpada-pada dalam berhutang iaitu untuk keperluan sahaja bukan hanya untuk memenuhi nafsu dan menunjuk-nunjuk. Hutang yang tidak dibayar juga akan menyebabkan hilangnya keberkatan di dalam rezeki yang diperolehi. Rezeki yang tidak berkat menyebabkan rohani dan mental menjadi sempit, ada sebahagiannya tidak sempit dari harta tetapi dari segi ketenangan jiwa.

Sebagai umat Islam, kita digalakkan membaca surah Al-Imran ayat 26 dan 27 ketika dibelenggu hutang. Inshaallah rezeki akan datang dengan bantuan Allah. Walaubagaimanapun sebagai manusia, kita perlulah berusaha dan tidak mengharapkan doa semata-mata.

Di antara tips untuk melangsaikan hutang adalah seperti berikut:

1. Apabila mendapat gaji, langsaikan hutang dahulu sebelum membuat perbelanjaan.

2. Gunakan transaksi tunai dalam pembelian, elakkan penggunaan kad kredit.

3. Sebagai umat Islam, jauhi pinjaman ah long dan perbankan konvensional.

Pinjaman tersebut terlibat dengan riba’ dan mengenakan kadar faedah yang tinggi. Selain itu, denda lewat bayar adalah bersifat berganda (compounding) yang sangat membebankan. Pilihlah pembiayaan perbankan Islam yang mengamalkan transaksi patuh shariah berasaskan kontrak Tawarruq, Mudharabah, dan lain-lain lagi. Jika berlaku kelewatan pembayaran, Ta’widh akan dikenakan tetapi tidak bersifat berganda (non compounding) dan wang tersebut akan disalurkan untuk tujuan amal (tidak dikira sebagai pendapatan kepada bank).

4. Jika hutang lama belum selesai, jangan buat hutang baru.

Akhir kalam, kedua-dua pihak iaitu penghutang dan pemiutang perlu bertanggungjawab dalam urusan hutang. Penghutang wajib membayar balik apa yang dipinjam, manakala pemiutang dilarang untuk menindas penghutang.

Wallahu’alam bisshawab.

Ditulis oleh Tuan Azharul Adha Bin Dzulkarnain. Beliau berkelulusan Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam daripada UiTM. Penulisan adalah berdasarkan pengalaman, pengetahuan, dan pembacaan penulis secara peribadi.

This image has an empty alt attribute; its file name is suri-rumah-bangkit1.jpg

Anda Berkeinginan Nak Selesaikan Hutang?

Semua orang nak sangat bayar dan selesaikan hutang.

Tapi setiap kali nak bayar, pasti akan ada halangan yang tak dijangka maka pembayaran hutang juga tertangguh.

Hutang yang semakin bertambah dan tidak dapat dibayar akan buat kita semakin stress akibat tekanan yang dihadapi.

Jadi bagaimana cara nak bayar hutang yang ada?

Anda boleh belajar dari kisah seorang suri rumah ni melangsaikan hutangnya sebanyak setengah juta yang ditanggungnya.

Dapatkan eBook Suri Rumah Bangkit Hutang ½ Juta Selesai hari ini.

Iklan

Didikan Kewangan Untuk Anak Sejak Dari Kecil

Zaman sekarang ibu bapa lebih senang hulurkan tablet (layan YouTube) dekat anak, berbanding turunkan ilmu-ilmu berguna.

Sebenarnya lebih awal kita mula mengajar anak kita tentang wang adalah lebih baik.

Dari laman web thesimpledollar.com, dunia akan datang orang ramai akan lebih banyak menggunakan aplikasi dan pembayaran secara cashless; jadi tanggungjawab ibu bapa masa untuk mempersiapkan anak-anak mereka dengan teknologi ini.

Ada 5 peringkat umur dan cara yang boleh kita tunjukkan kepada mereka iaitu:

1. Berkenalan Dengan Wang (Umur 3-5 tahun)

Sebenarnya pada usia ini kanak-kanak sudah patut tahu apa itu wang. Mereka perlu tahu wang itu ada nilai dan boleh digunakan untuk beli barang.

Mereka teruja dapat kumpul duit raya sebanyaknya. Siap buat kira-kira lagi dapat banyak berapa setiap hari.

Oleh itu, ibu bapa perlu beri pendedahan bagaimana untuk dapatkan, belanja, simpan dan memberi orang lain wang.

2. Bagaimana Orang Belanja (Umur 6-10 tahun)

Bagi usia ini pula, boleh perkenalkan barangan vs servis, keperluan vs kemahuan, sasaran jangka masa pendek vs sasaran jangka masa panjang. Apabila mereka dapat duit saku ke sekolah, boleh cakap mengenai perkara ini.

Mungkin boleh tetapkan sasaran seperti jika peperiksaan ahir tahun dapat membaca, menulis dan mengira dengan baik, akan diberikan ganjaran.

Wang simpanan siapa paling banyak terkumpul setiap 6 bulan juga boleh diberikan dapat ganjaran dalam bentuk percutian atau hadiah.

3. Perkenalkan Akibat (Umur 11-13 tahun)

Pada usia ketika mereka baru masuk ke alam awal remaja, mereka sudah faham penggunaan kad kredit dan debit. Terangkan kebaikan dan keburukan pembayaran secara cashless dan e-wallet.

Budak sebenarnya memerhati bagaimana cara kita buat pembayaran. Terangkan juga sekiranya kita buat pelaburan ada compounding interest boleh dapat dividen;, jika kita buat loan, ada interest yang dikenakan; dan beritahu cara untuk mengenalpasti scammers.

4. Perkenalkan Cara Membina Kekayaan (Umur 13-15 tahun)

Pada usia ini, kebanyakan daripada mereka sudah tahu membezakan di antara yang baik dan yang buruk.

Ketika ini perlu diberitahu apa fungsi pekerjaan, apa jenis pekerjaan yang boleh menjana pendapatan, bagaimana sistem perbankan berfungsi, dan bagaimana untuk melabur ke dalam unit trust atau saham.

5. Persiapkan Diri Untuk Dunia Realiti (15-18 tahun)

Ianya merupakan usia remaja matang dan mempelajari banyak benda baru. Ketika ini boleh kenal pasti potensi dan kecenderungan mereka dalam sesuatu bidang.

Usah paksa mereka ambil bidang yang kita nak, sebab yang hidup dan bekerja nanti adalah mereka. Kita hanya petunjuk jalan dan hala tuju berdasarkan minat mereka tadi.

Ketika ini ada yang bekerja sambilan selepas habis SPM dan dapat duit gaji atau komisyen yang banyak berbanding apa yang ibu bapa berikan. Kita boleh beri pendedahan tentang hutang baik, hutang jahat, skor kredit dan cukai.

Semoga kita sama-sama lebih terbuka untuk mendidik generasi baru yang lebih berilmu tentang kewangan sejak dari kecil lagi.

Artikel ditulis oleh Puan Sarah Hata. Penulis merupakan seorang konsultan kewangan unit amanah dan takaful di sebuah institusi kewangan di Malaysia dan juga perunding imej. Mempunyai pengalaman menulis, memberi ceramah di beberapa syarikat seluruh Malaysia dan juga klien individu.

Iklan

6 Cara Nak Ubah Pemikiran Kewangan Lapuk

Mengubah pemikiran kewangan sedia ada bukanlah semudah seperti yang disangka. Apakah antara langkah yang boleh diambil untuk keluar dari mentaliti kewangan yang lama?

Apabila berbicara tentang pengurusan kewangan peribadi, perkara yang paling utama yang mampu menentukan sama ada pelan yang anda rancang mampu dilaksanakan adalah status pemikiran kewangan anda. Mungkin anda mahu bebas dari hutang, ingin menyimpan duit, melabur, ataupun hendak mencapai nilai simpanan tujuh angka menjelang persaraan.

Namun, anda masih tidak mampu mencapai status kewangan yang ideal. Ini adalah kerana anda masih kekal di dalam mentaliti kewangan yang lama.

Ya, maklumat tentang pengurusan kewangan kini adalah semudah carian di laman Google sahaja dan anda akan menemui  beribu artikel atau maklumat tentang kaedah untuk mencapai matlamat kewangan diri.

Tetapi, mencapai matlamat kewangan bukan semata-mata hanya pengetahuan sahaja tetapi ia adalah bagaimana anda menjadikannya satu kenyataan. Tidak hairanlah jika percubaan untuk menyimpan atau membuat pelaburan ada kalanya tidak menjadi atau tidak mampu mendatangkan hasil seperti yang diinginkan.

Mengubah set pemikiran anda merupakan satu usaha yang berterusan dan beberapa kaedah boleh dilakukan untuk merealisasikannya.

1. Tanamkan matlamat kewangan yang jelas.

Laluan untuk mencapai matlamat kewangan perlu bermula dengan kesedaran bahawa setiap keputusan mempunyai kesan dan jika usaha dibuat secara tetap, ia adalah tidak mustahil bagi mencapai matlamat yang diingini. Ia boleh dilakukan sebelum membuat keputusan pelaburan yang besar atau memulakan langkah pertama untuk menyimpan bagi tabung simpanan kecemasan.

Misalnya, jika anda mahu menyimpan untuk membeli rumah pertama, kenal pasti kemampuan anda setiap bulan untuk menyimpan dan berapa lama jangka masa yang diperlukan untuk mengumpulnya. Dengan mengenal pasti matlamat yang diigini, lebih mudah untuk anda merangka langkah bagi mencapainya.

2. Jangan sesal dengan kesalahan kewangan lampau

Sebagai manusia, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan membuat percaturan yang salah dalam keputusan kewangan.

Memaafkan diri sendiri adalah cara untuk memastikan kita tidak putus ada dan kurang motivasi akibat dihantui oleh perasaan bersalah tersebut. Ia juga mampu memupuk tabiat yang lebih baik terhadap pengurusan kewangan dengan mengenal pasti di mana kesalahan anda dan mengambil pengajaran daripadanya.

Kita boleh belajar untuk tidak mengulanginya dan mengenal pasti apakah langkah-langkah seterusnya yang boleh dibuat untuk mengelakkannya. Di sinilah penasihat kewangan memainkan peranan yang amat penting untuk memandu anda kepada perancangan kewangan peribadi yang lebih baik dan holistik.

3. Rangka dan kekalkan tabiat kewangan yang baik

Apabila sudah mempunyai matlamat, ia adalah masa yang sesuai untuk mencipta tabiat kewangan yang baik dan berterusan. Fahami di mana wang anda pergi dan pastikan anda boleh mengenepikan sebahagian daripadanya untuk simpanan. Mulakan dengan tindakan yang kecil, seperti simpan RM1 sehari di dalam tabung yang sukar untuk dipecahkan. Ia mudah dan tidak membebankan.

Apabila sudah selesa dan boleh melakukannya dengan konsisten, cuba naikkan jumlah simpanan tersebut dan dengan cara ini, anda mampu menyimpan dengan lebih banyak tanpa tergesa-gesa.

4. Hadapi ketakutan dan ketidakselesaan

Takut dan tidak selesa boleh berlaku apabila anda perlu menghadapi perkara yang tidak disenangi. Contohnya adalah apabila anda melihat semula perancangan kewangan anda.  Ia mampu menzahirkan perasaan tidak yakin dan mampu menghalang anda untuk mencapai matlamat yang diingini.

Apakah yang akan berlaku sekiranya tindakan tertentu diambil? Adakah anda mampu untuk  menanggung impak daripada tindakan anda?

Salah satu cara yang berkesan untuk menghadapi ketakutan adalah mengenal pasti semula apakah sebab atau matlamat yang anda mahu capai dan lihat segala kejayaan samada kecil atau besar. Jika anda boleh lepasi ketakutan tersebut, tidak mustahil untuk mencapai apa yang anda inginkan.

Kenal pasti apakah ketakutan itu dan rangka satu tindakan yang boleh mengatasinya. Jika anda takut dengan komitmen hutang yang banyak, pastikan anda buat jadual untuk membayar hutang dengan lebih tetap dan perbaiki aliran tunai semasa.

5. Hargai pencapaian anda

Sentiasa memastikan bahawa setiap kejayaan dan langkah yang dibuat untuk membaiki tahap kewangan anda adalah perkara yang perlu diraikan. Walaupun ia mungkin kecil tetapi setiap tindakan yang besar bermula dengan langkah yang kecil.

Terapkan dalam diri anda bahawa setiap kejayaan itu adalah penting dan ia boleh menjadi pembakar semangat untuk meneruskan usaha mencapai matlamat kewangan yang dinginkan.

Antara langkah yang baik adalah tulis kejayaan kewangan anda dalam jurnal sebagai rujukan untuk masa depan.

6. Dapatkan nasihat daripada pakar

Ia adalah normal jika anda berasa ragu-ragu dan juga kurang pasti akan keputusan kewangan yang mahu diambil. Anda juga takut akan terpengaruh dengan dakwaan sesetengah pihak untuk membuat keputusan pelaburan atau pinjaman yang mungkin akan memberikan kesan yang besar pada masa depan.

Oleh sebab itu, amat penting untuk anda mendapatkan panduan dan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen yang boleh memacu anda ke arah pelan kewangan yang lebih tersusun dan menyeluruh. Melalui proses pengumpulan data ataupun ‘fact finding’, mereka akan mengenal pasti kedudukan kewangan terkini dan boleh merangka pelan yang lebih baik dan mampu memberikan pulangan yang kurang risiko dan lebih bersifat jangka panjang.

Kesimpulan

Mengubah pemikiran dan membuat tindakan baru bukanlah semudah seperti yang disangka terutamanya apabila ia melibatkan perancangan kewangan. Anda mungkin tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang kewangan dan berasa kurang jelas akan tindakan selanjutnya. Anda juga risau bahawa tindakan anda hari ini akan menjejaskan masa depan anda.

Oleh sebab itu, adalah amat penting sekali untuk memastikan maklumat dan ilmu yang anda peroleh tentang pengurusan kewangan adalah daripada sumber yang sahih seperti penasihat kewangan berlesen. Elakkan membuat keputusan kewangan dengan terburu-buru dan banyakkan membuat kajian dan bacaan berkaitan bagi menjadi pengguna yang lebih bijak dan berhemah.

Apakah matlamat anda untuk memastikan set pemikiran semasa pengurusan kewangan?

Ditulis oleh Nurul Khairiah Mohamed Yusof, Eksekutif Pemasaran dan Jenama, Wealth Vantage Advisory Sdn Bhd

WEALTH VANTAGE ADVISORY merupakan Syarikat Penasihat Kewangan Yang Berlesen dari Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan FIMM menyediakan khidmat nasihat kewangan holistik yang menyeluruh meliputi Pengurusan Tunai, Pengurusan Hutang, Perancangan Pelaburan, Perancangan Persaraan termasuk Wasiat dan Perlindungan. Disamping menjalankan Latihan Korporat untuk Syarikat, Institusi dan Organisasi.

Wealth Vantage Advisory
FB/ LinkedIn/ Instagram/ Twitter: @wealthvantagemy
Laman Web www.wealthvantage.com.my
Telefon: +603-9202 5666

Iklan

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!