Adakah Pampasan RM1.17 Juta Kepada Waris Mangsa Tragedi Kren Tumbang Di Mekah Termasuk Dalam Harta Pusaka?

Jika kita masih ingat pada musim haji tahun 2015, telah berlaku satu insiden yang sangat menyayat hati bagi umat Islam seluruh dunia. Sebuah kren pembinaan telah tumbang ke dalam Masjidil Haram dan mengorbankan lebih daripada 100 jemaah haji dan mencederakan lebih daripada 230 orang.

Di antara yang terkorban termasuklah tujuh orang Jemaah Haji daripada Malaysia. Berikutan daripada bencana itu, Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al Saud telah menjanjikan untuk memberi pampasan kepada semua waris Jemaah haji yang terkorban dalam insiden itu sebanyak 1 juta Saudi Riyal (anggaran RM1.17 juta).

Pada 14 Januari yang lalu, Kerajaan Arab Saudi melalui Duta Arab Saudi ke Malaysia Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan telah menyampaikan pampasan tersebut kepada waris Jemaah haji yang telah terkorban.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang turut menyaksikan upacara tersebut, wang pampasan tersebut akan diuruskan oleh Amanah Raya Berhad bagi melancarkan urusan pembahagian kepada waris.

Adakah pampasan RM1.17 juta ini termasuk dalam harta pusaka Jemaah haji yang telah meninggal dunia?

Mengikut definisi daripada Kitab Fiqh Manhaji Mazhab Syafie, harta pusaka ialah setiap yang ditinggalkan oleh si mati selepas kematiannya, daripada kategori harta mudah alih seperti emas, perak, semua bentuk wang, dan pekakas-pekakas, atau pun daripada kategori harta yang tidak boleh dialih seperti tanah-tanah, bangunan-bangunan dan selainnya.

Secara kesimpulannya, segala bentuk harta yang dimiliki atau yang diusahakan oleh si mati semasa hidupnya akan menjadi harta pusaka selepas kematiannya. Maka waris perlu menguruskan harta pusaka tersebut mengikut aturan syariat dan undang-undang di Malaysia, iaitu Akta Pentadbiran dan Probet 1959.

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa bentuk harta yang tidak termasuk dalam bahagian harta pusaka si mati. Dan ini yang selalu menjadi kesilapan masyarakat awam kita.

Contoh yang paling mudah adalah duit sumbangan orang ramai semasa *majlis tahlil arwah; ada sebahagian waris yang menganggap duit itu adalah harta pusaka arwah dan perlu dibahagikan kepada semua waris mengikut faraid. Ini adalah kefahaman yang salah sama sekali.

Begitu juga dengan wang pencen arwah. Ia bukanlah harta pusaka, tetapi ianya adalah hadiah daripada kerajaan ke atas perkhidmatan arwah semasa hayatnya dan tidak perlu dibahagikan kepada semua waris mengikut pembahagian faraid.

Secara ringkasnya, di antara ‘peninggalan’ arwah yang tidak termasuk dalam harta pusaka adalah pampasan kematian, khairat kematian, wang pencen, wang Perkeso, sedekah orang ramai, harta yang telah dihibahkan kepada orang lain dan pampasan takaful.

Ini adalah sebagaimana yang difatwakan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

*Nota kaki – Menurut Mesyuarat Panel Kajian Syariah Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, majlis tahlil arwah adalah merupakan perkara khilafiah dan menjadi tanggungjawab pihak jabatan agama Islam negeri untuk memberi penerangan secara ilmiah kepada masyarakat. Walaubagaimanapun, bagi meraikan ‘uruf dan adat setempat yang telah diamalkan oleh masyarakat Melayu sejak sekian lama, maka amalan majlis tahlil arwah adalah harus selagimana tidak mengandungi perkara yang bertentangan dengan syariat Islam dan dilaksanakan dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, seorang perunding harta pusaka di bawah Syarikat Pusaka KUDS Sdn Bhd. Selain aktif menulis perkongsian mengenai urus pusaka, beliau turut memberikan ceramah urus pusaka di masjid dan surau di bahagian utara Malaysia.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!