Apa Akan Terjadi Kepada Harta Pusaka Orang Yang Bujang?

Soalan:

Abang sulung saya baru meninggal dunia. Walaubagaimanapun, arwah tidak pernah berkahwin semasa hayatnya kerana terlalu sibuk menjaga kedua ibu bapa kami yang sakit serta perlu menyara kami tiga beradik.

Arwah mempunyai simpanan wang tunai di Tabung Haji dan sebuah kereta. Bagaimanakan pengurusan harta pusaka arwah.

Macam mana nak kira bahagian faraid?

Untuk makluman, ibu bapa kami masih hidup. Adakah kami adik beradik mempunyai hak dalam perwarisan pusaka arwah?

Jawapan:

Apabila seseorang Muslim meninggal dunia, segala harta yang dimilikinya semasa hidup akan menjadi harta pusaka. Harta pusaka itu perlu diuruskan mengikut hukum yang telah ditetapkan.

Tidak kira ketika meninggal dunia si mati pernah berkeluarga ataupun tidak, harta yang ditinggalkan tetap perlu diuruskan mengikut aturan syariat.

Dalam kes ini, walaupun si mati tidak pernah berkahwin; tidak meninggalkan zuriat, tetapi beliau masih mempunyai kedua ibubapa.

Maka kedua-dua ibubapa akan menerima keseluruhan harta pusaka anak mereka.

Pembahagian faraidnya adalah seperti berikut.

  • 1/3 untuk ibu
  • 2/3 untuk bapa

Adik-adik arwah tidak mendapat sebarang bahagian daripada harta pusaka arwah kerana telah terdinding (mahjub) oleh bapa mereka.

Adik-adik arwah hanya akan mendapat bahagian daripada harta pusaka si mati jika bapa mereka juga telah meninggal dunia.

Turutan pembahagian harta pusaka bagi orang yang bujang adalah seperti berikut.

1. Diwarisi oleh ibu dan bapanya yang masih hidup.

2. Jika bapa dan datuk telah meninggal dunia, harta pusaka diwarisi oleh ibu dan adik beradiknya (lelaki dan perempuan).

3. Jika kedua ibubapa telah meninggal dunia, harta pusaka diwarisi oleh adik beradiknya (lelaki dan perempuan).

4. Jika si mati tidak meninggalkan waris langsung maka harta pusakanya akan jatuh kepada Baitulmal.

Kesimpulannya, sekalipun orang yang meninggal dunia itu tidak pernah berkeluarga, harta dan asset yang dimiliki si mati semasa hayatnya tetap perlu diuruskan mengikut hukum syariat Islam.

Waris perlu mengambil tanggungjawab untuk melunaskan segala hutang arwah menggunakan harta yang ditinggalkan dan kemudian mengagihkan bakinya kepada waris lain mengikut pembahagian faraid.

Walaubagaimanapun, bagi memastikan manfaat harta pusaka individu bujang itu sampai kepada orang yang dikehendaki, lebih baik si bujang tersebut merancang hartanya semasa masih hidup lagi agar waris lebih mudah menguruskannya selepas kematiannya.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, seorang konsultan di sebuah firma runding perancangan harta dan urus pusaka. Beliau mengendalikan laman web fakhrurradzi.com. Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi beliau di sini.

Iklan

Iklan

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!