Bagaimana Membezakan Antara Keperluan Dan Kehendak?

*Gambar sekadar hiasan.

Salah satu cara untuk menguruskan kewangan dengan cekap ialah dengan mengenal pasti perbezaan di antara keperluan dan kehendak. Yang menjadi masalah utama ramai orang pada masa ini, adalah apabila perbelanjaan melebihi pendapatan dan seringkali berbelanja melebihi kemampuan.

Sebab itu saban tahun kita dapat lihat jumlah belia muflis semakin meningkat.

We buy things we don’t need with money we don’t have to impress people we don’t like. – Dave Ramsay

Ilmu ni bukan sesuatu yang baru dan bukan juga sesuatu yang susah untuk difahami. Tapi mungkin sukar untuk diamalkan. Sebab tu ramai yang dah kering poket tiap-tiap tengah bulan.

Jom kita baca kupasan menarik Dr Ahmad Samhan Awang mengenai keperluan dan kehendak.

Bagaimana Nak Bezakan Keperluan Dan Kehendak?

Keperluan (needs) adalah perbelanjaan yang korang wajib ada supaya dapat menjalankan kehidupan setiap hari dan bekerja. Boleh kata juga, ini adalah perbelanjaan berulang yang selalunya, tak gunakan sejumlah besar gaji bulanan korang – ansuran rumah, sewa rumah, atau bayar kereta.

Bawah ni adalah senarai pendek perbelanjaan dalam kategori keperluan :
• Rumah
• Kenderaan
• Takaful
• Petrol
• Bil utiliti
• Makanan

Kehendak pula, adalah perbelanjaan yang bantu jadikan hidup korang lebih selesa. Benda-benda yang korang beli untuk puaskan hati. Korang boleh hidup macam biasa kalau benda tu takde. Tapi, korang boleh nikmati hidup yang baik kalau ada.

Sebagai contoh, makanan adalah keperluan tapi kalau hari-hari nak makan di Me’nate dan N97 itu KEHENDAK.

Contoh soalan yang mereka gunakan adalah seperti :

“ADAKAH ORANG ITU BOLEH HIDUP, TANPA BARANG ITU?”

Kalau sesuatu benda tu tak diperlukan dan tak penting, ia adalah kehendak.

3 Cara Susun Keperluan Dan Kehendak

Mulakan dengan senaraikan semua barang yang korang beli dan bayar setiap. Ini termasuk makanan, barang mandian, hingga ke bayar parking.
Bahagikan kepada 2 bahagian. Satu ‘keperluan,’ dan satu lagi ‘kehendak.’ Jumlahkan semua, dan selaraskan mengikut perkara yang lebih utama.

Kalau ikut NerdWallet, mereka akan saran gunakan bajet 50/30/20 :
* 50% untuk belanja ’keperluan,’
* 30% untuk belanja ‘kehendak,’ dan
* 20% untuk ‘simpanan’ dan bayar hutang.

Katakan pula, perbelanjaan semasa korang tak sepadan dengan senarai yang korang buat. Macam mana nak buat?

Korang boleh ubah dengan:
1. Tengok balik senarai yang anda buat.
Kaji balik betul-betul senarai yang korang buat tadi. Mungkin ada benda yang korang terlepas pandang, yang berada dalam kategori ‘keperluan,’ tapi sebenarnya ‘kehendak.’

2. Rangka balik belanja ‘keperluan’
Walaupun korang perlu bayar sesuatu perkara (sebagai contoh,bil handphone), korang boleh pilih pakej lebih rendah dan meminimumkan penggunaannya.

3. Kurangkan belanja KEHENDAK

Ini paling senang, tapi tak semua orang sanggup buat. Tak bermakna korang tak boleh berbelanja langsung. Cuma, kena kurangkan. Kalau nak beli barang yang mahal sikit, kumpul duit.
Boleh je beli barang yang korang nak, janji bajet korang tak koyak. Apa-apa pun, keperluan dan kehendak antara setiap orang tak sama.

Kadang-kadang kita rasa nak sangat beli ‘benda’ tu sampai rasa itu adalah keperluan,selagi tak dapat selagi tu tak tenang.Nak lagi benda tu baru release.Memang mengoda.

Tapi,korang cuba buat-buat lupa, jangan fikir sangat. Lama-lama ‘benda’ tu dah jadi kehendak. Harga pun jatuh.

Kredit: Dr Ahmad Samhan Awang

Kawal Nafsu Sekarang, Hasilnya Pasti Datang

Apabila kita berjaya mengubah mindset dan tindakan kita, mungkin kita tak dapat lihat hasilnya serta-merta. Dengan melakukannya secara konsisten, percayalah bahawa segala yang kita usahakan selama ini pasti berbaloi.

Untuk lebih inspirasi, baca juga perkongsian daripada Tuan Norizan bin Sharif berkenaan Cara Nak Bersara Awal Di Usia 54 Tahun dan Kurangkan Stress – 5 Tips Hidup Tanpa Ropol.

Previous ArticleNext Article
An introverted chocoholic whom happened to be involved in content curation and stock trading

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

10 Kesilapan Isi e-Filing Yang Ramai Orang Selalu Buat

Setiap kali musim e-Filing, ramai antara kita akan buka MyTax, masukkan maklumat gaji, tuntut pelepasan cukai dan tekan butang “Hantar”.

Nampak mudah. Tapi betul ke semua maklumat dah diisi dengan tepat?

Ada yang tersalah pilih borang. Ada yang terlupa masukkan bonus. Ada juga yang tak lapor pendapatan sewa sebab ingat dah ada potongan PCB, jadi tak perlu risau lagi.

Kesilapan macam ini mungkin nampak kecil, tetapi boleh menyebabkan kita terlepas pelepasan cukai, lambat menerima bayaran balik atau terpaksa membayar cukai tambahan.

Jom semak 10 kesilapan yang patut kita elakkan.

1. ❌ Tersalah pilih Borang B atau Borang BE

Ini antara perkara asas yang ramai pembayar cukai perlu faham.

Borang BE digunakan oleh individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan, manakala Borang B digunakan oleh individu pemastautin yang menjalankan perniagaan.

Contohnya, Ali bekerja makan gaji dengan pendapatan tahunan RM72,000. Pada masa yang sama, dia menjalankan perniagaan menjual pakaian secara dalam talian (TikTok Shop, Shopee) dan memperoleh keuntungan bersih RM20,000 setahun.

Ali tidak boleh memilih Borang BE semata-mata kerana dia juga mempunyai pekerjaan tetap. Dia perlu menggunakan borang yang sesuai dengan keadaan pendapatannya.

Jika tersalah menghantar Borang BE, maklumat pendapatan perniagaannya mungkin tidak dilaporkan melalui borang yang sepatutnya.

Kesannya, Ali mungkin perlu mendapatkan panduan HASiL untuk membetulkan pelaporan cukainya.

Penting juga untuk diingat bahawa pendapatan sewa atau pendapatan sampingan tidak secara automatik bermaksud seseorang perlu menggunakan Borang B. Penentuan bergantung pada sifat pendapatan dan sama ada individu itu menjalankan perniagaan bagi tujuan cukai.

2. ❌ Tertinggal bonus ketika mengisi pendapatan penggajian

Katakan pendapatan penggajian seseorang sepanjang tahun ialah RM80,000, terdiri daripada:

  • Gaji tahunan: RM72,000
  • Bonus: RM8,000

Tetapi ketika mengisi e-Filing, dia hanya memasukkan RM72,000 dan terlupa memasukkan bonus.

Akibatnya, pendapatan penggajian terkurang lapor sebanyak RM8,000.

Jika tambahan pendapatan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM8,000 × 19% = RM1,520

Jumlah sebenar bergantung pada pendapatan bercukai keseluruhan, pelepasan, rebat dan kadar cukai progresif.

Sebab itu, semak Borang EA atau EC dan pastikan jumlah pendapatan penggajian merangkumi gaji, bonus serta saraan bercukai lain yang berkaitan.

Dah hantar e-Filing? Jangan hantar borang baharu untuk tahun taksiran yang sama. Semak kaedah pindaan yang sesuai dengan HASiL kerana kesilapan ini melibatkan pendapatan terkurang lapor.

3. ❌ Tersalah pilih “Ya” untuk cukai ditanggung oleh majikan

Ada yang keliru antara cukai ditanggung majikan dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB).

Ruangan “Cukai ditanggung oleh majikan” merujuk kepada keadaan majikan menanggung cukai pendapatan pekerja mengikut aturan pekerjaan. Ia bukan sekadar bermaksud majikan memotong PCB daripada gaji.

Bayangkan seorang pekerja sepatutnya menerima bayaran balik RM2,000, tetapi tersalah memilih “Ya” walaupun cukai sebenarnya ditanggung sendiri.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh sementara maklumat disemak.

Isu ini pernah mendapat perhatian pada Mac 2026 apabila HASiL menjelaskan tindakan bagi kes pembayar cukai Tahun Taksiran 2025 yang tersilap memilih ruangan tersebut. Bagi kes yang disahkan, pembayar cukai tidak perlu meminda borang dan bayaran balik akan diproses secara berperingkat.

Jadi, jangan klik secara automatik. Fahami maksud setiap ruangan sebelum menghantar borang.

4. ❌ Tuntut Pelepasan Cukai untuk Perbelanjaan yang Sudah Dibayar oleh Majikan

Ramai tak sedar, bukan semua perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai boleh dituntut begitu sahaja, terutamanya apabila kos tersebut sudah ditanggung oleh majikan.

Contohnya, syarikat menyediakan manfaat perubatan yang menanggung 100% kos rawatan pekerja. Ali menerima rawatan penyakit serius bernilai RM5,000 dan keseluruhan bil dibayar oleh syarikat. Ali kemudian cuba menuntut RM5,000 yang sama sebagai pelepasan cukai perubatan dalam e-Filing.

Ini boleh menjadi kesilapan kerana Ali tidak menanggung sendiri perbelanjaan tersebut.

Apa yang perlu dibuat? Semak syarat khusus bagi setiap kategori pelepasan cukai dan pastikan tuntutan dibuat berdasarkan perbelanjaan yang benar-benar layak dituntut.

Ingat, tuntutan pelepasan cukai bukan sekadar tentang berapa banyak kita berbelanja, tetapi juga sama ada perbelanjaan itu memenuhi syarat yang ditetapkan.

Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius termasuk rawatan dibuat ke atas penyakit seperti sindrom Kurang Daya Ketahanan (AIDS), sindrom Parkinson, barah, penyakit buah pinggang, leukemia dan lain-lain penyakit yang serupa. ‘Lain-lain penyakit yang serupa’ termasuk serangan jantung, pulmonari hypertension, penyakit hati kronik, fulminant viral hepatitis, trauma kepala dengan defisit nurologikal, ketumbuhan otak dan kecacatan kepada pembuluh darah, melepuh dan melecur yang keterlaluan, pemindahan organ utama dan pemotongan kaki dan / atau tangan. Potongan sehingga RM10,000 dibenarkan ke atas amaun yang dibelanjakan untuk rawatan ke atas diri sendiri, pasangan atau anak. Rujuk Nota Penerangan BE

5. ❌ Tuntut pelepasan cukai, tetapi resit tak dapat dicari

Contohnya, seseorang menuntut pelepasan bagi pembelian komputer riba bernilai RM3,000 tetapi tidak dapat mengemukakan bukti pembelian apabila diminta.

Jika tuntutan itu tidak dapat disokong dan akhirnya ditolak, pendapatan bercukainya mungkin meningkat RM3,000.

Pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM3,000 × 19% = RM570

Dia mungkin perlu membayar cukai tambahan RM570, bergantung pada pengiraan cukai sebenar.

Sebab itu, pastikan tuntutan memenuhi syarat dan simpan resit, invois serta dokumen sokongan yang berkaitan.

HASiL secara amnya menetapkan rekod dan dokumen berkaitan cukai perlu disimpan selama tujuh tahun mengikut keperluan undang-undang.

6. ❌ Salah masukkan nombor akaun bank

Katakan seseorang layak menerima bayaran balik cukai sebanyak RM1,800, tetapi tersalah memasukkan nombor akaun bank.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh atau memerlukan pengesahan lanjut.

Duit itu tidak semestinya hilang, tetapi pembayar cukai mungkin perlu menghubungi HASiL untuk menyelesaikan masalah tersebut.

7. ❌ Terlupa memasukkan maklumat anak

Ini juga boleh berlaku kepada ibu bapa yang mempunyai beberapa orang anak.

Contohnya, seorang pembayar cukai terlupa menuntut pelepasan anak sebanyak RM2,000 yang sebenarnya layak.

Jika kadar marginal cukainya 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM2,000 × 19% = RM380

Dia mungkin terlepas peluang mengurangkan cukai sebanyak RM380.

Walau bagaimanapun, kelayakan dan jumlah pelepasan bergantung pada syarat yang ditetapkan bagi tahun taksiran berkenaan, termasuk keadaan dan status anak.

Jadi, jangan anggap maklumat yang diisi pada tahun sebelumnya semestinya sudah lengkap untuk tahun semasa.

8. ❌ Tak lapor pendapatan sewa rumah

Ini contoh yang dekat dengan kehidupan ramai pekerja makan gaji.

Amir bekerja dengan pendapatan tahunan RM90,000. Dalam masa yang sama, dia menyewakan sebuah rumah pada harga RM1,200 sebulan.

Pendapatan sewa setahun:

RM1,200 × 12 bulan = RM14,400

Katakan perbelanjaan sewa yang dibenarkan ialah RM3,000. Pendapatan sewa bersih untuk ilustrasi ialah RM11,400.

Jika pendapatan bercukai Amir sebelum mengambil kira pendapatan sewa ialah RM75,000 dan tambahan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM11,400 × 19% = RM2,166

Jumlah sebenar bergantung pada pengiraan pendapatan berkanun sewa, perbelanjaan yang dibenarkan, pelepasan dan kadar cukai progresif.

Jangan anggap pendapatan sewa boleh diabaikan hanya kerana kita sudah mempunyai pekerjaan tetap dan PCB dipotong setiap bulan.

9. ❌ Tak lapor pendapatan freelance atau komisen

Siti bekerja sepenuh masa dan turut melakukan kerja freelance pada hujung minggu.

Sepanjang tahun, dia memperoleh pendapatan freelance bersih sebanyak RM18,000 daripada perkhidmatan reka bentuk dan pengurusan media sosial.

Dia menganggap pendapatan itu tidak perlu dilaporkan kerana bayaran diterima daripada pelanggan secara berasingan daripada gaji.

Jika pendapatan tersebut merupakan pendapatan perniagaan yang perlu dilaporkan, kesilapan ini boleh menyebabkan cukai terkurang dikira.

Dengan andaian keseluruhan RM18,000 itu merupakan tambahan kepada pendapatan bercukainya dan dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM18,000 × 19% = RM3,420

Pengiraan sebenar bergantung pada sifat pendapatan, perbelanjaan yang dibenarkan dan pengiraan cukai keseluruhan.

Perkara yang sama perlu diberi perhatian bagi pendapatan komisen, perniagaan dalam talian dan aktiviti lain yang menghasilkan pendapatan bercukai.

10. ❌ Tak lapor pendapatan luar negara kerana ingat semuanya bebas cukai

Ada orang bekerja di Singapura, kemudian memindahkan gaji ke akaun bank Malaysia. Ada juga yang menjalankan perniagaan melalui eBay.

Persoalannya, adakah semua pendapatan ini automatik bebas cukai di Malaysia?

Jawapannya, tidak semestinya. Layanan cukai bergantung pada jenis pendapatan, sumber pendapatan, status pemastautin cukai dan syarat pengecualian yang berkenaan.

Contohnya, Ali bekerja di Singapura dan menerima gaji SGD5,000 sebulan. Dia memindahkan gajinya ke akaun bank Malaysia. Pemindahan wang itu sahaja tidak bermaksud gajinya automatik dikenakan cukai di Malaysia. Ali lazimnya perlu membayar cukai pendapatan di Singapura kerana dia bekerja secara fizikal di sana.

Sebaliknya, Ali turut menjalankan perniagaan menjual barang melalui eBay. Jika perniagaan itu diuruskan dari Malaysia, keuntungan perniagaan tersebut perlu dinilai berdasarkan peraturan cukai Malaysia dan mungkin perlu dilaporkan dalam e-Filing.

Dah hantar e-Filing tetapi baru sedar ada kesilapan?

Jangan terus panik. Tetapi jangan biarkan kesilapan itu tanpa tindakan.

Langkah pertama ialah kenal pasti jenis kesilapan:

  • Terlupa tuntut pelepasan atau rebat: Semak sama ada pembetulan boleh dibuat melalui saluran pindaan yang dibenarkan.
  • Pendapatan terkurang lapor: Semak kaedah pindaan yang sesuai, termasuk Borang Nyata Terpinda jika memenuhi syarat.
  • Salah pilih ruangan atau maklumat peribadi: Semak dengan HASiL sama ada perlu meminda borang atau mengemas kini maklumat sahaja.
  • Salah maklumat akaun bank: Hubungi HASiL untuk mendapatkan panduan mengemas kini maklumat bayaran balik.

Kaedah pembetulan bergantung pada jenis borang, tahun taksiran, tempoh pindaan dan keadaan kes.

Rujuk panduan rasmi: https://www.hasil.gov.my/individu/pindaan-taksiran/

Kesimpulannya

Mengisi e-Filing bukan sekadar memasukkan angka daripada Borang EA dan menekan butang “Hantar”.

Kita perlu memastikan semua pendapatan yang perlu dilaporkan telah dimasukkan, pelepasan memenuhi syarat dan maklumat peribadi adalah tepat.

Lebih baik semak dua kali sebelum hantar daripada terpaksa membetulkan kesilapan kemudian.

Simpan artikel ini untuk rujukan musim e-Filing dan kongsikan kepada kawan-kawan yang sedang mengisi borang cukai mereka.