Berhati-Hati Terhadap Inflasi Teras Yang Kekal Tinggi- Gabenor BNM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) — Malaysia harus berhati-hati terhadap inflasi memandangkan inflasi teras masih tinggi malah lebih tinggi daripada biasa, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

Inflasi yang tinggi boleh menyukarkan kehidupan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah serta ia boleh menjejaskan ekonomi, katanya.

“Inflasi yang tinggi menjejaskan kuasa beli bermakna apa yang anda boleh beli dengan RM100 sekarang, nilainya mungkin akan lebih rendah pada masa depan,” katanya kepada Bernama dalam wawancara eksklusif pertamanya dengan media sejak dilantik sebagai Gabenor BNM pada 1 Julai, 2023.

Abdul Rasheed memberitahu bahawa inflasi yang tinggi turut menggunakan dana dalam simpanan.

“Selain itu, kenaikan harga yang tidak terkawal menyukarkan perniagaan untuk merancang dan melabur. Ini menjejaskan potensi pertumbuhan dan prospek negara dan ia merupakan sesuatu yang kta mahu elakkan,” tegasnya.

Pada Khamis, bank pusat itu berkata kedua-dua inflasi keseluruhan dan inflasi teras diunjurkan menurun pada separuh kedua 2023.

Bagaimanapun, BNM berkata bahawa walaupun inflasi teras telah menyederhana, ia kekal tinggi berbanding purata jangka panjang dalam persekitaran faktor permintaan dan kos yang berpanjangan.

Ketika sidang media pada Mei 2023 untuk mengumumkan prestasi suku pertama Malaysia, BNM menjangkakan inflasi keseluruhan dan teras akan kekal lebih tinggi pada 2023 daripada paras prapandemik dengan purata antara 2.8 peratus dan 3.8 peratus untuk sepanjang tahun tersebut.

Ringgit dinilai rendah, dipengaruhi oleh perkembangan luaran

Abdul Rasheed berkata kejatuhan nilai ringgit baru-baru ini tidak memberikan gambaran yang tepat tentang asas-asas ekonomi Malaysia.

Beliau berkata ekonomi Malaysia sangat berdaya tahan sepanjang tempoh pandemik.

“Ringgit dinilai rendah dan ia seharusnya meningkat bagi mencerminkan asas-asas ekonomi negara,” katanya.

Pada 6 petang, Jumaat, ringgit ditutup pada 4.6655/6675 berbanding dolar AS, turun berbanding 4.6580/6630 ketika ditutup pada Khamis.

Abdul Rasheed berkata dagangan mata wang itu baru-baru ini didorong oleh perkembangan dan sentimen luaran dengan pergerakan dolar AS dan prestasi ekonomi China yang lebih lemah terus menjejaskan ringgit.

Selain itu, kenaikan secara beransur-ansur Kadar Dasar Semalaman (OPR) di Malaysia berbanding rakan utama dan serantau telah menjadikan kadar faedah dasar negara antara yang terendah di rantau ini.

Beliau berkata BNM komited untuk memastikan keadaan pasaran yang teratur dan akan campur tangan untuk mencegah turun naik ringgit yang berlebihan.

“Malaysia adalah ekonomi yang kecil dan terbuka dan apa yang berlaku di dunia memberi kesan kepada negara tetapi selama beberapa dekad, ekonomi kita telah berubah, dipelbagaikan daripada segi struktur ekonomi dan rakan dagang.

“Ini bermakna kita tidak terlalu bergantung kepada satu produk eksport sahaja atau rakan dagang tertentu,” katanya.

Mengenai daya tahan ekonomi Malaysia, beliau berkata pertumbuhan 5.6 peratus pada suku pertama 2023 adalah antara yang tertinggi di rantau ini dan Malaysia terus mencatatkan lebihan akaun semasa.

Imbangan akaun semasa Malaysia merekodkan lebihan sebanyak RM4.3 bilion atau 1.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2023.

“Melangkah ke hadapan, limpahan positif daripada pembukaan semula China dan prospek pertumbuhan ekonomi domestik yang sihat akan memberikan sokongan kepada ringgit,” katanya.

Abdul Rasheed berkata keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM baru-baru ini untuk mengekalkan OPR pada 3.0 peratus adalah konsisten dengan mandat BNM untuk mengekalkan kestabilan harga bagi pertumbuhan ekonomi yang mampan di negara ini.

Beliau berkata berdasarkan data yang dibentangkan kepada MPC, ekonomi berkembang dengan stabil dan permintaan domestik kekal berdaya tahan, ia amat penting memandangkan permintaan luaran yang lebih perlahan.

“Selain itu, harga masih meningkat tetapi berlaku pada kadar yang lebih perlahan. Ini menunjukkan kenaikan sebelum ini sebanyak 125 mata asas telah memberikan kesan positif kepada ekonomi dan membuahkan hasil.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Setia Awan Jalin Kerjasama Strategik Bersama Jenama Runcit serta Makanan & Minuman Terkemuka Sempena Pelancaran Pusat Membeli-Belah Komuniti Pertama Di Bukit Ampang Permai

KUALA LUMPUR – Pemaju hartanah terkemuka, Setia Awan, hari ini secara rasmi telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) penting bersama sekumpulan rakan kongsi runcit dan gaya hidup. Majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Galeri Jualan Fona Vista itu melakar detik penting dalam pembangunan keseluruhan komuniti Bukit Ampang Permai, sekali gus memastikan bakal penduduk Fona Vista mendapat akses kepada kemudahan serta perkhidmatan premium di ambang pintu mereka.

Kolaborasi strategik ini menghimpunkan tujuh jenama terkemuka yang merangkumi sektor barangan runcit, penjagaan kesihatan, dan kuliner. Rakan-rakan kongsi ini termasuk B Grocer, Haji Basheer, CU Malaysia, Little Salty Café, Malaysia Chicken Rice (MCR), danAlpro Pharmacy. Pemilihan rakan kongsi yang dikuras dengan teliti ini mencerminkan komitmen Setia Awan dalam membina komuniti holistik yang mengutamakan keselesaan, kesihatan, dan kualiti hidup.

MoU ini menandakan hasrat bersama untuk menyepadukan jenama-jenama berkenaan ke dalam komponen komersial Avenue F yang bakal menyusul, iaitu pusat membeli-belah komuniti yang pertama di Bukit Ampang Permai. Pembangunan yang disasarkan siap menjelang Suku Ketiga (Q3) 2027 ini akan mewujudkan sebuah hab sosial yang rancak bagi komuniti Bukit Ampang Permai.

Melangkah ke hadapan, Setia Awan menyasarkan untuk membawa masuk gabungan pelbagai penyewa tambahan yang menarik bagi meningkatkan lagi kerancakan pusat membeli-belah tersebut serta memenuhi keperluan komuniti yang sentiasa berkembang.

“Majlis menandatangani perjanjian hari ini adalah lebih daripada sekadar pengaturan perniagaan; ia adalah satu langkah penting dalam menunaikan janji kami untuk mencipta nilai jangka masa panjang buat pemilik rumah kami,” kata Eric Chew, Ketua Pegawai Operasi – Projek, Setia Awan. “Melalui perkongsian dengan nama-nama terkemuka dan dipercayai seperti rakan kongsi kami hari ini kami memastikan gaya hidup di Bukit Ampang Permai adalah lancar dan sofistikated. Sambil itu kami terus mengalu-alukan lebih banyak jenama untuk menyertai kami, Avenue F benar-benar akan mentakrifkan semula keselesaan pinggir bandar dan kehidupan komuniti.”

Fona Vista merupakan projek kondominium lereng bukit bergaya pusat peranginan berkepadatan rendah yang terletak 145 meter di atas paras laut. Bersebelahan dengan Hutan Simpan Hulu Langat, ia menawarkan pemandangan hutan yang panoramik serta udara segar yang lebih nyaman, namun tetap berdekatan dengan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur.

Selaras dengan strategi pertumbuhan agresif ini, Setia Awan juga baru-baru ini telah menandatangani perjanjian dengan Kumpulan Billion untuk dua projeknya di Melaka, sekali gus menawarkan kemudahan pilihan barangan runcit yang berkualiti kepada bakal penduduk. Momentum kolaborasi ini dijangka akan diperluaskan ke beberapa pembangunan akan datang di seluruh Lembah Klang, termasuk projek di Selayang dan Shah Alam, serta Tanjung Malim.

Untuk maklumat lanjut tentang Fona Vista, sila layari: fonavista.com.my. Untuk maklumat lanjut tentang Setia Awan, sila layari: setiaawan.com.