Hampir Tujuh Daripada 10 PKS di Asia Tenggara Bergantung Kepada Wang Simpanan, Keluarga Dan Rakan-Rakan Untuk Modal Permulaan: Laporan Industri PKS

  • Kajian mendedahkan keperluan untuk mencari penyelesaian bagi meningkatkan pengurusan aliran tunai PKS
  • Kadar faedah rendah dan pengalaman tidak memuaskan mendorong PKS menukar jenama

KUALA LUMPUR, 10 Oktober 2023 – Kira-kira 70% perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Asia Tenggara memulakan perniagaan mereka dengan menggunakan wang modal yang dikumpulkan daripada simpanan peribadi mereka dan sokongan kewangan dari keluarga serta rakan mereka. 23% PKS menerima pembiayaan daripada bank tradisional, manakala baki 7% beralih kepada sumber alternatif seperti syarikat teknologi kewangan (FinTech). Dapatan ini boleh dilihat dalam laporan yang diterbitkan oleh Funding Societies, platform pembiayaan digital PKS bersepadu terbesar di Asia Tenggara. 

Untuk memahami dengan lebih baik bagaimana perniagaan ini berfikir, Funding Societies telah meninjau hampir 1,000 PKS di Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam – yang mana kesemuanya adalah negara di mana syarikat itu beroperasi. Laporan itu terdiri daripada responden di bawah kategori PKS, termasuk mikro (74%) dan adalah pemilik perniagaan mereka sendiri (63%) – di mana 59% daripada responden adalah pelanggan Funding Societies manakala 41% adalah bukan pelanggan.

Ekonomi Asia Tenggara kini menuju ke arah pemulihan selepas menguncup semasa pandemik. Walaupun dirundung masalah makroekonomi baru-baru ini, impaknya terhadap Asia Tenggara masih lebih kecil berbanding dengan rantau lain di dunia. Faktor ini telah membawakan penyelesaian inovatif untuk PKS oleh kedua-dua syarikat kewangan tradisional dan digital. Namun, pilihan yang banyak tidak bermakna akses kepada pembiayaan boleh didapati dengan mudah.  

Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon, ketika mengulas mengenai laporan itu berkata, “SME Digital Finance and Payments Behaviours: Southeast Asia Report 2023 memberikan maklumat yang berharga tentang cabaran dan peluang yang dihadapi oleh PMKS di Malaysia. Laporan ini membuktikan bahawa majoriti PMKS di Malaysia masih bergantung kepada simpanan peribadi dan sokongan keluarga untuk modal permulaan. Ini menggariskan keperluan untuk menyediakan penyelesaian kewangan berinovasi yang direka khusus bagi memenuhi keperluan PMKS Malaysia.”

Tambah beliau lagi, “Akses kepada pembiayaan kekal menjadi kebimbangan utama bagi PMKS Malaysia. Laporan itu mengukuhkan lagi kepentingan platform FinTech seperti Funding Societies dalam usaha merapatkan jurang ini dan menyediakan sokongan kewangan yang diperlukan oleh PMKS untuk terus berkembang maju. Seiring dengan usaha kita untuk terus mengharungi fasa pemulihan ekonomi pasca pandemik, laporan ini boleh dijadikan sebagai panduan untuk penggubal dasar dan institusi kewangan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada segmen PMKS Malaysia, memastikan mereka mempunyai alat serta sumber yang diperlukan untuk berjaya dalam landskap perniagaan yang sentiasa berkembang.”

Pembayaran oleh PKS: kebergantungan terhadap bank; transaksi dibuat secara tempatan

Pemindahan bank masih menjadi kaedah pembayaran paling popular bagi PKS dengan hampir 90% membayar pembekal mereka dan 88% menerima pembayaran daripada pelanggan menggunakan kaedah yang sama. Walau bagaimanapun, transaksi tunai masih memainkan peranan yang besar di mana:

  • 51% responden di Indonesia membayar pembekal dan menerima pembayaran daripada pelanggan secara tunai
  • 63% responden di Malaysia menerima pembayaran daripada pelanggan mereka secara tunai

Walaupun majoriti transaksi dengan pelanggan dan pembekal dibuat secara tempatan, 20% daripada responden menyatakan bahawa transaksi rentas sempadan adalah penting bagi mereka. Sentimen ini dilihat paling kuat di Singapura dan Vietnam yang mempunyai lebih banyak transaksi rentas sempadan berbanding negara lain.

Pinjaman berjangka perniagaan, pilihan utama PKS; serta cabaran membayar pembekal mereka

Pinjaman berjangka perniagaan dipetik oleh responden sebagai produk paling banyak digunakan (49%). Namun terdapat pengecualian di Singapura dan Vietnam, di mana pembayaran kad kredit adalah lebih biasa di kedua-dua negara itu (51% dan 49%).

Melihat bagaimana produk ini menyumbang kepada kewangan PKS, responden menyatakan pinjaman berjangka perniagaan sebagai penyumbang terbesar mereka (41%) – Indonesia dan Malaysia masing-masing menyumbang 66% dan 65%. Sebaliknya, PKS Singapura lebih cenderung kepada pembayaran kad kredit (33%).

Kebanyakan PKS yang ditinjau lebih mengambil berat tentang hutang, terutamanya keupayaan mereka untuk membayar pembekal. Lebih daripada satu pertiga responden menyenaraikan akses kepada pembiayaan (termasuk pinjaman dan kad kredit) dan memenuhi pembayaran (kepada pembekal atau vendor yang mungkin tidak menawarkan pilihan pembayaran fleksibel) sebagai isu hutang utama mereka. Kebimbangan lain termasuk:

  • Pemantauan dan pelaporan hutang
  • Mendapat kelulusan untuk pembayaran
  • Memadankan invois dengan pesanan dan resit pembelian

Singapura adalah satu-satunya negara yang terkecuali, di mana responden menyatakan penerimaan pembayaran daripada pelanggan adalah isu yang lebih penting.

Sikap lain dalam kalangan PKS yang didapati daripada responden 

Di seluruh rantau ini, responden menyatakan bahawa perbelanjaan terbesar mereka adalah untuk operasi harian (32%) dan bekalan (32%). Walau bagaimanapun, Vietnam menyimpang sedikit daripada pemerhatian ini, di mana perbelanjaan terbesar selepas operasi harian adalah gaji pekerja. 

Kadar faedah yang rendah adalah faktor penting yang mempengaruhi PKS untuk menukar jenama, terutamanya di Singapura. Didapati bahawa lebih daripada separuh (62%) PKS di rantau ini cenderung untuk menukar jenama kerana mereka tidak berpuas hati dengan pengalaman yang ditawarkan – dengan Indonesia dan Singapura mencatatkan tahap kecenderungan paling tinggi.

SME Digital Finance and Payments Behaviours: Southeast Asia Report 2023 bertujuan untuk meneliti sikap dan cabaran yang dihadapi oleh PKS dan bagaimana penggunaan pembiayaan dan pembayaran digital dapat meningkatkan peluang perniagaan dan kecekapan.

Untuk mendapatkan akses penuh laporan ini, sila layari: https://tinyurl.com/FSMKSMEReport2023. Sila rujuk Lampiran untuk melihat sorotan setiap negara daripada laporan ini. 

Previous ArticleNext Article

Kajian UOB: Perniagaan Kekal Berdaya Tahan Pada 2026, Pengurusan Tenaga Jadi Keutamaan Strategik

Kuala Lumpur, Malaysia, 29 Jun 2026 Menurut Kajian Tinjauan Perniagaan UOB 2026, tekanan kos yang semakin meningkat terus menjadi keutamaan perniagaan pada 2026, di mana pengurusan tenaga muncul sebagai bidang tumpuan yang kritikal. Walaupun sentimen keseluruhan kekal positif bagi perniagaan, perusahaan yang lebih kecil mengambil pendekatan lebih berhati-hati berikutan ketidaktentuan ekonomi yang berterusan.

Kajian ini mendapati bahawa 77 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengekalkan tinjauan perniagaan yang positif tahun ini, namun keyakinan di kalangan syarikat lebih kecil adalah lebih sederhana. Walau bagaimanapun, hampir tiga daripada sepuluh PKS terus berdepan tekanan daripada perbelanjaan operasi yang meningkat, kos tenaga kerja yang tinggi, dan kenaikan kadar faedah, justeru mendorong peralihan ke arah strategi pengurusan kos yang lebih ketat.

Pengurusan Tenaga Menjadi Tumpuan Utama

Sebagai tindak balas terhadap turun naik kos yang berterusan, perniagaan semakin beralih kepada pengurusan tenaga sebagai cara praktikal untuk mengurus perbelanjaan. Kira-kira tiga daripada empat perniagaan menganggap pengurusan dan kecekapan tenaga adalah penting, dengan 84 peratus perniagaan dalam sektor pembuatan, kejuruteraan dan perindustrian memberi keutamaan pada pengurusan dan kecekapan tenaga. Keutamaan lain termasuk mengurangkan penggunaan tenaga (48 peratus), menurunkan kos tenaga (44 peratus), dan memastikan terdapat bekalan tenaga yang stabil serta boleh dipercayai untuk operasi mereka (40 peratus).

Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, berkata, “Kajian Tinjauan Perniagaan UOB 2026 menunjukkan bahawa tekanan kos, termasuk kos tenaga dan bahan api, terus membebani kebanyakan perniagaan. Pengurusan tenaga telah menjadi keutamaan praktikal, terutamanya bagi perusahaan sederhana yang berada dalam kedudukan lebih baik untuk melaksanakan inisiatif kecekapan, disokong oleh penyelesaian khusus sektor yang memenuhi keperluan operasi mereka.

Bagi syarikat lebih kecil yang menghadapi kekangan kewangan yang lebih ketat, inisiatif seperti Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS Bank Negara Malaysia (BNM), dilengkapi dengan bantuan daripada kami, membolehkan kami menyediakan sokongan yang praktikal dan tepat pada masanya. Sokongan ini tertumpu pada membantu pelanggan PKS mengurus tekanan aliran tunai, mengekalkan operasi dan mengharungi keadaan pasaran yang sentiasa berubah.”

UOB Malaysia telah memperkukuh sokongan pembiayaannya melalui Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS BNM[1], sekali gus membantu perniagaan mengurus cabaran aliran tunai dan mengekalkan operasi di dalam keadaan pasaran yang sentiasa berubah, termasuk gangguan luaran. Seiring dengan inisiatif ini, Bank kekal komited untuk menyediakan bantuan menyeluruh dan penyelesaian kewangan bagi menyokong PKS dalam membina daya tahan jangka panjang serta mengharungi ketidaktentuan.

Penggunaan penyelesaian kos efektif sudah pun dilaksanakan

Kira-kira dua daripada lima perniagaan telah melaksanakan pemasangan panel solar serta penggunaan pencahayaan cekap tenaga dan LED, didorong kelebihan yang nyata dalam mengurangkan penggunaan tenaga. Selain itu, PKS turut menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap alat digital untuk membantu meningkatkan kecekapan tenaga (48 peratus), menurunkan kos tenaga (44 peratus), dan memastikan bekalan tenaga yang stabil bagi operasi harian (40 peratus).

Daya Tahan Diutamakan Berbanding Pertumbuhan Pesat

Kajian ini menekankan peralihan strategik yang lebih luas di kalangan perniagaan, iaitu ke arah pelaksanaan yang dipacu daya tahan dan bukannya pertumbuhan yang agresif. Pengurusan tenaga semakin dikaitkan dengan objektif daya tahan yang lebih luas, termasuk mengekalkan kestabilan operasi, memastikan kesinambungan rantaian bekalan dan memenuhi jangkaan pelanggan yang sentiasa berubah. Perniagaan yang mengamalkan kepelbagaian pembekal, pengembangan serantau, dan pembuatan setempat turut mengintegrasikan kestabilan tenaga ke dalam strategi pengurusan risiko mereka. Memasuki tahun ketujuhnya, Kajian Tinjauan Perniagaan UOB kini akan dijalankan dua kali setahun dan memperkenalkan bidang tumpuan yang diperluas, menunjukkan bagaimana keadaan ekonomi dan geopolitik yang berubah dengan pantas sedang membentuk semula landskap perniagaan. Edisi 2026 merangkumi tujuh pasaran – Singapura, Indonesia, Malaysia, Thailand, Vietnam, Tanah Besar China dan Hong Kong SAR. Untuk mendapatkan salinan kajian dengan butiran penuh, sila layari https://www.uobgroup.com/asean-insights/articles/uob-business-outlook-study-2026-malaysia-h1.page


[1] Sila rujuk siaran akhbar UOB: UOB Malaysia enhances financing support for SMEs through BNM Stabilisation Relief Facility