Cara Mengenal SCAMMERS Dan Skim Cepat Kaya Dengan Panduan Shariah

Berdasarkan satu kajian daripada syarikat telekomunikasi Telenor Group, rakyat Malaysia amat mudah diperangkap sindiket penipuan. Hampir setiap hari, ada sahaja berita mengenai rakyat Malaysia ditipu hampir ratusan ribu Ringgit.

Terbaru menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, bagi tempoh Januari sehingga November 2019, jenayah penipuan Macau Scam di daerah itu meningkat 57% berbanding tempoh sama tahun lalu dengan peningkatan sebanyak sembilan kes, manakala nilai kerugian menurun daripada RM3.9 juta pada 2018 kepada RM2 juta bagi tempoh sehingga November 2019.

Macau Scam adalah satu di antara ratusan scam yang melibatkan skim pelaburan atau skim cepat kaya di Malaysia. Secara asasnya ia boleh dinamakan sebagai SKIM PONZI. SKIM PONZI adalah skim yang distruktur bagi memastikan wang daripada orang bawah digunakan bagi memberi pulangan kepada orang atas.

Beberapa contoh kaedah skim Ponzi seperti berikut:

  • Skim pelaburan emas
  • Skim pelaburan berasaskan FOREX
  • Skim dana sedekah
  • Skim pelaburan projek
  • Skim belian semula produk
  • Skim MLM/binary/matriks yang biasanya dikenali dengan yuran keahlian yang tinggi dan harga produk yang tinggi.

Terdapat dua persamaan modus skim yang dijalankan mereka, iaitu:

  1. Mencari ahli baru. Jika tidak perlu, adanya insentif yang tinggi disediakan bagi ahli yang dapat mencari ahli baru.
  2. Terdapat obligasi atau yuran keahlian daripada ahli dan bayaran bulanan kepada ahli yang akan ditunaikan pada peringkat awal bagi membina keyakinan. 

Persamaan lain yang boleh didapati adalah kadar keuntungan skim seperti ini sangat tinggi, jauh mengalahkan skim pelaburan unit amanah (unit trust) atau pelaburan biasa yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti.

Panduan Shariah

Secara umumnya dalam Islam, apa-apa aktiviti ekonomi seperti pelaburan perlu bebas daripada empat elemen iaitu Riba, Gharar, Maysir, dan Ghabn.

Riba

Elemen Riba yang terdapat dalam skim cepat kaya adalah tukaran wang dengan wang. Yuran keahlian dan jumlah ‘pelaburan’ ditukar dengan kadar keuntungan yang tetap dan telah dijanjikan adalah unsur Riba yang jelas terdapat dalam skim ini.

Biasanya apabila ditanya kepada sektor atau bisnes apa wang pelaburan kita dilaburkan? Susah untuk kita mendapat jawapan yang jelas dan terperinci.

Berbeza dengan pelaburan saham contohnya di mana syarikat diwajibkan memaparkan Laporan Kewangan mereka masing-masing yang diaudit dan mempunyai pengawal selia.

Hakikatnya ia adalah Money Game di mana wang pelaburan ahli baru yang akan digunakan bagi membayar keuntungan kepada ahli lama.

Gharar

Gharar adalah ketidakjelasan dalam sesebuah kontrak melibatkan hasil dan implikasi. Ketidakjelasan ini haram kerana akan membawa kepada pertikaian dan pergaduhan. 

Elemen ini didapati daripada maklumat-maklumat yang tidak jelas berkaitan aktiviti bisnes sesebuah syarikat yang mempromosi skim ini dan kesamaran pelaburannya.

Sebaliknya yang jelas adalah pulangan ‘pelaburan’ tetap dan tinggi dan insentif ahli baru atau lebih dikenali sebagai sistem Piramid.

Maysir

Maysir adalah perjudian atau membawa maksud seseorang yang memperoleh keuntungan hasil daripada kerugian orang lain. 

Elemen ini biasanya kita boleh dapati di penghujung hayat skim atau scam yang mana berita mangsa atau ahli ditipu atau ahli lama yang telah lama tidak mendapat pulangan.

Ia cerita biasa dan cerita yang akan diulang-ulang di bawah nama skim berbeza-beza.

Ghabn

Secara istilah ia bermaksud jualan produk yang melebihi daripada nilai kebiasaan yang biasa dijual oleh masyarakat. Dalam Shariah ia diharamkan kerana terdapat unsur-unsur penipuan dan manipulasi dalam urus niaga.

Ghabn biasanya wujud dalam skim pelaburan yang menggunakan produk sebagai topeng untuk skim ponzi mereka. Barang diminta untuk dibeli untuk memberi sebab mendapatkan duit ‘pelaburan’.

Hakikatnya harga barang tersebut tidak muhasabah dan ada skim yang menjual barangan yang pembeli tidak mahu gunakan.

Isu shariah paling jelas adalah elemen Riba. Kebiasannya skim seperti ini tidak mempunyai sebarang aktiviti pelaburan yang menjana keuntungan, maka hakikatnya ia adalah satu bentuk pinjaman dan hasil lebihan yang diperoleh oleh ‘pelabur’ daripada pinjaman itu dikira sebagai Riba. 

Kadar untung yang disandarkan kepada modal yang telah ditetapkan dan diketahui jumlahnya di awal kontrak adalah ciri-ciri Riba. Pelaburan dalam Islam sama ada atas prinsip Mudharabah atau Musyarakah adalah pulangan sekiranya ada akan dibahagikan daripada hasil untung sebenar, bukan daripada modal. Juga dalam segala pelaburan adanya risiko kerugian.

Semoga artikel ini membantu kita dan menyelamatkan kita daripada scammers dan skim cepat kaya.

Ditulis oleh Arham Merican, pegawai Shariah di salah sebuah bank Islam antarabangsa dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang ekonomi dan Shariah dengan fokus pada pemberdayaan modal insan.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.