e-Invois Akan Dilaksanakan Pada Separuh Pertama 2024 – LHDN

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) — Sistem invois elektronik atau e-invois akan dilaksanakan pada separuh pertama 2024, selaras dengan agenda pendigitalan kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Dr Mohd Nizom Sairi berkata e-invois akan menyelaras dan meningkatkan sistem percukaian negara, menggalakkan ketelusan dan memberikan penilaian risiko pematuhan yang lebih tepat.

“Ia juga akan menangani isu ketirisan hasil akibat daripada ekonomi bayangan,” katanya pada Persidangan Percukaian Kebangsaan 2023 selama dua hari yang bermula hari ini di sini. 

Beliau berkata untuk memastikan kepastian dalam percukaian, LHDN telah melaksanakan Program Tadbir Urus Cukai Korporat (TCG). 

“Inisiatif ini menjadi platform kepada pentadbiran cukai dan pembayar cukai untuk bekerjasama secara terbuka dan telus untuk meningkatkan hal ehwal pematuhan cukai korporat organisasi,” katanya.

Beliau berkata perlu diambil perhatian bahawa Program Pendedahan Sukarela Khas (SVDP) 2.0 yang sedang dilaksanakan lebih memberi tumpuan kepada mendapatkan pembayar cukai baharu untuk mengambil bahagian dalam melaporkan pendapatan mereka kepada LHDN berbanding meningkatkan kutipan cukai.

“Program ini diharap dapat membantu pembayar cukai memenuhi kewajipan cukai mereka kepada negara dan menyokong kemampanan untuk generasi akan datang,” katanya.

Tema Persidangan Percukaian Kebangsaan 2023, ‘Taxation: Driving Force for Economic Sustainability’ adalah berdasarkan kepentingan instrumen fiskal ini dalam membina negara.

Mohd Nizom berkata kemampanan ekonomi tidak dinafikan lagi menjadi antara tonggak utama untuk negara pulih, kekal berdaya tahan dan berkembang di tengah-tengah ketidaktentuan prospek ekonomi global.

“Jika kita tidak mampan dalam aliran pendapatan kita, adalah mustahil untuk membawa negara keluar daripada krisis yang kita hadapi,” katanya.

Oleh itu, katanya keperluan cukai adalah penting, terutamanya dalam persekitaran semasa yang tidak menentu apabila kerajaan bergantung kepada hasil daripada cukai, antara lain, untuk pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kantoi Beli Kereta dan Aset Tetapi Tidak Lapor Pendapatan Yang Betul

Merujuk kepada kenyataan media rasmi yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) bertarikh 20 Jun 2026, agensi tersebut mendedahkan bahawa seramai 52,540 pembayar cukai telah tampil mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun-tahun taksiran ke belakang.

Melalui pelaporan semula ini, jumlah keseluruhan pendapatan yang diisytiharkan adalah sebanyak RM4.07 bilion, dengan jumlah cukai kena dibayar mencecah RM1.009 bilion.

Persoalannya: Bagaimana LHDN boleh “hidu” golongan yang culas ni? Dah tak boleh lari ke sekarang?

Jawapannya ada pada e-Invois dan model analitik data milik HASiL.

3 “Lubang” Yang Berjaya Dikesan Sistem Baharu LHDN

Berdasarkan kenyataan media rasmi HASiL, mereka kini menggunakan analisis data e-invois. Hasilnya, mereka berjaya mengesan tiga corak utama “anomali” atau transaksi mencurigakan pembayar cukai:

  • 1. Transaksi Aktif Tapi Rekod Cukai Kosong: Sistem mengesan individu yang transaksi kewangannya sangat aktif, tetapi apabila disemak dengan profil cukai sedia ada, datanya langsung tidak sepadan.
  • 2. Beli Aset Mewah Melebihi RM100,000: Sesiapa yang membuat pembelian bernilai tinggi seperti kenderaan dan aset melebihi RM100k, automatik “lampu merah” akan menyala di sistem HASiL jika pelaporan pendapatan mereka sebelum ini mencurigakan.
  • 3. Buat Duit Melalui Ekonomi Digital: Aktiviti transaksi dalam talian (online) yang rancak tanpa pengisytiharan cukai yang sewajarnya juga kini berada dalam radar pemantauan rapat.

Kuasa Pendekatan “Nudging” (Cuitan Mesra)

Menariknya, 52,540 pembayar cukai ini bukanlah diseret terus ke mahkamah. HASiL menggunakan pendekatan “nudging” iaitu memberi teguran berasaskan bukti data, memberikan mereka peluang terakhir untuk tampil menyerah diri dan membetulkan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun sebelum ini secara sukarela sebelum tindakan tegas diambil.

Perkembangan Terkini e-Invois di Malaysia

Sejak pelaksanaan e-Invois bermula pada 1 Ogos 2024, sistem percukian negara telah mengalami anjakan digital yang sangat besar:

Statistik Utama Pelaksanaan e-InvoisAngka
Jumlah Pembayar Cukai Mengemukakan e-InvoisLebih 230,000 pembayar cukai
Jumlah Pengeluaran e-Invois Secara Keseluruhan1.505 bilion e-Invois

Malah bermula 1 Januari 2026, ketelusan sistem diperketatkan lagi di mana semua pembayar cukai wajib mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi jualan barang atau perkhidmatan yang melebihi RM10,000. Pembeli pula perlu memberikan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) atau nombor kad pengenalan (IC) kepada penjual untuk pengesahan tepat.

Nota Penting: Walaupun sistem semakin ketat, HASiL mendedahkan masih ada segelintir pembayar cukai yang gagal mematuhi keperluan pelaksanaan e-Invois dan pemantauan berterusan sedang giat dijalankan.

Kesimpulan

Zaman untuk “sorok” pendapatan atau buat-buat lupa bayar cukai nampaknya sudah semakin berakhir. Pengajaran daripada angka RM4.07 bilion ini mudah: Sistem cukai Malaysia kini semakin pintar. Sebelum “dicuit” mesra oleh LHDN, ada baiknya kita semak semula pelaporan cukai masing-masing.