Orang Kata Kalau Beli Aset Cash Nanti LHDN Kejar, Betul Ke?

Biasa dengar tak pernyataan di atas? Katanya pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membuat pemantauan terhadap mereka yang membeli sesuatu aset dengan secara tunai. Dan disebabkan itulah, kita dinasihatkan supaya jangan beli rumah pakai cash, jangan beli kereta pakai cash dan sebagainya.

Tapi betul ke tak ni? Jom kita merungkai bersama-sama, jadi kita mulakan dengan asal-usulnya terlebih dahulu.

Dari Mana Datangnya Teori Tersebut?

Dah boleh kita kategorikan sebagai urban legend, iaitu sesuatu yang diperturunkan daripada mulut ke mulut dan dari zaman ke zaman. Pakcik kita kata dulu ada saudara kena tangkap sebab beli rumah secara cash. Kawan kita pula kata, ada kawan dia kena dakwa di mahkamah sebab beli rumah cash.

Susah nak dipastikan kesahihan atau kebenarannya, kerana ada banyak cerita dan ada banyak pula ending dia. Ada yang lepas, ada yang kena penjara.

Beli Aset Secara Tunai Tak Salah

Kalau diikutkan, tiada masalah untuk kita beli sesuatu aset secara tunai. Selagi kita boleh buktikan daripada mana sumber wang tersebut diperolehi, itu sudah memadai.

Katakan kita baru dapat wang pampasan hasil daripada takaful yang dilanggan ayah kita pada saat kematian beliau. Kita selaku anak dan waris yang sah, dapat pampasan sebanyak RM1 juta.

Sumber: Syed Mohd Muhaimin

Tengok saja RM60 bilion harta orang mati dibeku, berpunca daripada sikap waris yang menganggap proses memohon pembahagian harta pusaka lambat, mahal dan menyusahkan.

Jadi kalau ayah kita seorang yang terbuka mata dan mindanya sewaktu beliau masih hidup untuk membuat wasiat, maka jika kita beli rumah dengan cash menggunakan wang tersebut, tak jadi masalah.

Begitu juga halnya dengan pemberian hibah kepada kita sebagai ganjaran menjadi anak yang soleh, kemudian kita guna wang tersebut untuk membeli rumah secara tunai, juga tiada masalah. Selagi kita boleh buktikan sumber wang tersebut, dan ianya berlaku secara sah.

Yang menjadi masalahnya, kita dah lah tak pernah hantar borang cukai pendapatan, tapi pandai-pandai beli rumah berharga RM500 ribu atau RM1 juta. Memang LHDN carilah lepas tu. Beli cash ni ingat tak masuk dalam sistem? Sebab itu kita kena jadi orang cerdik dengan membaca 9 Sebab Kenapa Kita Kena Hantar Borang Cukai Pendapatan.

LHDN Cuma Menjalankan Tanggungjawab

Kalau diikutkan, tujuan utama LHDN ditubuhkan adalah sebagai salah satu agensi utama di bawah Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab memungut dan mentadbir cukai langsung negara.

LHDN ditubuhkan di bawah Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 1995 untuk memperolehi lebih kuasa terutamanya dalam bidang kewangan dan pengurusan kakitangan bagi meningkatkan kualiti pentadbiran percukaian.

Dalam erti kata lain, memang LHDN kerjanya mengutip cukai. Dan bagi mereka yang culas, pasti akan terima padahnya. Mereka pun ada KPI, jadi salahkah mereka menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka?

Dan merujuk kepada kenyataan media ini, mengingatkan semua pembayar cukai agar tidak mengambil mudah urusan percukaian mereka sekiranya tidak mahu didakwa di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Tiga jenis kesalahan cukai yang telah diwartakan oleh kerajaan Malaysia pada 7 Oktober 2010 sebagai kesalahan berat dalam AMLATFA 2001 adalah:

  1. Kegagalan menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi sesuatu tahun taksiran
  2. Mengemukakan penyata yang salah
  3. Mengelakkan diri daripada dikenakan cukai

Sekiranya disabitkan kesalahan, hukuman berat boleh dikenakan iaitu denda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap kesalahan.

Sebagai kesimpulannya, ada kebenarannya bila orang kata kalau beli aset cash nanti LHDN kejar, tapi bila kita gagal hantar borang cukai atau paling dahsyat tak ada no cukai. Sebab itu kita kena pastikan sumber wang tersebut adalah sah, baru boleh terima kedatangan mereka nanti dengan hati yang tenang.

Boleh juga baca:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.