Pengamal PT&K Dikecualikan Daripada Cukai Perkhidmatan 8 Peratus – Amir Hamzah

PUTRAJAYA, 19 Feb (Bernama) — Pengamal perubatan tradisional dan komplementari yang berdaftar di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) 2016 [Akta 775] akan dikecualikan daripada cukai perkhidmatan sebanyak lapan peratus, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

“Selagi mereka berdaftar dengan akta di bawah Kementerian Kesihatan, mereka akan dikecualikan daripada cukai perkhidmatan yang akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2024,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual khas hari ini.

Sehubungan dengan keputusan itu, beliau berkata pengamal PT&K yang telah berdaftar dengan akta tersebut tidak perlu berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan seterusnya tidak mengenakan cukai bagi perkhidmatan seperti perubatan tradisional Melayu, perubatan tradisional Cina, perubatan tradisional India, homeopati, kiropraktik, osteopati dan amalan pengubatan Islam.

“Kementerian Kewangan juga bersetuju supaya keputusan tersebut terpakai ke atas perkhidmatan yang disediakan oleh pusat kesihatan atau kesejahteraan, rumah urut atau tempat yang seumpamanya yang dikendalikan oleh pengamal PT&K yang berdaftar dengan Akta 775 bagi perkhidmatan di atas untuk tempoh sebelum 1 Мас 2024,” katanya.

Amir Hamzah berkata ini adalah susulan keputusan Kementerian Kewangan agar perkhidmatan disediakan oleh pusat kesihatan atau kesejahteraan, rumah urut atau tempat seumpamanya yang dikendalikan oleh pengamal PT&K berdaftar dengan akta tersebut tidak dikategorikan sebagai perkhidmatan bercukai berkuat kuasa mulai 1 Mac 2024. 

“Maklum balas ini juga telah mengambil kira perbincangan daripada sesi libat urus bersama pihak berkepentingan industri PT&K,” katanya.

Beliau berkata pengecualian cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan PT&K ini antara usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat sebagaimana yang ditekankan dalam konsep Malaysia MADANI dan diterapkan dalam kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat.

“Keputusan yang dipersetujui oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini adalah langkah untuk meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

“Pada masa yang sama, Kerangka Ekonomi MADANI juga akan giat memperkasakan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menggajikan hampir separuh tenaga kerja di Malaysia,” katanya.

Amir Hamzah berkata kerajaan akur bahawa jauh lagi landasan untuk melebarkan sayap PMKS tempatan ke persada antarabangsa. 

“Maka pengusaha tersebut memerlukan kebergantungan permintaan domestik untuk kemandirian perniagaan mereka buat masa ini, lebih-lebih lagi bagi PMKS yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Cadangan Laksana Cukai Kekayaan Buat Masa Ini – MOF

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Kerajaan ketika ini tidak bercadang untuk melaksanakan cukai kekayaan sebanyak dua peratus ke atas individu kaya raya bagi menampung perbelanjaan kerajaan, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF menjelaskan bahawa buat masa ini kerajaan mendapati sumbangan hasil cukai kekayaan adalah tidak signifikan sekiranya elemen pengecualian dan pelepasan cukai diberikan sepertimana pelaksanaan lain-lain cukai yang sedia ada.

“Pelaksanaan cukai kekayaan dalam apa-apa bentuk atau mekanisme perlu diteliti daripada pelbagai aspek termasuk asas kenaan cukai yang kecil dan terhad di Malaysia.

“Namun, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan dasar percukaian yang dilaksanakan adalah berlandaskan prinsip keadilan dan saksama serta lebih bersasar supaya struktur percukaian kekal progresif dan mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan sosioekonomi,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Pada masa sama, menurut MoF, pendekatan secara lebih bersasar telah dilaksanakan dengan meluaskan asas cukai kepada golongan yang lebih berkemampuan.

Ini termasuk melalui pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai, cukai dividen bagi pendapatan dividen melebihi RM100,000 dan cukai yang dikenakan ke atas agihan keuntungan melebihi RM100,000 yang diterima oleh pekongsi daripada perkongsian liabiliti terhad.

— Bernama