Petua Elak Tindakan Mahkamah Akibat Cukai Tertunggak

Sepanjang tahun 2021 pelbagai pengalaman pahit dan manis kita rasai. Tahun 2021 juga menyaksikan negara kita masih bergelut dengan tekanan ekonomi akibat daripada situasi pandemik COVID-19 yang berlarutan. Sebagai rakyat kita turut tidak terkecuali daripada menerima tempias kepada keperitan ekonomi negara.

Pada masa ini ramai dalam kalangan kita merancang untuk mengatur semula perbelanjaan bulanan agar dengan pendapatan atau keuntungan perniagaan yang ada kita boleh terus ‘survive’ sama ada dalam kehidupan atau perniagaan kita.

Maka dalam kita mengatur semula perbelanjaan tersebut, ada yang terus mengabaikan bayaran cukai yang sepatutnya dibuat kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL). Akibatnya baki cukai kita akan tertunggak dan risiko untuk kita dikenakan tindakan mahkamah adalah tinggi. Sekiranya tindakan mahkamah diambil terhadap kita maka ia bukan sahaja akan menjejaskan imej kita malah ia mungkin akan menambah beban kita kerana terpaksa mengupah peguam bagi mempertahankan diri.

Jadi petua dalam artikel ini boleh dijadikan panduan agar kita dapat menguruskan perihal cukai kita dengan baik sekali gus mengelakkan diri kita mempunyai tunggakan cukai dan dikenakan tindakan mahkamah.

1. Peka & Ambil Peduli Peruntukan Undang-Undang

Jika kita benar-benar peka, ambil peduli dan tidak ambil remeh tentang cukai, hal tunggakan cukai sehingga kita dikenakan tindakan undang-undang tidak akan terjadi. Apa yang kita perlu lakukan ialah cakna dengan segala peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Kerajaan. Seperti yang ditetapkan oleh undang-undang, bagi individu yang tidak mempunyai punca pendapatan perniagaan yakni yang makan gaji sahaja, mereka perlu melunaskan cukai tahunan mereka selewat-lewatnya pada 30 April setiap tahun.

Manakala bagi individu yang berniaga, mereka dikehendaki menjelaskan semua amaun cukai tahunan mereka selewat-lewatnya pada 30 Jun setiap tahun. Sementara itu, bagi syarikat pula mereka wajib membayar semua amaun cukai mereka dalam tempoh tujuh (7) bulan selepas tarikh tutup tempoh perakaunan syarikat. Jadi, jika tempoh-tempoh ini tidak dipatuhi maka amaun cukai yang dikenakan terhadap kita berkemungkinan besar akan menjadi cukai tertunggak.

2. Rujuk Maklumat Di Laman Rasmi HASiL & Internet.

Pelbagai maklumat berkaitan dengan cukai pendapatan ada dimuatkan dalam portal rasmi HASiL di www.hasil.gov.my untuk rujukan; malah pada portal rasmi ini, HASiL turut menyediakan Gerbang Pendidikan Percukaian melalui platform Eduzone. Platform Eduzone bukan sahaja memuatkan pelbagai risalah dan artikel berkaitan percukaian, malah ia turut dilengkapi dengan pelbagai video pendek dan video-video wawancara pegawai HASiL dengan pihak media yang berbentuk penerangan dan boleh dimanfaatkan oleh kita sebagai pembayar cukai.

Selain daripada portal rasmi HASiL, maklumat percukaian juga boleh dirujuk di platform media sosial rasmi HASiL dan portal-portal firma percukaian bertauliah yang sememangnya pakar dalam bidang percukaian.

Sebolehnya elakkan untuk membuat rujukan dengan maklumat yang dikongsi di media sosial yang tidak diiktiraf. Hal ini kerana dikhuatiri maklumat yang dipaparkan dalam media sosial tersebut adalah kurang tepat dan terpesong.

3. Hubungi HASiL Untuk Dapatkan Maklum Balas & Khidmat Nasihat

Bagi memastikan kita mendapat maklum balas sahih dan nasihat yang tepat, kita boleh menghubungi pegawai perhubungan pelanggan HASiL di talian 03-89111000 atau 603-89111100 bagi panggilan dari luar negara. Jangan sesekali merujuk kepada pihak yang tidak pakar kerana ia hanyalah umpama kita bertanya mengenai rawatan dan perubatan kepada arkitek dan bukannya kepada seorang doktor. Dikhuatiri isu percukaian kita tidak akan selesai malah akan menjadi lebih celaru.

Seandainya talian khidmat pelanggan HASiL ini terlalu sibuk, kita masih lagi mempunyai pilihan untuk menghubungi pegawai-pegawai yang telah diberikan tanggungjawab melayani pertanyaan pembayar cukai yang mana nombor-nombor telefon bimbit rasmi mereka ada disiarkan dalam portal rasmi LHDNM. Selain itu, pelbagai saluran komunikasi lain seperti HASiL Live Chat, Facebook, Twitter, Instagram dan Borang Maklum Balas Pelanggan turut disediakan oleh HASiL untuk kita manfaatkan. 

4. Semak Kedudukan Cukai Melalui MyTAX

Lakukan semakan dengan HASiL sekerap mungkin bagi mengelakkan kita terbeban dengan cukai tertunggak. Kini HASiL telah menyediakan kaedah semakan yang mudah iaitu melalui aplikasi MyTax yang boleh dibuat secara dalam talian dan di hujung jari sahaja. MyTax bukan sahaja satu aplikasi yang membolehkan kita membuat semakan cukai, malah lebih daripada itu MyTax juga merupakan one stop centre bagi pembayar cukai untuk mengisytiharkan cukai mereka dan mendapatkan informasi cukai yang terkini.  

Contoh Tangkap layar paparan aplikasi MyTax yang membolehkan kita 
membuat semakan kedudukan terkini cukai pendapatan.

5. Bincang Dengan HASiL Untuk Ansuran Cukai

HASiL sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan jika kita tidak mampu membayar amaun cukai secara sekali gus. Bagi HASiL kaedah bayaran secara ansuran masih boleh dipertimbangkan, namun ia hendaklah mendapat kelulusan terlebih dahulu. Maknanya, kita tidak boleh mengambil keputusan sendiri dengan membuat bayaran amaun cukai kita sedikit demi sedikit tanpa persetujuan pihak HASiL.

Bagi tujuan ini biasanya kita dikehendaki menyediakan dokumen-dokumen seperti penyata aliran tunai bulanan, penyata bank beberapa bulan terkini, senarai komitmen bulanan kita dan bilangan ansuran yang ingin kita cadangkan. Bukan setakat ansuran sahaja boleh dibincangkan, malah kita juga boleh membuat rayuan atas kenaikan cukai yang dikenakan terhadap kita dan rayuan akan dipertimbangkan oleh HASiL berdasarkan kepada merit setiap kes. Jadi, tiada lagi alasan untuk kita tidak menghubungi HASiL dan melakukan perbincangan dengan mereka berkenaan bayaran cukai kita.

Pendek kata, seperti mana yang sering diperkatakan oleh netizen pada masa ini, “Benda boleh bincang, buat apa nak kecoh-kecoh!”. HASiL bersedia untuk mendengar permasalahan kita dalam melunaskan tunggakan cukai dan seterusnya mencadangkan jalan penyelesaiannya.

Kesimpulannya, tunggakan cukai tidak akan berlaku seandainya kita sentiasa ambil peduli tentang hal ehwal percukaian kita. Jangan bimbang untuk berbincang dengan HASiL sekiranya kita tidak mampu untuk melunaskan semua cukai kita dengan segera, sebaliknya hubungilah HASiL dan ambil inisiatif untuk berbincang kaedah ansuran yang terbaik.

Ingatlah bahawa cukai yang kita bayar amat diperlukan kerana ia akan digunakan oleh Kerajaan untuk manfaat segenap lapisan rakyat. Melalui duit cukai ini pelbagai kemudahan dan program pembangunan serta kebajikan rakyat dapat dilaksanakan.

Rakyat Malaysia ini bertuah, kerana dengan adanya cukai, Kerajaan mampu menyediakan berbilion-bilion ringgit dana bantuan terutamanya apabila berlakunya pandemik COVID-19 dan bencana alam. Semuanya adalah bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terbela. Terima kasih pembayar cukai! Kerana sumbangan anda, rakyat Malaysia sejahtera.

Artikel ini disediakan oleh Bahagian Komunikasi, Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif HASiL.

Banyak perkara yang perlu anda ambil tahu sebelum memiliki rumah. 


InshaAllah, kami berhasrat untuk berkongsi ilmu yang kami ada mengenai hartanah kepada pembaca setia Majalah Labur.

Kunci pertama sebelum beli rumah adalah ilmu, ilmu dan ilmu. 

Lebih awal belajar, lebih cepat dapat menilai sesebuah rumah.Jika berminat boleh isi borang .

ILMU PREMIUM HARTANAHSEKARANG!

Previous ArticleNext Article

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.