Seramai 13,000 Pembayar Cukai Lunaskan Tunggakan Bawah PPSS Dalam Dua Bulan — Ahmad

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) — Kira-kira 13,000 pembayar cukai yang terdiri daripada individu serta perniagaan telah tampil di bawah Program Pengakuan Secara Sukarela (PPSS) untuk membayar dan melunaskan cukai tertunggak melibatkan hasil kutipan sebanyak RM100 juta.

Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata para pembayar cukai yang mempunyai tunggakan dinasihatkan untuk tidak menunggu hingga ke saat-saat akhir bagi membuat pembayaran untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

“PPSS masih berbaki 10 bulan lagi, dengan jumlah 13,000 pembayar cukai yang sudah tampil setakat dua bulan ini, kita menjangkakan program ini akan melepasi sasaran awal 50,000 pembayar cukai,” katanya kepada pemberita selepas program sesi Libat Urus Bersama Associated Zong Xiang Chamber of Commerce Malaysia di sini, hari ini.

Kerajaan menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah melaksanakan strategi perluasan hasil cukai dan kutipan secara lebih berkesan melalui PPSS yang akan bermula pada awal Jun tahun ini sehingga 31 Mei 2024.

Sebanyak RM1 bilion tambahan kutipan cukai disasarkan menerusi program itu untuk cukai langsung bagi LHDN dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membabitkan cukai tidak langsung.

Beliau berkata, permohonan dibuka kepada pembayar cukai baharu dan sedia ada dengan manfaat pengenaan penalti pada kadar sifar peratus atau tanpa dikenakan penalti.

“Pembayar cukai dinasihatkan untuk hadir ke pejabat LHDN apabila program mula dibuka kepada mereka yang layak sebelum aktiviti audit dan siasatan iaitu prosedur biasa LHDN diambil ke atas mereka.

“Program ini dijangka membabitkan sebanyak 50,000 pembayar cukai dengan anggaran kutipan cukai berjumlah RM1 bilion,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Cadangan Laksana Cukai Kekayaan Buat Masa Ini – MOF

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Kerajaan ketika ini tidak bercadang untuk melaksanakan cukai kekayaan sebanyak dua peratus ke atas individu kaya raya bagi menampung perbelanjaan kerajaan, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF menjelaskan bahawa buat masa ini kerajaan mendapati sumbangan hasil cukai kekayaan adalah tidak signifikan sekiranya elemen pengecualian dan pelepasan cukai diberikan sepertimana pelaksanaan lain-lain cukai yang sedia ada.

“Pelaksanaan cukai kekayaan dalam apa-apa bentuk atau mekanisme perlu diteliti daripada pelbagai aspek termasuk asas kenaan cukai yang kecil dan terhad di Malaysia.

“Namun, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan dasar percukaian yang dilaksanakan adalah berlandaskan prinsip keadilan dan saksama serta lebih bersasar supaya struktur percukaian kekal progresif dan mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan sosioekonomi,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Pada masa sama, menurut MoF, pendekatan secara lebih bersasar telah dilaksanakan dengan meluaskan asas cukai kepada golongan yang lebih berkemampuan.

Ini termasuk melalui pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai, cukai dividen bagi pendapatan dividen melebihi RM100,000 dan cukai yang dikenakan ke atas agihan keuntungan melebihi RM100,000 yang diterima oleh pekongsi daripada perkongsian liabiliti terhad.

— Bernama