Dasar Gaji Progresif Bersifat Sukarela, Kerajaan Tidak Paksa Syarikat Sertainya

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) — Kerajaan tidak akan memaksa mana-mana syarikat yang memilih untuk tidak menyertai Dasar Gaji Progresif berikutan ia bersifat sukarela, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib. 

Beliau berkata dasar itu juga berteraskan insentif dan berkaitan dengan produktiviti.

“Kita melaksanakan satu rintisan (projek rintis) dan selepas itu, kita akan menilai dan menambah baik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) mengenai nasib pekerja sekiranya syarikat memilih untuk tidak melaksanakan Dasar Gaji Progresif dan sama ada kementerian merancang untuk mengenakan kompaun atau denda bagi syarikat yang tidak melaksanakan dasar tersebut. 

Hanifah Hajar berkata Dasar Gaji Progresif diperkenalkan untuk mereformasi struktur gaji pekerja Malaysia dan sebagai pelengkap kepada dasar-dasar sedia ada iaitu Dasar Gaji Minimum dan Sistem Upah yang dikaitkan dengan Produktiviti atau PLWS.

Katanya tujuan utama Dasar Gaji Progresif ialah meningkatkan gaji pekerja sektor swasta secara sistematik untuk membolehkan ekonomi negara maju ke rantaian nilai yang lebih tinggi.

Beliau berkata ia juga selaras dengan satu daripada 17 Anjakan Besar Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu, Ketersediaan Bakat Masa Hadapan.

“Seperti yang telah dimaklumkan pada Persidangan Parlimen Malaysia yang lepas, pelaksanaan Dasar Gaji Progresif akan dimulakan dengan projek rintis pada Jun hingga Ogos 2024.

“Penilaian impak projek rintis ini pula akan dilaksanakan pada September 2024 untuk memastikan ketersediaan dasar sebelum pelaksanaan Dasar Gaji Progresif secara menyeluruh diputuskan,” katanya. 

Sehingga kini, katanya terdapat empat Jawatankuasa Kerja Pelaksanaan merentasi kementerian dan agensi telah ditubuhkan dan sedang melaksanakan gerak kerja untuk memperincikan mekanisme pelaksanaan Dasar Gaji Progresif.

Beliau berkata ia merangkumi Jawatankuasa Kerja Pembangunan Dasar, Jawatankuasa Pembangunan Sistem, Jawatankuasa Peningkatan Kemahiran dan Produktiviti serta Jawatankuasa Kerja Panduan Kenaikan Gaji Tahunan.

— BERNAMA

TAG: Dasar Gaji Progresif, Hanifah Hajar Taib, syarikat, rintis, jawatankuasa 

Previous ArticleNext Article

SC Dakwa Bekas Ketua Pegawai Kewangan Kerana Menyebabkan Kerugian Salah Kepada AT Systematization Berhad

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mendakwa seorang bekas Ketua Pegawai Kewangan AT Systematization Berhad (ATS) (kini dikenali sebagai Erdasan Group Berhad), di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana menyebabkan kerugian salah berjumlah RM7.821 juta kepada syarikat tersebut.

Yong Man Chai (Yong), 47, berdepan 20 pertuduhan di bawah seksyen 317A(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana didakwa membuat bayaran berjumlah RM7.821 juta kepada lima syarikat dengan niat untuk menyebabkan kerugian salah kepada ATS.

Syarikat-syarikat tersebut ialah Delta Million Dynamic Sdn Bhd, Midas Mode Sdn Bhd, LMC Multi Trading, Midland Sands Sdn. Bhd. dan Silver Metal Sdn. Bhd.

Kesalahan-kesalahan itu berlaku antara Julai 2020 dan Oktober 2021 di Petaling Jaya, Selangor.

Di bawah seksyen 317A(1) CMSA, seorang pengarah atau pegawai bagi sesebuah syarikat tersenarai atau mana-mana syarikat berkaitannya tidak boleh melakukan apa-apa dengan niat untuk menyebabkan kerugian salah kepada syarikat tersenarai tersebut atau syarikat berkaitannya.

Jika disabitkan kesalahan, Yong berdepan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10 juta.

Yong mengaku tidak bersalah terhadap semua 20 pertuduhan di tiga mahkamah berasingan dan telah dibenarkan ikat jamin berjumlah RM350,000.

Yong, yang hadir di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Puan Norma binti Ismail, dibenarkan ikat jamin sebanyak RM160,000 dengan dua penjamin tempatan. Beliau juga diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri kepada pegawai penyiasat SC di pejabat SC setiap bulan sebagai syarat tambahan jaminan oleh mahkamah.

Secara berasingan, Yong dibenarkan ikat jamin RM120,000 dan RM70,000 masing-masing di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Puan Suhaila binti Haron dan Tuan Azrul bin Darus. Kedua-dua mahkamah mengenakan syarat tambahan jaminan yang sama.

Sebelum ini pada 8 Oktober 2025, bekas Pengarah Urusan ATS, Choong Lee Aun telah didakwa kerana menyebabkan kerugian salah berjumlah RM16.35 juta kepada syarikat tersebut.

Pertuduhan yang dikenakan terhadap Yong hari ini dimungkinkan melalui kerjasama rapat antara SC dan kedua-dua agensi penguatkuasaan undang-undang dalam dan luar negara.

Usaha bersama ini mencerminkan komitmen untuk memastikan pelaku kesalahan undang-undang sekuriti dibawa ke muka pengadilan. SC ingin merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (INTERPOL) dan Keselamatan Penerbangan Lapangan Terbang Malaysia (AVSEC) atas bantuan yang tidak ternilai.