Empat Penggerak Utama Pasaran Global Minggu Ini (10-14 Jun 2019)

Hari pertama selepas umat Islam merayakan Hari Raya Aidilfitri, pasaran saham global meraikan penggantungan tarif oleh Presiden Donald Trump terhadap import barangan dari Mexico, dengan kebanyakan indeks saham global merekodkan kenaikan pada hari Isnin (10 Jun 2019).

Walaupun hubungan Amerika Syarikat dengan China kekal tegang dalam isu perdagangan, pendekatan terbaru Trump terhadap Mexico sedikit melegakan kebimbangan pelabur, ditambah lagi selepas tersebarnya spekulasi tentang kemungkinan penamatan halangan terhadap Huawei.

Saham Asia dan Eropah menokok sehingga 1% dengan hampir kesemua indeks saham Asia merekodkan kenaikan selepas penutupan pasaran pada Isnin. Tidak terkecuali Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) yang merekodkan kenaikan 6.14 mata (+0.37%) untuk ditutup pada paras 1,655.47 mata.

Selain daripada isu tarif Mexico, satu lagi pemangkin kepada lonjakan saham pada Isnin adalah harapan pelabur untuk melihat pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (The Fed) selepas pengumuman data pekerjaan (NFP) yang kurang memberangsangkan pada lewat minggu lalu.

Kejatuhan data pekerjaan Amerika Syarikat pada hari Jumaat (7 Jun 2019) telah membantu lonjakan saham Wall Street pada hari tersebut dengan Indeks Dow Jones (DJIA), S&P 500 dan Nasdaq masing-masing mencatat kenaikan 1.02%, 1.05% dan 1.66%.

Walaubagaimanapun, ketegangan di antara AS-China akan terus menjadi faktor kebimbangan pelabur. Hal ini terbukti dengan kebimbangan yang diutarakan oleh pemimpin negara G20 yang menyatakan perang perdagangan semakin memuncak dan mampu merencat pertumbuhan ekonomi dunia.

Berikut adalah empat tema yang bakal mempengaruhi landskap pasaran dunia sepanjang minggu ini.

1. Perkembangan Terkini Isu Perdagangan Global

Amerika Syarikat dan China saling berbalas retorik selepas kegagalan rundingan sebelum ini, di mana China enggan tunduk dengan tekanan oleh Presiden Trump. Daripada tarif terhadap import sehinggalah halangan terhadap Huawei, China dilihat tidak mahu mengalah dengan tekanan demi tekanan yang dilontarkan oleh AS.

Terbaru Trump mengancam untuk menambah tarif terhadap China jika Presiden Xi Jinping memulaukan perhimpunan negara G20 yang dijadualkan pada hujung bulan ini.  Amerika Syarikat kini sedang bersedia untuk mengenakan tarif tambahan terhadap $300 billion produk dari China jika China terus berdegil. Ini menjadikan tarif terhadap kesemua produk China berjumlah $500 billion.

2. Data Inflasi Amerika Syarikat

Bacaan inflasi AS akan menjadi data ekonomi terpenting yang bakal menjadi perhatian pasaran pada minggu ini. Pengerusi The Fed, Jerome Powell sebelum ini menjelaskan kelemahan inflasi hanyalah sementara dan peningkatan Indeks Harga Pengguna (CPI) dari tahun ke tahun (y/y) kepada 2.1% pada April membuktikan jangkaan tersebut.

Walaubagaimanapun, data bulan Mei dijangka memberi cabaran kepada The Fed yang akan bermesyuarat pada minggu hadapan bagi menetapkan dasar monetari di Amerika Syarikat.

Jika data harga pengguna pada Rabu meleset daripada jangkaan penganalisis, berkemungkinan besar Wall Street bakal merekodkan kenaikan sekali lagi dengan andaian ceteris paribus.

Hal ini kerana penurunan data inflasi akan meningkatkan kebarangkalian untuk bank pusat Amerika Syarikat menurunkan kadar faedahnya dalam masa terdekat.

3. Tren Pergerakan Harga Minyak Mentah

Harga minyak mentah begitu sensitif dengan isyarat kelemahan ekonomi global dan ia banyak terkesan oleh perkembangan isu perang dagang sejak akhir-akhir ini. Harga komoditi hitam ini telah jatuh 18% daripada paras tertinggi pada April 2019 dan menunjukkan tanda-tanda permintaan yang semakin berkurangan disebabkan faktor perang perdagangan di antara Amerika Syarikat dan China.

Komuniti pelabur semakin bimbang dengan potensi berlakunya kemelesetan ekonomi dan juga bekalan minyak yang semakin meningkat. Menteri tenaga Arab Saudi dan Rusia akan berada di Jepun bulan ini bagi menghadiri perhimpunan negara-negara G20 di mana pendirian mereka tentang perkembangan dalam isu ini bakal menjadi perhatian.

Menteri tenaga Arab Saudi, Khalid Al-Falih berkata pada Isnin (10 Jun 2019) bahawa mereka semakin hampir untuk mencapai perjanjian bagi mengurangkan pengeluaran minyak di kalangan ahli OPEC dan Rusia. Hal ini telah memberi kesan kenaikan minyak mentah pada pembukaan pasaran minggu ini.

4. China Tingkatkan Pembelian Emas

China meningkatkan pembelian emas sekaligus merekodkan kenaikan rizab emas selama enam bulan berturut-turut. People’s Bank of China meningkatkan rizabnya daripada 61.10 auns kepada 61.61 auns bagi bulan Mei. Hal ini menunjukkan tindakan China mengurangkan pegangan asetnya dalam bentuk Dolar Amerika Syarikat kepada emas dalam usaha mempelbagaikan portfolio mereka.

China adalah pengeluar dan pengguna emas terbesar dunia, yang sedang berhadapan dengan ekonomi domestik yang perlahan berikutan serangan perdagangan daripada Amerika Syarikat.

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA