Hak Perwarisan Harta Pusaka Bagi Anak Tak Sah Taraf

Tahukah anda, mengikut statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dari tahun 2010 hingga 2018, seramai 172,811 anak tak sah taraf beragama Islam yang didaftarkan.

Dan sejak tahun 2019 sehingga bulan Januari 2020 pula, seramai 25,567 anak tak sah taraf telah didaftarkan.

Walaupun, perbahasan mengenai kedudukan perwarisan anak tak sah taraf terpencil, tetapi ianya mesti dibincangkan juga kerana ada dari kalangan masyarakat Muslim di Malaysia yang menghadapi masalah ini.

Isu ini agak sensitif dan perlu dibahaskan secara akademik dan objektif bagi memberi kefahaman kepada masyarakat.

Adakah anak tak sah taraf langsung tiada hak mewarisi harta pusaka?

Jika berhak, harta pusaka siapakah yang boleh diwarisinya?

Jika tidak berhak, adakah anak ini terzalimi kerana disebabkan dosa ‘ibubapanya’?

Sebelum menjawab persoalan-persoalan ini, perlu kita tahu dulu apakah maksud anak tak sah taraf.

Apakah yang dimaksudkan dengan anak tak sah taraf di Malaysia?

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57 (“Muzakarah Fatwa Kebangsaan”) yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah membincangkan mengenai Anak Tak Sah Taraf. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

  1. Anak Tak Sah Taraf ialah: Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.
  2. Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).

Anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut.

Bahkan, “bapa” tersebut tidak menjadi mahram bagi si anak (perempuan) dan tidak boleh mewalikan anak ketika anak tersebut ingin bernikah.

Kedudukan Anak Tak Sah Taraf Dalah Hukum Perwarisan Harta Pusaka

Merujuk pada Seksyen 11 (1) Akta Kesahtarafan 1961 [Akta 60]:

11. (1)  Jika, pada atau selepas tarikh yang ditetapkan, ibu seseorang yang tak sah taraf, jika anak itu bukan orang disahtarafkan, mati tak berwasiat berkenaan dengan kesemua atau mana-mana hartanya, dan tak meninggalkan zuriat sah taraf yang hidup dan pada masa dia mati, anak yang tak sah taraf itu, atau, jika dia telah mati, zuriatnya, berhak mengambil apa-apa kepentingan mengenai harta itu yang dia atau zuriatnya akan berhak mengambilnya jika dia telah dilahirkan sah taraf.

Perkara yang jelas, anak dan bapa (lelaki yang menyebabkan ibunya mengandung) tidak boleh saling mewarisi.

Dengan kata yang lebih mudah, jika si anak tidak mewarisi harta pusaka ‘bapanya’ dan begitu juga si ‘bapa’ tidak mewarisi harta pusaka anaknya.

Walaubagaimanapun, anak tak sah taraf tidak terputus hubungan dengan ibunya.

Malah kedua-duanya boleh mewarisi antara satu sama lain. Jika ibu meninggal dunia, dia boleh mewarisi harta ibu dan begitu juga sebaliknya.

Oleh itu, berdasarkan Akta Kesahtarafan 1961, anak-anak yang tak sah taraf hanya boleh mewarisi harta dengan 3 syarat berikut:

  • Harta yang dipusakakan adalah milik ibu
  • Ibu meninggal tanpa wasiat
  • Ibu tak mempunyai keturunan lain yang sah (anak, cucu dll)

Kemudian timbul persoalan, bagaimana jika kedua ibubapa telah bertaubat dan akhirnya bernikah.

Bolehkah anak mewarisi harta pusaka bapanya?

Di sini timbul percanggahan antara hukum perundangan sivil dan syarie.

Menurut hukum perundangan sivil, jika si ibu dan bapa kemudiannya berkahwin, mereka boleh memohon untuk sahkan anak tersebut selepas mendaftarkan perkahwinan mereka secara rasmi.

Hal ini tertakluk di bawah akta yang sama, iaitu Seksyen 4 Akta Kesahtarafan 1961 [Akta 60].

Manakala dari sudut hukum syarak, anak tersebut tetap dianggap anak tak sah taraf walaupun kedua ibubapanya telah berkahwin.

Dan begitu juga dengan hukum perwarisan, si anak dan bapa tetap tidak saling mewarisi.

Apa yang boleh dilakukan adalah dengan membuat wasiat atau hibah antara bapa dan anak semasa hidup.

Kesimpulan

Anak tak sah taraf tidak selayaknya dipersalahkan dengan keadaan mereka. Bukan mereka yang membuat dosa tapi kedua ibu bapa mereka.

Mereka berhak mendapat hak penjagaan, perlindungan dan nafkah, termasuk makan minum, tempat tinggal, pakaian, pendidikan, penjagaan kesihatan serta kebajikan tanpa mengira latar sejarah ibu bapa mereka.

Mereka juga berhak untuk mewarisi harta (seperti yang telah dinyatakan), serta berhak menerima wasiat dan hibah.

______________________________________________________________________________

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, seorang konsultan di sebuah firma runding perancangan harta dan urus pusaka. Beliau mengendalikan laman web fakhrurradzi.com. Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi beliau di sini.

Iklan

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!