Haram Guna Kad Kredit Konvensional

Baru-baru ini, tokoh kewangan Islam iaitu Dr Zaharuddin Abd Rahman ada menulis satu artikel menarik mengenai Tahukah Anda? Haram Guna Kad Kredit Konvensional.

Jom kita fahamkan penjelasan Dr Zaharuddin mengenai isu ini:

Keharusan Pengunaan Kad Kredit Islam

Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia. Keputusan:

MPS pada mesyuarat ke-77 bertarikh 3 Julai 2008 dan mesyuarat ke-78 bertarikh 30 Julai 2008 telah memutuskan bahawa kad kredit yang berdasarkan konsep ujrah seperti yang dicadangkan adalah dibenarkan, tertakluk kepada perkara berikut:

i. Institusi kewangan Islam hendaklah memastikan ujrah yang dikenakan merupakan tukaran kepada perkhidmatan, manfaat dan keistimewaan sebenar ( non-fictitious ) yang berlandaskan Syariah;

ii. Pengenaan ujrah yang berbeza bagi jenis kad kredit yang menawarkan perkhidmatan, keistimewaan dan manfaat yang berbeza adalah harus;

iii. Pengenaan ujrah bagi perkhidmatan, manfaat dan keistimewaan yang tidak berkaitan dengan pemberian qard , penangguhan hutang dan pertukaran tunai dengan tunai pada nilai berbeza adalah dibenarkan; dan

iv. Pengenaan ujrah bagi perkhidmatan, manfaat dan keistimewaan yang berkaitan dengan pemberian qard , penangguhan hutang dan pertukaran tunai dengan tunai pada nilai berbeza adalah tidak dibenarkan. Namun demikian, caj bagi menampung kos sebenar ( nafaqah/taklufah ) pengendaliannya boleh dikenakan.

Resolusi No.108 (2/12) berkenaan “Kad Kredit”: Majlis Akademi Fiqh Islam Antarabangsa dalam Pertubuhan Persidangan Islam Sesi Ke-12 yang diadakan di Riyadh (Arab Saudi) pada 25 Jamadil Akhir hingga 1 Rejab 1421H (23-28/9/2000).

Berdasarkan Resolusi No. 63(1/7) bagi tajuk Pasaran Modal telah diputuskan penetapan penangguhan berkaitan kad kredit akan dibuat pada sesi yang akan datang.

Dan berdasarkan Resolusi No. 102/4/10 setelah diteliti kertas kajian mengenai kad kredit yang dikemukakan kepada Majlis dan setelah didengari oleh para cendekiawan dan ahli ekonomi dalam perbincangan serta berdasarkan Resolusi No. 63(1/7) yang mentakrifkan kad kredit sebagai:

Satu dokumen diberikan oleh pengeluarnya (bank) kepada seseorang individu atau entiti (pemegang kad) dengan ikatan kontrak di antara mereka yang membolehkan pemegang kad membeli barang-barang atau perkhidmatan daripada penjual yang mengiktiraf kad tanpa perlu membuat pembayaran segera kerana jaminan pembayaran yang dibuat oleh pengeluar kad. Pembayaran dibuat melalui akaun pengeluar kad (bank) di mana selepas itu caj akan dikenakan ke atas pemegang kad pada selang waktu yang ditentukan. Sebahagian pengeluar mengenakan kadar faedah (riba) pada jumlah baki yang belum dilangsaikan selepas satu tempoh tertentu dari tarikh (hutang tersebut) yang dituntut manakala sebahagian pengeluar tidak mengenakan sebarang kadar faedah.

Keputusannya adalah seperti berikut:

Pertama: Tidak dibenarkan untuk mengeluarkan kad kredit atau menggunakannya jika ia mensyaratkan pengenaan kadar faedah (riba) walaupun pemegang kad berazam untuk membayar dalam tempoh yang tidak dikenakan caj kadar faedah.

Kedua: Dibenarkan untuk mengeluarkan kad kredit jika tidak disyaratkan sebarang pengenaan caj faedah atas hutang. Keharusan aqad ini melihat kepada dua jenis pertimbangan:

A) Dibenarkan bagi pengeluar kad untuk mengambil sejumlah wang yang tertentu daripada pemegang kad ketika pengeluaran atau pembaharuan Kad atas kos sebenar (actual cost) di atas perkhidmatan yang telah disediakan kepada pemegang kad.

B) Dibenarkan pengeluar kad untuk mengambil komisen atas barang-barang atau perkhidmatan yang dibeli oleh pemegang kad dengan syarat bahawa barang-barang atau perkhidmatan itu dijual pada harga yang serupa samaada dalam bentuk tunai atau kredit.

Ketiga: Penggunaan kad kredit untuk mengeluarkan tunai adalah sebuah bentuk pinjaman (Qardh) daripada pengeluarnya. Oleh itu, transaksi seperti ini tiada larangan menurut Syara’ selagimana tidak melibatkan pembayaran caj faedah (riba). Jumlah caj tertentu yang diambil oleh pengeluar kad sebagai bayaran untuk kos perkhidmatan sebenar yang tidak berkaitan dengan jumlah pinjaman atau tempoh bayaran tidak dianggap sebagai riba. Apa-apa caj tambahan ke atas perkhidmatan sebenar adalah haram kerana ia merupakan riba yang diharamkan Syara’ seperti yang digariskan oleh Akademi Fiqh Islam Antarabangsa iaitu pada Resolusi No.13 (10/2) dan No.13 (1/3).

Keempat: Tidak dibenarkan menggunakan kad kredit untuk membeli emas, perak dan mata wang.

Kredit: FB Dr Zaharuddin Abd Rahman

Sekarang dah tahu, cepat-cepatlah bertukar ke kad kredit Islamik.

Jemput baca juga:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.