Harta Pusaka: Bagaimana Cara Terbaik Menguruskannya?

Apabila seseorang itu meninggal dunia, sudah pasti meninggalkan kesan yang mendalam kepada mereka yang masih hidup; lebih-lebih lagi yang meninggal dunia itu adalah merupakan ibu bapa mereka sendiri. Kebanyakan ibu atau bapa ada meninggalkan harta pusaka kepada anak-anak mereka, yang menjadi masalah adalah apabila harta pusaka tersebut tidak diwasiatkan. Sebagai anak kepada si mati, sudah menjadi tanggungjawab si anak untuk menguruskan pembahagian harta pusaka ibu atau ayah mereka mengikut faraid.

Namun begitu, kebanyakan masalah yang sering timbul yang melibatkan pembahagian harta pusaka tersebut adalah cara pembahagian harta tersebut dijalankan. Malahan, ada adik-beradik yang bertingkah sesama sendiri semata-mata kerana berebutkan harta pusaka yang ditinggalkan. Bagaimana sebenarnya cara yang terbaik untuk menguruskan harta pusaka, supaya pertelingkahan tidak berlaku?

Dalam Islam, terdapat suatu kaedah pembahagian harta pusaka yang dikenali sebagai Faraid sebagaimana yang disebut di dalam Al-Quran. Ia diperoleh daripada seseorang yang meninggal dunia dan meninggalkan waris yang layak menerima harta pusaka mengikut Hukum Syarak setelah diuruskan jenazah si mati, dibayar hutang piutangnya dan dilaksanakan wasiatnya (sekiranya ada). Ia dibahagikan mengikut kadar yang telah ditetapkan ataupun secara permuafakatan.

Pembahagian tersebut tertakluk kepada sebab dan syarat-syarat tertentu dan tiada yang menghalang ahli waris daripada menerima harta pusaka. Namun begitu, masalah “ketidakadilan” dalam pembahagian harta pusaka masih menjadi masalah yang besar walaupun telah mengikut faraid.

Berikut merupakan antara cara yang boleh diguna pakai untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang, terutama bagi pembahagian harta pusaka yang tidak ditinggalkan dengan sebagarang wasiat.

  1. Lantik seorang pentadbir untuk urusan pembahagian supaya ketidakadilan tidak berlaku.
  2. Kumpul maklumat mengenai harta yang ada dan juga waris-waris yang terlibat. Kenalpasti kesemua waris yang ada. Pastikan dokumen-dokumen penting yang diperlukan ada dalam tangan waris. Jika tiada, pentadbir perlu bertindak untuk mendapatkan dokumen tersebut.
  3. Buat penilaian ke atas harta pusaka – nilai harta menetukan tempat untuk memohon Surat Kuasa Mentadbir atau Letter of Admission (LA). Ianya juga boleh dipohon melalui Mahkamah Tinggi, Pejabat Pusaka Kecil, atau Amanah Raya Berhad mengikut pengiraan tertentu.
  4. Bagi yang beragama Islam, Sijil Faraid perlu dipohon melalui Mahkamah Syariah. Sijil Faraid mengandungi maklumat berkenaan nilai harta pusaka, nama waris-waris yang berhak dan kadar bahagian setiap waris. Sijil Faraid memastikan tiada kezaliman dan keciciran ke atas setiap waris yang berhak.
  5. Kesepakatan di kalangan waris yang terlibat. Untuk mengelakkan berlakunya pertelingkahan di kalangan adik beradik ataupun waris dalam pembahagian harta pusaka, adalah lebih penting untuk para waris bersepakat dan membuat perbincangan berkesan dan mendapatkan persetujuan antara satu sama lain.

Pembahagian harta pusaka yang tidak diwasiatkan selalunya mengambil masa yang agak lama. Oleh itu, kesepakatan di kalangan waris-waris itu sendiri adalah penting supaya perkara ini tidak dipanjangkan.

Sumber Rujukan:

Jangan lupa untuk baca:

Iklan

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Perlukah Pasangan Yang Berkahwin Gabungkan Kewangan Mereka? Ambil Tahu 3 Kelebihan dan 3 Kekurangan Ini

Beberapa bulan yang lalu, negara dikejutkan dengan sebuah berita yang agak kelakar namun amat serius: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat YB Hannah Yeoh menyatakan kebimbangannya terhadap kes-kes cerai (bawah lima tahun) yang semakin meningkat saban hari.

Berita itu memaparkan pelbagai punca perceraian yang kelakar dan tak munasabah, contohnya seperti punggung isteri menggerutu, perbezaan fahaman politik, pasangan tidur berdengkur, berebut rancangan televisyen, dan pasangan bangun tidur lewat.

Selain daripada itu, terdapat juga punca-punca perceraian yang berkaitan dengan kewangan, seperti isteri meminta set persalinan 30 jenis warna untuk baju, seluar, dan aksesori; gaji suami lebih rendah; pasangan gemar membeli-belah; dan suami kedekut.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali dalam Utusan Online, kebanyakan pasangan muda yang berusia 30 tahun ke bawah bercerai kerana kurang persediaan dalam memikul tanggungjawab berumah tangga terutama membabitkan soal kewangan.

Pada dasarnya, kebanyakan pasangan muda memilih untuk berpisah selepas mereka gagal menangani krisis kewangan dengan baik. Bagi anda yang baru berkahwin (dengan usia perkahwinan kurang lima tahun), mungkin anda masih belum terbiasa dalam soal pengurusan kewangan rumahtangga.

Terdapat pakar kewangan yang menyatakan pasangan berkahwin digalakkan untuk menggabungkan kewangan mereka. Tapi sebelum anda pergi membuka akaun bank bersama (joint bank account), jom tengok tiga kelebihan dan tiga kekurangan dalam menggabungkan kewangan dalam rumahtangga.

Disebabkan setiap pasangan mempunyai keadaan kewangan dan gaya hidup yang berbeza, mungkin penggabungan kewangan tidak sesuai bagi semua orang. Lihat keadaan anda dan pasangan anda, serta buat pertimbangan yang sewajarnya:

Kelebihan Menggabungkan Kewangan

1. Para isteri lebih terpelihara dari segi kewangan

Bagi golongan isteri, mereka mungkin lebih terpelihara dari segi kewangan jika membuat akaun bank bersama. Ini kerana wanita selalunya akan mengalami ‘gangguan’ dalam pendapatan mereka apabila mereka berhenti kerja bagi menjaga anak di rumah.

Dengan adanya akaun bank bersama, para isteri boleh menggunakan wang yang ada pada bila-bila masa untuk membeli keperluan rumah atau anak, tanpa perlu sering meminta kepada suami. Ini juga sekaligus memudahkan pihak suami.

2. Memudahkan anda dalam urusan tertentu

Sumber Gambar: Pixabay

Dalam hal permohonan pembiayaan atau pinjaman baru di mana pasangan anda turut menandatanganinya bersama (co-signer), anda mempunyai peluang yang lebih cerah untuk mendapatkan kadar faedah yang rendah serta terma yang lebih baik sekiranya pasangan anda mempunyai skor kredit yang tinggi.

Selain daripada itu, sekiranya pasangan anda meninggal dunia, anda tidak perlu bersusah-payah dalam mendapatkan hak anda. Anda juga tidak perlu merujuk kepada wasiat atau berdepan dengan sistem perundangan bagi menuntut wang itu kerana anda ialah pemilik bersama.

Ini sekaligus menyelamatkan anda daripada perebutan harta yang sering terjadi dalam keluarga.

3. Mengajar anda untuk sama-sama selesaikan masalah

Sumber Gambar: Pixabay

Mempunyai akaun bank bersama boleh mengajar anda untuk bertolak ansur dan menggalakkan kedua-dua pihak untuk bekerjasama bagi menyelesaikan krisis kewangan yang melanda. Ini dapat mengajar anda dan pasangan untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan mengenai wang, yang merupakan suatu topik sensitif.

Komunikasi yang baik boleh mengukuhkan lagi hubungan anda bersama, bukan hanya kewangan semata-mata.

Kekurangan Menggabungkan Kewangan

4. Perbelanjaan anda menjadi semakin terhad

Sumber Gambar: Pixabay

Bagi anda yang gemar berbelanja, anda tidak boleh bebas berbelanja seperti anda masih bujang. Perkahwinan menambah tanggungjawab, dan bagi menunaikan tangungjawab yang ada; perbelanjaan anda juga menjadi semakin terhad, tidak kira bagi suami atau isteri.

Keutamaan harus diberikan kepada pembayaran bil dan perbelanjaan rumah serta anak-anak. Sekiranya anda terlalu boros berbelanja, pasangan anda boleh mengetahuinya dengan mudah melalui akaun bank bersama, dan ini boleh menyebabkan berlakunya pertengkaran.

5. Boleh menjadi punca suami isteri bertengkar

Berbalik kepada point nombor 4 tadi, pasangan boleh bertengkar sekiranya salah seorang tidak bertanggungjawab dalam pengurusan wang. Selain itu juga, jika salah seorang merupakan jenis yang kedekut dan terlalu berkira, ini akan menyebabkan tekanan perasaan kepada pasangannya.

Bagi anda yang mempunyai pasangan yang terlalu berkira dan tak mahu bertolak ansur, sebaiknya lupakan saja rancangan untuk membuka akaun bank bersama. Golongan jenis berkira dan kedekut selalunya juga gemar mengungkit. Jadi demi kebaikan anda, lupakan saja. Cari penyelesaian lain yang sewajarnya.

6. Kesukaran dalam menguruskan wang atau kehilangan wang apabila berlaku perceraian

Sekiranya berlaku perceraian, kemungkinan anda akan berdepan dengan kesukaran dalam membahagikan wang yang telah dikumpul bersama. Tambahan lagi, setiap pasangan mempunyai hak untuk mengeluarkan wang dan menutup akaun itu tanpa persetujuan pihak yang lain.

Bagi mereka yang mempunyai pasangan yang tidak adil atau berniat jahat, anda berisiko tinggi untuk kehilangan semua wang yang ada (jika bekas pasangan anda telah membuat pengeluaran terlebih dahulu).

Buat perbincangan mengenai pengurusan kewangan dengan pasangan

Menggabungkan kewangan bukanlah perkara yang wajib bagi setiap pasangan yang telah berkahwin. Terdapat banyak jalan lain yang boleh membantu anda menguruskan wang, sekaligus mengukuhkan kewangan anda dan pasangan.

Berikut merupakan beberapa perkara penting yang anda berdua boleh lakukan:

Adakan perbincangan mengenai kewangan

Setiap pasangan akan berhadapan dengan krisis kewangan pada bila-bila masa, jadi sebaiknya buatlah persediaan yang wajar. Ajak pasangan anda untuk menilai situasi kewangan masing-masing.

Adakah anda atau pasangan anda mempunyai hutang kad kredit atau pinjaman? Adakah masing-masing mempunyai simpanan yang cukup dan pelan persaraan yang memuaskan? Adakah anda berdua dibebani banyak hutang?

Pastikan pasangan anda juga tahu akan keadaan kewangan anda. Tanya pasangan anda mengenai gaya pengurusan kewangannya.

Lihat jika akaun bank bersama memberi lebih manfaat atau tidak

Selain daripada enam point utama yang disenaraikan, bincangkan lagi kebaikan dan keburukan yang ada sekiranya anda berdua membuka akaun bank bersama.

Sertai bengkel pengurusan kewangan bagi pasangan berkahwin yang dianjurkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)

Bagi mengatasi kadar perceraian yang semakin meningkat, kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk mengukuhkan perkahwinan dan institusi keluarga. Disebabkan masalah kewangan merupakan salah satu punca utama perceraian, program-program berkaitan pengurusan kewangan telah banyak dianjurkan.

Contohnya, LPPKN menawarkan program Smart Start (untuk mendidik pasangan yang berkahwin di bawah lima tahun dalam menubuhkan rumahtangga) dan Belanja Pintar (untuk mendidik mereka tentang pengurusan kewangan yang baik untuk isi rumah).

Anda juga boleh belajar mengenai pengurusan kewangan rumahtangga secara dalam talian dan percuma pada bila-bila masa.

Dikarang oleh BBazaar Malaysia. Disiarkan secara eksklusif di MajalahLabur.

BBazaar Malaysia (BBazaar.my) adalah sebahagian daripada BankBazaar International,pasaran utama dalam talian neutral yang membantu pengguna membuat keputusan mengenai produk kewangan seperti pinjaman, insurans, kad kredit, simpanan tetap, akaun simpanan, dana bersama dan banyak lagi. Perkhidmatan BBazaar Malaysia ditawarkan melalui platform yang selamat, mesra pengguna dan intuitif.

Ditubuhkan pada tahun 2008, BankBazaar bertumpu kepada penggunaan teknologi untuk menyediakan transaksi tanpa kertas dari mula hingga akhir yang memberi keselesaan kepada pelanggan. Hasilnya adalah pemberian tawaran peribadi hingga ke peringkat individu. Dengan bantuan pasukan khidmat pelanggan yang komited dan komuniti pengguna yang semakin meningkat, BankBazaar adalah cara paling mudah untuk orang ramai mencari dan memilih produk kewangan yang tepat secara dalam talian.

BankBazaar disokong oleh pelabur global berkaliber termasuk Walden International, Sequoia Capital, Fidelity Growth Partners, Mousse Partners, Amazon dan Experian.

Di samping menawarkan produk kewangan, BBazaar Malaysia (BBazaar.my) juga menyediakan artikel yang boleh diakses di: https://blog.bbazaar.my, mengenai topik kewangan dan gaya hidup peribadi setiap hari. Artikel artikel dipermudah kan untuk semua orang dari para pemula hinggalah ke pakar. BBazaar Malaysia (BBazaar.my) percaya bahawa setiap orang perlu diberi peluang untuk belajar mengenai dunia kewangan.

Iklan

Tutorial Simpanan Akaun Tabung Haji Anak-Anak Secara Online

Norma biasa tiba sahaja musim perayaan, kanak-kanak akan lebih keterujaannya sebab dapat duit raya. Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan penting agar duit raya anak-anak tidak dibazirkan bahkan disimpan sebaiknya di tempat yang betul.

Ikuti hasil perkongsian daripada Puan Nur Aliah Mohd Nor berkenaan cara-cara nak simpan duit raya anak ke dalam akaun Tabung Haji. Buat secara online saja, tak perlu bersusah-payah.

Mudah Je Rupanya Nak Simpan Duit Raya Anak Di Tabung Haji. Ni Caranya.

Lia risau sangat kalau kita tak tahu cara nak uruskan simpanan duit raya anak-anak ke Tabung Haji ni!

Ramai juga orang kat luar sana yang gelisah sampai terpaksa PM Lia tanya cara macam mana nak transfer duit anak mereka ni ke Tabung Haji.

Lia suka dengan mak ayah yang dah fikirkan simpanan untuk anak-anaknya. Atleast simpan di Tabung Haji setiap tahun dapat juga dividen. Kan?

Sini Lia kongsikan cara mudah simpan duit anak ke Akaun Tabung Haji melalui perbankan atas talian Maybank2u.

Namun sebelum itu, bagi anda yang 1st time nak buat transfer macam ni, perkara utama anda perlu pergi ke ATM Maybank dan bawa sekali buku akaun Tabung Haji tu ye.

Linkkan Dulu Akaun Maybank Dengan Akaun Tabung Haji

Caranya:

1) Masukkan kad ATM Maybank ke mesin ATM Maybank
2) Pergi ke menu Tabung Haji (TH)
3) Tekan “Daftar Akaun TH ke ATM Kad”
4) Masukkan nombor akaun TH (boleh rujuk di buku akaun TH)
5) Siap!

Lepas dah siap daftar akaun Tabung Haji untuk diri sendiri dan anak-anak di mesin ATM, kemudian anda perlu buka website atau apps Maybank2u.

Ikut je langkah-langkah gambar di bawah ni, Lia ada tunjukkan step by step yang sangat mudah untuk anda follow.

Jangan biarkan duit raya anak-anak simpan di rumah. Masukkan terus ke akaun Tabung Haji agar lebih selamat. Biarkan je duit tu beranak-pinak (dividen) dalam akaun Tabung Haji. Best kan.

Step 1:
Masukkan kad Maybank anda, pilih bahasa M’sia atau English.

Step 2:
Pilih TABUNG HAJI (TH) di skrin menu utama ATM Maybank

Step 3:
Click Daftar Akaun Kanak-Kanak TH Ke ATM Kad

P/S : Kat sini macam-macam boleh buat tau. Nak check baki Tabung Haji pon boleh.

Step 4:
Sebelum nak daftarkan akaun anak-anak ke TH, Mak Ayah WAJIB daftar terlebih dahulu ke akaun TH di ATM Maybank.

Step 5:
Masukkan nombor akaun TH Mak/Ayah

Step 6:
Masukkan nombor siri buku akaun TH (rujuk pada buku Tabung Haji)

Click pada YA.

Seterusnya boleh register akaun TH untuk anak-anak pula.

Step 7:
Ini website Maybank yang paling latest.

Login je macam biasa. (Bawah sekali Lia ada tunjuk cara login website Maybank yang lama).

Step 8:
Click pada Pay & Transfer

Step 9:
Click pada Tabung Haji

Step 10:
Di bahagian sini anda boleh pilih nak transfer duit ke akaun Tabung Haji diri sendiri, atau untuk anak-anak.

Semua urusan Tabung Haji boleh buat dalam ni.

Nampak tak di sebelah kanan ada tulis RM? Di situ ada tunjuk berapa baki Tabung Haji anda.

P/S : Sekali lagi nak ingatkan, pastikan daftar/aktifkan dulu akaun TH anak-anak di ATM Maybank.

Siap!

Okay yang ini Lia nak tunjukkan cara bagaimana anda boleh buka website Maybank2u yang versi lama punya.

Nampak kan arrow warna kuning di sebelah kanan tu? Itu tandanya kalau anda nak back to old version Maybank.

Yang part ni login je macam biasa.

Click pada Accounts & Banking

Di bawah All Accounts, ada Tabung Haji. Click pada Tabung Haji tu.

Wah! Nampak tak bestnya pakai Maybank ni, semua ada! Nak check baki, nak transfer dari Tabung Haji ke akaun Maybank atau Maybank ke Tabung Haji (Diri sendiri atau anak-anak), dan boleh juga daftar haji!

Untuk keluarkan, boleh transfer ke akaun Maybank dan keluarkan melalui ATM.

Ni contohnya dari Maybank nak transfer duit ke Tabung Haji. Boleh tulis berapa amount nak transfer, dari akaun mana, ke akaun siapa (contoh: anak-anak).

Mudah je kan? Alhamdulillah semuanya dah siap!

Minta tolong sampaikan berita dan info ni pada keluarga kita ye sebab mungkin masih ramai yang belum tahu.

P/S : Bagi yang tak pernah buka akaun Tabung Haji, anda boleh buka akaun dengan bawa IC ibu/bapa, bawa MyKid dan Sijil Kelahiran anak ke bangunan Tabung Haji, Bank Islam atau Bank Rakyat.

Kredit: FB Nur Aliah Mohd Nor

Iklan

5 Kes Hiperinflasi Paling Teruk Dalam Sejarah

Dalam artikel sebelum ini kita telah sedikit sebanyak menyentuh tentang hiperinflasi. Kalau anda terlepas artikel tersebut, jemput baca Apakah Itu Hiperinflasi? Bagaimana Ianya Berlaku Dan Apakah Kesannya?

Kalau nak tahu, Tanah Melayu juga pernah menghadapi krisis hiperinflasi yang teruk, iaitu ketika Perang Dunia ke-2. Ia berlaku pada tahun 1942-1945 apabila tentera Jepun mencerobohi Tanah Melayu.

Ketika itu, kerajaan Jepun telah memperkenalkan matawang baru di Tanah Melayu yang dipanggil dolar, sama seperti matawang yang wujud sebelum itu iaitu Malayan Dollar.

Sumber : https://commons.wikimedia.org

Penduduk Tanah Melayu ketika itu memanggil matawang tersebut sebagai duit pisang, kerana terdapat motif buah pisang pada wang kertas 10 dolar.

Pencetakan wang secara berleluasa oleh kerajaan Jepun, penyebaran wang palsu, dan kekalahan Jepun dalam peperangan telah menyebabkan nilai duit pisang jatuh teruk dan seterusnya langsung tidak bernilai setelah tentera Jepun menyerah kalah.

Sebenarnya ada kes hiperinflasi yang lebih teruk dari kisah hiperinflasi Tanah Melayu. Mari kita singkap episod-episod hiperinflasi yang paling teruk dalam lipatan sejarah dunia.

5. GREECE, 1944

Sumber : https://aroundtheworldin80currencies.com

Wang kertas ini berasal dari era Perang Dunia II, 1944. Betapa teruknya hiperinflasi Greece pada tahun 1944 sehingga inflasi mencecah 18% sehari. Orang kaya pun berpeluh kalau nilai kekayaan mereka menjadi separuh setiap 5-6 hari!

Kalau hari ini duit mereka boleh membeli 10 ekor ayam, minggu depan mereka hanya dapat beli 5 ekor ayam sahaja dengan jumlah wang yang sama.

Kalau anda perasan, hiperinflasi yang berlaku di Greece terjadi pada waktu yang sama dengan hiperinflasi yang berlaku di Tanah Melayu. Ya, anda betul kalau anda meneka perang sebagai punca berlakunya hiperinflasi di Greece.

Hiperinflasi yang mulanya dicetuskan oleh kelembapan perdagangan diburukkan lagi dengan pencerobohan Kuasa Paksi terhadap Greece, kerana mereka dipaksa untuk membiayai 400 ribu askar penceroboh.

Aktiviti ekonomi Greece juga merudum, menyebabkan kerajaan tiada sumber pendapatan dan mula mencetak wang dengan agresif. Pada bulan November 1944, inflasi mencecah sehingga 13,800%!

Akhirnya, Greece berjaya pulih dengan merombak semula perbelanjaan kerajaan dan memperkenalkan matawang baru.

4. REPUBLIK WEIMAR, 1923

Tak pernah dengar nama ini kan? Ini adalah kerana republik tersebut sudah tidak wujud selepas tahun 1933, yang tinggal kini hanyalah sebuah bandar di Jerman yang bernama Weimar.

Keadaan ekonomi pasca-perang di Weimar menjadi amat getir, berpunca dari beberapa faktor: paksaan untuk membayar kos pembaikian oleh negara Bersekutu, sekatan ekonomi oleh Perancis dan Belgium, serta pencetakan wang secara berleluasa.

Republik Weimar juga tidak dibenarkan untuk menggunakan matawang sendiri untuk membayar kos membaikpulih kerana nilainya telah jatuh teruk. Akhirnya ia terpaksa menjual matawang sendiri dengan banyaknya dan menyebabkan nilainya semakin jatuh.

Di kemuncak krisis, harga barang naik sebanyak 21% sehari dan setinggi 29,500% sebulan! Harga barang mula menjadi stabil selepas matawang baru diperkenalkan dan pemiutang-pemiutang Jerman setuju untuk merunding semula pelan pembayaran hutang.

3. YUGOSLAVIA, 1994

Yugoslavia merupakan satu lagi wilayah yang sudah tidak wujud, akibat perpecahan kepada beberapa negara: Serbia dan Montenegro, Slovenia, Croatia, Bosnia dan Herzegovina, dan Macedonia.

Banyak sebab kenapa Yugoslavia berpecah, antaranya kejatuhan Soviet Union, ketidakstabilan politik serantau, dan semangat perkauman yang mencetuskan perang saudara yang berlarutan.

Akibat aktiviti ekonomi yang terjejas dek konflik, kerajaan mula mencetak wang untuk menampung perbelanjaan. Tetapi perbelanjaan yang tidak terkawal, tidak efisyen, serta penuh korupsi menyebabkan masalah ekonomi menjadi lebih teruk.

Akibat konflik tersebut juga, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengenakan sekatan ekonomi terhadap Yugoslavia. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Setiap hari, harga barang dianggarkan naik sebanyak 65%, menyebabkan harga berganda setiap 2 hari. Inflasi bulanan paling teruk pernah direkodkan pula mencapai 313,000,000%.

Tak tercapai dek akal, tapi angka ini bukanlah yang tertinggi dalam sejarah.

Teruskan membaca!

2. ZIMBABWE, 2008

Di tempat kedua pula merupakan kes hiperinflasi yang berlaku di Zimbabwe pada tahun 2008. Setiap hari harga barang naik sekali ganda kerana inflasi mencecah 98% sehari.

Tindakan kerajaan melancarkan program merombak semula hakmilik tanah dan merampas tanah dari penduduk Zimbabwe berkulit putih menyebabkan sektor perladangan menjadi perlahan dan menjejaskan ekonomi.

Presiden Mugabe, iaitu presiden ketika itu, memburukkan lagi keadaan dengan mencetak wang untuk membayar hutang IMF, gaji pekerja dan membiayai peperangan di Congo.

Hiperinflasi yang mencecah setinggi 79,000,000,000% pada bulan November 2008 akhirnya tamat setelah Zimbabwe dollar sudah tidak mempunyai nilai dan digantikan dengan US dollar dan South African rand.

1. HUNGARY, 1946

Dah bersedia untuk kisah hiperinflasi yang paling teruk dalam sejarah? Mari kita lihat.

Punca utama hiperinflasi Hungary ini kita boleh agak, kerana berlaku pada sekitar waktu yang sama dengan Tanah Melayu dan Greece. Peperangan menyebabkan Hungary membuat banyak pinjaman untuk membantu sekutunya iaitu Jerman, namun kekalahan Jerman menyebabkan hutang tersebut tidak dapat dibayar kembali kepada Hungary.

Tidak cukup dengan itu, Hungary juga dipaksa untuk membayar kos membaikpulih kepada Soviet. Kerajaan Hungary yang terdesak ketika itu telah mencetak wang secara agresif tanpa mengendahkan kesannya terhadap ekonomi.

Kerosakan kepada infrastruktur yang begitu teruk termasuklah kerosakan bangunan, rel kereta api dan jalanraya menyebabkan sesuatu yang dinamakan kejutan bekalan (supply shock). Kekurangan bekalan menyebabkan harga barangan meningkat dengan laju.

Pada tahun 1946, inflasi paling teruk pernah direkodkan  mencapai setinggi 13,600,000,000,000,000%. Setiap 16 jam, harga barang naik sekali ganda.

Akhirnya kerajaan mengambil langkah untuk menstabilkan matawang dengan merombak sistem cukai, membawa pulang simpanan emas dari negara lain, dan memperkenalkan matawang baru yang nilainya disokong oleh emas.

Sumber Rujukan:

Ditulis oleh Azam, seorang pengurus dana saham antarabangsa di sebuah institusi kewangan di Malaysia.

Penafian: Artikel ini merupakan pendapat dan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan rasmi mana-mana organisasi.

Iklan

Progres Kewangan Masih Kabur? Semak 5 Punca Ini

Tahun baru, azam baru dan serba-serbi baru tapi belum nampak sebarang perubahan? Idea di sebalik pengurusan kewangan memang nampak mudah dan praktikal, mungkin ini sebabnya mengapa progres kewangan kita masih kabur.

Punca #1: Berbelanja Lagi Best Daripada Menyimpan Duit

Siapa yang tak suka beli makanan/minuman atau gadget kesukaan? Minum Starbucks, main PlayStation 4, beli pakaian baru atau telefon pintar terkini? Rasa best dia lain macam bila berbelanja sehingga terlupa untuk asingkan duit untuk dijadikan simpanan.

Jom cuba cara ni kalau nak berbelanja tapi pada masa sama dapat menyimpan duit:-

  • Luangkan masa terhadap perkara yang percuma atau murah yang buat kita rasa seronok. Contohnya, layari laman web kesihatan, resipi masakan, sertai program kesukarelawanan, atau sertai aktiviti percuma dianjurkan NGO.
  • Muhasabah diri jika jumlah perbelanjaan melebihi jumlah simpanan. Berbelanja hanya bila kita sudah kenal pasti mana satu kehendak dan mana satu keperluan.
  • Bina lingkungan kawan-kawan yang baik. Jika bercuti bersama, perbelanjaan kewangan tidak melebihi bajet. Jika makan bersama, tidak kisah makan di kedai-kedai biasa.

Punca #2: Matlamat Kewangan Mengambil Masa Yang Lama Untuk Dicapai

Matlamat kewangan mula jadi kabur dari semasa ke semasa tatkala memikirkan lamanya tempoh 10 tahun atau 20 tahun. Malah, 5 tahun pun terasa sangat lama.

Jom cuba cara ni kalau nak mengatasi ‘rasa’ lamanya tempoh tersebut:-

  • Fokus terhadap matlamat kewangan berskala kecil yang kita boleh nampak pencapaian dalam masa sehari, seminggu atau sebulan. Contohnya, kita target nak simpan RM150 sebulan atau RM30 sehari.
  • Lihat kejayaan yang sudah dicapai supaya dapat kenal pasti aspek yang boleh diperbaiki. Adakah simpanan kita sudah bertambah atau berkurang? Adakah hutang kita sudah berjaya diselesaikan?
  • Bina tabiat yang mendorong kepada kemajuan matlamat kewangan. Tabiat seperti menyimpan RM5 setiap hari sangat mudah sehingga ianya menjadi aktiviti baru yang tidak boleh ditinggalkan.

Punca #3: Matlamat Kewangan Menjadi Kabur Selepas Beberapa Bulan

Tidak konsisten menyimpan duit akan menyebabkan progres kewangan terbantut dan akhirnya kita mudah putus asa. Orang kata kita kena buat sesuatu yang baru selama 40 hari, barulah ianya menjadi tabiat.

Jom cuba strategi ini untuk kekalkan semangat menyimpan duit:-

  • Ceburkan diri dalam aktiviti yang mengurangkan kos belanja seperti borong barangan segar seminggu sekali atau baiki sendiri peralatan rumah yang rosak.
  • Libatkan diri dalam aktiviti yang dapat menambah pendapatan seperti konsultansi kewangan atau mengambil upah menjahit baju.
  • Bersosial dengan orang yang mempunyai matlamat kewangan yang seiring. Di Malaysia, terdapat sekumpulan profesional dan usahawan yang sudi berkongsi pengalaman progres kewangan yang betul.

Punca #4: Rasa Mustahil Untuk Sempurnakan Matlamat Kewangan

Sekiranya gaji kasar tahunan kita adalah sebanyak RM36,000, manakala kita tetapkan jumlah duit persaraan perlu ada 10 kali nilai gaji kasar tahunan. Rasa mustahil itu akan datang kerana matlamat kewangan yang ditetapkan rasa macam terlalu besar nilainya.

Jom cuba strategi ni kalau nak mengatasi perasaan ‘mustahil’ walaupun nilai matlamat kewangan dilihat sangat besar:-

  • Pecahkan nilai besar kepada nilai yang lebih kecil. Tempoh di antara nilai-nilai tersebut tidak terlalu dekat supaya pencapaian demi pencapaian dapat diraikan.
  • Guna pendekatan bukan kewangan untuk melengkapkan matlamat kewangan. Contohnya, sebab-sebab pemilihan lokasi rumah untuk dijadikan tempat tinggal dan tempat bekerja adalah dekat.
  • Semak semula matlamat kewangan dengan perunding kewangan bila nilai yang besar tidak dapat dipecahkan kepada nilai-nilai kecil. Mereka pasti mampu beri cadangan yang bernas kepada kita.

Punca #5: Langit Tak Selalu Cerah, Awan Tak Selalunya Mendung

Pentingnya tabung kecemasan bila kejadian yang tidak diingini berlaku. Walaupun matlamat kewangan sudah disusun rapi, namun ada sahaja musibah yang berlaku seperti kehilangan pekerjaan, kecurian, ditimpa penyakit atau kereta rosak. Dengan adanya tabung kecemasan, matlamat kewangan kita tidak akan terganggu.

Kerjaya yang stabil dan halal penting untuk dijadikan punca pendapatan yang berkat. Malah, kesihatan juga perlu dijaga melalui senaman dan pemakanan yang sihat.

Perkara yang tidak penting perlu diasingkan dalam kehidupan seperti membeli sofa baru setiap tahun, melancong ke luar negara setiap bulan yang akhirnya akan menjerat diri sendiri dengan perbelanjaan yang melambung tinggi.

Sumber Rujukan: iris.xyz

Ditulis oleh Wan Mohamad Farhan bin Ab Rahman. Beliau boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Iklan

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!