Selepas Berlaku Kematian, Waris Jangan Terus Faraidkan Harta Pusaka

Kenyataan ini mungkin agak mengelirukan tetapi sebenarnya inilah praktis sebenar yang sepatutnya dilakukan oleh waris apabila berlaku kematian dalam keluarga.

Wujud salah faham dalam kalangan masyarakat bahawa, apabila berlakunya kematian, waris mesti segera faraidkan harta-harta pusaka si mati agar tiada waris yang termakan harta batil. Makan harta batil adalah dosa besar!

Kenyataan ini walaupun betul tapi tidak berapa tepat sebenarnya. Ini kerana proses pengagihan harta mengikut hukum faraid adalah proses yang terakhir sekali dalam turutan pengurusan harta pusaka Islam.

Dalam Islam, turutan yang sebetulnya dalam proses pengurusan harta pusaka adalah seperti berikut:

1. Membayar Kos Pengurusan Jenazah Si Mati

Antara kewajipan pertama yang mesti waris laksanakan menggunakan harta yang ditinggalkan si mati adalah dengan membayar semua kos-kos yang berkaitan dengan pengurusan jenazah arwah. Kos pengurusan jenazah termasuklah kos pengkebumian, kos pengangkutan dan kos-kos yang berkaitan.

Walaubagaimanapun, sekiranya waris ingin membuat majlis tahlil dan bacaan Yasin bagi arwah, kos majlis tersebut tidak boleh dibayar menggunakan harta yang arwah tinggalkan kerana majlis itu tidak termasuk dalam pengurusan jenazah.

2. Membayar Hutang-Hutang Si Mati

Setelah selesai proses pengurusan jenazah, waris wajib membayar segala hutang-hutang arwah menggunakan harta arwah. Hutang arwah termasuklah hutang kepada Allah seperti zakat, nazar dan kaffarah yang tertunggak.

Begitu juga hutang-hutang kepada institusi seperti hutang kad kredit, pinjaman peribadi, pinjaman perumahan malah hutang PTPTN.

Selain daripada itu, hutang-hutang arwah dengan individu juga perlu dilunaskan sekiranya waris tahu arwah ada berhutang dengan individu tertentu.

3. Tuntutan Harta Sepencarian (Sekiranya Ada)

Jika pasangan si mati menuntut sebahagian daripada harta yang arwah tinggalkan sebagai harta sepencarian, waris perlu menyelesaikan tuntutan ini terlebih dahulu. Ini kerana tuntutan harta sepencarian ini juga merupakan satu bentuk hutang arwah.

Walaubagaimanapun, pasangan si mati boleh memilih sama ada ingin menuntut harta sepencarian tersebut ataupun tidak. Jika pasangan menuntut dan semua waris faraid bersetuju dengan tuntutan tersebut, maka keputusan tersebut boleh dimuafakatkan di peringkat bicara kuasa atau perintah pembahagian sahaja.

Tetapi jika ada waris yang tidak bersetuju, maka tuntutan harta sepencarian tersebut perlu dibawa ke Mahkamah Syariah untuk diputuskan.

4. Melaksanakan Perintah Wasiat Si Mati

Photo by Pixabay from Pexels

Jika si mati ada membuat wasiat semasa hayatnya, waris wajib melaksanakan wasiat tersebut. Tapi perlu difahami dahulu wasiat yang macam mana yang wajib waris tunaikan.

Wasiat yang dimaksudkan adalah wasiat kepada bukan waris iaitu sebanyak maksimum ⅓ sahaja daripada harta si mati. Jika waris ada membuat wasiat untuk mengagihkan harta kepada waris mengikut pembahagian tertentu, waris boleh bersetuju atau tidak bersetuju dengan wasiat tersebut.

5. Pengagihan Harta Pusaka Mengikut Pembahagian Faraid

Selepas selesai semua proses-proses yang disenaraikan di atas, akhir sekali barulah baki daripada harta pusaka arwah diagihkan kepada waris-waris. Di sini, waris perlu faham dulu bahagian harta yang sepatutnya setiap waris dapat melalui hukum faraid.

Selepas semua maklum dan faham, waris boleh bermuafakat sama ada ingin mengagihkan harta tersebut mengikut pembahagian faraid atau mengagihkan secara sepakat bersama.

Kesimpulannya, daripada turutan ini jelas, pengagihan harta pusaka kepada waris adalah proses yang paling akhir. Waris perlu menyempurnakan dahulu hak-hak harta pusaka si mati yang lain sebelum terus nak agihkan harta pusaka si mati.

Sebab itu penting untuk umat Islam benar-benar faham tentang hukum faraid. Faraid bukan tentang agih-agih harta semata-mata!

Hukum faraid adalah ilmu tentang pengurusan harta pusaka. Bayangkan jika harta pusaka si mati telah diagihkan seawal kematiannya, tiba-tiba datang pula orang memungut hutang si mati, siapa yang nak bayarkan?

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, konsultan di sebuah syarikat amanah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka.

Previous ArticleNext Article
Seorang konsultan perwarisan harta Islam di sebuah syarikat amanah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka secara Syariah.

Hibah Amanah: Instrumen Pengurusan Pusaka

RM90 bilion. Angka yang cukup besar untuk membuatkan kita termenung sejenak.

Itulah jumlah harta pusaka yang masih terbeku dan tidak dituntut oleh waris yang sah menurut data daripada Amanah Raya Berhad. Bayangkan berapa ramai keluarga yang terkesan, berapa lama mereka terpaksa menunggu, dan berapa banyak peluang yang hilang disebabkan harta-harta ini terkunci dalam proses pentadbiran pusaka yang berlarutan.

Mengapa Perkara Ini Masih Berlaku Di Malaysia?

Punca Masalah: Kesedaran Yang Tertangguh

Selepas berada dalam industri perancangan kewangan selama lebih 10 tahun, bertemu dengan pelbagai klien dan berbincang dengan rakan seprofesion, satu pola yang sama terus berulang: ramai yang tahu kepentingan perancangan pusaka, tetapi ramai juga yang memilih untuk menangguhkannya.

“Nanti lah.”

“Masih muda lagi.”

“Belum ada masa.”

“Tak nak fikir pasal mati.”

Alasan-alasan ini kedengaran familiar? Malangnya, ajal tidak menunggu kita bersedia.

Instrumen Pengurusan Pusaka

Dalam industri perancangan pusaka, terdapat beberapa instrumen yang boleh digunakan:

  1. Wasiat – Arahan pembahagian harta selepas kematian
  2. Hibah – Pemberian harta semasa hidup
  3. Amanah (Trust) – Pengawalseliaan dan pengurusan harta
  4. Kombinasi instrumen – Menggabungkan kelebihan setiap instrumen

Masing-masing mempunyai kelebihan dan kesesuaian tersendiri bergantung kepada situasi individu.

Hibah: Solusi Segera Yang Kurang Difahami

Antara instrumen yang paling berkesan tetapi kurang dimanfaatkan ialah Hibah.

Hibah adalah pemberian harta secara sukarela daripada seseorang kepada orang lain semasa pemberi masih hidup. Ia berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja Ijab (tawaran) dan Qabul (penerimaan) selesai, dengan syarat-syarat rukun hibah dipenuhi.

Hibah Amanah: Gabungan Terbaik Dua Konsep

Namun, ramai yang tertanya-tanya: “Kalau saya hibahkan harta sekarang, adakah saya kehilangan kawalan ke atas harta saya sendiri?”

Di sinilah kelebihan Hibah Amanah  atau Trust Hibah.

Hibah Amanah menggabungkan konsep hibah dengan struktur amanah, membolehkan pemberi hibah untuk:

  • Kekalkan kawalan ke atas pengurusan harta sepanjang hayat
  • Nikmati manfaat daripada harta tersebut seperti pendapatan atau dividen
  • Tetapkan syarat penggunaan harta untuk benefisiari
  • Pastikan pemindahan segera kepada waris selepas kematian tanpa proses mahkamah

Konsep ini sangat sesuai untuk mereka yang mahukan ketenangan fikiran sambil terus menikmati harta mereka.

Contoh Produk Hibah Amanah di Malaysia

Beberapa institusi di Malaysia menawarkan kemudahan hibah amanah yang mudah dan praktikal:

1. Hibah Amanah ASB (Amanah Saham Bumiputera)

Pelaburan ASB boleh dihibahkan melalui mekanisme hibah yang disediakan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Pemegang unit boleh:

  • Menghibahkan sebahagian atau keseluruhan unit ASB kepada waris atau benefisiari
  • Kekalkan hak untuk menerima dividen sepanjang hayat
  • Pemindahan unit berlaku secara automatik selepas kematian tanpa perlu melalui proses pentadbiran pusaka
  • Proses yang mudah dengan mengisi borang hibah di kaunter ASNB

Ini bermakna pelaburan ASB anda tidak akan terbeku dan waris boleh terus menerima manfaat tanpa kelewatan.

2. Hibah Tabung Haji

Lembaga Tabung Haji turut menyediakan kemudahan hibah untuk simpanan para pendeposit:

  • Pendeposit boleh menghibahkan simpanan Tabung Haji kepada benefisiari yang dipilih
  • Hibah boleh dibuat secara mutlak atau bersyarat
  • Proses mudah melalui Sistem Hibah TH yang boleh dilakukan di kaunter atau secara online
  • Hibah berkuat kuasa serta-merta selepas penyerahan borang dan penerimaan benefisiari
  • Selepas kematian pendeposit, simpanan yang dihibahkan dapat dituntut dengan segera oleh benefisiari

Kedua-dua produk ini menawarkan cara yang mudah dan patuh Syariah untuk memastikan simpanan dan pelaburan anda tidak terbeku dan dapat memberi manfaat segera kepada orang tersayang.

Apa Yang Boleh Anda Lakukan Sekarang

  1. Buat senarai harta – Aset, simpanan, pelaburan, takaful, hutang
  2. Kenal pasti benefisiari – Siapa yang anda mahu lindungi dan jaga
  3. Dapatkan nasihat profesional – Perunding perancangan pusaka, peguam syarie, atau perancang kewangan berlesen
  4. Pilih instrumen yang sesuai – Wasiat, hibah, amanah, atau kombinasi
  5. Ambil tindakan – Jangan tangguh lagi

Warisan Terbaik Adalah Perancangan

Warisan terbaik yang boleh kita tinggalkan bukan hanya harta, tetapi ketenangan dan perlindungan untuk keluarga yang kita sayangi.

Jangan biarkan RM90 bilion itu bertambah. Jangan biarkan keluarga anda menjadi antara ribuan yang terpaksa menunggu bertahun-tahun, menanggung kos beribu-ribu ringgit, dan mengalami tekanan emosi hanya untuk mendapatkan hak mereka.

Mulakan perancangan pusaka anda hari ini. Kerana esok mungkin sudah terlambat.


Penafian: Artikel ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum dan tidak sepatutnya dianggap sebagai nasihat undang-undang atau kewangan. Pembaca digalakkan untuk mendapatkan nasihat profesional yang sesuai dengan situasi peribadi mereka.


Artikel ini dibawa kepada anda oleh Sampul Sdn Bhd. Artikel ini diterbitkan bersama MajalahLabur untuk membantu jenama bercerita melalui kandungan berkualiti.