Kenapa Perlu Hibah Harta Berbanding Mengikut Faraid?

Faraid kan dah ada, jadi kenapa perlu hibah? Dengan menggunakan sistem faraid, harta si mati akan dibahagikan mengikut hukum Islam setelah ditolak pembiayaan pengurusan jenazah, hutang pewaris (nazar, zakat dan lain-lain) serta wasiat yang dibenarkan oleh syarak iaitu tidak melebihi ⅓ dari jumlah harta.

Jadi kenapa lagi kita perlu buat hibah?

Siapa Yang Perlu Faraid?

Memandangkan faraid dibahagikan mengikut hukum Islam kepada seluruh anggota keluarga, tiada masalah sekiranya kita mempunyai keluarga yang besar dan harta yang banyak.

Ia juga tidak akan mengecilkan hati sesiapa dan dapat mengelakkan pergaduhan dalam kalangan keluarga.

Siapa Yang Patut Hibah?

Hibah diperlukan bagi mereka yang inginkan harta terus sampai kepada penama tanpa melalui pembahagian mengikut jumlah yang telah ditetapkan faraid. Hibah adalah hak yang boleh diberikan sebanyak mana pun tanpa ada had.

Sebagai contoh, seseorang hanya ada anak perempuan atau anak angkat, hibah boleh dilakukan supaya dapat kepada mereka yang kita sayang.

Ada kes di mana harta tidak dibuat hibah akhirnya jatuh ke tangan keluarga suami. Si isteri dan anak tidak mendapat rumah dan harta yang sepatutnya.

Oleh itu, hibah amat penting supaya kes-kes sebegini dapat dielakkan.

Rukun Hibah Yang Perlu Kita Tahu

Ada 4 rukun hibah yang perlu kita tahu bagi memastikan hibah berjalan dengan lancar dan sah iaitu:

  • Pemberi hibah
  • Penerima hibah
  • Harta yang hendak dihibah
  • Ijab kabul

Ijab kabul yang dimaksudkan adalah kontrak secara bertulis dan telah disahkan. Cukup semua rukun ini, maka hibah kita sah!

Perkara Tentang Hibah Yang Perlu Kita Tahu

Hibah adalah pemberian sukarela atau boleh juga dikatakan hadiah daripada pemberi kepada penerima yang dibuat secara ikhlas tanpa mengharap apa-apa bentuk balasan. Hibah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja sama ada waris atau pun bukan waris.

Setelah melakukan hibah, segala harta dihibahkan tidak akan dibahagikan dalam bentuk faraid lagi.

Terdapat 2 Jenis Hibah

1. Hibah Mutlak

Hibah Mutlak adalah hibah yang terus berkuat kuasa serta merta setelah penukaran hak milik dibuat. Penerima mempunyai hak apa sahaja ke atas harta tersebut. 

Sekiranya penerima pula meninggal dunia, harta tersebut akan menjadi harta pusaka bagi pihak penerima.

2. Hibah Bersyarat

Hibah bersyarat pula bermaksud meletakkan sesuatu syarat sampingan bersama-sama. Syarat yang dibuat perlu ada hitam putih dan boleh mempunyai saksi. 

Konsep hitam putih itu adalah untuk memberitahu bahawa hibah berkuatkuasa sebaik sahaja pemberi hibah meninggal dunia, tetapi jika penerima yang meninggal dunia dahulu, hibah akan kembali kepada pemberi hibah untuk mencari penerima baru.

Itulah dia sebab-sebab mengapa kita perlu hibah dan jenis hibah yang boleh dilakukan. Pastikan ada saksi supaya hibah yang kita lakukan berjalan lancar apabila kita tiada lagi nanti.

Sumber RujukanMetro Online

Untuk pengetahuan Hibah Takaful bukan limit sehingga 60 tahun sahaja, ada pakej sampai umur 80 tahun, bahkan ada pakej sampai umur 100 tahun! Bergantung pada polisi syarikat mana yang kita pilih. Cuma bila pilih pakej sehingga 80-100 tahun ni, kadar bayaran bulanan lebih tinggi berbanding pakej 60 tahun.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bahagian Faraid Isteri Kedua Yang Tidak Mempunyai Anak Dengan Suami

SOALAN

Assalamualaikum, Ustaz. Saya ingin bertanya soalan faraid harta pusaka. Suami saya telah meninggal dunia. Suami saya telah menceraikan isteri pertama sebelum berkahwin dengan saya dan mereka mempunyai dua orang anak, manakala saya pula isteri kedua dan saya tidak mempunyai anak dengan suami. Jadi, berapa bahagian faraid saya ustaz?

Berdasarkan kepada AL-KAFI #1939: BAHAGIAN FARAID ISTERI KEDUA YANG TIDAK MEMPUNYAI ANAK DENGAN SUAMI yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

RINGKASAN JAWAPAN

Isteri yang kematian suaminya akan mendapat bahagian faraid daripada harta pusaka selepas pengurusan jenazah, hutang-piutang serta wasiat suami telah dilaksanakan. Bahagian faraid isteri apabila suami yang meninggal dunia mempunyai anak, isteri akan mendapat satu perlapan (1/8) daripada harta. Kewujudan anak kepada suami walaupun anak tersebut daripada perkahwinan dengan isteri yang lain telah mengurangkan bahagian isteri daripada 1/4 ke 1/8. Manakala isteri yang telah diceraikan suami tidak mendapat harta pusaka suaminya.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga, para sahabat, dan orang yang mengikuti jejak Langkah Baginda sehingga hari kiamat. Semoga kita semua sentiasa di bawah lindunganNya.

Pembahagian harta si mati kepada waris-warisnya akan dilakukan selepas selesai pengurusan jenazahnya, melunaskan hutang-piutang serta melaksanakan wasiat si mati yang tidak melebihi satu pertiga daripada baki harta peninggalan. Menurut Imam al-Nawawi[1]:

يبدأ من تركة الميت بمؤنة تجهيزه ثم تقضى ديونه ثم وصاياه من ثلث الباقي ثم يقسم الباقي بين الورثة.

Maksudnya: “Harta peninggalan si mati digunakan bermula dengan pengurusan jenazah, kemudian melangsaikan hutang-piutang si mati, kemudian melaksanakan wasiat si mati yang tidak melebihi satu pertiga daripada baki harta si mati (selepas pengurusan jenazah dan membayar hutangnya). Setelah itu, dibahagikan baki daripada harta itu kepada pewaris.

Dalam proses pembahagian harta ini, wujud waris-waris yang boleh menghalang atau mengurangkan bahagian waris yang lain. Keadaan ini dipanggil halangan pewarisan (الحَجْبُ).

Berdasarkan soalan di atas, anak-anak suami merupakan halangan yang mengurangkan  bahagian isteri dalam faraid (الحَجْبُ النُّقْصَان). Dengan wujudnya anak-anak suami ini, mereka telah mengurangkan bahagian isteri daripada mendapat satu perempat kepada satu perlapan daripada harta. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَهُنَّ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْتُمْ إِن لَّمْ يَكُن لَّكُمْ وَلَدٌ ۚ فَإِن كَانَ لَكُمْ وَلَدٌ فَلَهُنَّ الثُّمُنُ مِمَّا تَرَكْتُم ۚ مِّن بَعْدِ وَصِيَّةٍ تُوصُونَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ ۗ

MaksudnyaDan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu.

Surah al-Nisa’ (12)

Imam al-Qurtubi berkata ketika mentafsirkan ayat ini:

وَالْوَلَدُ هُنَا بَنُو الصُّلْبِ وَبَنُو بَنِيهِمْ وَإِنْ سَفُلُوا، ذُكْرَانًا وَإِنَاثًا وَاحِدًا فَمَا زَادَ بِإِجْمَاعٍ. وَتَرِثُ الْمَرْأَةُ مِنْ زَوْجِهَا الرُّبُعَ مَعَ فَقْدِ الْوَلَدِ، وَالثُّمُنَ مع وجوده.

Maksudnya“Dimaksudkan dengan al-walad ialah anak kandung serta anak kepada anak kandung (cucu) dan ke bawah, samada lelaki atau perempuan, seorang atau lebih daripada itu, dan ini ialah ijmak. Isteri akan mewarisi ¼ sekiranya suami tiada anak dan satu perlapan sekiranya ada[2].”

Justeru, dengan kewujudan anak kandung, isteri tetap mendapat satu perlapan walaupun anak tersebut bukan daripada hasil perkahwinannya bersama suami. Hal ini kerana anak yang disebutkan ialah anak kepada si mati dan bukanlah anak kepada waris sebagaiamana yang dinyatakan oleh Imam al-Khatib al-Syirbini:

(الثّمن) وَهُوَ (فرض الزَّوْجَة) الْوَاحِدَة (و) كل (الزَّوْجَات) بالتسوية (مَعَ الْوَلَد) للزَّوْج مِنْهَا أَو من غَيرهَا

Maksudnya: “Satu per lapan ialah bahagian seorang isteri atau beberapa isteri yang dikongsi bersama apabila suami mempunyai anak dengannya atau anak dengan isteri yang lain[3].”

Oleh yang demikian, berdasarkan penerangan di atas, sekiranya suami mempunyai anak walaupun dengan isteri yang berbeza, bahagian faraid isteri adalah satu perlapan daripada harta. Bahagian satu perlapan itu akan dikongsi bersama jika suami mempunyai lebih dari seorang isteri.

Kesimpulannya, jika suami mempunyai isteri kedua dan anak daripada isteri pertama yang telah diceraikan sebagaimana soalan yang diajukan, bahagian isteri kedua ialah satu perlapan daripada harta untuk dirinya seorang dan tidak perlu berkongsi dengan bekas isteri.

Wallahu a’lam.

Rujukan: 

[1] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. (2005). Minhaj al-Tolibin. Cet. 1. Beirut: Dar al-Fikr. Hlm. 180.

[2] Al-Qurtubi, Muhammad bin Ahmad. (1964). Tafsir al-Qurtubi (Jilid 5). Cet. 2. Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah. Hlm. 75.

[3] Al-Syirbini, Muhammad bin Ahmad. (t.t.). Al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’ (Jilid 2). Beirut: Dar al-Fikr. Hlm. 388.