Kerajaan Sedang Muktamad Akses Pengeluaran Akaun Fleksibel KWSP – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) — Kerajaan sedang memuktamadkan akses pengeluaran bagi Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini. 

“Mulai tahun hadapan, kerajaan membuka satu lagi akaun kepada pencarum KWSP iaitu Akaun Fleksibel. Bagaimana kaedahnya, berapa peratus daripada simpanan boleh masuk dalam Akaun Fleksibel…itu semua belum lagi diputuskan.

“Tetapi tujuannya adalah untuk membantu pengeluaran ketika kecemasan,” beliau berkata demikian ketika menjawab Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam-BN) mengenai pengeluaran bersasar oleh pencarum KWSP di Dewan Rakyat hari ini. 

Ketika pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Akaun Fleksibel KWSP sebagai akaun baharu yang boleh diakses ahlinya pada bila-bila masa.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata akaun ahli KWSP akan distrukturkan semula untuk memperkasakan simpanan persaraan.

Dalam pada itu, Ahmad berkata jumlah pelaburan KWSP di pasaran domestik dijangka akan meningkat kepada RM700 bilion pada akhir 2023, iaitu peningkatan sebanyak 9.0 peratus berbanding pada tahun 2022.  

Menurutnya, KWSP akan terus memberi keutamaan dalam pelaburan domestik dengan membahagikan sebahagian besar dana tahunannya kepada pasaran tempatan untuk pelaburan domestik termasuk dalam bentuk pasaran wang di bank-bank tempatan.

Setakat bulan Jun 2023, jumlah keseluruhan pelaburan KWSP dalam pasaran domestik adalah sebanyak RM665 billion.  

“Pelaburan KWSP adalah berpandukan alokasi dana yang ditetapkan oleh panel pelaburan KWSP pada setiap tahun. Untuk tempoh 2018-2022, KWSP telah memperuntukkan purata melebihi 80 peratus daripada jumlah peruntukan dana tahunan untuk dilaburkan dalam pasaran domestik.

“Pada 2023, sebanyak RM97 billion atau 83 peratus daripada jumlah alokasi dana tahunan telah diperuntukan,” katanya.

Beliau berkata bagi tempoh 2022-2024, antara pelaburan yang diberi fokus adalah instrumen berpendapatan tetap sebanyak 45.5 peratus, ekuiti tersenarai (42.5 peratus), ekuiti persendirian (3.0 peratus), aset nyata (6.0 peratus) dan instrumen pasaran wang (3.0 peratus). 

Sementara itu, menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (Jerantut-PN) mengenai pemasangan mesin pengeluaran automatik di Batu Balai, Felda Lepar di Pahang, Ahmad berkata Kementerian Kewangan dan pihak bank akan terus berusaha untuk memperluaskan inisiatif perkhidmatan bank bergerak.

Beliau berkata penumpuan kawasan bagi menempatkan bank bergerak itu mengikut kesesuaian lokasi, infrastruktur dan persekitaran.

“Selain itu, kerajaan turut menggalakkan rakyat menggunakan perbankan secara digital, urus niaga perbankan boleh dilakukan pada bila-bila masa secara selamat,” kata Ahmad. 

 — BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian