KWSP : Pengeluaran Simpanan Akaun II Untuk Menunaikan Haji

Ahli yang belum cukup simpanan di Lembaga Tabung Haji bagi tujuan mengerjakan Haji boleh gunakan dana KWSP Akaun II

PENGELUARAN HAJI

Kerajaan melalui pembentangan Bajet 2013 pada 28 September 2012 telah memperkenalkan inisiatif Pengeluaran Haji kepada ahli KWSP untuk membuat pengeluaran simpanan dari Akaun 2 untuk menunaikan ibadah Haji.

Pengeluaran Haji bertujuan menampung perbelanjaan asas mengerjakan Haji dan bukan keseluruhan kos perbelanjaan Haji. Rasionalnya, untuk memastikan pengeluaran yang dibuat tidak menjejaskan simpanan persaraan ahli.

“Ahli diingatkan pengeluaran ini hanya boleh dibuat sekali seumur sehidup dan hanya layak bagi mereka yang tidak mempunyai simpanan yang cukup di LTH”

SYARAT- SYARAT PENGELUARAN

Ahli KWSP yang layak adalah seperti berikut :

i) Ahli KWSP berumur kurang 55 tahun dan telah menerima surat tawaran berstatus ‘TERPILIH’ untuk mengerjakan Haji daripada Lembaga Tabung Haji (LTH);
ii) Ahli KWSP yang mengerjakan haji kali kedua dan seterusnya juga layak memohon dengan syarat tiada permohonan dibuat sebelum ini.
iii) Ahli belum cukup simpanan di LTH bagi tujuan mengerjakan Haji;
iv) Kelayakan Amaun Pengeluaran :
Perbezaan jumlah kos Haji dengan baki simpanan akaun LTH ahli tertakluk kepada amaun maksimum RM3,000.00 ATAU baki Akaun 2 (mengikut mana yang lebih rendah);
v) Bayaran pengeluaran dibayar secara terus ke akaun ahli di LTH;
vi) Kelayakan pengeluaran sekali sahaja; DAN
vii) Pengembalian amaun pengeluaran :

a) Sekiranya ahli membatalkan/menangguhkan pemergian Haji, ahli perlu mengembalikan semula amaun pengeluaran kepada KWSP dan tindakan pemulihan akaun akan dibuat.
b) Sekiranya berlaku kematian ahli selepas pengeluaran dibuat, waris ahli tidak perlu mengembalikan amaun tersebut kerana telah menjadi harta pusaka dan tuntutan oleh waris tertakluk kepada prosedur semasa LTH.

Kos mengerjakan Haji yang ditetapkan oleh LTH bergantung kepada kos sebenar mengikut musim Haji.

Sebagai contoh, anggaran kos yang perlu dibiayai sendiri oleh bakal Haji bagi musim Haji 1434H (2013M) adalah RM9,980. Bagi pemohon yang mengerjakan haji kali kedua dan seterusnya,pengiraan kelayakan pengeluaran TIDAK termasuk bayaran visa haji. Sementara itu, Jemaah Haji adalah bakal Haji yang berdaftar dengan LTH dan telah menerima surat tawaran berstatus ‘TERPILIH’ daripada LTH.

SENARAI DOKUMEN YANG DIPERLUKAN

Ahli perlu hadir di mana-mana kaunter cawangan KWSP dengan membawa dokumen-dokumen asal berikut :
i. Kad Pengenalan Diri (MyKad/MyPR/KP Polis/KP Tentera)
ii. Surat tawaran berstatus ‘TERPILIH’ daripada LTH; DAN
iii. Buku akaun simpanan ahli di LTH (yang telah dikemaskini dalam tempoh 6 bulan)

Ahli tidak perlu mengisi borang permohonan. Bagaimanapun, ahli diminta menurunkan Cap Ibu Jari di atas ’Notis Pengesahan Permohonan Pengeluaran’ sebagai bukti mengemukakan permohonan

TARIKH KUATKUASA
Kemudahan ini berkuatkuasa mulai 1 Januari 2013.

PERTANYAAN

Jika ahli mempunyai kemusykilan atau memerlukan maklumat lanjut mengenai pengeluaran ini, sila hubungi :-

  • Mana-mana cawangan KWSP yang berhampiran
  • Pusat Pengurusan Panggilan KWSP. Tel: 03-8922 6000
  • Maklumbalas Pelanggan, http://enquiry.kwsp.gov.my

Sila nyatakan nombor KWSP atau nombor Kad Pengenalan ahli dan jenis pengeluaran yang dipohon apabila berurusan dengan KWSP. Ahli juga boleh melayari laman web KWSP di alamat www.kwsp.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai jenis pengeluaran KWSP dan
panduan umum kepada ahli.

Sumber asal : KWSP

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.