MIDF Peruntuk RM60 Juta Menerusi Skim 2CF

KOTA BHARU, 30 Julai (Bernama) — Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) memperuntukkan sebanyak RM60 juta menerusi skim Pembiayaan Peluang Kedua (2CF) yang dilancarkan pada 16 Jun lalu.

Pengerusi Kumpulan MIDF Tan Sri Abdul Rahman Mamat memberitahu skim berkenaan dapat memberi manfaat kepada peniaga atau pengusaha syarikat terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menghadapi cabaran serta kesulitan kewangan. 

Skim ini akan membolehkan peminjam yang berkelayakan memohon pinjaman minima serendah RM50,000 sehingga pinjaman secara maksima sebanyak RM5 juta dengan kadar keuntungan yang dikenakan sebanyak tiga peratus. 

“Menerusi skim ini ia dapat membantu syarikat yang berdepan dengan masalah kewangan yang berkemungkinan terkesan dengan ekonomi semasa mahupun disebabkan pandemik COVID-19. Kita tidak mahu mereka terus gagal, tetapi kita cuba bagi talian hayat untuk mereka.

“Kebiasaannya, sekiranya syarikat yang terkesan seperti ini berhasrat untuk membuat pinjaman di bank-bank komersial, permohonan mereka tidak diluluskan. Jadi, mereka boleh hadir ke MIDF untuk membuat permohonan menerusi skim baharu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir di Program Santai Petang bersama MIDF yang turut dihadiri oleh Ketua Pembangunan Kewangan MIDF Azizi Mustafa di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata setakat ini sebanyak tujuh syarikat yang telah berminat untuk memohon pinjaman menerusi skim berkenaan dengan nilai permohonan keseluruhan mencecah RM21 juta.

Pihaknya juga bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi memberi peluang kepada syarikat yang bermasalah termasuk yang telah disenarai hitam untuk membolehkan mereka membuat pinjaman.

“Sambutan terhadap skim ini adalah menggalakkan. Sekiranya permohonan mereka diluluskan mereka perlu membuat perjanjian pembiayaan dengan MIDF selain tempoh bayaran balik pinjaman diberikan selama lima tahun. 

“Dari segi permohonan pinjaman, MIDF akan meneliti semula jumlah pinjaman sama ada layak atau pun tidak untuk mendapatkan permohonan pinjaman secara keseluruhan.

“Bagaimanapun, kita komited untuk menyokong usaha kerajaan dalam membantu syarikat sama ada besar atau kecil kerana kami percaya pada potensi kecemerlangan dan pertumbuhan setiap syarikat,” katanya.

–BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Federal Oats Mills Rasmi Kilang Pemprosesan Di Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) — Federal Oats Mills Sdn Bhd (FOM) merasmikan kilang pemprosesan oatnya yang canggih dengan jumlah keluasan lantai lebih 260,000 kaki persegi di Pulau Pinang, khusus dalam menghasilkan pelbagai produk termasuk oat, oat kilned-dried hulled, bran oat dan tepung oat.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Arham Abdul Rahman dalam satu kenyataan hari ini berkata kemudahan moden dan automatik sepenuhnya itu sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) yang bertujuan menggalakkan industri beralih daripada model perniagaan berintensifkan buruh.

“Sebagai salah satu peneraju pemprosesan makanan di Malaysia, komitmen FOM untuk memajukan teknologi dan kapasiti pengeluarannya juga memberi manfaat kepada vendor tempatan dalam rantaian bekalannya, mewujudkan limpahan sosial yang positif dan meningkatkan ekonomi tempatan.

“Selain itu, produk pensijilan halalnya yang telah lama diiktiraf telah membuka banyak peluang dalam pasaran Muslim global,” katanya sambil menambah bahawa pensijilan halal Malaysia sangat diiktiraf.

Dalam pada itu, beliau berkata peningkatan kapasiti kemudahan itu juga sejajar dengan Pelan Tindakan Dasar Keselamatan Makanan Negara, yang bertujuan untuk memperluaskan akses dan kemampuan memiliki makanan, terutamanya produk makanan sihat.

Timbalan Pengarah Urusan FOM Michael Chew Kian Hong berkata syarikat itu akan memperkukuh kapasiti dan kekuatan produknya, menyediakan ruang yang besar untuk pertumbuhan dan pengembangan bagi memenuhi keperluan pasaran.

“FOM dalam tempoh tiga tahun lepas telah membuktikan kekuatan kami dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi mil oat dan produk berasaskan oat di rantau ini,” katanya.

— BERNAMA