Perbezaan Wasiat Dari Sudut Perundangan Sivil Dan Syarie

Wasiat secara umum adalah hasrat atau pesanan seorang yang masih hidup berkaitan dengan hartanya, bagaimana hendak diuruskan selepas kematiannya nanti.

Definisi wasiat dapat dibahagikan kepada dua; satunya berkaitan perundangan sivil dan satu lagi terkait dengan hukum syarie.

1. Wasiat Melantik Wasi (Pentadbir Harta)

Di Malaysia, semua urusan tuntutan harta pusaka tanpa mengambil kira agama seseorang si mati tertakluk kepada tiga undang-undang (sivil) yang menetapkan cara dan peraturan pentadbiran harta pusaka, iaitu:

  • Akta Probet dan Pentadbiran 1959 (Akta No. 97),
  • Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta No. 98)
  • Akta Perbadanan Amanah Raya Berhad 1995 (Akta No. 532)

Kesemua akta-akta ini menjadi rujukan penting dalam pengurusan harta pusaka di Malaysia. Ketika mana waris si mati hendak membuat tuntutan harta pusaka, akta-akta tersebut menyatakan perlu adanya pentadbir harta sebagai orang tengah yang menghubungkan pihak yang menguruskan harta si mati (Mahkamah Tinggi Sivil, Pejabat Pusaka Kecil dan Amanah Raya) dengan waris si mati.

Oleh itu, secara ringkasnya, wasiat melantik wasi adalah kita melantik sama ada individu atau syarikat amanah menjadi pentadbir kepada harta kita selepas kita mati. Satu arahan yang jelas diberikan agar mereka yang dilantik ini melaksanakannya sesudah kematian kita.

Wasiat melantik wasi ini penting bagi memudahkan waris kita nanti semasa membuat urusan harta pusaka kita tanpa mereka perlu bertelingkah siapa yang sepatutnya menjadi pentadbir harta.

Bagi mereka yang memiliki harta bernilai lebih RM2 juta pula, wajib membuat wasiat melantik wasi ini bagi melancarkan urusan tuntutan harta pusaka nanti. Ini kerana, urusan tuntutan harta pusaka yang bernilai lebih RM2 juta akan dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil yang mana memerlukan penjamin yang memiliki nilai harta yang sama atau lebih tinggi daripada si mati jika si mati tidak pernah melantik pentadbir harta semasa hayatnya.

2. Wasiat Agihan 1/3 Harta Kepada Bukan Waris

Maksud wasiat dari sudut syariat adalah iqrar (pernyataan) seseorang yang dibuat pada masa hayat ke atas hartanya untuk disempurnakan selepas kematiannya bagi maksud kebajikan yang dibenarkan menurut Hukum Syarak.

Wasiat agihan ini hanya terhad kepada 1/3 daripada keseluruhan harta kita dan hanya boleh diberikan kepada mereka yang bukan waris kita sahaja. Sebagai contoh, kita berwasiat untuk memberikan 1/3 daripada harta kita kepada rumah anak yatim setelah kematian kita.

Wasiat yang melebihi kadar 1/3 harta adalah tidak sah kecuali waris-waris bersetuju dengan kadar yang lebih itu. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah;

Sa’ad Bin Abu Waqqas berkata: “Telah datang Rasulullah s.a.w untuk melihatku sedang aku berada di Makkah. Aku berkata, “Wahai Rasulullah, apakah aku harus mewasiatkan semua hartaku.” Baginda menjawab, “Tidak.” Aku berkata, “Sebahagiannya.” Baginda menjawab, “Tidak.” Aku berkata, “Sepertiga.” Baginda menjawab, “Ya, sepertiga.” Dan sepertiga itu banyak. Sesungguhnya apabila engkau meninggalkan ahli waris kaya itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka miskin, meminta-minta kepada manusia dengan tangan mereka” (Riwayat al-Bukhari)

Wasiat pada asalnya diwajibkan kepada semua ibu bapa dan kaum kerabat yang terdekat melalui Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiatlah untuk ibu-bapa dan kaum kerabatnya secara ma’ruf (ini adalah) kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa”. 

(Surah Al-Baqarah:180)

Tetapi kemudian, kewajipan berwasiat telah dimansuhkan hukumnya apabila turunnya ayat mawarith (perwarisan) dalam surah Al-Nisa, yang menerangkan hak dan pembahagian pusaka melalui hukum faraid. Sebagai contoh melalui ayat ini;

“Bagi orang laki-laki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan”. 

(Surah Al-Nisa’: 7)

Oleh itu, hukum wasiat telah berubah daripada wajib kepada sunnah sahaja berdasarkan beberapa hadis daripada Rasulullah SAW.

Daripada Ibnu ‘Umar r.a, dia berkata: Telah bersabda Rasulullah:

“Hak bagi seorang muslim yang mempunyai sesuatu yang hendak diwasiatkan, sesudah bermalam selama dua malam tiada lain wasiatnya itu tertulis pada amal kebaikannya.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Manakala dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Seseorang muslim yang mempunyai sesuatu yang hendak diwasiatkan, tidak sepatutnya tidur selama dua malam, melainkan dalam keadaan wasiat telah siap ditulis di sisinya.”

(Riwayat Al-Bukhari)

Melalui beberapa hadis yang telah dinyatakan, jelas menyatakan bahawa Rasulullah amat menggalakkan wasiat dibuat bila mana telah terlintas di hati untuk membuat sesuatu wasiat.

Kesimpulannya kita dapat lihat perbezaan definisi yang dimaksudkan dari sudut perundangan sivil dan syarie. Maksud yang berbeza membawa kepada fungsi yang berbeza. Tetapi keduanya saling melengkapkan fungsi antara satu dengan yang lain.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, seorang konsultan di sebuah firma runding perancangan harta dan urus pusaka. Mengendalikan laman web fakhrurradzi.com. Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi beliau di sini.

Orang Islam Mesti Ada Simpanan Setahun

“Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. Kemudian jika mereka keluar (dari tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri) maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka dari perkara yang patut yang tidak dilarang Syarak) itu dan ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” – Surah al-Baqarah: 240

Berdasarkan ayat di atas, oang Islam mesti ada simpanan sekurang-kurangnya 1 tahun gaji untuk tujuan kecemasan.

Baca juga:

Iklan

Iklan

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!