RHB Islamic Capai Dana RM3.3 Bilion Dalam Pengurusan Kekayaan Islam Pada Akhir 2023

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) — RHB Islamic Bank Bhd berada pada kedudukan baik di barisan hadapan untuk meraih momentum dalam pasaran Pengurusan Kekayaan Islam (IWM), selepas memperoleh RM3.3 bilion dalam segmen itu pada akhir 2023.

Pada Oktober 2023, bank itu melancarkan portal IWM dengan sasaran untuk mencapai dana RM6 bilion dalam segmen itu menjelang akhir 2026, dipacu oleh Kad Debit/-i Visa Pelbagai Mata Wang RHB, produk unit amanah Islam, perancangan harta pusaka dan proposisi amanah.

Pengarah Urusannya Datuk Adissadikin Ali berkata IWM tertumpu kepada pengurusan kekayaan bertanggungjawab berpandukan prinsip Syariah, merangkumi pendekatan holistik terhadap penciptaan dan pengumpulan kekayaan, perlindungan, penulenan, dan pengagihan, memastikan kejayaan kewangan jangka pendek dan kemampanan jangka panjang.

“Apa yang lebih penting, kami membantu membimbing pelanggan di setiap langkah perjalanan pengurusan kekayaan mereka, daripada pelaburan halal kepada zakat dan wakaf untuk portfolio ditulenkan. Dengan rangkaian komprehensif produk pengurusan kekayaan Islam kami, RHB Islamic berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan pasaran IWM yang sedang berkembang,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata RHB Islamic, bersama-sama Jawatankuasa Syariah yang berdedikasi, akan memastikan semua produk dan perkhidmatannya adalah patuh Syariah supaya pelanggan tidak lagi bimbang.

Selain itu, inovasi adalah teras kepada pendekatan IWM RHB Islamic berikutan bank ini sentiasa menyesuaikan diri dengan keperluan pelanggan dan keperluan kawal selia yang berevolusi, dengan memanfaatkan teknologi dan platform digital.

Melalui platform pelaburan dalam talian dan aplikasi mudah alih mesra pengguna, RHB Islamic meningkatkan kebolehcapaian kepada IWM kepada khalayak lebih luas, termasuk pelabur individu dan perniagaan, katanya.

“Apa yang lebih penting, kami mengutamakan kemampanan dengan menyepadukan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam tawaran IWM untuk memastikan produk bank ini bukan sahaja menghasilkan pulangan kewangan, malah menyumbang secara positif kepada masyarakat dan alam sekitar, memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pelaburan yang bertanggungjawab dari segi sosial.

“RHB Islamic terlibat secara aktif dalam inisiatif kewangan sosial yang dipacu oleh modal sosial Islam seperti zakat, wakaf dan sedekah,” katanya.

Mengenai dedikasi bank ini terhadap rangkuman dan pemerkasaan sosial, RHB Islamic membolehkan individu daripada segmen B40 untuk memulakan perniagaan mereka, menggalakkan kebebasan kewangan menerusi program “B40 Empowerment Strategy-Be Your Own Boss (BEST-BYOB), manakala “B40 Education Empowerment Programme (BEEP) menyediakan peluang pendidikan kepada individu kurang berkemampuan.

Selain itu, bank ini menggalakkan kerjasama dalam industri untuk mendorong pertumbuhan dan pembangunan dalam kewangan Islam menerusi kerjasama erat dengan institusi kewangan lain, badan kawal selia, dan persatuan industri.

“Pendekatan kerjasama ini bukan sahaja meningkatkan kepakaran RHB Islamic, malah menggalakkan perkongsian ilmu dan amalan terbaik dalam industri.

“Dengan kedudukan Malaysia yang mantap sebagai hab global untuk kewangan Islam, rangka kerja kawal selia yang teguh dan rangkaian pelbagai produk patuh Syariah yang menarik pelabur tempatan dan antarabangsa, IWM bersedia untuk memainkan peranan yang semakin penting.

“RHB Islamic menyerlah sebagai peneraju dalam IWM, menawarkan kelompok komprehensif penyelesaian patuh Syariah untuk memacu rangkuman kewangan, kemampanan dan kewangan beretika untuk semua,” katanya.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

BNM, SC Selaraskan Keutamaan Strategik dalam Memajukan Kepimpinan Kewangan Islam Global Malaysia

Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) semalam telah melangsungkan mesyuarat sulung Panel Penasihat (MAP) Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).

MAP, platform nasihat dan perundingan antara agensi, telah ditubuhkan untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pasaran global terkemuka dan pintu masuk antarabangsa untuk kewangan Islam.

Pada mesyuarat tersebut, ahli-ahli membincangkan peranan utama MAP untuk:

  • Menyediakan Panduan Strategik: Memperhalusi dan menyokong keutamaan strategik Rangkaian Perniagaan MIFC (MBN), platform yang dipimpin oleh industri bertujuan untuk memperkukuh  agenda kewangan Islam antarabangsa Malaysia dan usaha pembangunan perniagaan;
  • Menyelaraskan Keutamaan Negara: Memastikan inisiatif yang dipimpin industri mempunyai sumber yang mencukupi dan sejajar dengan strategi ekonomi negara yang lebih luas;
  • Memajukan Hasil Perniagaan: Membincangkan cabaran industri dan menyediakan cadangan yang boleh diambil tindakan untuk memangkin pertumbuhan yang lebih kukuh; dan
  • Memanfaatkan Peluang Global: Memanfaatkan pandangan kolektif untuk meningkatkan penyertaan antarabangsa dan kerjasama rentas sempadan.

MAP menyatukan agensi-agensi  utama kerajaan, badan kawal selia dan peneraju industri, dalam memastikan pendekatan yang holistik untuk memajukan agenda MIFC.

Dipengerusikan bersama oleh BNM dan SC, MAP terdiri daripada wakil daripada:

  1. Kementerian Kewangan
  2. Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri
  3. Bursa Malaysia
  4. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
  5. Khazanah Nasional Berhad
  6. Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)
  7. Permodalan Nasional Berhad
  8. Lembaga Tabung Haji
  • Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan
  • Tan Sri Azman Mokhtar (Business Envoy)
  • Tan Sri Abdul Wahid Omar (Business Envoy)

Penubuhan MAP bertepatan dengan peralihan rasmi Majlis Kepimpinan MIFC (MLC) ke dalam MBN. Evolusi ini menandakan peralihan ke arah pengawasan yang lebih besar yang dipimpin oleh industri, disokong oleh kerjasama erat antara sektor awam dan swasta.

Berteraskan asas yang didirikan oleh MLC, MBN akan memacu dan melaksanakan keutamaan strategik untuk membuka peluang perniagaan untuk Malaysia. Bagi mempercepatkan momentum ini, panduan dan sokongan MAP akan memainkan peranan penting dalam memangkinkan pertumbuhan Malaysia dan mengukuhkan kedudukannya sebagai hab kewangan Islam yang terhubung secara global.