Siapa Patut Tanggung Kos Urus Harta Pusaka?

Apabila seorang individu meninggal dunia, si mati akan meninggalkan harta pusaka kepada waris. Bagi melindungi hak waris yang berhak, harta pusaka si mati yang berdaftar akan dibekukan daripada sebarang pengeluaran dan pindahmilik kepada sesiapa pun.

Pembekuan harta ini juga bertujuan untuk melindungi kepentingan si mati. Harta pusaka yang ditinggalkan inilah yang akan digunakan untuk untuk melangsaikan hutang yang si mati sekiranya ada.

Samada ianya hutang dengan manusia, atau pun hutang dengan Allah seperti badal haji, nazar dan sebagainya. Hutang wajib dilangsaikan sekalipun setelah kematian kita.

Kalau tak dilunaskan juga?

Maka tergantunglah roh si mati seperti mana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW.

“Jiwa seorang Mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Seterusnya harta yang dibekukan tersebut tidak akan ‘cair’ dengan sendiri. Ianya perlu diurus oleh seseorang, iaitu pentadbir yang dilantik semasa si mati masih hidup atau pun pentadbir yang dipersetujui oleh semua waris (sekiranya tiada pentadbir atau penama yang dilantik semasa hayat si mati).

Ada pentadbir saja tidak cukup, perlu ada wang tunai yang cukup untuk menguruskan proses pencairan asset, pengeluaran dan pindah milik harta kepada waris.

Persoalannya, siapa yang nak kena keluarkan duit untuk uruskan?

Waris perlu keluar duit sendiri? Dari mana datangnya duit untuk membayar kos pengurusan harta pusaka si mati?

Disebabkan waris tiada wang tunai yang cukup, harta pusaka si mati terus terbeku dan tidak dapat dimanfaatkan oleh sesiapa pun.

Sebagai contoh, Amanah Raya Berhad (ARB) mengenakan fi sebanyak 5% bagi RM25,000 yang pertama untuk kerja-kerja yang dijalankan oleh Amanah Raya sebagai pentadbir kepada harta pusaka simati yang melibatkan tugas-tugas pendaftaran aset dan waris-waris, penyiasatan aset dan waris, pengesahan aset dan liabiliti dan pembahagian harta pusaka kepada waris-waris.

Contoh kedua, pihak hospital mengenakan cas sebanyak RM40 bagi satu laporan perubatan bagi si mati. Dan banyak lagi contoh-contoh lain yang terikat bersama pengurusan harta pusaka.

Ini tidak dikira lagi sekiranya proses urus pusaka tersebut memerlukan khidmat peguam, siapa yang nak bayar?

Jika tiada wang tunai, maka akan tertundalah urusan pencairan aset harta pusaka si mati. Hutang si mati tak dapat dilunaskan, waris pun tidak dapat menikmati manfaat daripada harta pusaka si mati.

Lebih-lebih lagi, jika waris adalah isteri dan juga anak-anak si mati yang sangat memerlukan harta tersebut bagi menampung perbelanjaan harian mereka.

Di sinilah penting membuat perancangan harta pusaka semasa masih hidup lagi.

Sediakan wang tunai secukupnya untuk waris gunakan semasa proses urus pusaka kita nanti.

Macam mana nak sediakan wang tunai secukupnya untuk proses urus pusaka?

Ada 3 tempat yang mudah dan praktikal kita sediakan:

  1. Simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), letakkan penama* supaya mudah mereka keluarkan duit simpanan tersebut tanpa melalui proses probet.
  2. Simpanan Tabung Haji, letakkan penama* supaya mudah mereka keluarkan duit simpanan tersebut tanpa melalui proses probet.
  3. Pampasan takaful hayat yang diletakkan di bawah wasi atau pentadbir (bukan dihibahkan)

*Pastikan penama sudah sampai umur 18 tahun, mempunyai pertalian dengan kita dan tak perlu lebih daripada 2 orang.

Ketiga-tiga jenis simpanan ini tidak akan terbeku lepas kita meninggal dunia. Waris boleh terus tuntut dan keluarkan wang tunai seterusnya gunakan untuk menguruskan harta pusaka.

Kesimpulannya, proses urus pusaka perlu dilaksanakan dengan sesegera mungkin bagi mengelakkan dari terjadinya hal-hal yang lebih rumit seperti bilangan waris bertambah disebabkan ada kematian yang berlapis, harta tidak terurus dan terbiar, juga kehilangan dokumen-dokumen penting antaranya sijil kematian, surat perjanjian, dokumen hak milik, perjanjian jual beli dan sebagainya.

Bagi melancarkan lagi proses tersebut, perlulah ada wang tunai yang cukup untuk waris gunakan seterusnya waris dapat menerima harta pusaka tersebut.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, konsultan di sebuah firma runding perancangan harta dan urus pusaka.

Iklan

Iklan

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!