Tahap Kesihatan Kewangan Rakyat Malaysia Dalam Keadaan Baik – CTOS

SHAH ALAM, 19 Sept (Bernama) — Tahap kesihatan kewangan rakyat Malaysia kini berada dalam landasan yang baik meskipun berdepan dengan cabaran pasca pandemik, kata Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS), Eric Chin. 

Beliau berkata laporan kredit pengguna CTOS di Malaysia menunjukkan peningkatan positif dalam purata skor sejak tiga tahun lalu iaitu daripada 663 kepada 678 skor. 

“Jadi semakin tinggi skor bagi seseorang individu semakin tinggi peluang untuk mereka mendapatkan pinjaman,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara Kekal Impian Sdn Bhd dan CTOS Data Systems di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Digital Bhd, Erick Hamburger menyasarkan agensi pelaporan kredit itu mampu mencapai 3.3 juta pengguna yang berdaftar dengan platform itu menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata setakat ini syarikat itu mempunyai kira-kira tiga juta pengguna aktif bagi menyemak skor dan kelayakan kredit serta pengurusan kewangan mereka. 

Katanya, sasaran itu mampu dicapai memandangkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia dilihat semakin meningkat dan menjadikan mereka lebih peka dengan transaksi kredit serta skor kewangan masing-masing.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Monee Perkenal SFinancing-i Kepada Semua Pengguna Shopee Dengan Pembiayaan Digital Patuh Syariah

Monee Capital Malaysia Sdn. Bhd. (Monee) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi SFinancing-i, iaitu penyelesaian pembiayaan digital patuh Syariah yang kini dibuka kepada semua pengguna Shopee* di Malaysia. Direka untuk memberikan lebih fleksibiliti kewangan, SFinancing-i membolehkan pengguna mengakses pembiayaan tunai segera dengan mudah terus melalui aplikasi Shopee.

Dengan pembiayaan sehingga RM20,000 dan tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan, SFinancing-i direka untuk membantu memenuhi keperluan kewangan peribadi pengguna melalui pengalaman yang mudah dan lancar secara digital. Pengguna yang diluluskan boleh mengeluarkan dana serta-merta ke akaun bank atau ShopeePay Wallet, tanpa perlu mengemukakan dokumen pendapatan atau membayar sebarang yuran pengaktifan.

Sempena pelancaran ini, pengguna yang mengaktifkan dan membuat permohonan pembiayaan pertama akan menikmati promosi istimewa kadar bulanan 1%* untuk tempoh bayaran balik sehingga 24 bulan.

Dikuasai oleh Monee Capital Malaysia dengan kerjasama Sedania As Salam Capital, serta disahkan oleh Masryef Advisory, SFinancing-i dibangunkan berasaskan prinsip Syariah Komoditi Murabahah (Tawarruq). Ia menawarkan penyelesaian pembiayaan yang telus dan mudah diakses, selaras dengan prinsip kewangan Islam.

Ciri-ciri utama SFinancing-i termasuk:

  • Pembiayaan sehingga RM20,000
  • Tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan
  • Pengeluaran tunai segera ke akaun bank atau ShopeePay Wallet
  • Kadar bulanan 1% untuk permohonan pembiayaan pertama
  • Proses permohonan 100% digital tanpa dokumen pendapatan
  • Tiada yuran pengaktifan

Pengguna yang layak boleh mengaktifkan SFinancing-i terus melalui tab “Saya” di aplikasi Shopee. Perkhidmatan ini terbuka kepada warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang berumur 18 tahun ke atas.

Bagi pengguna yang memerlukan jumlah pembiayaan lebih tinggi, Monee turut menawarkan SFinancing-i Xtra, iaitu penyelesaian pembiayaan bertempoh yang menyediakan pembiayaan sehingga RM50,000 kepada pengguna yang layak**, dengan kadar bulanan serendah 0.75%.

Untuk maklumat lanjut, sila klik DI SINI.

*Tertakluk kepada terma dan syarat.

**SFinancing-i Xtra pada masa ini hanya tersedia untuk pengguna terpilih sahaja.