Tawarruq, Sejenis Kontrak Shariah

Tawarruq menurut Dokumen Polisi Tawarruq oleh Bank Negara Malaysia (BNM) adalah satu susunan kontrak yang terdiri daripada dua kontrak jual beli. Kontrak jual beli pertama melibatkan pembelian aset oleh pembeli dengan bayaran bertangguh manakala kontrak jual beli kedua melibatkan pembeli tadi menjual asset tersebut kepada pihak ketiga untuk mendapatkan tunai.

Nama lain Tawarruq adalah Komoditi Murabahah di mana Murabahah adalah kontrak jual beli dengan harga kos + keuntungan dan komoditi merujuk kepada komoditi yang menjadi aset pendasar bagi transaksi-transaksi jual beli tersebut.

Aplikasi Tawarruq

Tawarruq merupakan kontrak yang menguasai industri kewangan Islam di Malaysia setakat ini melibatkan kontrak berkaitan pembiayaan, Sukuk, Simpanan Tetap (Fixed Deposit), kad kredit dan produk kewangan yang lebih kompleks seperti derivatif.

Dua aplikasi utama yang melibatkan pelanggan biasanya adalah pertama; pembiayaan seperti pembiayaan peribadi, rumah, kereta dan kedua; simpanan tetap.

Sumber: https://www.dummies.com/personal-finance/islamic-finance/reverse-murabaha-tawarruq-in-islamic-finance/

Pembiayaan

Contoh modus operandi transaksi Tawarruq dalam pembiayaan peribadi adalah seperti berikut:

  1. Wan ke Bank bagi mendapatkan pembiayaan peribadi bagi tujuan meyambung pengajian sebanyak RM50,000.
  2. Bank membeli komoditi daripada platform Bursa Suq Al-Sila’ (BSAS) dengan harga RM50,000 dan menjualnya kepada Wan dengan harga RM50,000 + RM10,000 = RM60,000.
  3. Wan setuju membelinya dengan bayaran bertangguh secara bulanan selama 10 tahun.
  4. Wan kemudian meminta pihak Bank menjadi wakilnya untuk menjual komoditi tersebut kepada pembeli melalui platform (BSAS) dengan harga RM50,000.
  5. Komoditi terjual dan nilai RM50,000 dikreditkan ke dalam akaun Wan.

Simpanan Tetap

Contoh modus operandi transaksi Tawarruq dalam Simpanan Tetap pula adalah seperti berikut:

  1. Mansor ke Bank bagi membuka akaun Simpanan Tetap dengan jumlah simpanan sebanyak RM50,000. Bank menawarkan kadar tetap 3% setahun.
  2. Mansor melantik Bank sebagai wakilnya bagi membeli komoditi daripada platform Bursa Suq Al-Sila’ (BSAS) berharga RM50,000 dengan wang simpanannya itu tadi.
  3. Mansor kemudiannya menjual komoditi tadi dengan harga RM50,000 + 3% keuntungan kepada pihak Bank.
  4. Bank setuju membelinya dengan bayaran nilai keuntungan dibuat dalam tempoh setahun.
  5. Bank kemudiannya menjual komoditi tadi kepada pembeli melalui platform BSAS.  

Dalam Simpanan Tetap, nama lain kontrak yang digunakan adalah Tawarruq Terbalik (Reversed Tawarruq). Modus operandinya terbalik daripada pembiayaan biasa dengan pihak pelanggan yang membeli komoditi dan menjualnya kepada Bank.

Ramai yang kurang memahami proses ini dan pelik apabila perbankan Islam menawarkan kadar keuntungan tetap kepada pemilik akaun Simpanan Tetap. Hakikatnya Simpanan Tetap bukanlah kontrak pelaburan tetapi ianya melibatkan kontrak jual beli.

BSAS merupakan satu platform dagangan di bawah Bursa Malaysia yang dibangunkan khas bagi tujuan memudahkan transaksi Tawarruq. Dalam platform ini terdapat ratusan pembekal dan pembeli komoditi dengan lebih 20 jenis komoditi ditawarkan antaranya minyak kelapa sawit mentah, biji kopi, getah dan sebagainya.

Selain BSAS terdapat banyak lagi platform komoditi seperti ini seperti Ableace Raakin, Sedania as-Salam melalui platform As-Sidq, dan Shoraka Global Resources. Kesemua platform ini memiliki kelebihan masing-masing dan digunakan oleh bank-bank Islam di Malaysia dalam membuat transaksi Tawarruq.

Sebagai contoh kelebihan As-Sidq berbanding platform komoditi lain adalah ia membekalkan komoditi dalam bentuk Airtime Telco.

This image has an empty alt attribute; its file name is assidq_300x250px_bm01.jpg

Di peringkat pengawalselia industri perbankan dan Takaful, pihak Bank Negara Malaysia mengeluarkan garis panduan Tawarruq sebagai rujukan kepada industri. Ia menggariskan syarat-syarat serta mekanisme pengurusan kontrak Tawarruq oleh pihak kewangan Islam.

Sila rujuk: https://www.bnm.gov.my/guidelines/05_shariah/PD_Tawarruq.pdf

Semoga perkongsian ini membantu kita memahami produk dan kontrak dalam kewangan Islam.

Ditulis oleh Arham Merican, pegawai Shariah di salah sebuah bank Islam antarabangsa dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang ekonomi dan Shariah dengan fokus pada pemberdayaan modal insan.

Nak Deposit Rumah Pertama? ‘Overlap’ Hutang? Bayar Tunggakan PTPTN?

Ringankan tanggungan semasa anda dengan pembiayaan peribadi berkonsep syariah di platform Direct Lending. Dapatkan pinjaman kadar rendah untuk satukan semua hutang mahal anda. Semak kelayakan secara percuma. Anda boleh semak dahulu & mohon kemudian. Tiada apa-apa caj yang dikenakan.

KLIK sini untuk terima pembiayaan bank & koperasi yang bersesuaian dengan posisi kewangan anda.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.