Teknik Pemasaran Pepsi Di Filipina Yang Mencetuskan Huru-Hara Di Negara Tersebut

Pepsi dan Coca-Cola merupakan dua syarikat minuman yang sangat berjaya di peringkat antarabangsa. Dua syarikat ini saling bersaing di antara satu sama lain bagi mendominasi pasaran antarabangsa.

Antara iklan yang paling popular pernah dibuat oleh Pepsi adalah pada tahun 1980-an yang digelar sebagai Pepsi Challenge. Ianya telah berjaya menghancurkan dominasi Coca-Cola di Amerika Syarikat.

Coca-Cola akhirnya terpaksa mencipta minuman Coke yang baru yang digelar sebagai “New Coke” untuk bersaing dengan Pepsi namun ianya telah gagal di pasaran.

Dengan kejayaan yang dimiliki oleh Pepsi, mereka telah memulakan langkah untuk mendominasi pasaran minuman ringan di serata dunia. Di antara negara yang menjadi sasaran syarikat tersebut adalah Filipina yang mana dominasi Coca Cola di negara tersebut sungguh luar biasa.

Coca-Cola mendominasi hampir 75% pasaran di Filipina sedangkan Pepsi hanya menguasai sebanyak 17% sahaja. Perkara ini membuatkan Pepsi ingin mengambil alih dominasi di pasaran di negara tersebut.

Apakah Teknik Pemasaran Ini?

Filipina merupakan sebuah negara Asia Tengara yang mempunyai hubungan yang rapat dengan Amerika Syarikat. Negara tersebut mendapat bantuan kewangan dari Amerika Syarikat sejak berdekad lamanya dan budaya yang ada di Amerika Syarikat mudah diterima oleh penduduk Filipina.

Pepsi melihat Filipina merupakan pasaran yang penting bagi mereka. Untuk menewaskan pasaran Coca-Cola, Pepsi telah membuat satu teknik pemasaran yang luar biasa di negara tersebut.

Pepsi menjalankan teknik pemasaran yang diberi nama sebagai Number Fever. Ianya adalah seperti permainan loteri yang mana sesiapa sahaja berhak untuk  menyertai pertandingan ini dengan hanya membeli minuman Pepsi.

Pertandingan ini bermula pada awal tahun 1992. Ada nombor di sebalik penutup minuman dan setiap pemenang akan diumumkan melalui televisyen tempatan.

Sembutan yang diterima selepas Number Fever ini telah mencetuskan fenomena terhadap Pepsi di pasaran Filipina. Dengan penawaran hadiah sebanyak 100 Pesos bagi setiap pemenang, ia telah merancakkan lagi kempen pemasaran di negara tersebut.

Pada ketika itu, kebanyakan rakyat Filipina hidup di dalam kemiskinan. Dengan penawaran hadiah sebanyak 100 Pesos, ia adalah jumlah yang besar kepada rakyat Filipina.

Dalam tempoh dua bulan sahaja, jualan Pepsi telah meningkat sebnayak 40%. Oleh yang demikian, Pepsi mengambil keputusan yang drastik dengan menaikkan jumlah tawaran menjadi 1 juta peso dan memanjangkan lagi tempoh pertandingan ini.

Ianya akan menjadikan pemenang pertandingan itu sebagai seorang jutawan. Hampir separuh rakyat Filipina menyertai pertandingan tersebut dengan harapan mereka akan berjaya menjadi jutawan dengan kadar segera.

Bagaimana Krisis Ini Berlaku?

Kredit Gambar: Bloomberg

Krisis ini bermula pada bulan Mei tahun yang sama apabila nombor 349 diisytiharkan sebagai nombor pemenang. Malangnya, terdapat 80,000 peserta yang memiliki nombor tersebut.

Ini berlaku apabila kesilapan komputer yang mencetak nombor tersebut di setiap botol minuman keluaran mereka. Ini menyebabkan rakyat Filipina yang mendapat nombor tersebut menuntut hak mereka dengan Pepsi.

Oleh kerana tuntutan itu terlalu besar, Pepsi telah membuat satu penyelesaian kepada mereka yang memegang nombor 349 dengan bayaran sebanyak USD18.

Sebahagian daripada peserta menerima tawaran tersebut dan sebahagian menolak kerana mereka berkeras mahukan 1 juta peso yang dijanjikan.

Kredit Gambar: Mental Floss

Peserta yang tidak menerima tawaran tersebut membuat protes terhadap Pepsi. Pada mulanya, demonstrasi diadakan secara aman namun bertukar menjadi ganas apabila penduduk mula menyerang trak yang membawa minuman tersebut.

Sebanyak 32 buah trak Pepsi telah dibakar oleh penunjuk perasaan yang tidak berpuas hati. Kejadian tersebut telah meragut 5 nyawa termasuk seorang kanak-kanak yang meninggal dunia disebabkan terkena Molotov Cocktail.

Kesan Kepada Jenama Pepsi Di Filipina

Pepsi yang sepatutnya membuat keuntungan daripada kempen pemasaran tersebut telah mengalami kerugian. Syarikat tersebut yang menyediakan wang kepada pemenang sebanyak USD2 juta akhirnya terpaksa mengeluarkan wang sebanyak USD10 juta bagi menyelesaikan isu tesebut.

Selepas kejadian ini ,pandangan rakyat Filipina terhadap Pepsi adalah begitu teruk sekali dan Coca-Cola telah mengambil semula takhta. Kes ini mengambil masa 14 tahun untuk diselesaikan apabila mahkamah Filipina menutup kes tersebut pada tahun 2006.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Banyak Keistimewaan Jadi Miskin di Malaysia?

Jangan salah faham. Menjadi miskin bukanlah satu keistimewaan. Tetapi di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang benar-benar memerlukan memang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan.

Antaranya:

1. STR – Sumbangan Tunai Rahmah
Bantuan tunai kepada golongan yang memenuhi syarat pendapatan dan kategori ditetapkan.

2. SARA – Sumbangan Asas Rahmah
Bantuan untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Penerima STR 2026 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2026 berjumlah RM200 / RM150 / RM100 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2026 – Disember 2026).

3. Bantuan perumahan
Ada skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain skim sewaan atau subsidi tertentu untuk keluarga berpendapatan rendah.

Keluarga berpendapatan kasar isi rumah sehingga RM3,000, belum memiliki rumah dan memenuhi syarat boleh memohon PPR.

4. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

Ini berbeza dengan PPR.

Contoh:
Keluarga berpendapatan rendah mempunyai tanah sendiri tetapi belum mempunyai rumah yang sesuai boleh melihat kelayakan RMR.

Antara syarat yang dinyatakan SPNB ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 dan pemohon/pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna. Tanah yang sesuai juga diperlukan.

Cara mohon:
Permohonan dibuat melalui SPNB dan dokumen berkaitan tanah, pendapatan serta maklumat keluarga perlu disediakan.

5. Bantuan JKM
Ini antara yang ramai tak tahu sebab bantuan JKM bukan satu jenis sahaja.

Contohnya terdapat bantuan berkaitan kanak-kanak, warga emas, OKU, penjagaan dan keadaan keluarga tertentu.

Cara mohon:
Permohonan boleh dibuat melalui sistem eBantuan JKM bagi negeri yang menyokong permohonan dalam talian, kemudian pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bersama dokumen sokongan.

Terdapat pelbagai skim mengikut keadaan penerima, termasuk bantuan kanak-kanak, warga emas dan bantuan am.

6. Bantuan Kesihatan – mySalam

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Bagi penerima yang layak pada 2026, mySalam menyediakan manfaat seperti hospitalisasi sehingga RM700 setahun dan RM8,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi, tertakluk kepada syarat skim.

Cara mohon:
Semak kelayakan di Portal mySalam. Jika layak dan berlaku kejadian yang dilindungi, tuntutan dibuat secara dalam talian dengan memuat naik dokumen seperti nota discaj atau borang doktor.

7. Bantuan pendidikan
Bantuan yuran, tuisyen, biasiswa dan pelbagai bentuk sokongan pendidikan disediakan secara bersasar untuk keluarga yang memerlukan.

  • BAP (Bantuan Awal Persekolahan) → bantuan tunai RM150 seorang murid untuk murid yang layak.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) → murid yang layak mendapat makanan pada setiap hari persekolahan; KPM menetapkan sehingga 190 hari setahun.
  • KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) → bantuan khusus untuk membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada persekolahan.
  • BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) → antara bantuan kewangan pendidikan yang disenaraikan KPM untuk murid yang memenuhi syarat.
  • Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) → bantuan khusus untuk murid yang memenuhi syarat berkaitan pendidikan khas.

8. Bantuan zakat
Bagi orang Islam yang layak, boleh memohon bantuan daripada institusi zakat negeri masing-masing.

Contohnya bantuan boleh melibatkan:

  • sara hidup
  • pendidikan
  • perubatan
  • sewa/rumah
  • bantuan kecemasan
  • modal perniagaan

Cara mohon:
Bergantung kepada negeri. Contohnya di Selangor, permohonan dibuat melalui saluran rasmi institusi zakat negeri dan biasanya memerlukan dokumen pendapatan, tanggungan, tempat tinggal dan dokumen sokongan berkaitan.

9. Bantuan pekerjaan & latihan
Kerajaan juga menyediakan program pekerjaan dan latihan kemahiran untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

MYFutureJobs
Portal pekerjaan nasional yang dikendalikan PERKESO. Boleh cari kekosongan kerja, daftar sebagai pencari kerja dan dapatkan khidmat padanan pekerjaan.

TVET
Kalau nak belajar kemahiran seperti automotif, elektrik, kimpalan, penyelenggaraan, teknologi dan sebagainya, boleh semak institusi TVET kerajaan dan permohonan melalui UP_TVET.

HRD Corp
Terdapat pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan pekerjaan, bergantung kepada program serta kelayakan peserta.

Program penempatan pekerjaan PERKESO
PERKESO juga menjalankan program padanan pekerjaan, karnival kerjaya dan penempatan pencari kerja dengan majikan.

10. Bantuan membaiki atau membina rumah
Program bantuan perumahan turut merangkumi pembinaan baharu dan baik pulih rumah, khususnya bagi isi rumah miskin tegar.

Contoh 1 : Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar

KPKT ada Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar untuk isi rumah yang memenuhi syarat kemiskinan, termasuk yang disahkan dalam eKasih.

Contohnya rumah mengalami:

  • bumbung rosak
  • kerosakan akibat banjir/ribut/kebakaran
  • kerosakan kecil kerana faktor usia
  • keadaan rumah yang tidak lagi selesa tetapi masih ekonomik untuk dibaiki

Kadar bantuan maksimum yang dinyatakan KPKT ialah RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

11. Bantuan / inisiatif sewa rumah mengikut negeri

  • Selangor → Skim Smart Sewa – sewa pada kadar berpatutan + 30% bayaran sewa boleh dikumpulkan untuk membantu pemilikan rumah.
  • Johor → Bantuan Sewa Rumah Perumahan Kasih Johor – bantuan RM2,500 kepada penerima yang layak. Antara penambahbaikan yang diperluaskan bagi Bantuan Sewa Rumah ialah syarat kelayakan dengan membuka peluang kepada pelajar IPTA/IPTS di Negeri Johor untuk memohon.
  • Sarawak → Skim Bantuan Sewa Rumah (SRAS) – bantuan sewa untuk isi rumah yang memenuhi syarat.
  • Perak → Skim Bantuan Sewa Rumah MAIPk – bantuan sewa sehingga RM500 sebulan untuk asnaf yang layak.

12. Nak berniaga tetapi perlukan bantuan

Contohnya di Selangor:

  • Dana Usahawan Madani Selangor menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan perniagaan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat kelayakan. Ini geran bukan pinjaman. Tetapi setiap program ada syarat, kategori penerima dan tempoh permohonan tersendiri.
  • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor menyediakan bantuan berbentuk mesin dan peralatan kepada usahawan kecil bernilai sehingga RM10,000. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Jadi, betul ke “banyak keistimewaan jadi miskin”?

Banyak bantuan disediakan untuk mereka yang berada dalam keadaan miskin atau berpendapatan rendah. Dan bantuan ini bukan bermaksud hidup mereka lebih mudah.

Sebab di sebalik setiap bantuan itu ada satu perkara yang kita selalu terlupa:

Miskin tetap bermaksud mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Bantuan kerajaan mungkin meringankan beban, tetapi tidak semestinya mengubah kehidupan seseorang menjadi senang.

Bantuan ialah jaring keselamatan. Bukan tiket untuk hidup mewah.

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu mereka yang layak. Gunakan bantuan sebagai ruang untuk meringankan beban, bukan untuk mengambil kesempatan.

Dan jangan lupa, Islam juga mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.”
— Riwayat al-Bukhari