Tersilap Beli Kereta Boleh Jadi Punca Muflis

Minggu ini perbualan netizen di media sosial banyak berkisar tentang Proton yang baru lancarkan secara rasmi model kereta Proton X50. Model kereta dalam segmen SUV itu bermula dari RM79,200 dengan empat varian.

Persoalannya, betul ke beli kereta sampai boleh muflis?

Menurut Statistik Kebangkrapan Disember 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia, jumlah kes kebangkrapan yang ditadbir sehingga Disember 2019 ialah 299,186 kes.

Berdasarkan data kes dari tahun 2015 sehingga 2019, dua punca kebangkrapan paling utama mewakili lebih separuh dari keseluruhan kes ialah pinjaman peribadi dan sewabeli kenderaan.

1) Pinjaman peribadi – 32.07%
2) Sewabeli kereta – 21.53%
3) Pinjaman rumah – 12.57%
4) Pinjaman perniagaan – 10.15%
5) Pinjaman pendidikan – 10.00%
6) Lain-lain – 13.68%

Lebih 20% dari kes kebangkrapan di Malaysia adalah disebabkan oleh sewabeli kereta. Justeru, sangat penting untuk kita memastikan kita betul-betul mampu menanggung semua kos-kos dalam pemilikan kereta dan buat perancangan kewangan yang baik.

Kos-kos Pemilikan Kereta

Sebelum beli kereta, kita perlu ambil kira kos-kos yang perlu kita bayar sekiranya kita memiliki kereta. Ramai orang yang hanya melihat pada bayaran ansuran bulanan pinjaman sewabeli kereta tanpa mengira kos-kos sampingan yang lain.

1) Ansuran Bulanan – pinjaman sewabeli kereta dengan bank perlu dibayar secara ansuran bulanan.

2) Cukai Jalan – setiap tahun pemilik kereta perlu perbaharui cukai jalan. Pastikan ada peruntukan simpanan dari gaji bulanan untuk bayar cukai jalan.

3) Insurans/Takaful – sama seperti cukai jalan, insurans atau takaful kereta perlu diperbaharui setiap tahun. Ramai yang terlepas pandang kos ini sebelum buat keputusan beli kereta.

4) Petrol – kos penggunaan kereta termasuk kos petrol untuk perjalan menuju ke destinasi. Buat anggaran kos petrol yang perlu ditanggung untuk penggunaan kereta.

5) Ruang Parkir dan Tol – ruang parkir dan tol merupakan kos yang perlu ditanggung terutama untuk kawasan Lembah Klang. Kos ini lebih signifikan sekiranya anda naik kereta ke tempat kerja setiap hari.

6) Susut Nilai Kereta – nilai kereta akan merosot setiap tahun terutama sekiranya berniat untuk jual semula kereta.

7) Penyelenggaraan dan Pembaikan – kos penyelenggaraan dan pembaikan bergantung pada penggunaan kereta. Belajar tips dan cara penggunaan kereta yang betul supaya dapat kurangkan risiko kerosakan pada kereta.

Laporan kajian Pantauan Ekonomi Malaysia Disember 2019 yang dikeluarkan oleh Bank Dunia juga mengatakan 60 peratus daripada keseluruhan individu muflis di Malaysia terdiri daripada golongan muda berusia 25 hingga 44 tahun.

Menurut kajian yang sama juga, punca golongan muda terjerumus ke dalam masalah kewangan ialah kerana ingin hidup melebihi kemampuan atau “living beyond their means”. Ini disebabkan oleh tabiat membeli kerana emosi, pinjaman peribadi dan kredit kad yang mudah lulus dan akses mudah pembelian dalam talian.

Peringatan Buat Semua

Penting untuk kita ukur baju di badan sendiri, buat perancangan kewangan yang komprehensif dan beli mengikut kemampuan masing-masing. Kereta hanya sebagai alat untuk membawa kita dari satu tempat ke destinasi kita.

Sama ada kita nak beli kereta Proton X50, Honda Civic mahu pun Perodua Myvi, pastikan kita ada kemampuan dari segi kewangan untuk menampung kos-kos pemilikan kereta.

Sumber Rujukan:
Statistik Kebangkrapan Disember 2019 oleh Jabatan Insolvensi Malaysia
http://www.mdi.gov.my

Pantauan Ekonomi Malaysia Disember 2019 oleh Bank Dunia
https://www.worldbank.org

Artikel ini ditulis oleh Mohd Arif Irfan, seorang juruaudit di salah sebuah firma audit di Malaysia. Beliau telah lulus kesemua kertas peperiksaan ACCA dan sedang mengutip pengalaman untuk menjadi akauntan bertauliah. Meminati bidang hartanah dan pelaburan serta rajin berkongsi ilmu di FB Arif Irfan.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.