88,620 Individu Guna Pinjaman GOpinjam Bernilai RM91.1 Juta Sehingga Mac 2023 – MOF

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) — Sebanyak RM91.1 juta telah dikeluarkan melalui inisiatif GOpinjam, pinjaman peribadi berjangka pendek yang dibangunkan CIMB Bank Berhad (CIMB) dengan kerjasama TNG Digital Sdn Bhd (TNGD) kepada 88,620 pelanggan individu sehingga akhir Mac 2023.

Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan, 55 peratus daripada peminjam berkenaan ialah golongan belia berumur di bawah 30 tahun dengan pinjaman purata yang diberikan sebanyak RM1,500 seorang.

“GOpinjam merupakan sebahagian daripada agenda rangkuman kewangan CIMB yang ditawarkan melalui platform e-wallet TNGD untuk memenuhi keperluan kewangan sementara pelanggan yang tidak mempunyai akaun bank atau rekod kredit dan memerlukan pinjaman berjumlah kecil bagi tempoh singkat.

“Sebelum ini, mereka sukar mendapat akses dan mungkin terpaksa bergantung kepada pemberi pinjam tidak berlesen seperti Ah Long untuk mendapatkan pinjaman,” kata MOF dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

MOF menjawab pertanyaan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) berhubung jumlah peminjam dan purata pembiayaan diluluskan khususnya golongan belia yang membuat pinjaman peribadi secara terus dengan institusi bukan kewangan seperti di Shopee (Sloan), TNGeWallet (GOPinjam) dan BigPay.

Dalam menawarkan produk pembiayaan, MOF berkata semua institusi kewangan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dikehendaki mematuhi keperluan yang digariskan bank pusat bagi memastikan layanan adil terhadap pengguna dan melindunginya daripada beban hutang berlebihan dan kesulitan kewangan.

“Langkah ini termasuk menjalankan penilaian kemampuan dan mematuhi nisbah khidmat hutang yang berhemat untuk memastikan pengguna mampu membayar balik pembiayaan sepanjang tempoh pembiayaan.

“Selain itu, institusi kewangan perlu memberikan maklumat penting berhubung produk bagi memudahkan pelanggan membuat keputusan tepat termasuk kadar faedah, jumlah faedah yang perlu dibayar pada sepanjang tempoh dan tindakan yang boleh diambil oleh bank sekiranya berlaku kemungkiran,” katanya.

Menurut MOF, BNM sentiasa memantau dan memastikan insitusi kewangan bertindak secara adil ketika menawarkan perkhidmatan dan produk kewangan mereka kepada pelanggan.

“Sekiranya bank pusat mengesan sebarang amalan pasaran yang tidak adil dan boleh menyebabkan kemudaratan besar kepada pengguna kewangan, tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sesuai dan tegas akan diambil,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Cadangan Laksana Cukai Kekayaan Buat Masa Ini – MOF

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Kerajaan ketika ini tidak bercadang untuk melaksanakan cukai kekayaan sebanyak dua peratus ke atas individu kaya raya bagi menampung perbelanjaan kerajaan, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF menjelaskan bahawa buat masa ini kerajaan mendapati sumbangan hasil cukai kekayaan adalah tidak signifikan sekiranya elemen pengecualian dan pelepasan cukai diberikan sepertimana pelaksanaan lain-lain cukai yang sedia ada.

“Pelaksanaan cukai kekayaan dalam apa-apa bentuk atau mekanisme perlu diteliti daripada pelbagai aspek termasuk asas kenaan cukai yang kecil dan terhad di Malaysia.

“Namun, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan dasar percukaian yang dilaksanakan adalah berlandaskan prinsip keadilan dan saksama serta lebih bersasar supaya struktur percukaian kekal progresif dan mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan sosioekonomi,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Pada masa sama, menurut MoF, pendekatan secara lebih bersasar telah dilaksanakan dengan meluaskan asas cukai kepada golongan yang lebih berkemampuan.

Ini termasuk melalui pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai, cukai dividen bagi pendapatan dividen melebihi RM100,000 dan cukai yang dikenakan ke atas agihan keuntungan melebihi RM100,000 yang diterima oleh pekongsi daripada perkongsian liabiliti terhad.

— Bernama