Decathlon Malaysia Memacu Kelestarian Tenaga Dengan Pemasangan Sistem Solar PV Miliknya Yang Pertama Dan Pelbagai Inisiatif Lestari Lain

KUALA LUMPUR, 24th Ogos 2023: Decathlon Malaysia memasang sistem solar photovoltaic (PV) atas bumbung di salah sebuah gedung terbesar mereka iaitu di Decathlon Shah Alam. 

Ketua Pegawai Eksekutif Decathlon Malaysia, Arnaud Sauret menegaskan bahawa Decathlon Malaysia komited dalam usaha memacu kelestarian tenaga. Ujar beliau, “Keyakinan kami terhadap potensi sukan dalam usaha memacu matlamat kelestarian kami sentiasa utuh. Dengan memperkasakan orang ramai untuk bersukan mengikut kemampuan diri masing-masing, kami berusaha untuk membina keadaan semasa dan masa depan yang lebih mapan dan ceria untuk generasi akan datang. Ia bukan sahaja menuntut  kita untuk menghargai bidang perniagaan kita yang tidak ternilai ini, tetapi turut menuntut pemupukan nilai kemanusiaan yang lestari.”

Ini mencerminkan usaha Decathlon dalam mengukuhkan inisiatif alam sekitar dan kelestarian, selaras dengan matlamat mereka iaitu mencapai 100% tenaga boleh diperbaharui di semua kedai & gedung mereka menjelang 2026 (mematuhi garis panduan RE100), serta mencapai pelepasan sifar bersih global menjelang 2050. 

Menurut Ketua Pengembangan Decathlon Malaysia, Atul Gupta, “Dengan inisiatif ini, kami dapat mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 38% setahun di gedung kami di Shah Alam. Selepas ini, semua kedai kami yang bersendirian akan dilengkapi dengan panel solar atas bumbung.”

Dari Kiri: (Atul Gupta, Ketua Pengembangan Decathlon Malaysia, Arnaud Sauret, Ketua Pegawai Eksekutif & Ketua Negara Decathlon Malaysia, Davis Chong, Pengarah Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest Holdings Berhad & Jack Tan, Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Kumpulan Solarvest Holdings Berhad)

Inisiatif ini berjaya direalisasikan menerusi penandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pakar tenaga bersih yang berpangkalan di Malaysia, iaitu Solarvest Holdings Berhad (Solarvest). Dengan wawasan Solarvest untuk membekalkan dunia dengan tenaga yang dijana semula, syarikat itu terlibat dengan keseluruhan rantaian nilai tenaga bersih yang merangkumi pembangunan, pembiayaan, kejuruteraan, pembinaan, dan penyelenggaraan aset solar PV. Selain itu, ia turut memulakan pelan hala tuju strategik bagi menerokai penyelesaian lestari baharu merentasi ekosistem tenaga bersih, seperti sistem penyimpanan tenaga (ESS), sijil tenaga boleh diperbaharui (REC), hidrogen hijau, dan pusat data hijau.   

Solarvest akan bekerjasama rapat dengan Decathlon Malaysia untuk tujuan pembekalan pemasangan sistem tenaga boleh diperbaharui di kedai-kedainya yang bersendirian pada masa depan,  Perjanjian Pembelian Tenaga Maya (VPPA atau CGPP di Malaysia) dan Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (I-REC atau TIGR) yang diperlukan untuk mencapai matlamat 100% tenaga boleh diperbaharui menjelang 2026 dan mencatatkan pencapaian utama dalam pelan peralihan Decathlon Malaysia. 

CGPP (Program Tenaga Hijau Korporat) adalah sebuah program yang menggunakan VPPA bagi membolehkan pengguna korporat membeli tenaga boleh diperbaharui secara maya daripada pemaju tenaga bersih. Ini merupakan salah satu pilihan terbaik bagi syarikat yang ingin mencapai 100% tenaga elektrik boleh diperbaharui tanpa perlu memasang sistem solar PV di atas hartanah milik mereka. 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata, “Kami berbesar hati kerana diberi kepercayaan oleh Decathlon Malaysia untuk menjadi rakan kelestariannya yang utama di Malaysia, bekerjasama dalam usaha meningkatkan kebertanggungjawaban terhadap alam sekitar. Menerusi program pembiayaan solar kami, Powervest, kami dengan sukacitanya membantu Decathlon Malaysia beralih kepada penggunaan tenaga bersih dengan lancar, tanpa dibebani dengan perbelanjaan modal awal.”

“Selain daripada pemasangan sistem solar PV atas bumbung 311.85kWp di salah sebuah gedung terbesar mereka di Malaysia, Solarvest turut berbesar hati kerana dapat memainkan peranan penting dalam menyokong komitmen Decathlon Malaysia terhadap inisiatif tenaga boleh diperbaharui korporat global RE100. Ini membuktikan keazaman Decathlon Malaysia untuk mengintegrasikan tenaga bersih ke dalam kedai-kedainya yang akan datang. Selain itu, kerjasama ini meluaskan peluang untuk terlibat dalam pengaturan VPPA dengan Decathlon, membolehkan mereka menikmati harga tenaga yang stabil untuk jangka panjang, di samping menggalakkan amalan lestari dan peduli alam sekitar dalam usaha mereka mencapai matlamat 100% tenaga boleh diperbaharui.”

Tambah Gupta lagi, “Di Decathlon Malaysia, strategi kelestarian hartanah kami dibina atas konsep ‘Reduce – Replace – Rebuild’, menerusi 5 tonggak strategik: 

  1. Pengurusan Tenaga – bagi mengurangkan pembaziran dan meningkatkan kecekapan tenaga, kami melabur dalam teknologi kawalan dan perubahan sikap. Di gedung terbaharu kami, Decathlon Gurney Paragon, kami telah memasang lampu LED yang boleh dikawal mengikut jadual dan dimalapkan yang mencatatkan penjimatan tenaga sebanyak 28% untuk tujuan pencahayaan. 
  2. Bangunan Hijau – bagi mengurangkan jejak karbon di semua kedai baharu kami, kami memastikan bahawa semua kedai baharu kami mendapat Persijilan EDGE, persijilan bangunan hijau yang ditawarkan oleh International Finance Corporation (IFC). Bangunan yang diperakui oleh EDGE menggunakan 20% kurang tenaga, air dan bahan binaan untuk pembinaan dan operasi. 
  3. Tenaga Boleh Diperbaharui – bagi menggantikan penggunaan tenaga berkarbon tinggi dengan tenaga yang lebih rendah karbonnya.
  4. Mobiliti Hijau – bagi membantu membina semula sektor pengangkutan dengan menyediakan stesen pengecasan EV untuk kenderaan elektrik.
  5. Kepelbagaian Bio – untuk memulihara kepelbagaian habitat di dalam bandar.”

Seperti yang dinyatakan dalam Pelan Peralihan Kumpulan Decathlon 2020-2026, komitmen mereka terhadap kelestarian alam sekitar melangkaui tenaga boleh diperbaharui dan kelestarian dalam bidang hartanah semata-mata. 

Memandangkan ia adalah perniagaan yang bersepadu sepenuhnya, Kumpulan Decathlon boleh mengambil tindakan konkrit di setiap tahap kitaran hayat produk, menjadikan Ekonomi Kitaran sebagai pusat model transformasi perniagaan lestari mereka. 

Kumpulan Decathlon mereka bentuk produknya dengan memberi tumpuan kepada pengurangan bahan mentah, penggunaan komponen kitar semula dan pengintegrasian pendekatan baharu semasa proses pembuatan bagi mengurangkan penggunaan tenaga dan air. Pengguna boleh mengenali produk-produk ini dengan mudah melalui penggunaan label ECODESIGN pada penanda harga dan produk itu sendiri. Menjelang tahun 2026, 100% produk sukan mereka akan direka bentuk secara mesra ekologi dengan pelabelan alam sekitar. 

Dengan melancarkan Produk “Buatan Malaysia” mereka 20 tahun yang lalu pada 2003, Decathlon Malaysia telah mula menyumbang kepada ekonomi tempatan dan mengurangkan pelepasan CO2 dengan menghasilkan produknya di Malaysia untuk pasaran tempatan. Syarikat itu bekerjasama dengan pembekal bertanggungjawab (meliputi pelbagai proses berbeza: penyambungan PVC, produk getah dan lateks, busa, penyuntikan plastik, beg juruwang & pembungkusan) yang turut mempunyai nilai yang sama dengan mereka dan menyokong usaha lestari. Sebagai contoh, lebih daripada 50% penggunaan tenaga mereka datang daripada sumber boleh diperbaharui. 

“Produk Decathlon kami direka bentuk agar tahan lama, disebabkan oleh ketahanan, boleh dibaiki semula dan bahan kitar semula. Matlamat kami ialah untuk memperkenalkan perkhidmatan baharu yang boleh memanjangkan lagi jangka hayat produk kami dengan mempromosikan kaedah guna semula dan kitar semula. Ketika ini, kami menumpukan usaha kami terhadap dua perkhidmatan utama: Baik Pulih dan Kehidupan Kedua. Matlamat kami ialah untuk membaiki dengan jayanya setiap produk yang boleh dibaiki. Lebih daripada 1,000 item telah dibaik pulih sejak awal tahun ini. Daripada jumlah itu, 750 item telah pun dijual semula menerusi inisiatif Kehidupan Kedua. Seterusnya, kami tidak sabar untuk mara ke hadapan dengan pembangunan perkhidmatan Sewa dan Kitar Semula, yang kedua-duanya akan dijayakan oleh kami sendiri dan dengan kerjasama rakan-rakan kongsi kami yang lain,” ujar Ketua Kelestarian Decathlon Malaysia, Nadia Kopeikina. 

Perkhidmatan baharu ini (Kehidupan Kedua, Baik Pulih, Sewa, Kitar Semula) mewakili usaha penting ke arah masa depan lestari yang lebih bermakna. Ia merupakan contoh peralihan kepada corak penggunaan yang bijak, bertanggungjawab dan cermat.

Selaras dengan pepatah Inggeris, “Be the change you want to see in the world,” pasukan Decathlon sentiasa terlibat secara aktif dalam usaha harian merentasi pelbagai subjek: menyokong ekomobiliti bandar, meningkatkan kesedaran tentang dinamik iklim menerusi The Climate Fresk, mengekang generasi pembazir, dan terlibat dalam acara kelestarian. Seiring dengan rakan sepasukan, rakan kongsi, pembekal, dan pelanggan, syarikat ini kekal komited untuk membina masa depan yang lebih mapan dan lestari.

Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.”National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.