MYAirline Terima Pelabur Dari Timur Tengah, Kata Sumber

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) — MYAirline Sdn Bhd memperoleh dan menandatangani perjanjian jual beli dengan pelabur dari Timur Tengah pada akhir Disember 2023,  menurut sumber.

Sehubungan itu, sumber berkenaan yang tidak menyatakan nama pelabur berharap, MYAirline boleh melaksanakan usaha pada masa ini untuk menyambung semula operasi menjelang pertengahan tahun ini.

“Tindakan pertama yang diharapkan adalah pembayaran gaji dan bayaran balik kepada penumpang,” menurut sumber itu kepada Bernama.

Memandangkan kini terdapat pelabur baharu, syarikat penerbangan itu dipercayai telah memohon kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) untuk mendapatkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) bersyarat, seterusnya Sijil Pengendali Udara (AOC) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebelum menerima ASL sepenuhnya untuk beroperasi.

Justeru, Bernama menghubungi Mavcom untuk mendapatkan penjelasan mengenai permohonan ASL daripada syarikat penerbangan itu.

Mavcom memaklumkan hanya akan memulakan proses penilaian selepas menerima penyerahan lengkap.

“Bernama boleh menghubungi MYAirline untuk sebarang maklumat lanjut,” katanya.

Mengikut Arahan Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 6004 — syarat pengeluaran dan pembaharuan AOC bagi satu-satu kumpulan atau armada perlu merangkumi sekurang-kurangnya dua pesawat atau helikopter untuk operasi berjadual.

Bagaimanapun, spesifikasi itu boleh dikurangkan kepada satu pesawat atau helikopter bagi operasi bukan jadual.

Sementara itu, permohonan untuk ASL memerlukan sekurang-kurangnya 90 hari untuk diproses.

“Mereka perlu menyelesaikan hutang secepat mungkin untuk memulakan operasi seperti sebelum ini,” kata sumber itu.

Ditanya sama ada syarikat penerbangan itu akan dikendalikan oleh syarikat antarabangsa atau syarikat tempatan, sumber itu memaklumkan pengambilalihan syarikat penerbangan di Malaysia memerlukan pemilikan 51 peratus pegangan saham Malaysia.

Biarpun telah memperoleh pelabur, masih tidak dapat dipastikan tempoh paling awal untuk melunaskan bayaran gaji kira-kira 900 pekerja dan bayaran balik kepada 117,000 penumpang yang terjejas.

Menurut Mavcom, sehingga 8 Jan 2023, pihaknya telah membantu seramai 4,304 pengguna untuk menerima bayaran balik melalui proses caj balik manakala sebahagiannya lagi telah mula menerima bayaran balik daripada bank terlibat.

Mavcom turut menggalakkan supaya lebih banyak pengguna yang terjejas mengemukakan permohonan bayaran balik dengan bank terlibat atau menghubungi suruhanjaya itu sekiranya memerlukan bantuan lanjut.

Mavcom memberi penekanan membantu seramai mungkin pengguna yang terjejas untuk menerima bayaran balik akibat penggantungan itu selain memastikan hak perjalanan udara pengguna dilindungi, katanya.

Bernama juga difahamkan masa depan sebilangan pekerja MYAirline masih menjadi tanda tanya.

“Pekerja ini telah berkhidmat dengan syarikat penerbangan berkenaan sejak ia mula beroperasi pada 1 Dis 2022. Bagaimanapun, perubahan terhadap pemegang saham dan pengurusan boleh menyebabkan beberapa perubahan ketara,” kata Mavcom.

Sehingga  26 Jun 2023, MYAirline telah menerbangkan lebih sejuta penumpang dalam negeri, beberapa bulan selepas melaksanakan penerbangan sulungnya sebagai syarikat penerbangan tambang rendah di Malaysia.

 Syarikat penerbangan itu mencatatkan faktor muatan pada purata 91 peratus selain menerbangkan lapan pesawat Airbus A320-200 sehingga 12 Oktober tahun lepas dengan prestasi ketepatan masanya melebihi 90 peratus.

Mengorak langkah dengan hanya dua pesawat, ia mempunyai kekuatan sembilan pesawat dalam tempoh operasi selama 11 bulan.

Pada 12 Okt 2023, MYAirline mengumumkan penggantungan operasi berkuat kuasa hari yang sama atas alasan menghadapi tekanan kewangan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TP-Link Dan UiTM Bekerjasama Tangani Jurang Bakat Rangkaian Enterprise

SHAH ALAM – TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. (“TP-Link Malaysia”) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran rangkaian yang relevan dengan industri, pengalaman praktikal enterprise serta pensijilan bertaraf global.

Kerjasama selama tiga tahun ini direka untuk merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan sebenar industri, membolehkan pelajar UiTM menamatkan pengajian dengan keupayaan praktikal yang selari dengan keperluan semasa enterprise, sekali gus mengukuhkan kolaborasi antara industri dan institusi pendidikan.

Di teras kerjasama ini ialah pelaksanaan penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link di makmal UiTM, yang memberikan pendedahan langsung kepada pelajar terhadap infrastruktur yang sama digunakan dalam persekitaran perniagaan. Inisiatif ini turut disokong dengan program latihan berstruktur, bengkel teknikal serta akses kepada laluan pensijilan Omada Certified Network Administrator (OCNA).

Pelajar juga akan mendapat manfaat daripada peluang latihan industri dan praktikal bersama TP-Link, sekali gus membuka laluan yang lebih jelas daripada universiti ke alam pekerjaan dalam ekonomi digital Malaysia yang semakin berkembang.

Inisiatif ini membina kerjasama terdahulu TP-Link Malaysia dengan Universiti Malaya, di mana lebih 500 pelajar telah menyertai program pensijilan pada tahun 2025, menunjukkan permintaan tinggi terhadap kemahiran rangkaian dan pensijilan yang selari dengan kehendak industri.

Hugo Cai, Pengarah Serantau TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. berkata, “Dalam pelbagai industri, organisasi sedang memperluaskan infrastruktur digital mereka, namun ketersediaan profesional dengan kepakaran rangkaian enterprise tidak berkembang seiring. Kerjasama ini bertujuan merapatkan jurang tersebut dengan melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal yang disokong pensijilan dan relevan dengan keperluan industri sejak hari pertama.”

“Memastikan graduan kami dilengkapi dengan pengetahuan akademik serta kemahiran praktikal yang relevan dengan industri adalah sangat penting dalam landskap digital yang berkembang pesat hari ini. Kerjasama seperti ini membolehkan kami menyelaraskan program dengan lebih dekat kepada kemajuan teknologi dan jangkaan industri,” tambah Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA.

Selain pembangunan bakat, kedua-dua organisasi juga akan meneroka inisiatif bersama dalam penyelidikan, perundingan dan perkongsian ilmu, sekali gus mengukuhkan kerjasama antara jurutera TP-Link dan tenaga pengajar UiTM.

Seiring Malaysia terus memperkukuh aspirasi ekonomi digital, inisiatif yang menghubungkan pendidikan dengan keperluan industri secara langsung akan memainkan peranan penting dalam memastikan negara kekal kompetitif dalam membangunkan serta mengekalkan infrastruktur digital moden.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link, sila layari:
https://www.omadanetworks.com/us/business-networking/consult/