10 Kawasan Dengan Carian Tertinggi oleh Pembeli Rumah di Malaysia pada Tahun 2023 – iProperty.com.my

  • Kawasan bandar memperoleh carian hartanah paling banyak kerana bakal pembeli mencari rumah berhampiran tempat kerja. Kawasan baru dalam senarai tahunan ini adalah Bangsar dan Bukit Jalil.
  • Lokasi utama seperti Petaling Jaya, Mont Kiara, Johor Bahru, Puchong dan Cheras terus menjadi kawasan yang paling popular dicari.
  • Data carian disusun dengan menjejaki pengguna yang mencari hartanah secara organik di lokasi tertentu dan seterusnya tiba di halaman hasil carian di iProperty.com.my. Klik yang datang daripada hasil carian berbayar dikecualikan.

KUALA LUMPUR, 19 DISEMBER 2023 – iProperty.com.my mendedahkan 10 kawasan yang paling banyak dicari dalam kalangan pencari Hartanah di Malaysia*. Senarai itu mencatatkan bilangan carian tertinggi oleh pelawat yang melayari hartanah untuk dijual di iProperty.com.my antara Januari dan November 2023.

Berbanding 2022, apabila bakal pembeli rumah mempertimbangkan kawasan terpilih di luar Lembah Klang disebabkan fleksibiliti kerja, data carian 2023 menunjukkan peralihan keutamaan kembali ke kawasan bandar. Perubahan ini boleh dikaitkan dengan dasar kembali ke pejabat yang dilaksanakan oleh lebih ramai majikan. 

Data transaksi hartanah terkini daripada brickz** juga disediakan untuk menunjukkan hartanah kediaman yang dibeli pengguna di setiap kawasan. Selain itu, kemasukan hartanah yang paling banyak dicari memberikan tinjauan mengenai pilihan pembeli rumah berpotensi apabila mereka mencari rumah di kawasan tertentu.

Sheldon Fernandez, Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), berkata, “Berdasarkan data carian 2023, kami dapati terdapat perubahan ketara dalam pilihan pembeli rumah. Memandangkan lebih ramai majikan melaksanakan aturan kembali ke pejabat, terdapat peningkatan semula dalam tarikan kehidupan bandar.

Hartanah bandar menawarkan beberapa kelebihan kepada mereka yang bekerja di pejabat seperti ketersambungan yang sangat baik dan akses mudah ke tempat kerja menggunakan pengangkutan awam, memberikan masa perjalanan yang lebih singkat. Kawasan bandar juga sering menjadi pusat aktiviti, menawarkan pelbagai kemudahan seperti pusat membeli-belah, restoran dan kemudahan rekreasi. Disebabkan itu, kawasan tersebut dapat menarik mereka yang mencari gaya hidup dinamik di luar waktu kerja. Gabungan faktor-faktor ini menjadikan kehidupan bandar sangat sesuai untuk golongan professional yang bekerja di pejabat. Trend ini menekankan daya tahan dan kebolehsuaian pasaran hartanah.

Seiring dengan pasaran hartanah yang terus berkembang, pemaju menyesuaikan strategi mereka untuk memenuhi pilihan pembeli rumah yang berubah-ubah. Pembangunan bercampur yang menggabungkan aspek kediaman, komersial dan rekreasi kini dalam perancangan oleh beberapa pemaju. Pembangunan ini berpotensi untuk mengubah daerah pusat perniagaan (CBD) daripada tertumpu kepada pejabat semata-mata kepada hab yang pelbagai fungsi di mana penduduk boleh tinggal, bekerja dan bermain. Berteraskan integrasi ruang yang pelbagai, daerah ini boleh berkembang menjadi ekosistem serba lengkap yang memenuhi semua aspek kehidupan. Kami tidak sabar untuk melihat bagaimana trend ini terus berinovasi pada masa hadapan.”

Berikut adalah kawasan yang paling banyak dicari pada tahun 2023, disenaraikan dalam susunan menurun.

10. Cyberjaya  

Cyberjaya kembali ke senarai kawasan yang paling banyak dicari pada tahun 2023 selepas kali terakhir muncul pada tahun 2021. Dikenali sebagai Lembah Silikon Malaysia, Cyberjaya adalah pangkalan bagi banyak syarikat teknologi multinasional dengan status Koridor Raya Multimedia (MSC). Selain kemajuan teknologi yang pesat, Cyberjaya dikelilingi oleh taman awam dan ruang rekreasi termasuk Taman Tasik Cyberjaya. Ia juga merupakan hab pendidikan dengan pelbagai institusi pengajian tinggi seperti Universiti Multimedia, Universiti Limkokwing dan Universiti Cyberjaya. Aspek mesra pelajar, digabungkan dengan ramai ekspatriat yang bekerja di kawasan itu, menyumbang kepada pasaran sewa yang berkembang maju dan bilangan carian pada tahun lalu.

Tiga hartanah dengan transaksi paling banyak adalah Evergreen Garden Residence, Serin Residency dan The Mulia Residences Cyberjaya. Dari segi carian hartanah***, Aspire Residence dan Sanderling Lakefront mencatatkan peningkatan paling ketara, dengan kenaikan masing-masing sebanyak 731.6% dan 256.70% tahun ke tahun (YoY).

9. Bangsar 

Membuat penampilan pertamanya dalam senarai ini adalah Bangsar, kawasan kediaman yang terletak di pinggir bandar Kuala Lumpur. Kawasan kejiranan mewah ini terletak di lokasi strategik berhampiran Petaling Jaya, Pusat Bandar Kuala Lumpur, Mont Kiara, Sri Hartamas dan Damansara Heights. Bangsar terkenal dengan pembangunan bertanah dan tidak bertanah atau bertingkat mewah yang menyediakan pelbagai pilihan untuk pembeli yang berminat. Terdapat beberapa pembangunan yang sedang dijalankan di kawasan itu dan pemaju sedang giat mencari bank tanah untuk memenuhi permintaan tinggi dan terus menyediakan pembangunan mewah.

Tiga rumah bertanah dengan transaksi paling tinggi di Bangsar adalah Bangsar Baru, Bukit Bandaraya dan Lucky Garden (Jalan Bangsar). Sementara itu, Pangsapuri Servis Alfa Bangsar (103.90% YoY) dan Kondominium Bangsar Peak (43.10% YoY) mencatatkan jumlah carian paling banyak.

8. Subang Jaya 

Pada tahun 2023, Subang Jaya membuat kemunculan semula di tempat kelapan sejak penampilan terakhirnya pada 2021. Kawasan pinggir bandar itu menawarkan pilihan hartanah yang pelbagai seperti Teja oleh Sime Darby Property Bhd, dan mempunyai pelbagai institusi pendidikan seperti INTI International University and Colleges, Monash University Malaysia dan Taylor’s University Lakeside Campus. Terletak dalam komuniti yang meriah ini, Subang Jaya menawarkan ketersambungan lebuh raya yang luar biasa, meletakkannya berdekatan dengan daerah-daerah utama Lembah Klang, Damansara Utama, Bandar Utama, Kota Damansara dan Mutiara Damansara.

Hartanah yang paling banyak diurus niaga di Subang Jaya adalah rumah bertanah di Putra Heights, USJ2 dan USJ11, manakala hartanah yang paling banyak dicari adalah Armani Soho (402.50% YoY) dan Kondominium Summer Villa (71.30% YoY).

7. Kuala Lumpur City Centre (KLCC) 

Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (KLCC) kembali ke senarai pada kedudukan yang sama seperti tahun 2021. Kawasan ini terkenal sebagai daerah pusat Kuala Lumpur yang menjadi rumah kepada ekspatriat dan penduduk tempatan dengan mercu tanda ikonik seperti Menara Berkembar Petronas. Ia kekal sebagai hab kemudahan KLCC yang dihubungkan ke Bukit Bintang, TRX dan kawasan Cochrane/Maluri melalui Laluan MRT 1. Kekurangan tanah di sekitar stesen KLCC meningkatkan pertumbuhan nilainya, dan kebangkitan semula pelbagai sektor perniagaan telah membuka jalan untuk pembangunan rumah mewah yang lebih banyak di dalam bandar.

Transaksi utama tahun ini termasuk Residensi Laville, Suria Stonor dan Platinum Suites (The Face Suites), manakala dua hartanah teratas yang paling banyak dicari, Royce Residence (255.30% YoY) dan The Manor (218.50% YoY) membuktikan daya tarikan kawasan tersebut.

6. Bukit Jalil  

Sebagai kawasan baru dalam senarai, Bukit Jalil mendapat perhatian sebagai kawasan pinggir bandar mewah yang menempatkan banyak kemudahan sukan dan teknologi seperti Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil dan Taman Teknologi Malaysia. Ia juga menjadi tuan rumah kepada syarikat teknologi lain seperti MIMOS, SIRIM, IRIS Corp Bhd, Astro dan banyak lagi. Bukit Jalil juga berkembang pesat dengan pembangunan tempatan seperti Bandar Bukit Jalil dan Pavilion Bukit Jalil.

Berbanding dengan 3 hartanah teratas yang paling banyak diurus niaga di Bukit Jalil, seperti The Z Residence dan Residensi Park, harga median Arena Green yang berpatutan sebanyak RM308,000 mempromosikan hartanah mampu milik yang dikelilingi dengan kemudahan dan fasiliti yang mencukupi dalam pinggir bandar itu sendiri. Dua hartanah yang paling banyak dicari adalah Aurora Suites @ Bukit Jalil (148.30% YoY) dan Casa Green (16.00% YoY).

5. Puchong  

Mengekalkan kedudukan tempat ke-5 dari tahun 2022, Puchong menonjol sebagai kawasan matang dan terkenal dengan banyak pusat membeli-belah dan rekriasi seperti Tesco Extra Puchong, IOI Mall Puchong dan SetiaWalk Mall. Dari segi aksesibiliti, Puchong menikmati jaringan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam dan Laluan Putrajaya. Laluan LRT Sri Petaling juga telah diperluaskan ke Puchong, meningkatkan keterhubungannya.

Melihat kepada transaksi hartanah Puchong pada tahun lalu, kebanyakan pembeli rumah membeli rumah teres — Bandar Puchong Jaya, Taman Putra Prima dan Taman Puchong Utama. Dua hartanah yang paling banyak dicari adalah rumah bertingkat tinggi —Twin Residences (230% YoY) dan Seri Puteri Hills (98.50% YoY).

4. Cheras

Terletak di kawasan matang yang menampilkan restoran lama dan pusat membeli-belah baru, Cheras mempunyai gabungan sempurna antara pesona lama dan tarikan moden. Cheras mendapat manfaat daripada jaraknya yang berdekatan dengan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur dan dilengkapi oleh laluan LRT Sri Petaling dan Lebuhraya Cheras-Kajang. Penyiapan laluan MRT Sungai Buloh Kajang dan lebuh raya baru seperti Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) telah meningkatkan permintaan untuk hartanah di Cheras. Laluan MRT Sungai Buloh Kajang mempunyai 11 stesen yang melalui Cheras, meningkatkan lagi keterhubungannya.

Projek-projek di Cheras KL terutamanya terdiri daripada kondominium dan pangsapuri bertingkat tinggi, dengan tiga hartanah paling banyak diurus niaga pada tahun ini; Residensi M Vertica, Sri Penara, dan Kondominium Angkasa. Dua hartanah yang paling banyak dicari adalah Aster Residence (363.50% YoY) dan Trion @ KL (271.40% YoY).

3. Johor Bahru 

Johor Bahru menduduki tempat ketiga, satu kedudukan lebih tinggi daripada tahun 2022. Jumlah transaksi hartanah di Johor Bahru semakin meningkat, kerana pencari hartanah memburu tawaran sebelum pembukaan sistem transit pantas (RTS) Johor Bahru-Singapura, yang dijangka siap pada akhir tahun 2026. Selain itu, langkah untuk melonggarkan syarat program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H), ditambah dengan kenaikan kos sewa di Singapura, boleh meningkatkan lagi jualan hartanah di Johor.

Tiga hartanah yang paling banyak diurus niaga di Johor Bahru adalah Taman Johor Jaya, Country Garden Danga Bay dan Taman Pelangi. Salah satu hartanah yang paling banyak dicari tahun ini ialah Trellis Residences (521.60%), yang terletak strategik di persimpangan jalan utama dan berdekatan Kompleks CIQ, JB Sentral dan Stesen RTS Bukit Chagar, menawarkan sambungan terus ke Singapura. Sementara itu, Twin Tower Residence merekodkan peningkatan pencarian sebanyak 237.30% YoY.

2. Mont Kiara 

Mont Kiara tamat sebagai naib johan pada tahun 2023, melonjak daripada kedudukan ke-lapan pada tahun 2022. Terkenal dengan popularitinya di kalangan ekspatriat dan penduduk tempatan yang berada, Mont Kiara mempamerkan kemudahan sedia ada dan sekolah antarabangsa berprestij seperti Mont’Kiara International School, Garden International School dan Sekolah Perancis Kuala Lumpur (French School of Kuala Lumpur). Kedudukannya yang strategik di antara Damansara Heights, Bangsar dan Pusat Bandar Kuala Lumpur, ditambah dengan akses mudah melalui lebuh raya utama menjadikannya pilihan yang digemari dalam kalangan ekspatriat dan penduduk tempatan berada yang mengutamakan akses cepat ke bandar utama.

Bagi Mont Kiara, hartanah yang paling banyak diurus niaga adalah Seni Mont Kiara, Residensi 22 Mont Kiara dan Pavilion Hilltop. Dua hartanah yang paling banyak dicari adalah kediaman servis, Trinity Pentamont (417.80% YoY) dan Residensi Sefina Mont Kiara (89.10% YoY).

1. Petaling Jaya

Petaling Jaya merangkul mahkota tahun ini, menjadikannya kawasan pertama yang mendapat tempat teratas dua kali dalam senarai tahunan ini. Bandar ini sebelumnya adalah pemenang pada tahun 2021. Jaringan lebuh raya dan pengangkutan awam Petaling Jaya, bersama dengan pelbagai kemudahan, menjadikannya destinasi tempat tinggal yang ideal bagi penduduk bandar. Ia terletak di persimpangan Kuala Lumpur, Sungai Buloh, Shah Alam, Subang Jaya dan Puchong. Menempatkan pusat membeli-belah popular seperti 1 Utama Shopping Centre, IKEA Damansara, The Curve dan IPC Shopping Centre.

Tiga hartanah yang paling banyak diurus niaga pada tahun 2023 adalah pelbagai jenis banglo, semi-D dan rumah teres di SS2, SS3 dan SS22 & SS22A Damansara Jaya. Sementara itu, dua hartanah yang paling banyak dicari di Petaling Jaya adalah Atwater Serviced Apartment (386.60% YoY) dan Panorama Residence Condominium (148.00% YoY).

* * *

Nota kaki

* Data carian diperoleh daripada iProperty.com.my antara Januari – November 2023, dan tidak mewakili keseluruhan pasaran hartanah kediaman di Malaysia. Istilah carian ditakrifkan sebagai apabila pengguna hartanah mencari hartanah di lokasi tertentu dan tiba di halaman hasil carian di iProperty.com.my.

** brickz menyediakan pandangan menyeluruh tentang maklumat harga hartanah subsale dan transaksi terkini yang boleh dipercayai. Platform ini bukan penilai dan tidak boleh memberikan penilaian hartanah secara langsung. Kandungannya disediakan “seadanya” untuk tujuan maklumat umum sahaja. Anda tidak seharusnya bergantung pada mana-mana kandungan ini tanpa terlebih dahulu mendapatkan nasihat kewangan daripada pakar yang berkelayakan secara profesional.

*** Peratusan hartanah yang paling banyak dicari diperoleh daripada perbandingan data dari Januari hingga November 2023 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022 di iProperty.com.my.

Previous ArticleNext Article

Dilema mahu membeli atau menyewa rumah

Memiliki rumah sejak sekian lama dianggap sebagai simbol kestabilan dan kejayaan hidup bagi rakyat Malaysia.

Tidak hairanlah ramai golongan muda merasakan mereka perlu membeli rumah secepat mungkin yang memaksa mereka menanggung komitmen pinjaman perumahan selama 30 hingga 40 tahun.

Namun, dalam cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat, harga rumah yang terus berada di luar kemampuan sebahagian besar pembeli muda serta corak pekerjaan yang semakin dinamik, tiba masanya kita menilai semula maksud sebenar ‘seseorang itu ada rumah’.

Pada asasnya, rumah adalah tempat berteduh dan menyediakan keperluan asas untuk kediaman. Yang mustahak adalah ‘jaminan tempat kediaman dan kepentingan untuk mendiami’ yang lazimnya adalah melalui pemilikan tetapi boleh juga melalui penyewaan.

Bagi ramai golongan muda, terutamanya di peringkat awal kehidupan, menyewa boleh menjadi pilihan yang lebih praktikal dan fleksibel.

Ia membolehkan mereka mampu untuk menetap berhampiran tempat kerja, mengurus kewangan dengan lebih baik dan mengelakkan beban hutang jangka panjang sebelum benar-benar bersedia untuk membeli rumah sendiri.

Perubahan cara berfikir ini secara perlahan-lahan membuka ruang kepada perkembangan pasaran sewaan di Malaysia, termasuk kemunculan konsep ‘co-living’ atau kediaman bersama di dalam sebuah komuniti transit, serta juga konsep Rent-to-Own (RTO) atau Sewa-untuk-Beli.

Walaupun segmen ini masih kecil berbanding pasaran sewaan konvensional, ia semakin mendapat perhatian khususnya dalam kalangan generasi muda.

Konsep ‘co-living’ menawarkan bilik atau unit yang lengkap dengan perabot, tempoh sewaan yang lebih fleksibel serta kemudahan bersama yang diuruskan secara profesional.

Ia juga mengurangkan kos kemasukan (barrier of entry) kerana penyewa tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membeli perabot atau menanggung pelbagai kos utiliti secara berasingan.

Bagi golongan belia dan profesional muda, pekerja kontrak serta mereka yang sering berpindah lokasi pekerjaan, ‘co-living’ menyediakan pilihan perumahan yang lebih mudah dan praktikal tanpa perlu membuat komitmen membeli rumah ketika pendapatan mereka, khususnya pendapatan boleh guna mereka masih sedang dibina dan deperkukuhi.

Namun begitu, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi sekiranya pasaran sewaan ingin berkembang menjadi satu cabang penting dalam ekosistem perumahan negara.

Cabaran pertama ialah persepsi masyarakat. Budaya pemilikan rumah masih sangat kuat dan menyewa sering dianggap sebagai pilihan sementara atau petanda seseorang mencapai kestabilan kewangan.

Persepsi ini ada benarnya, tetapi ia juga mewujudkan tekanan sosial yang menyebabkan ramai membeli rumah lebih awal daripada kemampuan sebenar mereka ataupun menyebabkan kerakusan pasaran yang sehingga mengakibatkan tekanan mental dan emosi.

Hakikatnya, keperluan perumahan setiap individu berbeza mengikut peringkat kehidupan. Ada yang memerlukan fleksibiliti untuk berpindah mengikut kerjaya, manakala ada yang lebih selesa menangguhkan pembelian rumah sehingga kedudukan kewangan mereka lebih kukuh.

Oleh itu, menyewa tidak sepatutnya sewenang-wenangnya dilihat sebagai pilihan yang kurang baik sehingga dilihat sebagai stigma berbanding pemilikan rumah.

Cabaran kedua ialah pasaran sewaan negara yang masih belum matang dan terpasung. Sebahagian besar pasaran masih dikuasai oleh pemilik individu dengan standard pengurusan, syarat penyewaan dan kualiti penyelenggaraan yang berbeza-beza.

Keadaan ini menyebabkan pengalaman menyewa tidak seragam dan kadangkala menimbulkan ketidakpastian kepada penyewa dan juga pemilik rumah.

Cabaran ketiga pula ialah kekurangan rangka kerja perundangan yang menyeluruh untuk mengawal selia sektor sewaan kediaman.

Pelaksanaan dan penggubalan sebuah akta, seperti Akta Penyewaan Kediaman (RTA) yang satu ketika dahulu diusulkan tetapi tertangguh, perlu disegerakan bagi mewujudkan pasaran sewaan yang lebih teratur dan telus.

Sebuah akta yang khusus untuk regulasi pasaran penyewaan sektor kediaman ini berpotensi untuk menyediakan perlindungan yang lebih jelas kepada penyewa dan juga pemilik, memperkukuhkan mekanisme penyelesaian pertikaian serta meningkatkan keyakinan pelabur dan pengendali profesional dalam sektor perumahan sewaan.

Bagi akta sedemikian, keutamaan harus diberikan kepada pendekatan yang mesra penyewa, mesra pemilik dan mesra pelabur yang mengimbangi secara saksama kepentingan-kepentingan setiap pemegangtaruh untuk melahirkan satu persekitaran pasaran yang menang-menang.

Tumpuan juga harus diberikan untuk memperhalusi dan mengukuhkan konsep RTO atau Sewa-untuk-Beli sebagai salah satu langkah penyelesaian menang-menang.

Dalam jangka panjang, pembangunan pasaran sewaan yang lebih tersusun akan memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat.

Persediaan dan ketersediaan bakal pembeli rumah adalah berbeza-beza di dalam persekitaran yang mencabar dewasa ini di samping tekanan sosial berkenaan kemampuan dan pemilikan rumah idaman.

Walaupun apapun keadaannya, yang pasti adalah setiap individu dan isi rumah seharusnya mempunyai akses dan jaminan tempat kediaman yang selesa, mempunyai akses kepada kemudahan, selamat dan mampu dibayar mengikut keperluan serta kedudukan kewangan masing-masing.

Dalam hal ini, memperkukuhkan pasaran sewaan melalui konsep seperti RTO dan ‘co-living’ serta pemerkasaan rangka kerja perundangan berpotensi untuk melengkapkan ekosistem perumahan negara dengan menyediakan pilihan yang lebih pelbagai dan inklusif untuk rakyat Malaysia.

Penulis ialah Pengarah Kanan, Penyelidikan Hartanah Rahim & Co Chestertons

— Berita Harian