Akses Mudah Kepada Data Transaksi Adalah Penting Bagi Menyelesaikan Isu Kajian Hartanah

KUALA LUMPUR, 16 JUN 2022 – iProperty.com.my telah melawat semula isu yang sering dihadapi oleh para pengguna apabila mereka membuat kajian untuk membeli dan menjual hartanah. Salah satu isu utama ialah menentukan harga permintaan semasa sesuatu hartanah hingga menyebabkan pengguna memilih untuk tidak meneruskan pembelian atau penjualan mereka kerana bimbang mereka telah berbelanja lebih untuk membeli hartanah berkenaan atau menjualnya di bawah harga pasaran. 

Bagi pembeli rumah khususnya, kesukaran menentukan lokasi yang sesuai untuk membeli sesebuah rumah adalah di antara isu yang dihadapi oleh mereka semasa membuat kajian. Ketidakupayaan untuk memilih sebuah kawasan kejiranan yang serasi, dalam jangka masa yang munasabah, boleh menghampakan harapan para pembeli untuk mencari hartanah yang bersesuaian dengan bajet mereka. Bagi penjual rumah pula, mereka masih lagi berdepan dengan isu menentukan masa paling tepat untuk menjual hartanah mereka bagi mendapatkan keuntungan yang optimum. Ini kerana harga sesebuah hartanah bergantung kepada harga permintaan hartanah serupa di dalam kawasan yang sama. Oleh itu, penetapan harga permintaan atau jualan yang salah mungkin boleh menjejaskan peluang mereka untuk menjual hartanah. 

Shah Rubhen, Pengarah, Produk Malaysia iProperty.com.my  berkata, “Membeli atau menjual hartanah adalah satu komitmen besar yang memerlukan kajian menyeluruh dan penelitian sewajarnya, dan data transaksi memainkan peranan penting dalam kajian ini. Data transaksi yang tepat bukan sahaja memberikan pengguna satu alat mengukur harga yang betul untuk belian atau jualan, tetapi ia turut memperkasakan pengguna agar menjadi lebih yakin apabila berunding dengan ejen, pembeli atau penjual hartanah.”

“Perlu ditekankan bahawa, walaupun data transaksi hartanah sekunder boleh didapati di dalam talian, ramai pengguna berdepan dengan halangan apabila mereka ingin membuat kajian mengenai hartanah. Sebagai contoh, kita masih lagi melihat pelbagai berita dan laporan mengenai penjual hartanah yang menghadapi kesukaran untuk menjual hartanah mereka disebabkan oleh jurang harga di antara pembeli dan penjual. Salah satu puncanya ialah ketiadaan platform mudah yang memberikan data harga permintaan semasa yang jelas dan terkini kepada pengguna. Kesukaran untuk mendapatkan data ini atau ‘lambakan maklumat’ daripada pelbagai laman sesawang boleh melambatkan atau menjejaskan minat pengguna untuk membeli atau menjual hartanah.” 

iProperty Transactions Section: Dapatkan data transaksi hartanah yang paling tepat dan komprehensif  

iProperty Transactions Section menyediakan data transaksi tepat dan terkini untuk hartanah kediaman sekunder, komersial, industri dan agrikultur. Dikuasakan oleh brickz.my, pengguna boleh melihat dengan serta-merta data transaksi 12 bulan terkini hartanah tertentu, di mana data ini boleh disaring mengikut saiz binaan, jenis hartanah, harga median, harga median bagi setiap kaki persegi, dan pegangan hartanah. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih makro, pengguna juga boleh mencari data transaksi jenis hartanah tertentu di negeri atau kawasan pilihan mereka. Selain daripada itu, pengguna boleh melihat senarai hartanah untuk dijual dan disewa, menjadikannya lebih mudah untuk mereka membaca informasi mengenai hartanah, menyemak data transaksi, dan mempertimbangkan hartanah yang disediakan di dalam satu platform.

iProperty Transactions Section yang baru dilancarkan ini direka bentuk bagi memantapkan proses kajian pengguna dan membantu mereka membuat keputusan bermaklumat apabila membeli atau menjual hartanah. Sebagai contoh, pembeli rumah boleh membandingkan pelbagai harga permintaan hartanah sekunder yang diiklankan di senarai hartanah dengan harga transaksi terkini bagi memberikan mereka gambaran tentang harga pembelian hartanah. Pada masa sama, mereka boleh mencari hartanah atau kawasan yang sesuai dengan tanda harga pilihan mereka. Sementara itu, penjual rumah boleh menentukan harga permintaan yang betul atau untuk berunding dengan pembeli rumah. Sebagai tambahan, iProperty Transactions Section membolehkan penjual rumah menganalisis trend pasaran dan data transaksi lampau bagi mengukuhkan lagi keputusan mereka. 

Shah Rubhen ketika mengulas mengenai ciri-ciri iProperty Transactions Section berkata, “iProperty Transactions Section disasarkan untuk membantu pengguna dalam perjalanan mencari hartanah mereka dengan menyediakan data transaksi hartanah sebenar yang  mungkin sebelum ini tidak boleh diakses, lapuk atau sukar untuk diperolehi. Kami turut membawakan data transaksi yang tepat dan boleh dipercayai terus kepada pengguna bagi memberikan mereka kelebihan, ilmu pengetahuan dan keyakinan untuk menjadi lebih mahir dalam kajian hartanah mereka. Apa yang lebih penting ialah, data-data ini boleh didapati di dalam satu platform yang serba mudah, membolehkan pengguna melakukan kajian hartanah dengan cepat dan berkesan.”

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.