Industri Hartanah Mampu Serap Kenaikan OPR Jika Ia Berlaku — Rehda

PETALING JAYA, 17 Ogos (Bernama) — Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Malaysia optimis industri hartanah akan dapat menyerap kesan daripada kenaikan seterusnya kadar dasar semalaman (OPR).

Presiden Datuk NK Tong berpendapat bahawa impak OPR mungkin tidak dirasai kerana kadar penanda aras telah diselaraskan kepada 3.0 peratus semasa daripada 1.75 peratus sebelum ini.

“Oleh itu, kenaikan 0.25 peratus lagi akan menjadi jauh lebih rendah berbanding 1.75 peratus sebelum ini,” katanya kepada pemberita pada taklimat media di sini hari ini.

Tong mengakui bahawa beberapa kesan kelembapan dijangka dalam jangka pendek, tetapi dalam jangka panjang, orang ramai akan menyedari bahawa hartanah adalah lindung nilai yang baik terhadap peningkatan inflasi.

“Jadi kami tetap optimis bahawa pasaran akan dapat menyerap sebarang perubahan pada tahun ini,” katanya.

Mengenai kadar penolakan pinjaman akhir, beliau berkata keadaan semasa adalah “agak teruk” walaupun kerajaan telah membantu dalam beberapa cara. Sebagai contoh, ia telah memperkenalkan skim jaminan kredit perumahan (SJKP) untuk membantu mereka yang mempunyai gaji tidak konsisten mendapatkan jaminan kerajaan untuk pinjaman mereka.

Beliau berkata pemaju pada masa ini memberi subsidi silang kepada perumahan mampu milik.

“Mungkin, institusi kewangan boleh digalakkan untuk mengambil bahagian dalam model subsidi silang, atau menubuhkan dana atau kuota khas untuk membiayai pinjaman perumahan mampu milik pada kadar faedah yang lebih rendah,” katanya. 

Menurut kaji selidik industri hartanahnya baru-baru ini yang disertai oleh 148 ahli Rehda, 62 peratus pelancaran hartanah dalam tempoh yang ditinjau berharga RM700,000 dan ke bawah. Kebanyakan responden mempunyai prospek neutral untuk 12 bulan akan datang, terutamanya untuk separuh kedua 2023.

Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa 14,392 unit rumah telah dilancarkan pada separuh pertama 2023, peningkatan 50 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Lebih separuh daripada unit yang dilancarkan adalah pangsapuri dan kondominium.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PropertyGuru Melancarkan Kempen Penghujung Tahun Untuk Membantu Rakyat Malaysia Memiliki Rumah Mampu Milik, Fokus Pada Hartanah Di Bawah RM500,000

Kuala Lumpur, 11 November 2025 – Ketika isu kemampuan memiliki rumah terus mempengaruhi keputusan pembelian rakyat Malaysia, PropertyGuru Group, syarikat teknologi hartanah terkemuka di Malaysia dan pengendali platform PropertyGuru serta iProperty, telah melancarkan kempen penghujung tahun untuk menampilkan rumah berharga RM500,000 dan ke bawah.

Inisiatif ini bertujuan untuk merapatkan jurang antara pemaju yang menawarkan perumahan mampu milik dengan rakyat Malaysia yang mencari rumah berkualiti dan mudah diakses, selaras dengan usaha nasional untuk mempertingkatkan kadar pemilikan rumah dalam kalangan rakyat.

Melalui kempen ini, pemaju yang mengambil bahagian dengan projek berharga di bawah RM500,000 akan dipaparkan di platform PropertyGuru dan iProperty. Setiap paparan akan mengarahkan pengguna ke halaman carian khusus yang menampilkan senarai hartanah layak, membolehkan pencari rumah meneroka dan membandingkan pilihan mengikut bajet mereka dengan lebih mudah.

Menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), harga purata rumah di Malaysia bagi separuh pertama tahun 2025 ialah RM490,376, melebihi paras kemampuan bagi banyak isi rumah dalam kumpulan B40 dan M40 rendah. Namun, pasaran secara keseluruhan menunjukkan  pemulihan kukuh, disokong oleh dasar kerajaan yang proaktif, penurunan kadar dasar semalaman (OPR), serta peningkatan keyakinan pembeli.

Dr Lee Nai Jia, Ketua Perisikan Harta Tanah, PropertyGuru Group, menegaskan semasa Sidang Kemuncak PropertyGuru & iProperty FutureBuilt 2025 bahawa sektor hartanah kediaman menunjukkan pemulihan kukuh dengan pemaju melaporkan kadar pengambilan yang lebih tinggi untuk pelancaran baharu di kawasan pertumbuhan utama seperti Lembah Klang, Johor, dan Pulau Pinang. Sentimen pasaran turut disokong oleh pengurangan kumulatif OPR sebanyak 75 mata asas serta insentif kerajaan menerusi Belanjawan 2025, termasuk pengecualian duti setem dan insentif pinjaman untuk pembeli rumah pertama.

Kar Wai Low, Pengarah Pemasaran Negara, PropertyGuru & iProperty Malaysia, berkata, “Kemampuan memiliki rumah kekal sebagai antara kebimbangan utama rakyat Malaysia hari ini. Kempen penghujung tahun ini memberi tumpuan kepada keterlihatan dan impak – bukan sahaja untuk pemaju, tetapi juga untuk pembeli. Kami mahu membantu pencari rumah di Malaysia mencari kediaman berkualiti dalam jangkauan mereka, sambil memudahkan pemaju berhubung dengan pembeli sedia ada dalam segmen harga penting ini. Dengan menggabungkan kekuatan PropertyGuru dan iProperty, kami memanfaatkan capaian dan data platform kami bagi memudahkan pencarian, perbandingan dan tindakan terhadap pilihan rumah mampu milik.”

Kempen ini memperkukuh komitmen berterusan PropertyGuru Group untuk memperkasakan rakyat Malaysia membuat keputusan hartanah dengan yakin, sambil menyokong usaha kerajaan meningkatkan kemampuan memiliki rumah dan mobiliti sosial. Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, sila layari PropertyGuru dan iProperty Malaysia.​