Minat Miliki Hartanah Tinggi, Namun Permintaan Pembelian Kurang – PropertyGuru

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) — Minat dalam pembelian hartanah kekal tinggi di Malaysia walaupun pengguna berdepan isu kos sara hidup yang tinggi, kekangan kewangan dan kemampuan, kata  PropertyGuru Malaysia.

Dalam Kajian Sentimen Pengguna (CSS) Separuh Kedua 2023 (2H2023), Pengurus Negara Sheldon Fernandez berkata kira-kira 50 peratus daripada tinjauan, terutamanya demografi golongan muda dan pendapatan rendah, bergantung kepada sokongan kerajaan untuk membeli rumah.

Selain itu, 46 peratus daripada responden berkata mereka berdepan cabaran yang berterusan bagi mendapatkan pembiayaan untuk skim perumahan mampu milik,” katanya.

Fernandez berkata adalah penting untuk merancang dan melaksanakan inisiatif perumahan mampu milik secara strategik bagi menyesuaikan dengan gaya hidup terkini, terutamanya di kawasan bandar berikutan terdapat peningkatan kebimbangan mengenai keadaan persekitaran kehidupan yang mampan.

Beliau juga berkata responden bersedia untuk berkompromi dengan kemudahan tertentu bagi mendapatkan lebih banyak rumah mampu milik untuk memenuhi harapan kediaman impian mereka.

Beliau berkata responden, terutamanya individu yang lebih tua dan penyewa, tidak kisah jika melepaskan kemudahan sepert gimnasium (49 peratus), taman permainan (46 peratus), trek joging/kawasan rekreasi (45 peratus) dan balkoni (43 peratus) jika ia menjadikan rumah tersebut lebih murah namun mereka tidak akan berkompromi terhadap kawasan meletak kenderaan, ruang dapur dan bilik mandi kedua.

Perubahan ini menunjukkan perubahan pilihan pengguna yang mengutamakan ruang yang lebih praktikal dan menjimatkan kos.

“Terdapat ruang untuk pengawal selia dan pemaju memainkan peranan dalam perkara ini, dengan mengetahui bahawa orang ramai sanggup melepaskan beberapa kemudahan tetapi bukan untuk kehidupan yang mampan,” kata Fernandez.

Beliau berkata terdapat penurunan permohonan pinjaman perumahan dan menjangkakan aktiviti urus niaga yang lebih perlahan untuk sepanjang tahun ini. Penurunan jualan (urus niaga) juga bermaksud akan berlaku peningkatan kadar sewaan.

“Jika orang tidak membeli, mereka akan menyewa,” katanya.

Beliau berharap situasi ini akan stabil apabila ekonomi kembali pulih, sekali gus ini akan memulihkan permintaan hartanah pada 2024.

“Kami mengharapkan beberapa berita baik daripada dasar gaji progresif yang akan dibentangkan dalam Belanjawan 2024. Ini mungkin sokongan yang diperlukan rakyat Malaysia untuk mereka memiliki rumah,” kata Fernandez.

Mengulas mengenai kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) yang menyebabkan kos peminjaman yang lebih tinggi, beliau berkata 35 peratus daripada responden mencari hartanah yang lebih murah, 51 peratus merancang untuk lebih berjimat-cermat dan 23 peratus memilih untuk menangguhkan pembelian pertama mereka pada tahun depan.

“Ini menunjukkan kesediaan dalam kalangan pembeli berpotensi untuk mempertimbangkan jangkaan dan pilihan yang selari dengan kemampuan kewangan mereka,” katanya.

Dengan kadar OPR pada tiga peratus dan inflasi berkurangan kepada dua peratus, beliau berkata adalah tepat pada masanya kerajaan menjalankan kajian semula skim dan inisiatif perumahan semasa dan yang dicadangkan.

“Untuk membantu pengguna mengatasi kekangan pemilikan rumah pada masa kini, bantuan bersasar oleh kerajaan adalah penting bagi menangani cabaran ini dengan lebih berkesan.

“Kami ingin melihat apakah yang tersedia kepada bakal pembeli rumah dalam Belanjawan 2024,” kata  Fernandez.

Tinjauan itu dijalankan terhadap 1,000 responden mengenai isu berkaitan hartanah menerusi kaji selidik secara dalam talian.

Responden terdiri daripada gabungan kakitangan berkolar putih dan biru serta ahli perniagaan daripada segmen berpendapatan sederhana hingga tinggi (64 peratus) dan kumpulan berpendapatan rendah (34 peratus).

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PropertyGuru Melancarkan Kempen Penghujung Tahun Untuk Membantu Rakyat Malaysia Memiliki Rumah Mampu Milik, Fokus Pada Hartanah Di Bawah RM500,000

Kuala Lumpur, 11 November 2025 – Ketika isu kemampuan memiliki rumah terus mempengaruhi keputusan pembelian rakyat Malaysia, PropertyGuru Group, syarikat teknologi hartanah terkemuka di Malaysia dan pengendali platform PropertyGuru serta iProperty, telah melancarkan kempen penghujung tahun untuk menampilkan rumah berharga RM500,000 dan ke bawah.

Inisiatif ini bertujuan untuk merapatkan jurang antara pemaju yang menawarkan perumahan mampu milik dengan rakyat Malaysia yang mencari rumah berkualiti dan mudah diakses, selaras dengan usaha nasional untuk mempertingkatkan kadar pemilikan rumah dalam kalangan rakyat.

Melalui kempen ini, pemaju yang mengambil bahagian dengan projek berharga di bawah RM500,000 akan dipaparkan di platform PropertyGuru dan iProperty. Setiap paparan akan mengarahkan pengguna ke halaman carian khusus yang menampilkan senarai hartanah layak, membolehkan pencari rumah meneroka dan membandingkan pilihan mengikut bajet mereka dengan lebih mudah.

Menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), harga purata rumah di Malaysia bagi separuh pertama tahun 2025 ialah RM490,376, melebihi paras kemampuan bagi banyak isi rumah dalam kumpulan B40 dan M40 rendah. Namun, pasaran secara keseluruhan menunjukkan  pemulihan kukuh, disokong oleh dasar kerajaan yang proaktif, penurunan kadar dasar semalaman (OPR), serta peningkatan keyakinan pembeli.

Dr Lee Nai Jia, Ketua Perisikan Harta Tanah, PropertyGuru Group, menegaskan semasa Sidang Kemuncak PropertyGuru & iProperty FutureBuilt 2025 bahawa sektor hartanah kediaman menunjukkan pemulihan kukuh dengan pemaju melaporkan kadar pengambilan yang lebih tinggi untuk pelancaran baharu di kawasan pertumbuhan utama seperti Lembah Klang, Johor, dan Pulau Pinang. Sentimen pasaran turut disokong oleh pengurangan kumulatif OPR sebanyak 75 mata asas serta insentif kerajaan menerusi Belanjawan 2025, termasuk pengecualian duti setem dan insentif pinjaman untuk pembeli rumah pertama.

Kar Wai Low, Pengarah Pemasaran Negara, PropertyGuru & iProperty Malaysia, berkata, “Kemampuan memiliki rumah kekal sebagai antara kebimbangan utama rakyat Malaysia hari ini. Kempen penghujung tahun ini memberi tumpuan kepada keterlihatan dan impak – bukan sahaja untuk pemaju, tetapi juga untuk pembeli. Kami mahu membantu pencari rumah di Malaysia mencari kediaman berkualiti dalam jangkauan mereka, sambil memudahkan pemaju berhubung dengan pembeli sedia ada dalam segmen harga penting ini. Dengan menggabungkan kekuatan PropertyGuru dan iProperty, kami memanfaatkan capaian dan data platform kami bagi memudahkan pencarian, perbandingan dan tindakan terhadap pilihan rumah mampu milik.”

Kempen ini memperkukuh komitmen berterusan PropertyGuru Group untuk memperkasakan rakyat Malaysia membuat keputusan hartanah dengan yakin, sambil menyokong usaha kerajaan meningkatkan kemampuan memiliki rumah dan mobiliti sosial. Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, sila layari PropertyGuru dan iProperty Malaysia.​