Sime Darby Property Optimis Kenaikan OPR Tidak Jejas Permintaan Terhadap Hartanah

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) — Sime Darby Property Bhd optimis bahawa permintaan terhadap hartanah dijangka berterusan biarpun terdapat unjuran kenaikan seterusnya bagi Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Pengarah Urusannya Datuk Azmir Merican berkata pihak Sime Darby Property misalnya masih lagi menyaksikan permintaan bagi hartanah yang berharga RM500,000 hingga RM800,000.

Menurutnya, Malaysia juga masih berada dalam rejim kadar faedah yang agak baik sekiranya Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk menaikkan OPR tersebut.

“Kita sudah lama berada dalam persekitaran kadar faedah yang secara kompetitifnya rendah dan kerajaan pula perlu membuat pertimbangan mengenai banyak perkara,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Sime Darby Property dan AmBank (M) Bhd di sini, hari ini.

BNM dijangka menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.25 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang berlangsung pada 5-6 Julai, 2022.

Sebelum ini, bank pusat tersebut telah menaikkan 25 bps OPR kepada 2 peratus dalam mesyuarat ketiga MPC pada Mei lepas daripada paras terendah sebanyak 1.75 peratus yang bertahan selama hampir dua tahun.

Selain itu, mengulas kekangan dihadapi syarikat, Azmir berkata faktor seperti peningkatan harga bahan mentah dan masalah kekurangan tenaga kerja kekal menjadi cabaran utama bagi tahun ini.

“Adalah diharapkan agar harga bahan mentah ini dapat stabil semula ke paras lebih rasional apabila rantaian bekalan kembali kepada keadaan normal,” katanya.

Dalam pada itu, MoU tersebut menyasarkan untuk menawarkan pilihan pembiayaan lebih mampan pada kadar 2.95 peratus untuk hartanah Sime Darby.

Menurut Azmir, kerjasama itu juga dapat memperluas inisiatif digital Sime Darby Property dalam usaha membolehkan pembeli menikmati pengalaman pembelian serba lengkap yang mudah.

“Inovasi dalaman syarikat ini seperti sistem tempahan secara dalam talian dan galeri jualan maya berserta pasukan perundingan, telah memberi kemudahan besar untuk membolehkan pembeli melihat, membuat pendaftaran, memilih rumah impian serta pembayaran yang hanya melengkapkan lagi ekosistem berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank Datuk Sulaiman Mohd Tahir pula menyifatkan kerjasama tersebut menyuntik pengalaman yang lebih lancar untuk pelanggan apabila turut melibatkan proses permohonan pinjaman yang lebih mudah.

“Pada masa sama, kita turut menyaksikan peningkatan permintaan bagi pembiayaan berkaitan kemampanan susulan kesedaran yang ketara terhadap usaha menangani perubahan iklim,” katanya.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/sime-darby-property-optimis-kenaikan-opr-tidak-jejas-permintaan-terhadap-hartanah/

Previous ArticleNext Article

Dilema mahu membeli atau menyewa rumah

Memiliki rumah sejak sekian lama dianggap sebagai simbol kestabilan dan kejayaan hidup bagi rakyat Malaysia.

Tidak hairanlah ramai golongan muda merasakan mereka perlu membeli rumah secepat mungkin yang memaksa mereka menanggung komitmen pinjaman perumahan selama 30 hingga 40 tahun.

Namun, dalam cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat, harga rumah yang terus berada di luar kemampuan sebahagian besar pembeli muda serta corak pekerjaan yang semakin dinamik, tiba masanya kita menilai semula maksud sebenar ‘seseorang itu ada rumah’.

Pada asasnya, rumah adalah tempat berteduh dan menyediakan keperluan asas untuk kediaman. Yang mustahak adalah ‘jaminan tempat kediaman dan kepentingan untuk mendiami’ yang lazimnya adalah melalui pemilikan tetapi boleh juga melalui penyewaan.

Bagi ramai golongan muda, terutamanya di peringkat awal kehidupan, menyewa boleh menjadi pilihan yang lebih praktikal dan fleksibel.

Ia membolehkan mereka mampu untuk menetap berhampiran tempat kerja, mengurus kewangan dengan lebih baik dan mengelakkan beban hutang jangka panjang sebelum benar-benar bersedia untuk membeli rumah sendiri.

Perubahan cara berfikir ini secara perlahan-lahan membuka ruang kepada perkembangan pasaran sewaan di Malaysia, termasuk kemunculan konsep ‘co-living’ atau kediaman bersama di dalam sebuah komuniti transit, serta juga konsep Rent-to-Own (RTO) atau Sewa-untuk-Beli.

Walaupun segmen ini masih kecil berbanding pasaran sewaan konvensional, ia semakin mendapat perhatian khususnya dalam kalangan generasi muda.

Konsep ‘co-living’ menawarkan bilik atau unit yang lengkap dengan perabot, tempoh sewaan yang lebih fleksibel serta kemudahan bersama yang diuruskan secara profesional.

Ia juga mengurangkan kos kemasukan (barrier of entry) kerana penyewa tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membeli perabot atau menanggung pelbagai kos utiliti secara berasingan.

Bagi golongan belia dan profesional muda, pekerja kontrak serta mereka yang sering berpindah lokasi pekerjaan, ‘co-living’ menyediakan pilihan perumahan yang lebih mudah dan praktikal tanpa perlu membuat komitmen membeli rumah ketika pendapatan mereka, khususnya pendapatan boleh guna mereka masih sedang dibina dan deperkukuhi.

Namun begitu, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi sekiranya pasaran sewaan ingin berkembang menjadi satu cabang penting dalam ekosistem perumahan negara.

Cabaran pertama ialah persepsi masyarakat. Budaya pemilikan rumah masih sangat kuat dan menyewa sering dianggap sebagai pilihan sementara atau petanda seseorang mencapai kestabilan kewangan.

Persepsi ini ada benarnya, tetapi ia juga mewujudkan tekanan sosial yang menyebabkan ramai membeli rumah lebih awal daripada kemampuan sebenar mereka ataupun menyebabkan kerakusan pasaran yang sehingga mengakibatkan tekanan mental dan emosi.

Hakikatnya, keperluan perumahan setiap individu berbeza mengikut peringkat kehidupan. Ada yang memerlukan fleksibiliti untuk berpindah mengikut kerjaya, manakala ada yang lebih selesa menangguhkan pembelian rumah sehingga kedudukan kewangan mereka lebih kukuh.

Oleh itu, menyewa tidak sepatutnya sewenang-wenangnya dilihat sebagai pilihan yang kurang baik sehingga dilihat sebagai stigma berbanding pemilikan rumah.

Cabaran kedua ialah pasaran sewaan negara yang masih belum matang dan terpasung. Sebahagian besar pasaran masih dikuasai oleh pemilik individu dengan standard pengurusan, syarat penyewaan dan kualiti penyelenggaraan yang berbeza-beza.

Keadaan ini menyebabkan pengalaman menyewa tidak seragam dan kadangkala menimbulkan ketidakpastian kepada penyewa dan juga pemilik rumah.

Cabaran ketiga pula ialah kekurangan rangka kerja perundangan yang menyeluruh untuk mengawal selia sektor sewaan kediaman.

Pelaksanaan dan penggubalan sebuah akta, seperti Akta Penyewaan Kediaman (RTA) yang satu ketika dahulu diusulkan tetapi tertangguh, perlu disegerakan bagi mewujudkan pasaran sewaan yang lebih teratur dan telus.

Sebuah akta yang khusus untuk regulasi pasaran penyewaan sektor kediaman ini berpotensi untuk menyediakan perlindungan yang lebih jelas kepada penyewa dan juga pemilik, memperkukuhkan mekanisme penyelesaian pertikaian serta meningkatkan keyakinan pelabur dan pengendali profesional dalam sektor perumahan sewaan.

Bagi akta sedemikian, keutamaan harus diberikan kepada pendekatan yang mesra penyewa, mesra pemilik dan mesra pelabur yang mengimbangi secara saksama kepentingan-kepentingan setiap pemegangtaruh untuk melahirkan satu persekitaran pasaran yang menang-menang.

Tumpuan juga harus diberikan untuk memperhalusi dan mengukuhkan konsep RTO atau Sewa-untuk-Beli sebagai salah satu langkah penyelesaian menang-menang.

Dalam jangka panjang, pembangunan pasaran sewaan yang lebih tersusun akan memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat.

Persediaan dan ketersediaan bakal pembeli rumah adalah berbeza-beza di dalam persekitaran yang mencabar dewasa ini di samping tekanan sosial berkenaan kemampuan dan pemilikan rumah idaman.

Walaupun apapun keadaannya, yang pasti adalah setiap individu dan isi rumah seharusnya mempunyai akses dan jaminan tempat kediaman yang selesa, mempunyai akses kepada kemudahan, selamat dan mampu dibayar mengikut keperluan serta kedudukan kewangan masing-masing.

Dalam hal ini, memperkukuhkan pasaran sewaan melalui konsep seperti RTO dan ‘co-living’ serta pemerkasaan rangka kerja perundangan berpotensi untuk melengkapkan ekosistem perumahan negara dengan menyediakan pilihan yang lebih pelbagai dan inklusif untuk rakyat Malaysia.

Penulis ialah Pengarah Kanan, Penyelidikan Hartanah Rahim & Co Chestertons

— Berita Harian