Aliran Masuk Portfolio Asing Capai RM12.7 Bilion Pada Julai, Tertinggi Sejak Mac 2016 – UOB

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) — Pelabur asing terus menyumbang kepada aset pelaburan portfolio Malaysia pada Julai, membawa keseluruhan aliran masuk sebanyak RM12.7 bilion, menandakan aliran masuk portfolio asing bulanan terbesar sejak Mac 2016 dan pembelian asing bersih bagi tujuh bulan berturut-turut, tempoh paling lama sejak lewat 2020.

UOB Global Economics and Markets Research berkata ini didorong oleh aliran masuk bukan pemastautin ke dalam kedua-dua pasaran sekuriti hutang Malaysia bernilai RM11.3 bilion dan RM1.4 bilion ekuiti pada Julai.

Firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini menjelaskan pembelian asing ekuiti yang kembali semula ke Malaysia juga membantu memacu lantunan semula dalam Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia buat kali pertama tahun ini pada Julai iaitu sebanyak 6.0 peratus kepada 1,459.43 mata.

“Secara kumulatif, aliran masuk portfolio asing berjumlah RM29.6 bilion dalam tempoh tujuh bulan pertama 2023, disokong semata-mata oleh pembelian asing sekuriti hutang Malaysia kerana ekuiti mencatatkan aliran keluar sebanyak RM2.8 bilion setakat tahun ini,” katanya.

Pada bulan lepas, semua instrumen hutang mencatatkan peningkatan dalam pembelian asing, diterajui oleh Sekuriti Kerajaan Malaysia (+RM7.6 bilion), Terbitan Pelaburan Kerajaan (+RM1.8 bilion), dan sekuriti hutang swasta, termasuk sukuk swasta (+RM1.0 billion).

“Oleh itu, pegangan asing bon kerajaan Malaysia meningkat paling tinggi sejak Jun 2020 sebanyak RM9.4 bilion kepada RM258.1 bilion pada akhir Julai, membentuk 24.0 peratus daripada jumlah bon kerajaan terkumpul,” katanya.

Ia juga menandakan pegangan saham asing tertinggi bon kerajaan Malaysia dalam tempoh 14 bulan.

Menurut firma penyelidikan itu, aliran masuk modal ke Malaysia dijangka kekal tidak menentu dalam tempoh terdekat ini disebabkan penentuan harga pasaran yang berterusan pada akhir kitaran langkah monetari ketat oleh bank-bank pusat global di tengah-tengah risiko kemungkinan peningkatan inflasi serta ketegangan geopolitik yang berlarutan. 

Pemangkin penting yang perlu diberi perhatian sepanjang bulan berikutnya termasuklah angka Indeks Harga Pengguna Amerika Syarikat bagi Julai, keputusan pilihan raya negeri, pengumuman angka keluaran dalam negara kasar suku kedua dan data akaun semasa, kajian semula Pelan Induk Perindustrian Baharu dan keputusan kadar dasar semalaman Bank Negara Malaysia.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

AICB Iktiraf Lebih 700 Profesional Perbankan, Perkukuh Bakat Masa Hadapan Malaysia dan Serantau

Kuala Lumpur: Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) menzahirkan iltizam berterusan dalam memperkukuh pembangunan bakat perbankan di Malaysia dan rantau ini dengan meraikan lebih 700 profesional perbankan semasa 9th Chartered Banker Conferment Ceremony, yang turut menghimpunkan ahli dari Kemboja, Maldives dan Filipina. Penyertaan ahli serantau mencerminkan pengaruh AICB yang kian berkembang serta dedikasinya untuk memartabat piawaian profesional dalam lapangan perkhidmatan kewangan.

Majlis tersebut yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menempa satu lagi pencapaian bermakna bagi profesion perbankan tatkala industri mengharungi landskap yang kian dinamik, didorong perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), kemunculan aset digital, komitmen kelestarian serta persekitaran risiko yang semakin rencam dan kompleks. Menurut Tinjauan Tenaga Kerja AICB 2025, sebanyak 57% institusi kewangan masih pada peringkat awal penerapan AI, manakala 62% menyatakan bahawa kepesatan perkembangan teknologi yang mengatasi keupayaan semasa tenaga kerja ialah halangan utama dalam merapatkan jurang kemahiran. Keadaan ini menuntut kesegeraan untuk memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja, keupayaan tatakelola serta pembangunan kemahiran kritikal dan baharu seiring perkembangan sektor perbankan.

Semasa ucaptama YBrs. Encik Adnan Zaylani, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, beliau berkata: “Melangkah ke hadapan, tanggungjawab warga perbankan perlu berkembang melangkaui fungsi pembiayaan tradisional agar dapat memangkin pertumbuhan. Bank bukan sahaja berperanan sebagai perantara kewangan, malah turut menjadi pemacu strategik transformasi ekonomi. Seiring anjakan landskap operasi, pertumbuhan ekonomi dan industri kini semakin dibayangi risiko yang kompleks serta saling berkait, sekali gus menuntut pertimbangan profesional, kefahaman kontekstual dan penilaian risiko yang lebih berpandangan jauh.”

Dalam ucapan alu-aluan, YBhg. Tan Sri Azman Hashim, Pengerusi AICB, menyebut: “Sektor perbankan Malaysia hendaklah meletakkan keutamaan yang sama terhadap pelaburan bagi pembangunan modal insan sepertimana pembangunan teknologi. Tatkala AI, aset digital dan agenda kelestarian mencorak semula landskap perkhidmatan kewangan, industri memerlukan warga perbankan yang berupaya memanfaatkan teknologi secara bertanggungjawab, mengurus risiko baharu serta mengekalkan keyakinan awam. Kelayakan profesional AICB, bersama inisiatif seperti Future Skills Framework (FSF) dan FSF Xcel – platform penilaian kemahiran – direka untuk membantu institusi perbankan mengenal pasti, membangun dan mengekalkan kemahiran yang diperlukan bagi melahirkan tenaga kerja berdaya tahan dan bersedia menempuhi masa depan.”

Paul Denton, Presiden Chartered Banker Institute (CBI), United Kingdom, berkata: “Dalam persekitaran global yang semakin kompleks, profesional perbankan bukan sahaja perlu menguasai teknologi baharu, malah  dituntut untuk menampilkan pertimbangan profesional yang ampuh, kepimpinan beretika serta pertanggungjawaban jangka panjang. Status Chartered Banker melambangkan komitmen tersebut. Penganugerahan hari ini mengiktiraf pencapaian individu serta meraikan penyertaan dalam komuniti profesional global yang berpaksikan integriti, kompetensi dan kepercayaan awam. Melalui kerjasama erat bersama AICB sejak sekian lama, kami berbangga dapat menyokong profesional perbankan di Malaysia dan rantau ini dalam membangunkan kemahiran, pertimbangan dan nilai yang diperlukan untuk mengemudi perubahan.”

Pada majlis tersebut, AICB menganugerahkan status Fellow Chartered Banker kepada tujuh tokoh perbankan terkemuka, selain menganugerahkan status Chartered Banker kepada 114 ahli dan meraikan 611 Associate Chartered Banker, di samping penerima Anugerah Kecemerlangan dan Anugerah Korporat. Tujuh penerima status Fellow Chartered Banker ialah Amanah Aboobucker, Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan, Kumpulan AmBank; Faradina Mohammad Ghouse, Ketua Pegawai Pematuhan Kumpulan, Kumpulan AmBank; Shamsul Bahrom Mohamed Ibrahim, Ketua Pegawai Risiko Kumpulan, Kumpulan AmBank; YM Raja Shah Riman Raja Harun Al-Rashid, Ketua Pegawai Risiko dan Pematuhan, Cagamas Berhad; Arshad Mohamed Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Malaysian Rating Corporation Berhad; Dr Hu Meng Kui, Pemeriksa AICB bagi Modul Profesionalisme dan Etika; serta Fong Seow Loong, bekas Ketua Pegawai Kredit, Alliance Bank Malaysia Berhad.

Majlis tahun ini mencatat sejarah baharu buat AICB apabila Vorn Samedy dari Wing Bank (Cambodia) PLC dan Thong Min Fong dari Hong Leong Bank Berhad diiktiraf sebagai Overall Subject Prize Global Winners oleh Chartered Banker Institute, menerusi pengajian masing-masing dalam bidang Perbankan Komersial dan Pengurusan Risiko Bank. Pengiktirafan tersebut diberikan kepada mereka yang memperoleh markah tertinggi di peringkat global, sekali gus merupakan ahli AICB pertama menerima penghormatan berprestij ini.

Majlis tersebut turut mengiktiraf Kumpulan Public Bank selaku Platinum Winner of the Leading Bank for Professional Development Award atas pencapaian mempunyai jumlah pekerja bertauliah tertinggi dalam kalangan Bank Ahli Korporat AICB pada tahun 2025. Sementara itu, Kumpulan Maybank menerima Leading Bank for Chartered Banker Award kerana melahirkan jumlah Chartered Banker tertinggi pada tahun 2025. Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen kedua-dua organisasi terhadap pembelajaran berterusan, pemerkasaan standard profesionalisme serta pembangunan tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa hadapan bagi industri perkhidmatan kewangan di Malaysia dan rantau ini. Kelayakan utama Chartered Banker yang ditawarkan AICB dilaksanakan bersama Chartered Banker Institute, United Kingdom, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pengiktirafan profesional perbankan bertaraf global. Seiring perubahan berterusan dalam industri perbankan, AICB kekal komited dalam memperkasa standard profesionalisme, memperluas budaya pembelajaran sepanjang hayat serta memupuk kepimpinan beretika bagi memastikan sektor perbankan Malaysia terus didukung oleh profesional yang berkeupayaan, bertanggungjawab dan diyakini untuk memimpin perubahan.