Bursa Malaysia Tawar Insentif Tunai Untuk Tambah Baik Dagangan ETF

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) — Bursa Malaysia Bhd telah melancarkan Program Insentif ‘ETF Power Players’ 2023, inisiatif itu bertujuan untuk memperkukuh nilai dagangan, volum dagangan dan jumlah pelabur dan peniaga yang berdagang dalam dana dagangan bursa (ETF).

Bursa Malaysia berkata program berkenaan yang berlangsung mulai hari ini hingga 29 Disember 2023, menawarkan insentif tunai menarik kepada pelabur dan peniaga yang terlibat secara aktif dalam perdagangan sekurang-kurangnya satu ETF tersenarai di Bursa Malaysia dalam tempoh yang ditetapkan.

Pengarah Pengasalan dan Penyenaraian Bursa Saham, Azhar Mohd Zabidi berkata Program Insentif ‘ETF Power Players’ 2023 merupakan salah antara inisiatif diperkenalkan Bursa Malaysia untuk membangunkan ekosistem ETF yang bergerak aktif.

“Kami percaya penambahan Program Insentif  ‘Power Players’ akan terus memberi impak positif kepada dinamik pasaran Malaysia serta mewujudkan lebih banyak peluang untuk pelabur dan peniaga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program tahun ini merangkumi dua kumpulan berbeza untuk membolehkan tahap penyertaan yang lebih luas.

Kumpulan A terdiri daripada pelabur runcit dengan akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) langsung atau penama, tidak termasuk akaun dagangan budi bicara (DT), serta wakil berdaftar (RR) atau peniaga yang mengendalikan akaun DT.

Sementara itu, Kumpulan B melibatkan semua peniaga akaun pelaburan (IVT) dengan akaun CDS.

Peserta yang layak daripada kedua-dua kumpulan akan berpeluang memperoleh insentif tunai bulanan berdasarkan jumlah nilai dagangan (TTV) mereka dalam ETF untuk setiap bulan dagangan, kata Bursa Malaysia.

Menurutnya, insentif tunai bulanan antara RM200 hingga RM1,500 untuk Kumpulan A dan RM600 hingga RM4,800 untuk Kumpulan B, bergantung kepada kategori yang dicapai berdasarkan TTV.

Keperluan TTV minimum setiap bulan dagangan untuk Kumpulan A ialah RM20,000 manakala TTV minimum untuk Kumpulan B ialah RM250,000.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat terperinci mengenai program termasuk terma dan syarat di https://www.bursamarketplace.com/ETFpowerplayers/.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Meridian Ditegur Bursa, Didenda RM8,500

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Securities Bhd mengenakan teguran secara terbuka terhadap Meridian Bhd dan Pengarah Eksekutifnya, Tang Boon Koon, selepas syarikat itu didapati melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities (LR Utama).

Tang turut dikenakan denda keseluruhan RM8,500 berikutan pelanggaran berkenaan.

Bursa Malaysia Securities dalam kenyataan berkata, Meridian melanggar perenggan 9.23(1) LR Utama kerana gagal menerbitkan laporan tahunan termasuk penyata kewangan diaudit dalam tempoh ditetapkan bagi tempoh kewangan 17 bulan berakhir 30 November 2023 dan tempoh kewangan 18 bulan berakhir 31 Mei 2025.

Menurutnya, laporan tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 30 November 2023 hanya diterbitkan pada 5 April 2024, iaitu lewat lima hari urus niaga selepas tarikh akhir pada 31 Mac 2024.

Sementara itu, laporan tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mei 2025 diterbitkan pada 8 Oktober 2025, iaitu lewat enam hari urus niaga selepas tarikh akhir pada 30 September 2025.

“Tang, Pengarah Eksekutif Meridian pada masa itu, melanggar perenggan 16.13(b) LR Utama kerana membenarkan Meridian melakukan pelanggaran berkenaan serta dikenakan teguran secara terbuka selain denda keseluruhan berjumlah RM8,500,” katanya.

Bursa Malaysia Securities turut mengarahkan Meridian memastikan Tang dan kakitangan berkaitan menghadiri program latihan pematuhan LR Utama, khususnya berkaitan penyata kewangan.

Selain itu, lembaga pengarah syarikat diminta menyemak semula kecukupan serta kecekapan sumber kewangan dan perakaunan, selain dasar serta prosedur pelaporan kewangan syarikat.

Bursa Malaysia Securities berkata, dapatan pelanggaran dan tindakan terhadap Meridian serta Tang dibuat menurut perenggan 16.19 LR Utama selepas proses sewajarnya selesai dengan mengambil kira semua fakta dan keadaan berkaitan kes berkenaan.

Pertimbangan itu termasuk kepentingan material pelanggaran, kesannya terhadap Meridian serta pemegang saham atau pelabur, selain peranan, tanggungjawab, pengetahuan dan tingkah laku Tang.

Bursa Malaysia Securities memandang serius pelanggaran berkenaan kerana penyerahan penyata kewangan dalam tempoh ditetapkan adalah kewajipan asas bagi syarikat tersenarai.

“Amat penting untuk memastikan pasaran yang teratur dan adil bagi sekuriti yang diniagakan di Bursa Malaysia Securities serta perlu bagi membantu keputusan pelaburan yang termaklum.

“Bursa Malaysia Securities turut mengingatkan Meridian dan lembaga pengarahnya mengenai tanggungjawab masing-masing untuk mengekalkan piawaian tanggungjawab korporat serta akauntabiliti yang sewajarnya kepada pemegang saham dan orang awam yang melabur,” katanya.

Menurut Bursa Malaysia Securities, kelewatan penerbitan laporan tahunan berkenaan berpunca terutamanya daripada kegagalan Meridian menyelenggara serta menyediakan maklumat, dokumen dan rekod perakaunan yang diperlukan kepada juruaudit luar.

Keadaan itu turut menyebabkan juruaudit memberikan pendapat penafian terhadap kedua-dua set penyata kewangan diaudit berkenaan.

Pendapat penafian itu mencetuskan kriteria yang ditetapkan di bawah Nota Amalan 17 (PN17), sekali gus menyebabkan Meridian diklasifikasikan sebagai penerbit berstatus PN17 pada 8 April 2024.