KPK Akan Ambil Tindakan Terhadap Produk Mendiskriminasi Minyak Sawit Malaysia – Johari

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) — Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengambil tindakan tegas  terhadap syarikat pengimport produk yang mendiskriminasi minyak sawit di negara ini, kata menterinya Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata setiap produk import yang mempunyai tanda mendiskriminasi produk sawit akan didenda sehingga RM250,000 mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

“Kita nampak banyak produk import dari luar (negara) yang tidak ada kena-mengena dengan sawit, tetapi pada pembungkusan dinyatakan ‘tanpa minyak sawit’ atau palm oil free.

“Kita ada undang-undang. Mereka mendiskriminasi produk kita, mana boleh? Di Indonesia, anda tidak akan berdepan situasi ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Johari berkata perbincangan bersama KPDN akan dilakukan pada bulan hadapan.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara FGV Holdings Bhd dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan pelancaran label baharu minyak masak SAJI dengan logo MSPO.

Beliau berkata, dalam usaha memampankan industri sawit negara, Johari berkata KPK akan berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk meletakkan logo MSPO pada setiap produk berasaskan minyak sawit yang dipasarkan dalam negara.

Beliau berkata kewujudan logo MSPO dapat menekankan kepentingan alam sekitar serta kesedaran terhadap usaha kemampanan dalam industri sawit negara.

Sementara itu, pemeteraian MoU berkenaan adalah sebagai jalinan kerjasama antara MSPO dan FGV dalam mempromosi silang, menukar maklumat sekali gus meneroka peluang baharu dan inisiatif berkaitan kemampanan dalam industri minyak sawit dan halal.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Kembali Ke Fasa Pengukuhan

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO ini menurun MYR9 semasa sesi dagangan lalu untuk ditutup pada harga MYR4,597. Pada hari Jumaat, komoditi ini memulakan dagangan pada paras MYR4,604. Pada awalnya, ia jatuh ke paras terendah sesi tersebut pada MYR4,575. Ia kemudiannya melantun ke paras tertinggi sesi tersebut pada MYR4,608 dan menutup dagangan pada MYR4,597. Di samping pergerakan RSI ke bawah, penutupan dagangan terkini yang menurun menunjukkan momentum menurun kembali menguat.

Komoditi ini mungkin akan melanjutkan fasa koreksi harga dan menguji paras sokongan semula pada MYR4,390. Sementara itu, garisan SMA 50 hari masih bergerak ke paras lebih rendah, lantas mengukuhkan keadaan pasaran menurun. Sekiranya komoditi ini mencatat pergerakan menaik, paras MYR4,700 akan menahan harga daripada menembusi paras berkenaan. Selagi FCPO terus berada di bawah paras ambang MYR4,700, kami tetap akan berpegang pada bias dagangan negatif.

Para pedagang disarankan untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei (MYR4,481). Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama kini berada pada MYR4,390 dan diikuti oleh paras sokongan lebih rendah pada MYR4,250. Paras rintangan pertama pula ialah MYR4,700 yang diikuti oleh paras MYR4,900.