MPOB perluas produk minyak sawit bagi syarikat China, wilayah Muslim di China

SHANGHAI, 13 Nov (Bernama) — Malaysia menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan meneruskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk memperluas produk nilai tambah berasaskan minyak sawit untuk syarikat di China mengeksportnya ke wilayah Muslim di negara itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof berkata setakat ini terdapat beberapa produk yang sedang dikomersialkan di China hasil daripada usaha Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Sawit MPOB (PORTSIM).

“Setakat ini, kita amat berpuas hati dengan apa yang telah dihasilkan dan seterusnya kita perlu lihat bagaimana kita boleh perluaskan lagi penghasilan produk yang dapat di hasilkan dari PORTSIM yang sesuai dengan cita rasa dan kesesuaian pasaran di negara China.

“PORTSIM telah berjaya memberikan solusi dan membantu pihak industri menggantikan kaedah pengeluaran mereka dengan menggunakan minyak sawit,” katanya kepada media selepas lawatan beliau ke PORTSIM, di sini, hari ini.

Fadillah berkata, sebelum ini syarikat di negara tersebut menggunakan bahan lain bagi penghasilan produk mereka tetapi kini bagi memenuhi permintaan pasaran yang lebih besar mereka menggantikannya dengan menggunakan minyak sawit yang diiktiraf halal dan sesuai untuk menembusi pasaran dunia Islam.

Seterusnya, katanya, institut penyelidikan itu juga sedang meneliti produk kesihatan berasaskan tanaman serba boleh, tokotrienol.

“Kita juga akan berjumpa dengan menteri pertanian di sini untuk pengiktirafan dari segi standard pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kita dengan produk pertanian mereka,” katanya.

PORTSIM yang ditubuhkan pada 2005 ialah cawangan MPOB di China dan bertujuan untuk membangun, mengembangkan dan memajukan pasaran minyak sawit Malaysia di China serta menyediakan sokongan teknikal dan khidmat nasihat untuk perusahaan berkaitan.

Fadillah sedang dalam rangka lawatan sulung rasminya ke China dari 12-19 Nov untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta pembinaan kapasiti dalam bidang komoditi, terutamanya dalam mempromosikan pensijilan MSPO di peringkat global.

Nilai eksport produk berasaskan sawit ke China pada 2022 ialah sebanyak RM16.41 bilion manakala nilai eksport minyak sawit Malaysia ke negara itu pada tahun yang sama ialah RM8.44 bilion.

Sementara itu, Pengurus Besar PORTSIM Yoong Jun Hao berkata institut penyelidikan itu telah menerima akreditasi China daripada China National Accreditation Services (CNAS) dan China Inspection Body and Laboratory Mandatory Approval (CMA).

“Ini adalah satu pengiktirafan kepada makmal kami bahawa kami juga memenuhi semua keperluan di China mengikut standard dan kualiti mereka.

“Selain itu, kami juga berada di sini untuk membantu memberi perkhidmatan kepada industri dengan mengembangkan pasaran mereka ke dalam segmen nilai tambah yang lebih tinggi di China dengan menjual lebih banyak produk hiliran daripada produk minyak sawit Malaysia melalui aktiviti R&D serta pengkomersilan kami.

“Menerusi ini, kami boleh membantu industri kita beralih ke segmen hiliran untuk menghasilkan lebih banyak produk nilai tambah, dan ini akan membantu mendapatkan pelanggan setia di China serta pada masa yang sama membantu negara kita mengembangkan lagi pasaran minyak sawit kita” katanya.

Yoong berkata setiap tahun, PORTSIM akan mencipta tiga hingga lapan produk baharu dan daging vegan (daging bagi orang yang makan sayur dan buah-buahan sahaja) adalah antara produk baharu pada tahun ini.

“Ia adalah produk akan datang kami yang menggunakan 100 peratus daging berasaskan minyak sawit dan ia mempunyai kesan kebaharuan dan corak yang sama seperti daging sebenar. 

“Kami mengunjurkan pasaran vegan akan berkembang, terutamanya di China dan Eropah, oleh itu, produk ini mempunyai potensi yang amat besar,” katanya.

— BERNAMA

Dapatkan Ilmu Betul Untuk Trade FCPO!

Khas untuk pembaca setia MajalahLabur, sertai webinar khas step-by-step untuk anda yang berminat nak tahu selok-belok berdagang Futures.

Pra-daftar dahulu untuk jadi yang terawal dapat info bila kami buka pendaftaran nanti!

Previous ArticleNext Article

FCPO: Mendatar Di Bawah Garisan SMA 50 Hari

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO menurun MYR2 untuk ditutup pada paras MYR4,535 selepas tekanan jualan muncul berhampiran garisan SMA 50 hari. Pada Jumaat, komoditi ini membuka sesi dagangan pada harga MYR4,547. Ia kemudiannya berayun antara MYR4,570 dan MYR4,518 sebelum menutup dagangan pada paras MYR4,535. Pergerakan harga ini mengesahkan bahawa garisan SMA 50 hari terus menjadi paras rintangan overhed.

Selagi komoditi ini berada di bawah garisan purata bergerak jangka sederhana ini, mereka yang menantikan penurunan harga akan mempunyai kelebihan teknikal. Sementara itu, paras rintangan kukuh dijangka berada pada paras MYR4,700. Dalam keadaan pasaran menurun, paras rintangan kukuh dan akan menghalang kenaikan harga komoditi ini. Kami akan terus berpegang pada bias dagangan negatif melainkan FCPO menembusi paras ambang MYR4,700 tersebut.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan terdekat sebaliknya berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840