5 Perkara Seorang Penjamin Atau Guarantor Wajib Tahu

Biasanya sebagai seorang penjamin, ianya merupakan satu bentuk pertolongan untuk rakan atau ahli keluarga terdekat bagi memudahkan mereka mendapatkan pinjaman. Ia sama sekali bukanlah disebabkan faktor pelaburan.

Tahukah anda, penjamin tidak mempunyai potensi untuk mendapatkan keuntungan apa-apa daripada segi kewangan? Institusi kewangan memerlukan penjamin agar dapat melindungi pinjaman mereka sekiranya peminjam gagal membayar balik pinjaman yang telah ditetapkan.

Oleh itu, pastikan anda tahu 5 perkara ini terlebih dahulu sebelum nak jadi penjamin kepada sesiapa.

1. Penjamin Terikat Dengan Kontrak Yang Sah

Penjamin telah terikat dengan kontrak sah yang menyatakan tanggungjawab untuk membayar hutang sekiranya peminjam gagal membuat bayaran.

Sangat penting bagi kita untuk fahamkan betul-betul maksud penjamin dan tugas yang perlu dipikul.

2. Tindakan Terhadap Penjamin

Terdapat beberapa langkah awal yang boleh digunakan bagi penjamin seperti mendapatkan nasihat daripada peguam agar dapat mengurangkan risiko sekiranya berlaku masalah yang tidak diingini.

Sekiranya peminjam gagal membuat bayaran, institusi kewangan tidak mempunyai hak untuk melaksanakan sesuatu tindakan kepada penjamin kecuali jika peminjam minta daripada penjamin. Dan penjamin tidak mempunyai sebarang obligasi setelah peminjam menyelesaikan semua bayaran hutang sehingga tamat.

3. Hak Dan Tanggungan Penjamin

Penjamin haruslah berwaspada dengan hak perundangan yang berkaitan kepada mereka sebelum dan juga selepas menandatangani sesuatu kontrak. Penjamin dibenar untuk mendapatkan salinan surat jaminan dan dokumen-dokumen yang berkaitan sebagai bukti perjanjian kontrak tersebut.

Dokumen ini boleh dijadikan sebagai bukti sekiranya terdapat kes tuduhan terhadap penjamin.

4. Maklumat Daripada Peminjam Kepada Penjamin

Ingatlah bahawa walaupun peminjam adalah individu yang dipercayai, tidak salahnya untuk kita mengambil langkah tambahan. Seterusnya kita perlu berwaspada sekiranya akses kepada maklumat dinafikan oleh peminjam.

Hak sebagai penjamin untuk mendapatkan sebarang maklumat daripada peminjam hendaklah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Maklumat ini akan berguna jika apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku.

5. Tiada Rekod Baik Diberikan Kepada Penjamin

Seperti yang disebutkan sebelum ini, menjadi penjamin tidak akan memberi kita sebarang rekod kredit yang baik walaupun peminjam berjaya membayar pinjaman. Malahan, penilaian kredit yang buruk akan menyebabkan kita susah pada masa hadapan.

Jika terdapat sebarang keraguan dan ingin menamatkan perjanjian jaminan, penjamin ini bolehlah melaksanakan haknya untuk meminta peminjam membayar semua pinjaman agar dapat melepaskan semua tanggungan tersebut.

Walaubagaimanapun, terma-terma dan syarat-syarat mungkin akan berbeza. Oleh itu, adalah sangat penting bahawa penjamin menyedari apa kesan yang bakal ditanggungnya.

Jadi, sebelum nak menjadi penjamin kepada sesiapa, fikirlah dengan sewajarnya.

Berat Tugas Sebagai Penjamin

Sesetengah individu mungkin berpendapat bahawa mereka harus menjadi penjamin kepada ahli keluarga mereka. Ramai juga yang tidak bersetuju sekiranya terdapat kes menimbulkan keraguan terhadap keupayaan peminjam.

Kadang-kadang, kebanyakan penjamin sendiri tidak mempunyai keupayaan untuk membayar pinjaman jika peminjam gagal membayar pinjaman.  Sekiranya ada dalam kalangan kita yang tidak sengaja menjadi penjamin kepada seseorang, terdapat beberapa butiran yang harus anda perlu beri perhatian.

Antaranya adalah jumlah maksimum yang akan dijamin, terma-terma dan syarat-syarat pinjaman, tandatangan daripada semua penjamin bersama dengan nama penjamin.

Kesimpulannya, menjadi seorang penjamin memerlukan kita bersedia daripada segi tanggungjawab, hak, keupayaan diri sendiri sebelum bersetuju dengan sebarang dokumen secara sah.

Kita kena berfikir secara teliti dan bijak sebelum menjadi penjamin kepada ahli keluarga anda sendiri. Biasanya dengan menjadi penjamin, banyak masalah yang akan datang kepada; oleh itu beringatlah sebelum terkena.

Sumber RujukanAgensi Kaunseling & Pengurusan Kredit(AKPK)

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Hap2py Tidak Dibenarkan Kendali P2P Di Malaysia – SC

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memberi amaran kepada orang ramai agar tidak melabur atau berurusan dengan Hap2py, platform pembiayaan antara rakan setara (P2P) yang tidak dibenarkan di Malaysia.

Badan kawal selia itu menegaskan bahawa sehingga kini pihaknya telah campur tangan dan mengambil beberapa tindakan terhadap Hap2py, termasuk menyenaraikan platform tersebut dalam Senarai Peringatan Pelabur SC, menyekat beberapa laman webnya dan mengeluarkan perintah henti operasi.

SC menjelaskan walau bagaimanapun, Hap2py didapati tetap terus mendekati pelabur Malaysia melalui pelbagai cara, termasuk melalui variasi laman webnya serta iklan di media sosial

“Di samping itu, didapati terdapat banyak pertanyaan dan aduan terhadap entiti ini daripada orang ramai. SC memandang serius ketidakpatuhan ini, serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya dan/atau sebarang tindakan lain yang wajar, termasuk tindakan penguatkuasaan,” jelasnya dalam kenyataan pada Isnin.

SC memaklumkan bahawa Hap2py bukan Pengendali Pasaran Diiktiraf (RMO) yang dibenarkan dan ia kini mengendalikan platform P2P tanpa mendapatkan kebenaran SC sebagai RMO, yang merupakan satu kesalahan mengikut bawah Seksyen 7(1) (e) yang dibaca bersama Seksyen 34 Akta Perkhidmatan Pasaran Modal 2007.

Jika sabit kesalahan, individu atau entiti tersebut boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun, atau kedua-duanya sekali, tambah SC.

“Oleh itu, SC menggesa pelabur dan mereka yang ingin mengumpul dana untuk tidak berurusan atau melabur melalui Hap2py,” tegas badan kawal selia itu.

SC menekankan kepentingan untuk pelabur hanya melabur dengan RMO yang didaftarkan dan dibenarkan oleh SC kerana RMO berdaftar telah menjalani penelitian kawal selia dan dikehendaki mematuhi garis panduan dengan ketat supaya pelabur dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia.

SC mengingatkan bahawa pelabur yang berurusan dengan entiti tidak berlesen atau tidak dibenarkan terdedah kepada pelbagai risiko, termasuk penipuan, dan sekiranya berlaku pertikaian, pelabur tidak akan mendapatkan bantuan undang-undang.

“Pada ketika ini, terdapat 12 RMO berdaftar untuk pembiayaan P2P. Hanya mereka yang tersenarai merupakan pengendali platform yang dibenarkan untuk mengendalikan P2P di Malaysia.

“Pelabur digesa untuk mengesahkan kesahihan dan status individu atau syarikat yang menawarkan peluang pelaburan, terutama yang menjanjikan pulangan tinggi dengan sedikit atau tiada risiko, melalui Senarai Peringatan Pelabur SC,” tambah SC.

— BERNAMA