Benarkah Pembiayaan Bank Patuh Shariah Lebih Mahal?

“Apa yang Islamiknya kalau lagi mahal daripada bank konvensional?”

Ini antara soalan yang sering ditanya khususnya anak muda yang baru nak hidup dengan memohon pembiayaan bagi membeli kereta atau pun rumah.

Artikel ini akan cuba menjawab ringkas dengan merujuk lampiran penerangan produk pembiayaan rumah Bank Islam sebagai contoh.

Kita ambil contoh berdasarkan gambar di atas, pembelian rumah berharga RM350,000 dengan margin 90%. Kita akan dapat pembiayaan sebanyak RM315,000 dan tempoh pembiayaan selama 30 tahun. Kadar untung siling adalah 10.75% setahun. Maka nilai hutang akan menjadi RM1.17 juta.

Fuh, netizen pasti mengamuk. Mengapa nilai hutang menjadi RM1.17 juta? Zalimnya Bank Islam!

Sebelum kita mengamuk, kita harus meneruskan pembacaan kita ke atas lampiran produk itu. RM1.17 juta itu adalah kadar maksima, maksima ya, yang akan kita bayar kepada bank.

Hakikatnya yang betul-betul dicaj setiap bulan adalah yang disebut sebagai Kadar Untung Efektif/ Effective Profit Rate pada kadar BR (2.52%)+0.73% = 3.25% seperti yang ditunjuk di atas.

Apa kesannya?

Kadar pembayaran sebulan adalah sebanyak RM1,523.22 dan jumlah setelah 30 tahun dengan kadar Keuntungan Efektif yang tidak berubah akan menjadi RM548,359.29. Separuh daripada jumlah siling RM1.17 juta tadi.

Andai Base Rate atau Kadar Asas berubah, naik 1 atau 2% misalnya, jumlah akhir tetap tidak capai RM1.17 juta.

Iklan

Bagi mereka yang dalam bidang ekonomi, mereka akan tahu bahawa Kadar Asas ini berubah berdasarkan turun naik OPR atau kadar faedah yang ditetapkan oleh Bank Negara. Jika kita tengok sejarah, kadar faedah pernah mencapai 8.5% tahun 99 dan 6.9% tahun 97.

Maka sebagai Bank patuh Shariah, jumlah hutang yang terhasil daripada jualan mesti jelas tidak boleh ada unsur gharar (ketidakpastian) mengikut perubahan OPR tadi, maka nilai maksima atau siling tadi digunakan.

Syarat pada bank, tidak boleh menerima lebihan dari kadar maksima tadi. Adapun begitu, ia tidak bermaksud pelanggan akan dikenakan kadar maksima itu.

Seterusnya andai kita hanya perlu bayar separuh, apa berlaku pada separuh nilai berbaki?

Di sini adanya mekanisma Ibra atau Rebat dalam bahasa Melayu. Di mana bank diwajibkan oleh Bank Negara Malaysia untuk melepaskan hak lebihan yang tidak dikutip tadi di akhir pembiayaan atau sekiranya kita membuat bayaran awal.

Berbeza dengan Bank Konvensional, mereka boleh mengubah kadar hutang mengikut perubahan OPR dan Kadar Asas. Cuma ada klausa yang meminta mereka membuat makluman awal kepada penghutang. Di sini wujudnya unsur Riba akibat pertambahan kadar hutang yang dikontrakkan awal-awal.

Begitulah sedikit sebanyak penerangan terhadap salah faham terhadap beza kadar hutang di bank konvensional dan patuh Shariah.

Janganlah kita cepat meloncat melihat satu angka tanpa melihat perincian produk dan kiraan. Marilah sama-sama kita mengamalkan sikap berhati-hati dan membuat penelitian sebelum membuat apa-apa keputusan kewangan.

Baca juga Berapa Keuntungan Bank-Bank Islam Di Malaysia?

Ditulis oleh Arham Merican, Pengurus Shariah di sebuah institusi kewangan negara dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang ekonomi dan Shariah dengan fokus kepada pengurusan kewangan, pembasmian kemiskinan, dan pembinaan masyarakat madani.

Iklan

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

6 perkara yang kita perlu tahu sebelum mohon loan kereta

Kita berehat sebentar dari bercerita tentang topik pelaburan.

Jom tukar kepada topik pinjaman bank atau loan. Di sini kami kongsikan 6 perkara yang kita semua perlu tahu sebelum nak mohon loan kereta dengan bank (berdasarkan pengalaman sendiri).

1. Deposit atau ‘duit muka’

Bank biasanya akan minta deposit (ada juga yang tawarkan loan 100% seperti Bank Rakyat). Kadar normal adalah 10% dari harga kereta. Sebagai contoh, jika kos kereta baru berharga RM70,000, kita biasanya perlu bayar RM7,000 sebagai wang pendahuluan. Walau bagaimanapun, sesetengah bank mungkin akan minta jumlah yang lebih tinggi.

2. Kereta Nasional atau bukan?

Bank meletakkan kadar faedah lebih rendah bagi kenderaan import seperti Ford dan Kia berbanding kenderaan nasional seperti Proton. Walaubagaimanapun, perbezaannya adalah amat kecil.

3. Margin Pembiayaan

Sekiranya kita mampu bayar wang deposit yang lebih besar, kadar faedah biasanya menjadi lebih rendah.

Iklan

4. Caj pembayaran lewat

Sekiranya kita gagal untuk membuat bayaran seperti yang termaktub di dalam perjanjian Sewa-Beli (ponteng bayar), denda lewat bayar pada kadar 8% setahun akan dikenakan ke atas jumlah  ansuran tertunggak.

5. Penjamin

Bersedia untuk mencari “penjamin” bagi menyokong permohonan loan jika rasa komitmen sekarang tinggi (contoh : Jika pernah ada loan lain, kad kredit dsb). Penjamin adalah orang yang akan bertanggungjawab membayar bahagian yang belum dibayar pada pinjaman kita tadi, termasuk semua yuran dan caj faedah yang terkumpul, jika kita gagal menghormati perjanjian Sewa-Beli.

6. Takaful

Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kereta ‘dilindungi’ dengan betul. Bank biasanya perlukan kita mengambil perlindungan takaful komprehensif ke atas kereta sebelum meluluskan pinjaman.

 

Dokumen biasa yang diperlukan semasa nak submit permohonan loan:

  1. Tiga (3) bulan slip gaji terkini
  2. 1 salinan Kad Pengenalan (depan & belakang)
  3. 1 salinan lesen memandu yang sah (jika ada)
  4. 1 salinan buku bank / penyata akaun bank
  5. 1 salinan penyata KWSP terkini

 

Nota : Kalau boleh pastikan harga kereta tidak lebih dari gaji tahunan kita. Kalau bergaji RM3,000 sebulan, harga kereta mestilah tidak lebih daripada RM36,000 (RM3,000 x 12 = RM36,000). Lagi satu nak pesan, masa nak beli kereta jangan ikut orang sangat sebab gaji dia tak sama dengan gaji kita!

Iklan

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Untung Terakru, Kadar Rata (Fixed Rate), Baki Berkurangan (Reducing Balance)?

Pada 24 Mac 2020, Bank Negara Malaysia (BNM) telah membuat pengumuman bahawa semua bank yang dikawalselia oleh BNM akan memberikan moratorium (penangguhan) selama 6 bulan kepada pelanggan masing-masing berkuatkuasa April hingga September.

Moratorium ini diberikan adalah disebabkan wabak Covid-19 yang melumpuhkan hampir kesemua sektor ekonomi di mana pintu sempadan ditutup dan rakyat Malaysia pula dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kelonggaran yang diberikan ini dapat membantu rakyat Malaysia yang terjejas dan membantu menambah pendapatan boleh guna. Bagi yang tidak terjejas, ini peluang mereka untuk membuat simpanan atau menggunakannya untuk tujuan yang berfaedah.

Namun begitu, ramai pula yang tertanya-tanya adakah patut mereka mengambil moratorium ini atau membuat bayaran seperti biasa sahaja.

Untuk makluman, kaedah pembiayaan menggunakan dua formula iaitu kadar rata dan baki berkurangan.

1. Kadar Rata

Kebiasaanya formula ini digunakan bagi pembiayaan sewa beli kereta. Formula ini adalah tetap di mana untung bank akan kekal nilainya ke atas jumlah pokok sepanjang tempoh pembiayaan.

Formula Kadar Rata adalah seperti berikut:

(Jumlah Pembiayaan Asal x Bilangan Tahun Pembiayaan x Kadar Untung Setahun) = Jumlah Keuntungan Bank

Sebagai Contoh:
Pembiayaan = RM 49,000
Kadar Keuntungan Bank = 3.24 %
Tempoh Pembiayaan = 9 Tahun atau 108 Bulan
(RM 49,000 x 9 Tahun x 3.24%) = RM14,288.40

Bagi contoh di atas, kadar keuntungan bank adalah sebanyak RM14,288,40. Jumlah keseluruhan yang perlu dijelaskan:

Pokok + Kadar Keuntungan (RM 49,000 + RM 14,288.40 = RM 63,288.40)

Untuk mendapatkan ansuran bulanan pula, bahagikan dengan tempoh pembiayaan (bulan):

RM63,288.40 / 108 Bulan = RM586

Bagi contoh di atas, ansuran yang perlu dijelaskan setiap bulan selama 9 tahun adalah RM586.

2. Baki Berkurangan

Formula ini pula digunakan bagi pembiayaan perumahan. Cara pengiraan ini adalah berdasarkan kepada baki semasa pembiayaan dan kadar keuntungan bank pula adalah berubah mengikut Kadar Asas setiap bank.

Formula Baki Berkurangan ini pula adalah agak rumit namun secara asasnya adalah seperti berikut:

Iklan

Kadar Peratusan Keuntungan Bank x Baki Pembiayaan = Jumlah Keuntungan Bank

Sebagai Contoh:
Jumlah Pembiayaan = RM100,000
Tempoh Pembiayaan = 10 Tahun atau 120 Bulan
Kadar Keuntungan Bank = 4.5%

https://www.calculator.com.my/home-loan-calculator

Berdasarkan jadual di atas, bayaran bulanan adalah RM1,036 tetapi perlu diingat jumlah ansuran adalah tidak tetap kerana ia berdasarkan baki semasa. Dalam bayaran bulanan pula, ada pecahan iaitu untung bank dan pokok.

Sumber gambar : Malaysia Financial Advisory Group

Berbalik semula pada perbincangan berkenaan moratorium, bagi pembiayaan sewa beli kereta, ianya ‘straight forward’. Merujuk FAQ yang dikeluarkan bank, tiada apa-apa bayaran tambahan yang dikenakan oleh pihak bank. Pelanggan diberikan ‘payment holiday’ selama 6 bulan. Implikasinya adalah pembiayaan akan dipanjangkan jika sebelum itu 108 bulan, akan menjadi 114 bulan. So untung ke tak?

Bagi pembiayaan perumahan, ramai yang agak keliru terutamanya berkenaan untung terakru 6 bulan. Untung terakru bermaksud keuntungan yang pihak bank tidak dapat sepanjang 6 bulan tersebut iaitu April hingga September. Jika untung bank adalah RM1,000, untung terakru secara kasar adalah RM6,000.

Berdasarkan pemerhatian pula, kaedah penyelesaian untung terakru adalah berbeza-beza mengikut bank:

  • Ada yang memanjangkan tempoh 6 bulan iaitu dari 35 tahun ke 35 tahun 6 bulan tetapi tiada ansuran bulanan tidak bertambah.
  • Ada yang tidak memanjangkan tempoh tetapi ansuran bulanan akan bertambah sedikit.

Walaubagaimanapun, kadar peningkatan mungkin tidak signifikan sangat kerana pembiayaan perumahan kebiasaannya dalam tempoh yang panjang (20 – 30 tahun).

Bagi faedah terkompaun / ‘compounded interest’ pula adalah faedah atas faedah yang kebiasaannya digunakan oleh bank konvensional.

Walaubagaimanapun, berita baiknya kebanyakan bank telah bersetuju untuk tidak mengenakan faedah terkompaun / ‘compounded interest’ ke atas untung terakru tersebut. Faedah masih dikenakan tapi mengikut tiada faedah atas faedah akan diambil kira.

Antara bank tersebut adalah RHB Banking, Maybank, CIMB Bank, Public Bank, OCBC Bank, HSBC Malaysia, AmBank Group, Affin Bank dan United Overseas Bank (UOB).

Rujuk Banks offer non-compounding interest on loans during moratorium

Boleh semak laman web bank masing-masing di bawah untuk kepastian dan tindakan selanjutnya.

Diharap dengan penjelasan di atas, dapat memberi pencerahan berkenaan cara pengiraan pembiayaan iaitu kadar rata dan baki berkurangan. Di samping itu, dapat memberi idea berkenaan moratorium yang diberikan selama 6 bulan kepada rakyat Malaysia.

Sebarang kemusykilan, boleh rujuk ke laman web bank yang berkenaan. Buatlah pilihan yang bijak.

Wallahu’alam bisshawab.

Ditulis oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Iklan

Pinjaman vs Overdraf, Ketahui 7 Perbezaannya

Fungsi keduanya hampir serupa, iaitu memberi pinjam wang. Tetapi hakikatnya, kedua-dua tidak sama.

Jom kita tengok perbezaan di antara pinjaman dan overdraf seperti berikut:

1. Maksud

Pinjaman – adalah sejumlah wang yang tetap jumlahnya dipersetujui pihak bank dan peminjam dan perlu dibayar dalam jumlah dan jangka waktu tertentu.

Overdraf – adalah fasiliti bagi pemegang akaun semasa bagi sesebuah bank untuk keluarkan wang melebihi jumlah akaun semasa tersebut. Perlu ada kelulusan bank dahulu untuk kemudahan ini.

2. Tujuan

Pinjaman bank selalu dibuat untuk tujuan pembelian jangka panjang seperti bangunan, rumah, mesin mahu pun kereta.

Manakala overdraf digunakan untuk membiayai kos sementara bagi perniagaan seperti kos operasi seperti upah gaji, bayaran bil.

Jangka Masa

Tempoh masa bayaran balik bagi pinjaman adalah panjang. Sebagai contoh pinjaman rumah boleh sampai 30-35 tahun mengikut umur pembeli, pinjaman kereta dari 5 ke 9 tahun.

Bagi overdraf pula tempoh bayaran balik adalah singkat dari 10 hari sehingga 6 bulan. Bank berhak meminta kembali wang mereka pada bila-bila masa.

3. Proses & Sekuriti

Apabila melakukan pinjaman, ia melibatkan proses penyediaan dokumen, kelayakan diri dengan badan kewangan dan juga liabiliti dalam urusan kewangan dalam tempoh yang lama. Mungkin juga perlukan penjamin untuk dapatkan pinjaman.

Manakala bagi overdraf, ia tidak melibatkan banyak perkara. Cuma mungkin sesetengah bank perlukan cagaran di atas wang yang dipinjam seperti rumah, bangunan, tanah, wang simpanan dalam ASB, akaun tetap dan sebagainya.

4. Kriteria

Bagi membuat pinjaman bank, bank perlu lihat kemampuan kewangan peminjam daripada segi sumber pendapatan, pelaburan, sewa rumah, skor kredit di CTOS dan CCRIS.

Bagi overdarf pula, bank akan lihat daripada segi berapa lama pemegang akaun semasa dengan sesuatu bank, baki akhir setiap bulan dalam bank, skor kredit pemegang akaun. Ia tidaklah seketat seperti nak membuat pinjaman.

5. Pembayaran Balik

Bayaran balik pinjaman melibatkan bayaran principal (pokok) dan juga interest (faedah). Bayaran bulanan adalah tetap dan peminjam sudah mengetahuinya sehingga tempoh akhir pinjaman.

Manakala untuk overdraf, bayaran balik bergantung kepada wang tunai yang ada. Ia tiada kena-mengena dengan klausa pinjaman. Ia tidak tertakluk dengan tarikh tertentu. Ia perlu budi bicara dengan pihak bank, namun kesudahannya ia perlu dibayar balik.

6. Pengiraan Faedah

Bagi pinjaman, pengiraan faedah adalah tetap sepanjang tahun. Ia juga bergantung kepada BLR dan kadar OPR. Jika turun, bayaran bulanan juga boleh jadi turun.

Iklan

Manakala bagi overdraf, pengiraan faedah mengikut jumlah dan hari yang dipinjam sehinggalah jumlah yang dipinjam dibayar penuh. Boleh jadi ia lebih mahal daripada pinjaman biasa.

Contoh pengiraan faedah overdraf:

Had Overdraf : RM100,000

Kadar faedah setahun = 6%

Guna Overdraf = RM70,000

Tempoh : 30 hari

Kadar yang dikenakan = RM70,000 x 6% / 365 hari x 30 hari = RM345.20

RM345.20 sebulan perlu dibayar selagi jumlah penuh RM70,000 tidak dibayar.

7. Kesan Ratio

Bagi pinjaman, ia akan memberi kesan kepada leverage ratio seperti debt-to-equity dan debt-to- asset kerana ia melibatkan pinjaman jangka masa panjang.

Bagi overdraf pula, ia beri kesan kepada current ratio kerana ia melibatkan liabiliti sementara dan efficiency ratio, yang memberi kesan kepada penerimaan wang dan pembayaran hutang.

Cuma ia tidak beri kesan besar dalam pengiraan akaun sesuatu syarikat kerana ia hanya berskala pendek. Lazimnya, ia tidak direkodkan atau diambil kira bagi penilaian sesebuah syarikat.

Kesimpulan

Pinjaman adalah lebih baik sekiranya ia bagi tempoh jangka masa panjang.

Overdraf pula baik untuk jangka masa pendek. Walaupun bayarannya fleksibel, namun bila ditangguhkan akan dikenakan faedah selagi ia tidak dibayar semula.

Sumber Rujukan:

Artikel ditulis oleh Puan Sarah Hata. Penulis merupakan seorang konsultan kewangan di sebuah institusi kewangan di Malaysia dan juga perunding imej. Mempunyai pengalaman menulis, memberi ceramah di beberapa syarikat seluruh Malaysia dan juga klien individu.

Iklan

5 Mitos Pinjaman Peribadi Yang Terungkai: Apa Yang Benar dan Palsu

Bagi kebanyakan orang sekarang, meminjam wang untuk apa sahaja sebab bukanlah sesuatu yang bagus. Tambahan lagi dengan adanya faktor-faktor seperti stigma sosial beserta masalah budaya kita yang gemar ‘membawang’, ia boleh membantutkan niat seseorang dalam mendapatkan bantuan kewangan apabila dia memerlukannya.

Tiada faedah yang akan kita dapat jika sering mendengar khabar angin. Cara terbaik bagi menimbang sebarang pilihan yang ada ialah dengan melihat kesemua fakta dan data berkaitan dengan sesuatu perkara agar anda dapat membuat keputusan yang tepat. Ini termasuklah apabila anda ingin mengambil pinjaman peribadi sewaktu anda memerlukannya.

Umum mengetahui bahawa terdapat pelbagai ‘khabar angin’ mengenai pinjaman peribadi. Akibatnya, ramai di kalangan kita yang akhirnya mengambil keputusan untuk tidak membuat pinjaman ini walaupun sangat memerlukannya, contohnya apabila wang simpanan anda semakin berkurangan. Dapatkan kebenaran yang sebenar atau anda akan terus hidup ibarat ‘kais pagi makan pagi’.

Jadi tanpa berlengah lagi, marilah kita ketahui lebih lanjut tentang apa yang benar dan apa yang tidak mengenai pinjaman peribadi, dengan melihat 5 mitos berikut ini:

Mitos #1: “Tidak salah untuk mengambil pinjaman peribadi bagi pihak lain, seperti ahli keluarga atau kawan baik sendiri”

Meminjam dan memberi pinjaman kepada kaum keluarga atau teman-teman terdekat merupakan perkara yang biasa dalam hidup. Tetapi, meminjam wang daripada sebuah bank dan seterusnya meminjamkan wang tersebut kepada orang lain selalunya akan berakhir dengan tragedi. Sebagai permulaan, cuba anda cari tahu kenapa ahli keluarga atau kawan anda itu tidak dapat mengambil pinjaman dengan sendiri.

Jika ia disebabkan oleh kreditnya yang tidak bagus, ini merupakan tanda buruk bagi anda. Walaupun niat anda sangat baik kerana ingin membantunya, anda akan dibebankan dengan hutang sekiranya dia tidak membayar semula pinjaman tersebut. Lebih teruk lagi, tidak membayar dengan sengaja akan memburukkan anda di mata bank, di mana ia boleh memberi kesan terhadap skor kredit anda yang boleh merosakkan peluang anda dalam mendapatkan pinjaman perumahan (sebagai contoh) untuk diri anda sendiri di masa akan datang.

Mitos #2: “Pinjaman peribadi hanyalah untuk mereka yang bergaji atau berpendapatan tetap” 

Umum mengetahui yang pihak pemberi pinjaman lebih menyukai golongan bergaji tetap dalam hal memberi pinjaman peribadi kerana peluang untuk mereka membayar balik pinjaman adalah lebih tinggi. Namun begitu, tidak semestinya golongan berpendapatan yang lain diabaikan.

Malah, terdapat pelbagai bank di Malaysia yang menawarkan pelbagai pinjaman peribadi bagi mereka yang berpendapatan tidak tetap atau berdasarkan komisen. Terdapat juga sesetengah bank yang menawarkan pinjaman peribadi bagi golongan ekspatriat dengan syarat mereka melampirkan beberapa dokumen tambahan.

Mitos #3: “Hanya dengan skor kredit yang baik akan melayakkan anda untuk mendapatkan pinjaman peribadi”

Iklan

Sejarah kredit anda merupakan salah satu perkara terpenting yang akan diambil kira dalam semakan kelayakan bagi mendapatkan pinjaman peribadi. Kebiasaannya, mempunyai skor kredit yang baik bermakna anda telah lulus bahagian semakan tersebut. Skor yang baik juga boleh melayakkan anda untuk mendapatkan pinjaman dengan syarat pinjaman yang lebih bagus.

Namun begitu, mempunyai skor yang kurang bagus tidak bermakna anda tidak layak sama sekali. Walaupun skor yang ada tidak begitu memuaskan, anda masih lagi mempunyai beberapa pilihan untuk dipilih. Anda boleh cuba memohon pinjaman peribadi bercagar di mana anda harus bersedia menyerahkan beberapa aset untuk diambil pihak bank (sekiranya gagal membayar balik pinjaman). Ketahui dengan lebih lanjut mengenai skor kredit di halaman Credit Reports FAQ.

Mitos #4: “Mengambil pinjaman peribadi hanya akan lebih membebankan dalam jangka masa panjang”

Sebenarnya, mengambil sebarang jenis pinjaman juga akan menambahkan hutang anda. Tetapi apa yang membuatkan pinjaman peribadi sesuatu yang berguna ialah anda boleh menggunakannya bagi apa sahaja keperluan. Sama ada anda ingin mengubah suai rumah anda atau menyambung pelajaran, anda boleh menggunakan wang pinjaman peribadi tersebut.

Anda juga boleh menggunakan wang tersebut untuk melangsaikan beberapa hutang yang menimbun. Contohnya, jika bil kad kredit anda semakin menggunung, anda boleh menggunakan pinjaman peribadi dengan kadar faedah yang rendah untuk membayar balik kesemua hutang tersebut, dan seterusnya hanya perlu membuat satu jenis pembayaran sahaja. Baca dengan lebih lanjut mengenai strategi-strategi mengurangkan hutang dalam artikel  5 Useful Tips to Become Debt-Free.

Mitos #5: “Memohon pinjaman peribadi memakan terlalu banyak masa dan menyusahkan”

Dengan teknologi digital yang semakin berkembang pesat dalam sektor kewangan, perkara di atas tidak lagi benar. Anda tidak perlu lagi bersusah-payah pergi ke bank bagi melakukan sebarang jenis transaksi kewangan.

Kini anda boleh memohon pinjaman peribadi dari rumah anda sama ada di peranti mudah-alih ataupun komputer anda. Apa yang anda perlu lakukan hanyalah memuat naik beberapa salinan dokumen yang penting dan isi borang permohonan dalam talian. Lebih hebat lagi, terdapat beberapa pinjaman yang mempunyai tempoh kelulusan yang singkat, iaitu dalam 10-15 minit sahaja!

Kesimpulannya, ramai di kalangan orang kita yang mudah percaya tentang sesuatu khabar angin apabila terlalu sering mendengarnya. Tetapi dengan sedikit usaha dalam mendapatkan kebenaran, ia akan dapat membantu anda, ini termasuklah khabar angin mengenai pinjaman peribadi, di mana dengan mengetahui kebenaran akan menyelamatkan anda daripada ditimpa masalah bebanan hutang.

Jika anda sedang mencari pinjaman peribadi yang bersesuaian, lihatlah beberapa pilihan pinjaman peribadi yang terbaik di Malaysia ketika ini, selain daripada pelbagai promosi pinjaman peribadi yang sedang berlangsung. Namun begitu, berwaspadalah dengan sebab-sebab utama kenapa permohonan pinjaman peribadi ditolak sebelum anda memohon sesebuah pinjaman.

Ditulis oleh BBazaar Malaysia. Diterjemahkan oleh Dayana Sobri.
Artikel ini disiarkan secara eksklusif di MajalahLabur.com.

Iklan

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!