Peminjam TEKUN, Bank Rakyat Dan SME Bank Ditawar Tangguh Bayaran Disebabkan COVID-19

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mengumumkan tawaran penangguhan pembayaran balik pinjaman sehingga enam bulan kepada semua peminjam di bawah tiga agensinya.

Tiga agensi terbabit ialah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Bank Rakyat dan SME Bank.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata, moratorium itu diputuskan selepas mengambil kira kesan wabak COVID-19 kepada ekonomi negara.

“Ini adalah tindakan yang diambil untuk mempertahankan ekonomi kita serta membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan peniaga yang mungkin terjejas dengan penularan wabak ini.

“Penangguhan pembayaran balik pinjaman ini adalah membabitkan semua pihak termasuk individu, bukan hanya kepada PKS atau syarikat sahaja.

“Kita mengharapkan selepas tempoh berkenaan, perniagaan yang terjejas boleh bermula semula dan mampu untuk membayar kembali hutang yang tertunggak selama enam bulan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena hari pertama mula tugasnya di kementerian berkenaan di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalannya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Ditanya sama ada tempoh moratorium itu akan dilanjutkan sekiranya wabak itu masih berlarutan, Wan Junaidi berkata, keputusan berkenaan akan diputuskan pada masa akan datang bergantung kepada situasi yang berlaku ketika itu.

Dalam pada itu beliau berkata, persepsi yang menganggap bahawa pembabitan Bumiputera dalam sektor koperasi masih belum boleh dibanggakan adalah sesuatu yang kurang tepat.

“Kalau kita lihat sebagai contoh, Bank Rakyat itu sendiri adalah bank kepunyaan koperasi dan ia adalah antara 10 bank koperasi terbesar di dunia.

“Jadi, mana mungkin boleh kita mengecilkan pergerakan koperasi di Malaysia. Bank Rakyat juga adalah salah satu bank terbesar di Malaysia dan mempunyai tanggungjawab besar untuk membangunkan usahawan tempatan.

“Justeru, kita mahu ubah persepsi ini. Negara pada masa ini mempunyai lebih 14,600 koperasi dan lebih 6.6 juta ahli di seluruh negara. Ia menjana pendapatan kepada negara sebanyak RM40 bilion setahun menjadikannya sebagai sebuah sektor yang penting untuk membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Sumber: BH Online

Tangguh Bayaran Sampai Keadaan Kembali Reda

Dapat juga kita menarik nafas lega dengan perkembangan terkini ini. Diharapkan juga bank-bank komersial dapat melakukan langkah yang sama.

Bukan taknak bayar, tapi bisnes dan punca pendapatan terjejas disebabkan wabak Covid-19 yang menular di seluruh dunia. InsyaAllah kita semua akan kembali bangkit apabila keadaan sudah kembali reda.

Bagi mereka yang terjejas dan terpaksa kerja dari rumah, boleh juga tingkatkan pendapatan dan ambil ilham daripada artikel-artikel ini:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!