Kerajaan Setuju Kecualikan CGT Dan Cukai Ke Atas FSI Untuk Unit Amanah – Menteri Kewangan II

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) — Kerajaan bersetuju untuk mengecualikan cukai keuntungan modal (CGT) dan cukai ke atas pendapatan luar negara (FSI) untuk unit amanah, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata pengecualian ke atas CGT berkuat kuasa 1 Jan 2024 hingga 31 Dis 2028 manakala pengecualian ke atas FSI mulai 1 Jan 2024 hingga 31 Dis 2026.

Amir Hamzah berkata kerajaan akan terus menjadikan pelaburan pasaran modal di Malaysia mesra rakyat dengan pengenalan CGT dalam Belanjawan 2024.

“Skop kepada CGT tertumpu kepada keuntungan daripada penjualan saham tidak disenaraikan oleh syarikat. Penjualan saham senaraian dan penjualan oleh individu tidak tertakluk kepada CGT.

“Melalui pelbagai libat urus yang kami adakan mengenai perkara ini, menjadi perhatian kami bahawa bidang yang terjejas oleh CGT ialah unit amanah, berdasarkan lebih 90 peratus daripada pemegang unit amanah adalah individu,” katanya pada pelancaran Bursa Malaysia sebagai bursa pelbagai aset hari ini.

Beliau hari ini merasmikan pelancaran aplikasi baharu Bursa Malaysia untuk emas sebagai aset pelaburan — Bursa Gold Dinar (BGD) dan portal pelanggan baharu MyBURSA, platform baharu untuk menghubungkan pelabur secara langsung dengan wakil peniaga — Bursa Reach dan logo baharu Bursa Malaysia. 

Sementara itu, Amir Hamzah menegaskan bahawa kerajaan masih mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak empat hingga lima peratus pada 2024 walaupun turun naik luaran mewujudkan risiko penurunan.

“Ini disokong oleh usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan permintaan domestik dan menjana lebih banyak pelaburan ke dalam negara,” katanya.

Beliau berkata pembaharuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani telah menunjukkan hasil positif.

“Rangka kerja Ekonomi Madani menyediakan pelan hala tuju yang jelas untuk memacu Malaysia kepada rantaian nilai ekonomi yang lebih tinggi dan memberikan keyakinan kepada pelabur global.

“Dalam bulan-bulan dan tahun akan datang, kerajaan akan melihat melalui pelaksanaan dokumen dasar ini dan memastikan visi Ekonomi Madani akan menjadi kenyataan,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

P.Pinang Terima Penerbangan Sulung Flydubai Pada Tahun Baharu Cina

GEORGE TOWN, 11 Feb (Bernama) — Pulau Pinang menerima penerbangan sulung Flydubai dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam, sekali gus menyediakan satu lagi pilihan kepada pelancong ke negeri ini dengan penerbangan terus, kata Pengerusi Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai. 

Beliau berkata ketibaan penerbangan itu pada hari pertama Tahun Baharu Cina adalah dialu-alukan, menandakan satu peristiwa penting dalam industri pelancongan Pulau Pinang.

”Flydubai merupakan syarikat penerbangan pertama dari UAE yang terbang terus ke Pulau Pinang dan ia juga adalah permulaan era baharu kepada ekonomi di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penerbangan sulung dengan pesawat Boeing 737 MAX yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 3.03 petang diberikan sambutan tradisi semburan air, sebaik sahaja mendarat.

Wong berkata Flydubai menawarkan penerbangan terus setiap hari dari Dubai ke Pulau Pinang dengan persinggahan singkat di negeri ini untuk penerbangan seterusnya ke Langkawi, Kedah.

Syarikat penerbangan itu turut menawarkan pilihan perjalanan yang mudah untuk penumpang dari UAE dan menghubungkan penumpang dengan rangkaian penerbangan antarabangsanya termasuk ke Pulau Pinang, katanya.

“Sejak penubuhannya pada Jun 2009, Flydubai telah memainkan peranan penting dalam memupuk hubungan perdagangan, pelancongan dan kebudayaan di seluruh rangkaian antarabangsanya yang semakin berkembang.

“Flydubai muncul sebagai syarikat penerbangan pertama yang mengendalikan penerbangan terus dari Dubai ke destinasi pelancongan popular, iaitu Pulau Pinang dan Langkawi yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong,” katanya.

Beliau berkata pada tahun lepas, beberapa syarikat penerbangan antarabangsa telah kembali semula dengan penerbangan terus ke Pulau Pinang dan menyediakan perkhidmatan kepada pelancong dari pelbagai negara.

“Antara laluan penerbangan yang kembali ke Pulau Pinang pada masa ini adalah dari Guangzhou, Xiamen, Doha dan Bangkok,” katanya.

Wong berkata ketika ini Pulau Pinang menerima penerbangan terus daripada 14 bandar antarabangsa dan pihaknya akan terus mengukuhkan komitmen bagi memperkukuh hubungan dengan destinasi global utama.

Selain itu, turut akan dilaksanakan adalah mengukuhkan status negeri itu sebagai destinasi pelancongan antarabangsa terkenal dan hab perniagaan, katanya.

“Pulau Pinang mengembalikan semula beberapa laluan penerbangan dan kami juga mengalu-alukan syarikat penerbangan berbeza menyediakan perkhidmatan penumpang ke destinasi di negeri ini.

“Ini menandakan lonjakan kami dalam menyambungkan kebolehcapaian Pulau Pinang dengan pelancong dan pengembara antarabangsa,” katanya.

— BERNAMA