Pengecualian CGT, Cukai FSI Daripada Unit Amanah Dijangka Lonjak Prestasi Pasaran Modal

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) — Pengecualian cukai keuntungan modal (CGT) akan melonjakkan prestasi pasaran modal di samping memberi manfaat kepada lebih 90 peratus pelabur individu yang membuat pelaburan dalam industri unit amanah.

Rakan Kongsi Cukai, PwC Malaysia, Jennifer Chang berkata pengecualian itu akan menggalakkan lebih banyak unit amanah diwujudkan dalam pasaran modal.

“Jika anda mengenakan CGT terhadap unit amanah serta menguatkuasakan cukai ke atas pendapatan sumber asing daripada unit amanah, secara tidak langsung anda mengenakan cukai kepada orang ramai kerana lebih 90 peratus pemegang unit amanah adalah orang biasa.

“Munasabah untuk mengecualikan unit amanah kerana jika anda dan saya (individu) melabur secara langsung dalam syarikat Malaysia atau dalam pelaburan asing, kita tidak dikenakan cukai apabila kita membuat keuntungan modal atau membawa balik wang itu dari luar negara. Jika pengecualian ini menggalakkan pelaburan dalam unit amanah, maka ia bermakna lebih banyak unit amanah akan diwujudkan,” katanya kepada Bernama.

Pada Selasa, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan bersetuju untuk mengecualikan cukai keuntungan modal (CGT) dan cukai ke atas pendapatan luar negara (FSI) bagi unit amanah.

Pengecualian CGT berkuat kuasa 1 Jan, 2024 hingga 31 Dis, 2028 manakala pengecualian cukai ke atas FSI daripada unit amanah pula mulai 1 Jan, 2024 hingga 31 Dis, 2026, katanya.

Beliau berkata melalui pelbagai libat urus mengenainya yang diadakan kerajaan, satu akibat yang tidak diingini dan terjejas ekoran pelaksanaan CGT adalah unit amanah, memandangkan 90 peratus daripada pemegang unit amanah adalah individu.

CGT diumumkan kali pertama semasa pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu mulai 1 Mac, 2024, CGT akan dikenakan terhadap penjualan saham tidak tersenarai oleh syarikat manakala bagi saham yang diperoleh sebelum 1 Mac, 2024 pula, penjual boleh memilih untuk membayar CGT sebanyak dua peratus berdasarkan nilai jualan kasar atau 10 peratus daripada keuntungan bersih daripada penjualan itu.

Bagi saham yang diperoleh pada atau selepas 1 Mac, 2024 kadar CGT adalah 10 peratus daripada keuntungan bersih dan pengecualian mungkin dikenakan ke atas penjualan dalam keadaan tertentu, seperti pada tawaran awam awal (IPO) yang diluluskan oleh Bursa Malaysia dan langkah penstrukturan semula kumpulan dalaman.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pengecualian itu akan mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan akan memberi lebih banyak masa kepada peserta industri untuk membiasakan diri dengan CGT memandangkan pengecualian itu hanya akan dilaksanakan mulai 1 Jan, 2024 hingga 31 Dis, 2028 .

Beliau berkata langkah itu akan membantu meningkatkan pulangan pelaburan bersih bagi pemegang unit amanah.

“Dari sudut yang lain, kerajaan bersikap pragmatik dalam pendekatannya untuk memastikan kedudukan fiskal yang kukuh dengan mencapai keseimbangan tepat antara mengukuhkan kedudukan kewangan dan pada masa sama mengekalkan persekitaran yang akan menggalakkan masyarakat kita menabung dan melabur secara bertanggungjawab melalui unit amanah.

“Sebenarnya, ini boleh memberi kesan limpahan positif kepada Bursa Malaysia dan industri pasaran modal,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Trend Menurun Semakin Mengukuh

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami penurunan mendadak semalam apabila jatuh MYR45 untuk ditutup pada paras MYR4,393. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada MYR4,435. Ia kemudiannya merekodkan paras tertinggi intrahari sebanyak MYR4,456 sebelum kegiatan jualan yang tinggi mengheret FCPO ini ke arah paras terendah sesi bernilai MYR4,382. Ia kemudian menutup dagangan pada MYR4,393 dengan membentuk corak lilin menurun yang kuat, sekali gus mengesahkan tekanan jualan menguasai pasaran.

Pergerakan ini menyaksikan komoditi ini jelas menurun melepasi paras sokongan penting bernilai MYR4,420 dan terus ditutup di bawah garisan SMA 50 hari. RSI juga berada dalam keadaan menurun, yang menunjukkan bahawa momentum menurun adalah kuat dan terus berlangsung. FCPO kini dijangka akan menguji paras sokongan seterusnya pada MYR4,300. Kami tetapkan bias dagangan negatif memandangkan mereka yang menantikan penurunan harga berada dalam kawalan.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi kini disemak kepada MYR4,700.

Selepas membuat penembusan menurun, paras sokongan pertama disemak kepada MYR4,300 dan diikuti oleh paras MYR4,200. Paras rintangan pertama pula sekarang berada pada MYR4,570 dan diikuti oleh paras ambang MYR4,700.