10 soalan popular tentang pelaburan saham

FAQ tentang saham

Melabur dalam pasaran saham di Bursa Malaysia bukanlah rumit sangat macam nak masak ikan tiga rasa. Di bawah ini kami jawabkan 10 soalan popular yang sering ditanya.

1. Melabur saham ni susah ke?

Nak belajar sesuatu ilmu yang baru, apatah lagi ingin menguasainya memanglah mula-mula rasa susah.

Pelaburan saham tidak sesusah mana. Namun, ia tidaklah terlalu senang sampai tutup mata pun boleh buat duit.

Percayalah, walaupun anda tak suka matematik, tapi mesti suka dekat duit kan? Sebab itulah anda akan rasakan yang pelaburan saham ni senang apabila anda sudah mula menguasainya – dan membuat duit dengan pelaburan saham.

2. Nak mula, modal mesti besar?

Ada juga yang beranggapan nak mula dengan pelaburan saham ni kita perlukan modal yang besar? Ya ke?

Jawapannya ialah tidak.

Pertama sekali anda perlu membuka akaun CDS ataupun akaun dengan institusi kewangan yang berdaftar bagi membolehkan anda membeli dan menjual saham. Modalnya RM 10.60 je pun.

Kedua, mula membeli saham. Tahukah anda, di Bursa Malaysia terdapat lebih daripada 600 buah syarikat dan patuh syariah. Daripada ini, kebanyakannya didagangkan di bawah RM 1.00 untuk sesaham? Dan minima pembelian adalah 100 unit saham atau pun dikira sebagai satu lot?

Jika kita ambil contoh sebuah syarikat yang sahamnya berharga RM 1.00 sesaham, ini bermakna modal permulaan anda hanyalah RM 100 bagi membeli 1 lot saham syarikat tersebut.

Siapa kata perlu modal besar tadi?

3. Saya ni jenis takut rugi, macam mana?

Dalam pelaburan saham, rugi itu adalah pasti. Tetapi jika anda mempunyai ilmu pengurusan kewangan, bijak mengawal emosi dan membuat kajian menyeluruh tentang sesebuah saham, anda dapat meminimakan kerugian tadi.

4. Takde masa, macam mana nak melabur saham?

Bagi mereka yang bekerja waktu pejabat, pada waktu bila nak membuat ambil tahu pasal saham ni? Daripada anda curi tulang, lebih baik anda luangkan waktu rehat anda sebaiknya.

Tak pun, malam buat ulangkaji, luangkan sedikit masa untuk monitor pergerakan harga saham dan lakukan transaksi jual beli keesokan harinya. Sekejap je, tak sampai 10 saat untuk buat transaksi jual beli.

Orang pakai smartphone je jual beli saham sekarang ni.

5. Orang kata pelaburan saham ni haram?

Pelaburan saham kita memang boleh jatuh haram kalau beli saham syarikat yang bisnesnya sah-sah haram di sisi Islam (Heineken Malaysia Berhad – Arak, Magnum Berhad – Loteri)

Sebab itulah kita perlu memilih kaunter yang patuh syariah. Kemudian kaji latar belakang syarikat yang kita ingin labur tadi, kaji dulu apa mereka buat, siapa ahli lembaga pengarah, syarikat membuat keuntungan atau pun mengalami kerugian?

Kalau nak buat kajian di platform percuma seperti BursaMktPlc, “ON” kan simbol bulan terlebih dahulu (syariah mode).

6. Leceh ke nak buka akaun saham (CDS)?

Nak buka akaun CDS ni bukan boleh walk-in je mana-mana bank pelaburan (Maybank Investment Bank, Hong Leong Investment Bank, RHB Investment Bank etc) atau syarikat Broker.

Jangan lupa pilih yang patuh syariah ye! Boleh baca lebih lanjut tentang akaun CDS di sini.

Tidak dinafikan cawangan bank pelaburan amat kurang berbanding bank biasa. Tapi ia hanya sekali je seumur hidup, sambil-sambil tu boleh juga berkenalan dengan remisier anda.

7. Saya ni jenis tak pandai guna komputer, boleh ke?

Memang agak mencabar kalau dalam era serba moden ini, anda masih mengalami kesukaran untuk menggunakan komputer. Kalau tak berapa pasti, sila dapatkan bantuan anak anda – walaupun mereka masih muda, tapi mereka pasti boleh bantu anda mengatasi masalah ini.

Ilmu yang diperlukan adalah membuka browser, login ke platform trading, dan tekan butang jual beli.

Tak susah mana pun.

8. Macamana kalau penyata bank tak ‘cantik’?

Melainkan anda mahu melabur dengan menggunakan margin, maka penyata bank tidak berapa penting. Lagipun takkan anda nak melabur menggunakan ‘kad kredit’ kan? Lebih selamat melabur menggunakan duit lebihan yang ada, daripada meminjam duit yang bukan milik kita.

Sekurang-kurangnya untung rugi, duit kita dan bukan duit orang lain.

9. Orang yang tak pandai & belajar tinggi-tinggi boleh ke melabur saham?

Sepertimana ilmu baru yang ingin dipelajari, pasti agak sukar untuk memahami term-term yang digunapakai di dalam dunia pelaburan saham. Sebab itulah anda perlu membaca buku ataupun mendapatkan mentor saham yang berpengalaman dan boleh membuatkan proses pembelajaran ilmu pelaburan saham semudah yang mungkin.

10. Berada di luar kawasan untuk buka akaun, bagaimana nak atasinya?

Sama juga dengan alasan leceh ingin membuka akaun saham sebab kurangnya cawangan bank pelaburan bagi membolehkan anda membuka akaun CDS.

Sekali je seumur hidup proses membuka akaun CDS ini, lepas tu boleh hubungi remisier anda melalui telefon, sms, whatsapp dan yang seangkatan dengannya.

Akhir kata, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

Tidak dinafikan ramai yang kecundang awal akibat main cuba-cuba, tapi dengan ilmu dan mentor yang betul; pelaburan saham ini memang mudah sebenarnya. Melainkan anda puas hati dengan dividen 7-8% setahun yang anda selalu dapat tu 🙂

Nak belajar lebih lanjut tentang pelaburan saham bersama ikon Bursa Malaysia? Boleh intai Facebook page Tuan Hj Mohd Asri

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Saham vs Sukuk: Mana Lebih Sesuai Untuk Pelabur Baru

Dunia pelaburan pada masa kini semakin berkembang pesat dan menjadi sebahagian penting dalam perancangan kewangan masyarakat, khususnya generasi muda dan pelabur baru. Dengan pelbagai instrumen pelaburan yang tersedia, dua pilihan utama yang sering menjadi pertimbangan ialah saham dan sukuk. Kedua-duanya menawarkan peluang keuntungan, namun berbeza dari segi struktur, risiko, pulangan dan kesesuaian terhadap tahap pengalaman pelabur.

Bagi pelabur baru, pemilihan instrumen pelaburan yang sesuai amat penting kerana ia mempengaruhi kestabilan kewangan jangka panjang. Oleh itu, pemahaman yang jelas tentang perbezaan antara saham dan sukuk, kaedah pembelian serta risiko yang terlibat adalah keperluan asas sebelum membuat keputusan pelaburan

Apakah itu Saham dan Sukuk?

1. Saham: Pemilikan dalam Syarikat Saham merupakan instrumen yang mewakili pegangan hak milik dalam sesebuah syarikat. Apabila anda membeli saham, anda secara rasminya menjadi salah seorang pemilik syarikat tersebut. Keuntungan pelaburan saham biasanya datang daripada dua sumber utama: kenaikan harga saham (keuntungan modal) dan pembahagian keuntungan syarikat kepada pemegang saham (dividen).

2. Sukuk: pula ialah instrumen pelaburan Islam yang menyerupai bon tetapi mematuhi prinsip Syariah. Ia tidak melibatkan faedah (riba), sebaliknya berasaskan pemilikan terhadap aset atau projek sebenar yang menjana keuntungan. Pelabur sukuk memperoleh pulangan dalam bentuk hasil keuntungan daripada aktiviti perniagaan atau sewaan aset, bukan faedah pinjaman.

Sukuk lazimnya menawarkan pulangan yang lebih stabil dan dapat diramal, menjadikannya sesuai bagi pelabur yang mengutamakan keselamatan modal.

Perbandingan Antara Saham dan Sukuk

Dari sudut pulangan, saham berpotensi memberikan keuntungan yang lebih tinggi, namun turut terdedah kepada turun naik pasaran yang ketara. Sukuk pula menawarkan pulangan yang lebih sederhana tetapi stabil.

Dari segi risiko, saham mempunyai risiko yang lebih tinggi kerana nilainya bergantung kepada prestasi syarikat dan keadaan pasaran. Sukuk lebih terlindung kerana disokong oleh aset sebenar.

Dari segi kesesuaian, saham sesuai untuk pelabur yang sanggup menerima risiko demi pulangan jangka panjang. Sukuk lebih sesuai untuk pelabur baru yang mengutamakan kestabilan dan perlindungan modal.

Platform Pelaburan untuk Pelabur Baru

Pada masa kini, teknologi memudahkan pelabur baru untuk mengakses pasaran modal hanya melalui telefon pintar. Berikut adalah platform utama yang boleh digunakan di Malaysia:

Platform Membeli Saham: Untuk membeli saham syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, anda perlu membuka akaun Sistem Deposit Pusat (CDS).

  • Rakuten Trade: Platform digital sepenuhnya yang popular dalam kalangan anak muda kerana kadar komisen yang rendah dan antara muka yang mudah digunakan.
  • Moomoo Malaysia: Aplikasi pelaburan global yang baru memasuki pasaran tempatan dengan menyediakan data pasaran yang sangat terperinci dan alat analisis teknikal yang canggih.
  • Aplikasi Perbankan Tempatan: Bank-bank seperti Maybank (Maybank Trade) dan CIMB (CGS International) juga menyediakan platform dagangan saham yang stabil.

Rakuten menawarkan kadar komisen yang murah di Malaysia:

Moomoo juga menyediakan data:

Platform Membeli Sukuk: Sukuk kini tidak lagi terhad kepada pelabur institusi yang bermodal besar. Pelabur runcit boleh mengakses sukuk melalui:

  • Wahed Invest: Aplikasi pelaburan mikro yang melaburkan wang anda ke dalam dana unit amanah yang mengandungi sukuk dan instrumen pasaran wang lain.
  • FSMOne: Platform yang membolehkan pelabur runcit membeli sukuk korporat atau bon dengan nilai ambang yang lebih rendah.
  • Sukuk Simpanan Rakyat (Negara): Biasanya ditawarkan melalui bank-bank tempatan semasa tempoh tawaran dilancarkan oleh kerajaan Malaysia.

Wahed menyediakan pembelian sukuk:

Strategi Praktikal untuk Pelabur Baru

Bagi individu yang baru bermula, menggabungkan kedua-dua instrumen ini dalam satu portfolio adalah langkah yang bijak. Langkah praktikal yang boleh diambil termasuk:

  • Kepelbagaian :Jangan letakkan semua wang anda dalam satu saham atau satu sukuk sahaja. Agihkan modal untuk mengurangkan impak kerugian jika salah satu pelaburan merosot.
  • Gunakan Modal Kecil: Mulakan dengan modal yang anda sanggup hilang.
  • Pendidikan Berterusan: Sebelum membeli, baca laporan tahunan syarikat (untuk saham) atau prospektus (untuk sukuk). Fahami model perniagaan syarikat tersebut.
  • Pembahagian:Contoh awak meletakkan 40% untuk sukuk 60% untuk pelaburan bagi memastikan keterjaminan duit itu lebih tinggi

Secara keseluruhannya, tiada jawapan mutlak tentang mana yang “lebih baik” antara saham dan sukuk. Ia bergantung sepenuhnya kepada profil risiko anda. Saham adalah instrumen yang sangat sesuai untuk mereka yang mengejar pertumbuhan kekayaan jangka panjang dan sanggup berhadapan dengan turun naik harga yang ekstrem. Manakala sukuk adalah pilihan terbaik bagi pelabur yang mementingkan kestabilan modal dan aliran pendapatan berkala yang tetap.

Bagi pelabur baru, memahami mekanisme kedua-dua instrumen ini adalah kunci utama untuk membina portfolio pelaburan yang holistik dan berdaya tahan. Dengan gabungan pemilihan platform digital yang tepat serta pengurusan risiko yang berdisiplin, pelaburan ini bukan sahaja menjanjikan pulangan kompetitif, malah menjamin kesejahteraan kewangan pada masa akan datang.

Nota: Artikel ini merupakan hasil sumbangan daripada Muhammad Ihsan Afsar Bin Jamil dan Prof.Dr.Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali, Universiti Sains Islam Malaysia